Thursday, May 25, 2017

Benarkah Kajian Invoke Malaysia Hanya Syok Sendiri, Demi Anwar?


Invoke Malaysia tidak habis-habis dengan kajian untuk menunjukkan siapa sepatutnya dilantik untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia selepas pilihan raya umum ke 14.

Usaha itu dilihat boleh mengencatkan hubungan antara parti dalam pakatan itu.

Berikutan itu, kajian yang dilihat sebagai ‘syok sendiri’ itu mengundang kritikan daripada pemimpin rakan pakatan pembangkang yang melihat ia sengaja ditimbulkan.

Pengumuman kajian juga menunjukkan bahawa PKR tidak habis-habis dengan isu kononnya hanya pemimpin mereka layak untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Yang nyata dan jelas ialah ia diulang-ulang untuk ‘memaksa rakyat’ menerimanya.
Pengumuman oleh oleh Naib Presiden PKR dan Penyelaras Invoke, Rafizi Ramli itu, selang tiga hari selepas Kongres PKR membuat gimik sepanduk tertera “Anwar PM ke-7”.
Sepanduk itu diangkat di hadapan pemimpin parti lain termasuk pemimpin utama Parti Pribui Bersatu Malaysia (PPBM) yang hadir sebagai tetamu.


Sewajarnya PKR tidak membenarkan pengumuman secara terbuka mengenai perkara ini apa lagi isu siapa Perdana Menteri pembangkang turut dimainkan oleh Barisan Nasional (BN)/UMNO untuk mengelirukan rakyat.

Apakah PKR kini terikut-ikut dan terpengaruh dengan rentak permainan politik BN/UMNO yang mahu menunjukkan bahawa pembangkang gagal untuk menonjolkan siapa sebenarnya Perdana Menteri mereka jika menang pilihan raya umum ke 14?
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima  tahun, dan tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya untuk lima tahun selepas dibebaskan.
Juga apa yang sedang cuba dimainkan oleh PKR melalui Invoke Malaysia apabila mengumumkan senarai calon perdana menteri paling popular pada ketika rundingan mengenai perkara itu sedang dijalankan?

Banyak persoalan yang boleh ditanya mengenai usaha dan pengumuman Invoke Malaysia ini. Yang yang utama ialah, apakah ia untuk kepentingan Malaysia atau untuk kepentingan PKR semata-mata?

Atau apakah PKR cuba menonjolkan dirinya sebagai parti yang berjuang hanya untuk Anwar serta pembebasannya, bukan untuk menjatuhkan kerajaan BN yang diselimuti oleh berbagai skandal kewangan dan kleptokrasi?


Kelmarin, Invoke Malaysia mengumumkan butiran hasil kajian olehya dengan  melibatkan hampir 18,000 responden yang menyebut pemimpin tertinggi PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan paling banyak, iaitu 23.5% sebagai Perdana Menteri.

Ini  diikuti Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan undian 17.6%, Dr Mahathir (16.5%), dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (12.6%).

Hasil kajian Invoke Malaysia seperti diumumkan oleh Rafizi menunjukkan ‘siapa pilihan rakyat’ untuk menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan menang pada pilihan raya umum akan datang.

Pada kajian itu, Rafizi berkata sebanyak 31% daripada mereka mahu mengekalkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri, sementara 34.6% membuat pelbagai pilihan daripada 9 orang pemimpin pembangkang, termasuk dirinya, manakala selebihnya tidak menjawab.
Ditanya mengapa pemimpin Amanah dan DAP tidak disenaraikan, Rafizi berkata kajian itu berdasarkan jumlah kerusi yang ditandingi pembangkang dan jumlah majoriti pengundi Melayu.

Berikutan pengumuman itu, semalam Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pengumuman Rafizi itu tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya pembangkang tidak memenangi pilihan raya akan datang.


“Kalau tak menang, sesiapa pun tak boleh jadi Perdana Menteri. Perkara utama ialah menang. Kalau nak jadi calon, siapa pun boleh jadi,” katanya selepas program ceramah di Kampung Baru malam tadi.

Dr Mahathir semalam menyampaikan ceramah pada Jelajah Semarak di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kmpung Baru bersama-sama Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Bagi Dr Mahathir,  berpendapat kajian seumpama itu lebih sesuai selepas Pakatan memenangi pilihan raya.

“Bila menang boleh buatlah. Kalau tak menang, bubuh nama, itu syok sendiri,” katanya kepada wartawan.

Isu nama Perdana Menteri menjadi perbahasan antara PKR dan pemimpin pembangkang lain selepas perwakilan PKR membuat gimik sepanduk tertera “Anwar PM ke-7”, pada kongres parti yang dihadiri Dr Mahathir dan pemimpin PPBM lain minggu lalu.

Malah, bekas menteri yang kini menyertai DAP, Datuk Zaid Ibrahim turut mengecam kenyataan PKR itu sementara  Ketua ARMADA, PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan PKR sebagai tidak sensitive.

Sebelum ini, menurut laporan, dalam wawancara ekslusif bersama FMT baru-baru ini, Dr Mahathir berkata sebarang rancangan melantik perdana menteri perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.

“Kita berjuang untuk menegakkan kedaulatan undang-undang. Tetapi, jika (selepas) berkuasa kita tidak mematuhinya, apa hak kita untuk menegur orang lain yang tidak mengikut undang-undang?” soalnya.

Sunday, May 21, 2017

Nik Nazmi Sebenarnya Yang Memiliki "Mentaliti Saling Bangkang'......


Apa yang dimaksudkan oleh Ketua Pemuda PKR bahawa mentaliti saling bangkang' punca Pakatan Rakyat pecah?

Buta-buta sahaja Nik Nazmi Nik Ahmad menyalahkan pihak lain (selain PKR) sebagai penyebab tragedi 'perpecahan’ melibatkan gabungan pembangkang, iaitu yang terbesar sejak gabungan itu dibentuk selepas merdeka.

Apabila Nik Nazmi mengatakan percakaran dalaman secara tidak langsung memberi tanggapan kepada masyarakat seolah-olah Pakatan Harapan, sebelum ini dikenali sebagai Pakatan Rakyat, belum bersedia untuk mentadbir negara.

Hakikatnya beliau sebenarnya adalah suara pemecah pakatan pembangkang dengan memberikan ruang dan idea kepada Barisan Nasional (BN) dan sekutunya apabila menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri daripada pembangkang walaupun bekas timbalan perdana menteri itu sedang menjalani hukuman penjara.

Melalui ucapan dasar kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) semalam mengusulkan nama Anwar sebagai perdana menteri seterusnya menjadi pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Dan tidak berhenti sekadar itu apabila AMK turut menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebagai perdana menteri sehingga Anwar dibebaskan dari penjara.

“Beliau telah buktikan sebagai ketua pembangkang yang mainkan peranan dalam membentuk PH bila terburainya Pakatan Rakyat,” kata Nik Nazmi dalam ucapan pergulungan kongres pemuda PKR ke-12 di Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam semalam.


Memang pendirian ini tidak mengejutkan. Tetapi apakah ini jawapan terbaik untuk meleyapkan perbuatan  pihak tertentu mempertikaikan keengganan PH mengumumkan calon perdana menteri pakatan pembangkang untuk PRU-14?

Beliau seolah-olah terikut-ikut dengan kenyataan pemimpin DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang mengatakan Tun Dr Mahathair sesuai sebagai Perdana Menteri sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14 nanti (PRU14).

Malah, beliau turut terikut-ikut dengan perkhabaran oleh pihak tertentu yang sengaja menyebarkan maklumat bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dicadangkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menjadi Perdana Menteri.

Sedangkan persefahaman sudah dibuat sebelum ini untuk ‘tidak menamakan sesiapa sebagai Perdana Menteri’ di kalangan pembangkang, sehinggalah menang pilihanraya.

Maknanya yang penting menang PRU14 dahulu dan melalui semangat setiakawan melantik Perdana Menteri dengan melihat banyak faktor, termasuk parti mana paling banyak memenangi kerusi Parlimen – kecuali parti DAP.

Dalam soal menamakan Perdana Menteri ini, Nik Nazmi hanya melihat kesalahan pihak atau parti sedangkan kenyataannya sendiri sebenarnya boleh membawa kepada tragedi “perpecahan” melibatkan gabungan pembangkang.

Dijangkakan di kalangan pembangkang, tiga parti terkuat untuk dapat mencalonkan pemimpin mereka sebagai Perdana Menteri ialah PKR, AMANAH dan PPBM.

Ini kerana DAP sendiri, khususnya Lim Kit Siang awal-awal mengatakan beliau tidak berminat menjadi Perdana Menteri.

Malah, begitu juga dengan Dr Mahathir.


Jadi kenapa Nik Nazmi memperkatakan isu Perdana Menteri ini mesti datang daripada PKR yang seolah-oleh mahu mengeruhkan persefahaman sebelum ini yang sudah dinyatakan oleh beberapa pemimpin PH, termasuk daripada PKR sendiri - Datuk Saifuddin Abdullah.

Memanglah pemimpin parti bebas membuat kenyataan namun, apakah Nik Nazmi peka dan faham dengan apa yang sedang diusahakan oleh PH mengenai Perdana Menteri mereka sejauh ini?

Kenapa beliau melompat lebih awal  dan menyalahkan pihak lain sedangkan pengajaran daripada majoriti pengundi Pakatan Rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menunjukkan kekecewaan mereka dengan perpecahan di kalangan pakatan pembangkang.

Jika beliau dapat menghidu punca perpecahan pembangkang, kenapa beliau tidak cuba mengelak mengutarakan kenyataan yang akan mengukuhkan lagi  ‘mentaliti saling membangkang yang masih menebal’ dan menjadi punca  pakatan pembangkang gagal mengurus perbezaan prinsip secara matang?

JIka ditoleh kembali, pada 2015, Pakatan Rakyat yang ditubuhkan pada 2008 terkubur selepas PAS meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP.

Parti Islam itu meluluskan usul putus hubungan politik dengan PKR selepas mendakwa parti reformasi itu mengkhianati perjanjian “tahaluf siyasi” pada Muktamar PAS ke-63 bulan lalu.

Malah kerana pertikaian itu, seolah-olah kerajaan Selangor pimpinan PKR kini sedang terumbang-ambing.

PH yang dibentuk menggantikan Pakatan Rakyat kini dianggotai oleh PKR, DAP, AMANAH  dan PPBM dan sedang berusaha membentuk persefahaman antara mereka.

Siapakah antara PKR, DAP, AMANAH dan PPBM yang sebenarnya menghadapi masalah dalaman yang teruk dan membuat kenyataan yang menunjukkan ‘mentaliti saling membangkang’ seperti diperkatakan oleh Nik Nazmi?

Semasa ucapan dasar Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) di IDCC Shah Alam semalam, beliau menegaskan:  “Suka atau tidak, yang pasti majoriti pengundi yang memilih kita semasa PRU13 rasa kecewa, marah dan tidak berpuas hati dengan perkembangan parti pembangkang.”

Semalam juga, Nik Nazmi bijak pula menyeru Pemuda PKR agar melupakan kemelut yang berlaku dalam pakatan pembangkang sebelum ini, sebaliknya menjadikannya sebagai pengajaran.

Jika tahu kelemahan dan memerlukan semua pihak  fokus kepada PRU14, Nik Nazmi tidak sewajarnya menimbulkan isu siapa Perdana Menteri ketika ini.


Untuk seketika ini, daripada bercakap mengenai siapa Perdana Menteri, lebih baik Nik Nazmi menyelesaikan kemelut dalam AMK sendiri.

Ia tercetus  apabila seorang wakil Pemuda PKR mendesak pucuk pimpinan sayap itu, yang dipercayai dituju kepada Nik Nazmi Nik Ahmad, supaya melepaskan jawatan ketua sayap itu atas alasan gagal memperlihatkan kepimpinan efektif.

Wakil Pemuda PKR Melaka, Naqqiuddin Nazrin berkata, desakan itu dibuat susulan kegagalan Nik Nazmi menggalas tanggungjawab sebagai ketua apabila gagal turun padang menjelaskan isu-isu berbangkit kepada anak muda.

“Setakat ini saya boleh kata kosong. YB, saya minta maaf terpaksa cakap akibat YB tidak atur program anak muda akhirnya AMK dipandang lembik,” demikian kata Naqqiyuddin.

Dalam kedudukan sebegini adalah lebih baik Nik Nazmi menyelesaikan kemelut dalaman AMK terlebih dahulu daripada mengkritik parti lain yang kononnya mempunyai ‘mentaliti saling bangkang’.

Beliau sewajarnya faham bahawa jika dalam organisasi AMK sendiri wujud ‘mentaliti saling bangkang’, bukanlah sesuatu yang pelik jika ada perbezaan pendapat antara pembangkang, iaitu organisasi yang lebih besar dan berbeza dalam banyak perkara.

Namun dengan mengisytiharkan Anwar atau Wan Azizah sebagai layak menjadi Perdana Menteri secara terbuka, Nik Nazmilah yang dilihat watak sebenar yang mempunyai ‘mentaliti saling bangkang’.

Ini kerana secara kolekstifnya sebelum ini sudah dipersetujui oleh pemimpin pembangkang agar isu siapa Perdana Menteri ‘disejukkan dahulu’ sementara waktu.

Atau apakah Nik Nazmi sengaja sdsuruh atau diminta supaya memanaskan semula gelanggang membincangkan isu Perdana Menteri di kalangan pembangkang yang kelak membuka ruang kepada BN/UMNO untuk mengatur strategi menyerang semua pembangkang?

Apakah kepimpinan PKR memang sengaja merancang ke arah ini? 

Tuesday, May 2, 2017

'1 Lawan 1' Sudah Mati, Hadi Perkecilkan Parti Pembangkang Lain


PAS tidak pernah gentar berdepan situasi pertandingan walau berapa penjuru pun.

Ia mampu bertanding sendirian dan bukan sesuatu yang baru baginya berdepan situasi sedemikan.

PAS serik dijadikan batu loncatan, apa lagi parti pembangkang lain kecil bernanding dengan PAS dari segi kawasan dan cawangan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan semalam parti itu pernah hadapi segala kemungkinan kerana sejarah politiknya panjang lebih dari orang lain.

“Kita pernah sendirian, pernah tinggal satu kerusi, tak ada kerusi langsung, dua penjuru, tiga penjuru. Pengalaman kita banyak.”

“Apa yang penting PAS negeri, kawasan patuh kepada pimpinan pusat,” katanya.

Kenyataan Hadi itu membawa gambaran jelas bahawa PAS tidak memerlukan sebarang pakatan untuk menjamin ‘1 lawan 1’.

Ia boleh berdiri sendirian, malah Muktamar PAS  ke-63 yang berakhir semalam  jelas sekali sudah menghancurkan semua harapan pertandingan 1 lawan 1 antara parti pembangkang dan Barisan Nasional (BN).


Malah Hadi jelas memberikan isyarat akan mengetepikan parti komponen Pakatan Harapan (PH),  dengan menyifatkan mereka kecil berbanding PAS.

Ditanya sama ada PAS akan berbincang dengan PH bagi memastikan pertandingan 1 lawan 1 melawan BN, Hadi berkata perkara itu tidak berbangkit kerana PAS mempunyai asas yang kukuh.
                       
“Kita tidak boleh berbincang atas angin. Kita bukan berniaga atas angin. Kita ada 165 kawasan, kita ada 7,000 cawangan.

“Mereka tidak ada kawasan, tidak ada cawangan. Jadi kita tubuhkan Gagasan Sejahtera,” katanya, merujuk kepada “blok ketiga” yang mereka bentuk bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Jawapan itu sebagai pukulan kepada kepimpinan PH, terutamanya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR, yang menggesa PAS supaya berganding dengan pakatan pembangkang itu bagi memastikan pertandingan 1 lawan 1 melawan BN, kerana percaya pertandingan pelbagai penjuru hanya beri kelebihan kepada pakatan pemerintah.

Sudah jelas kini bagi PAS, bahawa  selain UMNO, parti pembangkang lain tidak setaraf dengannya kerana lebih kecil dari segi kawasan mereka dengan cawangan yang terlalu sedikit.

Berikutan itu PAS tidak sanggup dan tidak lagi mahu digunakan sebagai batu loncatan kepada mana-mana parti atau individu, bahkan di dalam partinya, individu seperti itu sudah dipecat atau meninggalkan parti atas kehendak sendiri.

Sebaliknya penghargaan diberikan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) bererti PAS terbuka kepada kerjasama dan  konsisten untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam soal kebajikan rakyat dan akan menentang mana-mana pihak dalam perkara yang bertentangan dengan Islam.

Hadi berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana memberikan laluan kepada PAS membentangkan usul dan berkata mereka tidak akan melupakan kerjasama itu.


Berikutan itu, PAS akan meneruskan agenda memartabatkan Islam, termasuk mendesak pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Hadi memberi contoh, dalam Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 PAS bangkang kerana tidak sesuai dengan realiti masyarakat di Malaysia.

Selain isu besar atau kecilnya parti  Hadi turut merujuk kepada sejarah kegagalan hubungannya dengan parti politik lain.

Menurut Hadi, sejarah membuktikan PAS sudah mematuhi syarat menghormati dasar parti rakan, tetapi parti lain yang menjadi pemula terputusnya kerjasama.

“Yang pecat PAS dari BN ialah Umno, bukan PAS keluar. Termasuk Semangat 46, ia singkirkan diri. Termasuk DAP tahun 2000 iaitu Barisan Alternatif, DAP yang keluar. Termasuk yang terakhir, DAP yang pecat PAS dengan tidak ada undang-undang. Bukan kita keluar, tidak,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan Muktamar ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut semalam.

Pilihan raya umum 1974 menyaksikan PAS bertanding di bawah bendera BN buat pertama kali dan kali terakhir. Konflik antara presiden PAS ketika itu, Tan Sri Asri Muda dan ketua menteri Kelantan Datuk Muhammad Nasir membawa kepada perpecahan dalam kerajaan gabungan di Kelantan, dan terkeluarnya PAS dari BN pada 1977.

Hubungan PAS dan DAP sewaktu dalam Barisana Alternatif dan Pakatan Rakyat terputus akibat pertelagahan antara lain mengenai pelaksanaan undang-undang Islam.


Terbaru, Majlis Syura Ulama PAS bakal menentukan nasib kerjasama antara parti itu dan PKR, selepas muktamar meluluskan usul memutuskan “tahaluf siyasi” dengan parti reformasi itu.


Hadi menegaskan, PAS ketika bekerjasama pembangkang lain, tidak sentuh dasar parti lain dan itu sikap[ PAS.”Itu sikap kita. Bila orang lain sentuh dasar, itu sudah langgar sempadan,” katanya.