Wednesday, July 13, 2016

Dr Puad Zarkashi - Muhyiddin Bohong, Ezam Tak Baca Sepenuhnya Laporan PAC


Tahniah Datuk Dr Mohd Fuad Zarkashi kerana berani memperkatakan 'yang benar' dan menjadi jurucakap kerajaan dan syarikat pelabuan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada ketika pemimpin lain berdiam diri, anda berani bangkit mempertahankan sesiapa juga yang 'diserang' berkaitan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.

Ketua Pengarah JASA itu bagai menyifatkan  Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, bekas Timbalan Perdana Menteri tu, 'apa yang dia tahu?'

Selain menunjukkan 'kebodohannya' dia BERBOHONG pulak tu...

Entah-entah dia tidak baca keseluruhan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi pandai-pandai buat rumusan, demikian Puad berpendapat.

Petik sana petik sini, dia mahu supaya Laporan Ketua Audit Negara ditarik balik sekatan melalui Akta Rahsia Rasmi (OSA).


Muhyiddin sengaja menyalahkan Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak dalam soal klasifikasi laporan sedangkan tindakan mengklasifikasikannya adalah di atas permintaan Ketua Audit Negara sendiri.

Patutlah Najib pecat Muhyiddin sebagai timbalannya kerana perkara kecil sebegini pun dia tidak tahu!!!

Begitu juga dengan Mohamad Ezam Mohd Nor. Beliau dibayar gaji begitu mahal untuk 'duduk' di Kementerian Kewangan tetapi turut meminta OSA itu ditarik balik.

Bekas senator UMNO ini tidak layak mengkritik pengelasan laporan ketua audit negara berkaitan 1MDB bawah OSA.

“Guna pakai OSA dalam laporan 1MDB jelas salah dan perlu diperbetul,” katanya di Twitter yang dilihat bersependapat dengan Muhyiddin.

Tidak wajar membuat desakan dengan mengatakan Perdana Menteri tidak menepati janji. 

"Untuk pengetahuan Muhyiddin dan Ezam, fakta-fakta inilah yang digunakan dan dimasukkan di dalam laporan PAC. Silalah baca semula laporan PAC tersebut," demikian kata Puad.

Desakan itu dibuat atas alasan 'status sulit 1MDB jelas salah' kerana rakyat dapat mengetahui kedudukan sebenar dakwaan penyelewengan wang puluhan bilion ringgit dalam urus niaga 1MDB.

Betullah kata Puad, kedua-duanya tidak faham bahawa sudah terkandung kesimpulan hasil siasatan Jabatan Audit Negara,  selain dapatan dan kesimpulan daripada PAC sendiri.




Menurut Puad, permintaan dan tindakan Jabatan Audit Negara untuk mengklasifikasikan laporan ini sebagai rahsia rasmi adalah kerana terdapat kecenderungan untuk menggunakan dapatan audit ini secara berpilih dan tidak bertanggung jawab.

Katanya, "ia boleh membuka ruang kepada pelbagai spekulasi sedangkan jelas sekali pihak yang membuat spekulasi ini tidak mempunyai autoriti untuk memanggil semua pihak yang terlibat bagi mendapatkan penjelasan sebenar."

Sedikit soalan jer untuk Puad:

Siapa yang mempunyai kecenderungan untuk gunakan dapatan itu? Pembangkang semata-mata atau rakyat yang ingin mengetahui perkara sebenar?

Bagaimana kalau rakyat mendapat dapatan audit itu melalui 'jalan salah' tetapi apa yang didapati itu 'perkara benar', apakah 'perkara benar' itu menjadi salah?

Seperti yang disebut oleh pemimpin pembangkang dan dalam UMNO sendiri seperti Tengku Razaleigh Hamzah, rakyat ramai juga berhak untuk akses kepada maklumat sebenar. Inilah kali pertama dapat audit diOSAkan.

Jika ia 'maklumat benar' bagaimana boleh untuk diputarbelitkan. Kan ada orang seperti Puad untuk 'mencerahkannya'?

Apakah Puad juga di kalangan 'mereka yang takut' kepada bayang-bayang?

Mana lebih afdal, dapatan audit daripada kerajaan atau Sarawak Report? 

Baca kenyataan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berikut untuk mengetahui ulasannya mengenai Muhyiddin dan Ezam.

"Muhyiddin, Ezam tak faham laporan PAC'


Terdapat kemungkinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ezam Mohd Noor tidak membaca secara teliti Laporan Jawatan Kuasa Kira Wang Negara (PAC) bertajuk Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1Malaysia Development Berhad (1MDB) setebal 106 muka surat.

Jika mereka membacanya sekalipun, mungkin mereka tidak memahami kandungannya.

Sekiranya Muhyiddin dan Ezam benar-benar membacanya, pasti kedua-duanya tahu bahawa di dalam Laporan PAC tersebut sudah terkandung kesimpulan hasil siasatan Jabatan Audit Negara (JAN), selain dapatan dan kesimpulan daripada PAC sendiri.

Muhyiddin secara berterusan menyalahkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam soal klasifikasi laporan audit ini. Muhyiddin gagal memahami bahawa ia merupakan permintaan ketua audit negara sendiri.

Perkara ini pernah dinyatakan oleh Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin pada 4 Mac 2016, yang memaklumkan keperluan dan tindakan yang diambil oleh JAN untuk mengklasifikasikan Laporan Akhir Ketua Audit Negara Terhadap Pengauditan 1MDB sebagai dokumen rahsia rasmi.

Dalam kenyataan itu disebut bahawa keputusan Jabatan Audit Negara ini dilakukan berikutan ada maklumat dalam Laporan Interim Terhadap Pengauditan 1MDB yang dibocorkan secara berpilih oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bagi mencetuskan laporan negatif sehingga menjejaskan kredibiliti Jabatan Audit Negara dan PAC.

Muhyiddin berbohong

Muhyiddin juga secara sengaja berbohong dan memutar belit kenyataan berhubung arahan kepada ketua audit negara.

Dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada 4 Mac 2015, jelas disebut bahawa "Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengarahkan ketua audit negara melakukan pengesahan bebas (perkataan yang digunakan "verify") akaun syarikat pembangunan strategik, 1Malaysia Development Berhad, (1MDB).

Laporan ketua audit negara itu kemudiannya akan diserahkan (perkataan yang digunakan "will be passed") kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) parlimen untuk semakan (perkataan yang digunakan "inspection").

Turut disebut bahawa kenyataan media itu dibuat selepas wakil 1MDB dan wakil pengaudit syarikat itu, Deloitte dipanggil memberi penerangan kepada jemaah kabinet pada hari yang sama.

Dinyatakan bahawa wakil 1MDB memberi penerangan berhubung situasi terkini syarikat dan turut memberikan jawapan terhadap pelbagai soalan yang dikemukakan anggota kabinet termasuk oleh perdana menteri dan timbalannya, manakala Deloitte pula memberikan gambaran menyeluruh hubungan dengan 1MDB dan mengesahkan audit akaun syarikat.

Telah dinyatakan dengan jelas dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri sejak hari pertama pengumuman mengenai arahan kepada ketua audit negara dibuat bahawa "laporan ketua audit negara akan diserahkan kepada PAC yang dianggotai oleh ahli parlimen kerajaan dan pembangkang untuk disemak secara telus".

Adakah Muhyiddin gagal memahami bahasa mudah yang digunakan dalam kenyataan tersebut? Di manakah yang disebut bahawa laporan ketua audit negara akan didedahkan kepada umum?

Muhyiddin memetik tulisan dalam blog Najib yang menyebut mengenai "fakta-fakta dari laporan ketua audit negara dan PAC untuk menuduh PM tidak menepati janji. Untuk pengetahuan Muhyiddin dan Ezam, fakta-fakta inilah yang digunakan dan dimasukkan di dalam laporan PAC. Silalah baca semula laporan PAC tersebut.

Penglibatan PAC

Dari segi proses dan prosedur, laporan ketua audit negara berkaitan 1MDB adalah untuk dibentangkan kepada PAC agar laporan tersebut boleh diteliti dan semakan susulan boleh dibuat.

Kenapa PAC dilibatkan? Penglibatan PAC penting kerana ia diberikan autoriti untuk memanggil pihak yang terlibat dalam isu 1MDB ini dan penjelasan konteks sesuatu peristiwa boleh ditanya.
  
PAC juga penting kerana ia boleh memberikan pandangan yang objektif atas sifat dwi-partisannya yang diwakili oleh wakil rakyat kerajaan dan pembangkang. Selepas PAC membuat semakan, mereka juga diberi autoriti untuk mencadangkan tindakan-tindakan susulan yang perlu diambil oleh kerajaan dalam isu 1MDB ini.

Kenapa butiran laporan ketua audit negara tidak wajar didedahkan kepada umum? Seperti yang disebut tadi, permintaan dan tindakan JAN untuk mengklasifikasikan laporan ini sebagai rahsia rasmi adalah kerana terdapat kecenderungan untuk menggunakan dapatan audit ini secara berpilih dan tidak bertanggung jawab.

Cebisan-cebisan daripada laporan ketua audit negara ini boleh diambil secara berpilih tanpa pengetahuan mengenai konteks sebenar cebisan maklumat tadi.

Ia boleh membuka ruang kepada pelbagai spekulasi sedangkan jelas sekali pihak yang membuat spekulasi ini tidak mempunyai autoriti untuk memanggil semua pihak yang terlibat bagi mendapatkan penjelasan sebenar.

Akhirnya isu ini akan dibicarakan tanpa kesudahan dalam mahkamah pendapat umum dan dibicarakan melalui media, sedangkan pihak yang berautoriti dan diwakili oleh wakil rakyat BN dan pembangkang telah membuat semakan dan memberikan pelbagai cadangan kepada kerajaan mengenai tindakan yang perlu diambil bagi menyelesaikan isu yang dihadapi oleh 1MDB.

Rumusan PAC

Rumusan PAC ini boleh dibaca di muka surat 103 hingga 106 laporan tersebut. Antara lain menyebut mengenai kelemahan tadbir urus, kekangan 1MDB dalam melaksanakan peranannya, cadangan-cadangan untuk memperbaiki tadbir urus syarikat dan siasatan susulan terhadap bekas ketua pegawai DB, OSA (CEO) 1MDB.

Apakah tanggung jawab kerajaan selepas PAC mengemukakan laporan dan cadangan? Tanggung jawab kerajaan adalah untuk melaksanakan cadangan-cadangan PAC seperti yang sedang dilaksanakan sekarang, termasuk melakukan siasatan ke atas bekas CEO 1MDB.

Siasatan ini sedang dilakukan oleh pihak PDRM dan tindakan akan diambil jika terdapat pelanggaran undang-undang atau perilaku jenayah.

Kenapa Muhyiddin dan pembangkang mahu dokumen ini dideklasifikasikan?

Mereka sekadar mahu menangguk di air keruh dan ingin polemik 1MDB berterusan serta dibicarakan melalui media, bukan kerana mereka mahu isu 1MDB diselesaikan.

Mereka adalah pihak yang paling rugi jika isu 1MDB dapat diselesaikan.

 MOHD PUAD ZARKASHI  Ahli Majlis Tertinggi UMNO

No comments: