Tuesday, May 2, 2017

'1 Lawan 1' Sudah Mati, Hadi Perkecilkan Parti Pembangkang Lain


PAS tidak pernah gentar berdepan situasi pertandingan walau berapa penjuru pun.

Ia mampu bertanding sendirian dan bukan sesuatu yang baru baginya berdepan situasi sedemikan.

PAS serik dijadikan batu loncatan, apa lagi parti pembangkang lain kecil bernanding dengan PAS dari segi kawasan dan cawangan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan semalam parti itu pernah hadapi segala kemungkinan kerana sejarah politiknya panjang lebih dari orang lain.

“Kita pernah sendirian, pernah tinggal satu kerusi, tak ada kerusi langsung, dua penjuru, tiga penjuru. Pengalaman kita banyak.”

“Apa yang penting PAS negeri, kawasan patuh kepada pimpinan pusat,” katanya.

Kenyataan Hadi itu membawa gambaran jelas bahawa PAS tidak memerlukan sebarang pakatan untuk menjamin ‘1 lawan 1’.

Ia boleh berdiri sendirian, malah Muktamar PAS  ke-63 yang berakhir semalam  jelas sekali sudah menghancurkan semua harapan pertandingan 1 lawan 1 antara parti pembangkang dan Barisan Nasional (BN).


Malah Hadi jelas memberikan isyarat akan mengetepikan parti komponen Pakatan Harapan (PH),  dengan menyifatkan mereka kecil berbanding PAS.

Ditanya sama ada PAS akan berbincang dengan PH bagi memastikan pertandingan 1 lawan 1 melawan BN, Hadi berkata perkara itu tidak berbangkit kerana PAS mempunyai asas yang kukuh.
                       
“Kita tidak boleh berbincang atas angin. Kita bukan berniaga atas angin. Kita ada 165 kawasan, kita ada 7,000 cawangan.

“Mereka tidak ada kawasan, tidak ada cawangan. Jadi kita tubuhkan Gagasan Sejahtera,” katanya, merujuk kepada “blok ketiga” yang mereka bentuk bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Jawapan itu sebagai pukulan kepada kepimpinan PH, terutamanya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR, yang menggesa PAS supaya berganding dengan pakatan pembangkang itu bagi memastikan pertandingan 1 lawan 1 melawan BN, kerana percaya pertandingan pelbagai penjuru hanya beri kelebihan kepada pakatan pemerintah.

Sudah jelas kini bagi PAS, bahawa  selain UMNO, parti pembangkang lain tidak setaraf dengannya kerana lebih kecil dari segi kawasan mereka dengan cawangan yang terlalu sedikit.

Berikutan itu PAS tidak sanggup dan tidak lagi mahu digunakan sebagai batu loncatan kepada mana-mana parti atau individu, bahkan di dalam partinya, individu seperti itu sudah dipecat atau meninggalkan parti atas kehendak sendiri.

Sebaliknya penghargaan diberikan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) bererti PAS terbuka kepada kerjasama dan  konsisten untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam soal kebajikan rakyat dan akan menentang mana-mana pihak dalam perkara yang bertentangan dengan Islam.

Hadi berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana memberikan laluan kepada PAS membentangkan usul dan berkata mereka tidak akan melupakan kerjasama itu.


Berikutan itu, PAS akan meneruskan agenda memartabatkan Islam, termasuk mendesak pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Hadi memberi contoh, dalam Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 PAS bangkang kerana tidak sesuai dengan realiti masyarakat di Malaysia.

Selain isu besar atau kecilnya parti  Hadi turut merujuk kepada sejarah kegagalan hubungannya dengan parti politik lain.

Menurut Hadi, sejarah membuktikan PAS sudah mematuhi syarat menghormati dasar parti rakan, tetapi parti lain yang menjadi pemula terputusnya kerjasama.

“Yang pecat PAS dari BN ialah Umno, bukan PAS keluar. Termasuk Semangat 46, ia singkirkan diri. Termasuk DAP tahun 2000 iaitu Barisan Alternatif, DAP yang keluar. Termasuk yang terakhir, DAP yang pecat PAS dengan tidak ada undang-undang. Bukan kita keluar, tidak,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan Muktamar ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut semalam.

Pilihan raya umum 1974 menyaksikan PAS bertanding di bawah bendera BN buat pertama kali dan kali terakhir. Konflik antara presiden PAS ketika itu, Tan Sri Asri Muda dan ketua menteri Kelantan Datuk Muhammad Nasir membawa kepada perpecahan dalam kerajaan gabungan di Kelantan, dan terkeluarnya PAS dari BN pada 1977.

Hubungan PAS dan DAP sewaktu dalam Barisana Alternatif dan Pakatan Rakyat terputus akibat pertelagahan antara lain mengenai pelaksanaan undang-undang Islam.


Terbaru, Majlis Syura Ulama PAS bakal menentukan nasib kerjasama antara parti itu dan PKR, selepas muktamar meluluskan usul memutuskan “tahaluf siyasi” dengan parti reformasi itu.


Hadi menegaskan, PAS ketika bekerjasama pembangkang lain, tidak sentuh dasar parti lain dan itu sikap[ PAS.”Itu sikap kita. Bila orang lain sentuh dasar, itu sudah langgar sempadan,” katanya.

No comments: