Saturday, July 2, 2016

Apakah USNO Baru Menjadi Saingan Kepada UMNO, PBS Di Sabah?


Najib Presiden UMNO yang digantung jawatannya, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal mediamkan diri sejak pulang menunaikan umrah.

Mulanya ramai yang meramalkan beliau akan menyatakan pendirian, apa lagi selepas sedikit kucar kacir di Bahagian Semporna selepas berita mengatakan beberapa ahli jawatan kuasa Bahagian UMNO itu meletakkan jawatan.

Ada laporan mengatakan UMNO Semporna lumpuh selepas lebih 00 ahli UMNO Bahagian itu bertindak keluar parti 27 Jun lalu.

Penggantungan Shafie dikatakan akan membawa kesan ‘domino’  (berjangkit dari satu kawasan ke satu kawasan lain) hasil daripada bantahan bermula di Semporna dan ke beberapa bahagian lain seperti Kinabatangan, Beluran, Silam, Kalabakan, Batu Sapi dan juga mungkin Kudat.

Walaupun ketika ini kemarahan  dan rasa tidak puas hati itu bagaikan ‘api dalam sekam’ namun, ketika ini dikatakan sekurang-kurangnya 10 Dewan Undangan Negeri di empat atau lima Bahagian UMNO di bahagian timur Sabah sedang bergolak.

Menurut sumber,  kebanyakan pemimpin yang setia dan menyanjung sumbangan Shafie selama ini hanya menunggi kenyataan dan strategi bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah itu.

Shafie tunjuk muka di PRK Sungai Besar.
Mereka menghargai Shafie yang berjasa kepada UMNO Sabah kerana sumbangannya kepada parti itu ketika mula bertapak atau mendarat di Negeri Bawah Bayu itu.

Shafie bergerak awal melalui Pemuda UMNO sehinggalah ke jawatannya terakhir – Naib Presiden UMNO - Penggantungan jawatan Naib Presiden itu dianggap membelakangkan kepercayaan ahli dan melupakan terus jasa beliau.

Shafie hanya menegur dan bukan membawa perbuatan yang boleh merosakkan UMNO. Namun kini, apakah itu balasan yang diberikan terhadap jasa dan usaha jerihnya membangunkan UMNO di Sabah?

Dan apa pula sumbangan besar pemimpin yang ‘dibelai’ oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak terhadap pemimpin baru UMNO Sabah, seperti Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan yang lain, sehinggakan melupakan jasa besar Shafie itu?

Shafie mungkin sedang menunggu waktu sesuai atau mengatur strateginya. Dia boleh kembali semula kepada UMNO jika Majlis Tertinggi ‘mengampunkannya’. Dia perlu merayu, sama ada jalan depan atau jalan belakang.

Namun apakah yang ‘masam’ itu akan bertukar manis? Isunya ialah apakah Shafie akan memilih ‘rakan seperjuangan’ selama ini iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz dan kumpulan anti-Najib atau nuat 'U-Turn' kembali kepada UMNO.

Apakah beliau rela untuk ‘dicemuh dan karier politikknyadibunuh’ selepas ini?
  
Yang nyata, kesan segera penggantungan Shafie itu ialah selepas Semporna, UMNO Bahagian Kinabatangan turut  berdepan masalah apabila lebih 100 Ketua Cawangan UMNO bahagian itu didakwa meletak jawatan dan keluar parti di Sandakan.

Sebahagian ahli UMNO Kinabatangan yang protes.
Wakil Ketua Cawangan UMNO Kinabatangan, Mahmod Hasan dilaporkan berkata, mereka mengambil tindakan itu kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang menggantung keahlian dan jawatan Shafie.

Mahmod turut mendakwa akan lebih ramai ketua cawangan dan ahli keluar UMNO dalam tempoh terdekat.

Laporan media dalam talian pada 27 Jun lalu menyebut, UMNO Bahagian Semporna pada hari berkenaan  dibubarkan dengan peletakan jawatan beramai-ramai pemimpin kawasan tersebut sebagai bantahan terhadap keputusan Majlis Tertinggi yang menggantung keahlian Shafie sementara menunggu laporan Lembaga Disiplin Jumaat minggu lalu.

Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Samporna, Datu Eranza Datu Saribu turut mengumumkan peletakan jawatannya.

Bagaimanapun, sehari selepas itu,  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Datuk Ramlee Marhaban menafikan UMNO Bahagian Semporna lumpuh selepas berlaku krisis peletakan jawatan Naib Ketua Bahagiannya, Datuk Dr Jaujan Sambakong bersama beberapa ahli jawatankuasa (AJK) dan ketua cawangan di bahagian itu.

Datuk Dr Jaujan umumkan keluar UMNO.
Katanya, kedudukan UMNO bahagian itu masih kuat dan berfungsi kerana ramai lagi AJK dan pemimpin serta ketua cawangan setia bersama parti.

Ketua Puteri UMNO Bahagian itu, Zakiah Kalipunya menafikan dakwaan bahawa beliau turut mengambil tindakan keluar parti sebaliknya memilih untuk setia dalam UMNO dan meneruskan wadah perjuangan sehingga tamat tempoh penggal.

Zakiah turut menegaskan bahawa beliau masih lagi sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO di bahagian itu.

Kata Ramlee, kalaupun ada yang keluar,  mungkin jumlahnya hanya kira-kira 50 orang. Malah ada yang hadir dalam majlis itu terkejut apabila dibuat pengumuman keluar parti kerana mereka hadir sebagai memenuhi undangan majlis berbuka puasa, katanya.

“Buat masa ini, Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Nasir Sakaran akan memangku jawatan Ketua Bahagian, manakala tindakan terhadap Jaujan dan AJK yang terbabit diserahkan kepada kepemimpinan UMNO peringkat Pusat dan negeri.

Memandangkan Jaujan juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, kita serahkan kepada Speaker DUN, Datuk Syed Abas Syed Ali untuk menentukan kedudukannya sama ada bebas atau pembangkang,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin pula menafikan lebih 100 ahlinya keluar parti. Menurutnya, barisan kepimpinan UMNO Sabah mempunyai hubungan yang kuat dengan ahli di peringkat akar umbi.

Menurut seorang ahli yang mahu dikenali sebagai Aksyah, UMNO Bahagian Kinabatangan mempunyai kira-kira 23,400 ahli dan jika hanya 100 yang keluar parti semalam. Ia langsung tidak menjejaskan parti.

Menurut Aksyah, UMNO Bahagian itu langsung tidak goyang dan apa yang dilaporkan dalam media semalam adalah dakwaan tidak berasas serta bukan gambaran sebenar UMNO Kinabatangan.

Walaupun nampak Shafie bersaorangan, jangan perkecilkan pengaruh dan strategi politikknya.

Shafie mungkin tidak memilih memasuki parti pembangkang tetapi beliau tetap boleh bergerak bersama pembangkang.

Bagaimana? Shafie boleh memilih untuk menghidupkan semula USNO yang masih melekat di jiwa kebanyakan pemimpin Bumiputera dan Islam di Sabah.

Yang merasakan tidak lagi selesa dengan UMNO, atau mereka akan disisihkan dari UMNO sudah mula boleh memikirkan gerakan baru melalui USNO.

Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu, atau  United Sabah National Organisation(USNO) adalah  diasaskan oleh bekas Ketua Menteri Sabah ketiga, Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Parti itu pernah memerintah selepas memenangi pilihanraya negeri 1967. USNO kekal berkuasa sehingga 1975 di bawah kepimpinan Tun Mustapha, dan sehingga 1976 di bawah Tun Mohamed Said Keruak.

Kemasukan UMNO ke Sabah adalah sumbangan besar USNO kerana pada 1990, USNO bergabung dengan BERJAYA untuk membawa UMNO melebarkan sayap ke Sabah.

Tun Mustapha sendiri menjadi pengerusi pertama UMNO Sabah setelah USNO dibubarkan untuk bergabung dengan UMNO pada tahun 1991.

Asas USNO sudah ada dan kini jika ia menjadi USNO ‘baru’, sudah ada penyokong kepada gerakan ini kerana perbincangan mengenainya cukup rancak pada 2014 lalu.

Malah ada yang begitu yakin USNO (baru) akan dapat menyaingi UMNO di Sabah.

Apakah Shafie akan menggerakkan parti dan kumpulan ini sebagai agenda baru politik di Sabah selepas UMNO bertapak lebih 25 tahun lalu?

No comments: