Tuesday, July 19, 2016

Pelajar Sarjana Beri 20 Sebab Najib Tak Layak Jadi PM (Versi 2)


(Pelajar Ijazah Sarjana Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia).

Untuk artikel ‘20 Sebab Najib Tidak Layak Menjadi PM’sebelum ini, di sini dinyatakan penjelasannya.

Pertama, kepada sesiapa yang mengatakan pelajar universiti tidak patut mengeluarkan pendapat, anda adalah orang yang menyokong kepada matinya demokrasi di Malaysia.

Kedua, ada yang mengatakan layak atau tidak, Najib sudah jadi PM Malaysia. Ya, memang benar Najib PM Malaysia. Persoalannya, adakah Najib masih dikatakan layak menjadi PM walaupun 20 sebab umum ini masih tidak dapat dijawab dengan benar hingga kini?
  
Ketiga, timbul persoalan adakah dengan hanya 20 sebab ini sahaja beliau terus dilabel tidak layak menjadi PM Malaysia? Sebaiknya, kita perlu melihat apa yang tersirat di sebalik 20 sebab ini.

Derida (1960) sarjana dari Perancis pernah mengatakan sesuatu idea itu perlu kita lihat apa yang tersirat di sebaliknya, bukan sekadar melihat teks semata-mata.

Daripada 20 sebab ini, kita boleh rangkumkan kepada 6 akar utama mengapa beliau dikatakan tidak layak menjadi PM Malaysia iaitu 1. Menyingkirkan orang yang ingin mengetahui kebenaran (sebab 2, 5, 13, 17, dan 18), 2. Najib tidak boleh ditegur (sebab 1, 6, 8, 9 dan 11), 3. Lemah pengurusan kewangan (sebab 3, 10, 14, 15, dan 19), 4. Kedudukan sebagai pemimpin Islam (sebab 4), 5. Lemah dalam mempertahankan hak negara (sebab 7, 12 dan 16) dan 6. Sokongan rakyat semakin menurun (sebab 20).


Bagi isu menyingkirkan orang yang ingin mengetahui kebenaran, adakah dengan sebab ini beliau terus dilabel tidak layak menjadi PM Malaysia? Ya kerana ia melibatkan integriti seorang pemimpin.

Misalnya beliau menyingkir pihak-pihak yang ingin melakukan penyiasatan terhadap 1MDB.
Jika benar, apa yang perlu ditakutkan? Adakah layak beliau menjadi PM jika pihak yang ingin menyiasat kepincangan yang berlaku disingkirkan?

Seharusnya seorang ketua yang baik dan berintegriti mesti berani disoal siasat dan mampu mengemukakan bukti yang kukuh jika berada pada pihak yang benar (Mahathir 2016).

Bagi isu Najib tidak boleh ditegur, persoalan yang timbul adakah dengan sebab ini beliau terus dilabel tidak layak menjadi PM Malaysia? Jawapannya adalah ya kerana jika sikap ini berterusan, sebuah pasukan akan musnah dengan sikap sebegini.

Prof Dr Muhaya (2015) menyatakan untuk menjadi seorang ketua yang baik, seharusnya ketua boleh ditegur oleh orang bawahan. Jika tidak boleh ditegur, akan muncul menteri-menteri di bawah PM yang hanya angguk sahaja walaupun PM buat salah.

Pada akhirnya, akan muncul budaya ‘mengampu, membodek, dan yes man’ yang akan merosak pemimpin hingga ke akar umbi.

Bagi isu lemah pengurusan kewangan, kita dapat melihat ketidakcekapan Najib dalam menguruskan hal ehwal kewangan dalam pentadbirannya.


Misalnya, beliau menjanjikan harga barangan akan turun selepas GST dilaksanakan. Malangnya perkara ini tidak berlaku.

Harga barangan juga naik mendadak sehingga membebankan rakyat. Malah cukai ini dikenakan kepada semua golongan termasuk golongan berpendapatan rendah dan miskin.

 Adakah layak beliau menjadi PM jika golongan sebegini juga dikenakan cukai? Dari laporanThe Economist, hutang luar negara Malaysia juga telah meningkat tiga kali ganda, iaitu 196 bilion pada 2014 meningkat kepada 740 bilion pada 2015 (The Economist Intelligence Unit 2015).

Bagi isu lemah dalam mempertahankan hak negara, sewajarnya Najib tidak perlu takut dengan kuasa luar demi kepentingan rakyat. Bagi sebuah negara merdeka, tunduk kepada kuasa luar melambangkan kita masih belum merdeka dalam erti kata yang sebenar.

Bagi isu sokongan rakyat semakin menurun pula, pilihan raya adalah medium terbaik untuk melihat sokongan daripada rakyat. Setelah melihat sokongan rakyat terhadap beliau menurun pada PRU 13, rakyat mengharapkan beliau berubah.

Malangnya, perkara ini tidak berlaku. Tidak akan wujud lebih 300 ribu individu dalam BERSIH di seluruh dunia menentang beliau sekiranya kepimpinannya ditadbir dengan baik (Ahmad Athory Hussain 2009).

Daripada kelima-lima isu di atas, John C Maxwell (2006) pakar kepimpinan dunia menyatakan adalah tidak layak seseorang menjadi ketua tertinggi apabila menyingkirkan orang yang ingin mengetahui kebenaran, tidak boleh ditegur, lemah pengurusan kewangan, lemah mempertahankan hak institusi/negara yang dipimpin dan kurang mendapat sokongan daripada orang bawahan.


Bagi isu kedudukan sebagai pemimpin Islam, memetik kata-kata Datuk Kazim Elias (2012), beliau secara terus terang menegur Rosmah kerana tidak bertudung. Bagi beliau, ini bukan isu peribadi kerana ianya melambangkan imej beliau sebagai pemimpin Islam.

Sebagai pemimpin Islam, jika isteri tidak dipimpin dengan baik mengikut Islam, bagaimana pula dengan rakyat di bawahnya?

Hujah ini selaras dengan hadis nabi yang berbunyi, "Sebaik-baik kamu adalah orang yang terbaik kepada ahli keluarganya” (Riwayat Ibnu Majah).

Keempat, ada pihak yang mengatakan beliau banyak memberi kebaikan kepada rakyat dan kebaikan tersebut boleh menutup 20 sebab umum ini.

Sekiranya ada seorang individu selalu memberi derma kepada orang ramai setiap seorang RM500, dalam masa yang sama beliau juga mengutip cukai daripada rakyat yang miskin, adakah individu ini seorang manusia yang berintegriti?

Ustaz Zaharuddin dan Dr Maza (2015) juga menyatakan cukai adalah haram dikenakan kepada orang miskin kerana melambangkan tindakan pemimpin yang tidak berintegriti dan membebankan rakyat.


Di akhir analisis, sekiranya 20 sebab umum ini masih tidak dapat dijawab dengan benar, adakah beliau layak memegang jawatan sebagai PM Malaysia?

No comments: