Jangan kerana A Kadir Jasin kini bergerak dengan Parti
Pribumni Bersatu Malaysia (PPBM) maka apa yang ditulisnya seolah-olah
membangkang membabi buta.
Sebagai wartawan dan pengarang berpengalaman, beliau
dapat membezakan antara fakta yang betul dan yang diputar-belitkan untuk
memburukkan negara.
Apakah apabila seseorang berada di pihak pembangkang maka
pandangannya buruk dan sewel belaka?
Yang menyokong kerajaan itu semuanya benar dan tidak ada
yang tidak benar dan menyembunyi atau menyelewengkan fakta?
A Kadir melihat Malaysia dalam perspektif perkembangan ekonomi
negara dengan merujuk kepada laporan Bank Dunia yang mengatakan: “Dalam laporan
terbarunya Bank Dunia berkata, daripada 15 negara Asia yang ekonominya
dianalisis, Malaysia adalah di antara beberapa buah negara yang ekonominya
dijangka meruncing.
Ia meramalkan bahawa dalam keadaan yang sedang berlaku
sekarang, ekonomi Malaysia tahun hadapan (2018) dijangka berkembang pada kadar
lima peratus sahaja dan akan menguncup menjadi 4.8 peratus pada tahun 2019.”
Apakah A Kadir mereka-reka cerita?
Atau apakah A Kadir bagai seorang yang bersifat belatuk
atau burung kakak tua yang hanya mengangguk atau mengulangi kata-kata memuji
sahaja mengenai ekonomi Malaysia dan kepimpinan Najib Razak seperti ulasan oleh
Salleh Said Keruak atau Annuar Musa?
Malah, kata A Kadir, ‘dalam apa pun tindakan ketua-ketua
Umno/Barisan Nasional dan jentera diayah mereka, yang termasuk laskar siber K9,
unsur putar-belit sentiasa ada dan amat jelas.’
A Kadir mempunyai sebab apabila mengatakan “kerajaan
UMNO/BN nampaknya tidak mampu dan tidak bersedia untuk berterus terang dengan
rakyat jelata bahawa ekonomi negara sedang mengalami masalah sistemik.”
A Kadir berhujah, kejatuhan harga minyak mentah,
ketidakpercayaan terhadap kerajaan akibat skandal 1MDB dan hutang negara yang
melambung menyebabkan nilai ringgit jatuh.
Kejatuhan nilai ringgit secara automatik menyebabkan kos
mengimport makanan dan ubat-ubatan naik. Ini menyebabkan harga makanan dan
ubat-ubatan melambung.
Seterusnya A Kadir menempelak kerajaan dengen mengatakan,
“Kalau ini tidak cukup membebankan, pengguna dikenakan pula Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST). GST dilaksanakan bagi menampung kekurangan hasil kerajaan
akibat kejatuhan harga minyak mentah.”
Beliau memberi amaran, putaran ganas ini akan berterusan
selagi kepercayaan pelabur dan pengguna tidak dipulihkan.
Keadaan kini ialah, Malaysia bukan sahaja mengalami
masalah defisit belanjawan yang serius tetapi juga defisit kebolehpercayaan
terhadap kerajaan yang teruk, demikian tegas A Kadir.
A Kadir seterusnya berhujah:
“Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
mengherdik pembangkang dan pengkritik kononnya mensabotaj ekonomi negara.
Menteri Kewangan itu mendakwa ekonomi negara kukuh,
berkembang pesat dan asasnya kuat.
Tiupan sumbang trompet beliau itu berlaku pada saat-saat
kehidupan rakyat jelata semakin terhimpit dan petanda-petanda harian
menunjukkan ekonomi negara semakin meruncing dan kewangan kerajaan semakin
longlai.
Menteri kabinet beliau sendiri bercakap mengenai
pembinaan hospital kerajaan “sakit”, bekalan ubat di hospital kerajaan yang
sering terputus dan pesakit yang dulu mampu berubat di klinik dan hospital
swasta kini berpusu-pusu ke klinik dan hospital awam.
Najib seronok umpama budak-budak dapat aiskrim apabila
ekonomi negara pada suku kedua tahun ini tumbuh 5.8 peratus dan agensi-agensi
penarafan memberi markah yang baik kepada ekonomi Malaysia.
Tetapi seperti Sang Kelembai yang celopar mulutnya, puja
dan puji Najib segera bertukar menjadi mimpi ngeri. Bank Dunia yang baru-baru
ini memuji Malaysia kini memberi amaran bahawa ekonomi Malaysia sebenarnya
semakin lemah.
Dijangka meruncing
Dalam laporan terbarunya Bank Dunia berkata, daripada 15
negara Asia yang ekonominya dianalisis, Malaysia adalah di antara beberapa buah
negara yang ekonominya dijangka meruncing.
Ia meramalkan bahawa dalam keadaan yang sedang berlaku
sekarang, ekonomi Malaysia tahun hadapan (2018) dijangka berkembang pada kadar
lima peratus sahaja dan akan menguncup menjadi 4.8 peratus pada tahun 2019.
Harga komoditi yang tidak menentu, ketidaktentuan dasar
ekonomi negara besar dan ketegangan antarabangsa adalah antara faktor yang
melemahkan ekonomi Malaysia.
Bank Dunia berkata, manakala ekonomi negara Asia yang
lain berkembang pesat, ekonomi Malaysia merosot kerana ia gagal menyesuaikan
diri dengan suasana ekonomi dunia dan tempatan.
Laporan itu secara khusus menyebut mengenai masalah
hutang isu rumah Malaysia yang terlalu tinggi, iaitu melebihi 70 peratus
Keluaran Dalam Negara Kasar.
Itulah realiti zaman Najib. Kerajaan berhutang kerana
wang negara diboroskan. Rakyat jelata berhutang kerana pendapatan kais pagi
makan pagi dimakan pula oleh GST, kejatuhan nilai ringgit dan inflasi.
Merata-rata kita dengar cerita hospital kerajaan
ketiadaan atau kehabisan ubat. Rakyat jelata disuruh beli di luar dengan janji
dibayar balik kemudian nanti.
Nampaknya kita sudah sampai ke peringkat di mana bukan
sahaja kerajaan berhutang daripada China, tetapi juga daripada rakyat jelata.
Najib dan para pendiayah beliau akan terus membuat
tipu-helah, tetapi sampai bila rakyat jelata akan terus menderita?
Kalau naratif daripada institusi bebas macam Bank Negara
pun tidak konsisten lagi, sukarlah kita mempercayai bahawa perangkaan ekonomi
kita adalah benar dan betul.
Hutang luar negara
Kita sering dimaklumkan oleh Bank Negara yang rizab
antarabangsa kita tinggi sehingga mampu membiayai beberapa bulan import kekal.
Misalnya, sehingga 29 September lepas rizab antarabangsa
Bank Negara naik kepada AS$101.2 bilion (bersamaan RM427.7 bilion). Jumlah ini
mencukupi untuk membiayai 7.6 bulan import kekal.
Selama ini kita membandingkan kadar rizab dengan jumlah
import kita. Tetapi kini kita diberitahu yang rizab itu juga dikaitkan dengan
hutang jangka pendek luar negara.
Walaupun kadar tukaran ringgit naik 5.8 peratus sehingga
3 Oktober tahun ini, laporan Bank Dunia itu berkata Malaysia terus terdedah
kepada risiko mata wang yang lebih tinggi berbanding negara-negara membangun
lain di Asia Timur dan Pasifik. Indonesia dan Thailand turut menghadapi risiko
yang serupa, tetapi tidak seteruk Malaysia.
Berkenaan rizab antarabangsa, Bank Dunia mendapati
syarikat dan bank di Malaysia mempunyai hutang luar yang besar, tetapi rizab
antarabangsa nampaknya mencukupi untuk menampung hutang itu.
Jadi adakah ini bermakna rizab antarabangsa kita bukan
sahaja untuk menampung kos import, tetapi juga untuk membayar hutang luar?
Mana lebih utama?
Kalau begitu, dalam suasana krisis di mana hutang menjadi
masalah, yang mana akan lebih diutamakan kerajaan – mengimport barang-barang,
khususnya makanan, atau membayar hutang luar?
Pengalaman negara-negara yang mengalami krisis kewangan
mendapati pembayaran hutang luar lebih utama daripada pengimportan
barang-barang.
Ambil Greece sebagai contoh. Ketika krisis ekonominya
memuncak pada tahun 2013, sehingga 90 peratus rakyat miskinnya bergantung
kepada bantuan makanan kerana Greeca tidak mampu mengimport manakan dan
harganya melambung. Sampai hari ini pun jualan makanan masih merosot.
(Sumber - Malaysiakini)
No comments:
Post a Comment