Sunday, July 10, 2016

Pemberian RM500 Kepada Penoreh, Pekebun Kecil - Hanya Janji Palsu PRK?


Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar Pas (Latas) mendakwa, selepas hampir sebulan diumumkan pemberian bantuan khas (one off RM500) kepada penoreh dan pekebun kecil getah kerajaan sehingga kini ternyata masih gagal melunaskan janji itu.

Pengerusi Latas Pas, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, oleh itu benarlah jangkaan pihaknya, sebelum ini bahawa pengumuman pemberian bantuan khas itu, hanyalah bersifat rasuah politik menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang lalu.

"Selain gagal membayar one off RM500 ini,terdapat juga aduan pekebun getah bahawa bantuan tanaman semula getah yang telah diluluskan selepas pemeriksaan juga tidak dibayar oleh Risda. Kerajaan juga masih gagal membayar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) melalui LGM selepas 7 bulan tuntutan dibuat oleh penoreh," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini
 
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, Pengerusi Risda yang juga Ahli Parlimen Padang Besar (BN) Datuk Zahidi Zainul Abidin memaklumkan dalam akhbar semalam bahawa Risda sedang mencari jalan penyelesaian akibat kelewatan ini.

Ia berlaku kerana masalah dalam tuntutan one off antara pekebun dan penoreh getah.

Katanya lagi, Risda memiliki rekod berhubung hal itu kerana bayaran seumpama ini pernah dilakukan pada tahun 2014. Risda juga memiliki data-data daripada bancian yang dijalankan tahun yang sama.

"Tuduhan yang dibuat kepada penoreh ini sangat serius, seolah-olah pihak kerajaan sentiasa betul, cekap dan efisien - rakyat yang menjadi penoreh sentiasa bermasalah dan tidak jujur," ujarnya.

Katanya oleh itu, Latas mendesak pihak kerajaan segera melunaskan janji pembayaran tersebut kepada penoreh tanpa sebarang dalih dan alasan lagi.

Semalam Zahidi menjelaskan isda sedang menyelesaikan masalah yang dihadapi segelintir pekebun dan penoreh getah berhubung pembayaran insentif khas secara one off yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Bayaran berkenaan perlu melalui proses saringan tertentu yang melibatkan antara penoreh dan pekebun getah.


"Kita sedang perketatkan prosuder kerana ada kes dilaporkan penoreh telah mendaftar di beberapa lokasi bagi membolehkan mereka mendapat lebih daripada peruntukkan yang diberikan kerajaan.

"Ada juga kes penoreh dapat, tetapi pekebun pula tidak dapat. Sebab itu kita perlukan memperhalusi dan memperketatkan prosuder agar semua mendapat hak masing-masing secepat mungkin," katanya ketika ditemui Sinar Online di pejabatnya, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian apabila ada kumpulan tertentu mendakwa bayaran mereka tidak diterima lagi selepas diumumkan Najib.

Dalam majlis 20 Jun lalu, Najib mengumumkan pembayaran akan dibuat kepada 32,238 pekebun kecil Risda, antaranya pemberian durian runtuh dividen bernilai RM151.1 juta.

Agihan dividen itu berjumlah RM43.9 juta kepada sebanyak 16,080 peserta Rancangan Tanah Baru Kelompok (RTBB) dan RM107.2 juta kepada 16,158 peserta Tanam Semula Komersial (TSK).

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan agar semua pekebun dan penoreh agar terus mendaftarkan diri kepada Risda agar melayakkan mereka mendapat bantuan kerajaan.
"Walaupun ada dokumen tidak cukup atau tidak lengkap, daftar juga.

"Kita akan cuba bantu apa yang sepatutnya hingga mereka layak menerima pembayaran," katanya.
Bagaimanapun jelas Zahidi, penoreh yang bekerja atau mengambil upah daripada ladang Risda tidak layak mendapatkan bayaran ini.

"Tetapi terdapat 17 estet yang berdaftar dengan Risda, jadi mereka layak memohon bayaran SES melalui majikan," katanya.

Mengulas isu di Kedah pula yang mengatakan terdapat pekebun dan penoreh yang masih belum menerima bayaran intensif.

Zahidi berkata, pembayaran di Kedah terpaksa diberhentikan seketika kerana terdapat masalah yang sedang diselesaikan dalam masa terdekat.

No comments: