Kini syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) perlu mencari juruaudit baru bagi syarikatnya.
Apakah selepas The Big Three, akan muncul firma audit
keempat terbesar PwC untuk menjadi juruaudit 1MDB? Setakat ini menurut CNBC,
firma itu mengunci mulut sama ada ia sudah memulakan kerja untuk 1MDB atau
berminat mengambil peranan sebagai juruaudit.
Ini berikutan Deloitte sudah menyatakan hasratnya menarik
diri daripada menjalankan kerja sedemikian, terutamanya selepas Jabatan
Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat pada 20
Julai lalu mengemukakan dua saman sivil untuk menyita pelbagai aset dan harta
tanah bernilai lebih AS$1 bilion.
DOJ mendakwa wang diperoleh aset dan harta itu adalah melalui
wang (1MDB) yang diselewengkan.
Ada laporan
mengatakan Deloitte gagal menemui beberapa urus niaga dan tawaran yang
dijalankan dan tidak dapat membuat audit yang ‘sebenarnya’.
Ini termasuk AS$ 3.5 bilion bayaran 1MDB kepada penipuan
Aabar Investment PJS Limited, selain AS$ 1.56 bilion pelaburan 1MDB Global
Investment Limited dalam beberapa dana pelaburan dianggap ‘kabur’.
Kenyataan Deloitte yang berasingan turut merujuk kepada apa yang disebut melalui
kenyataan yang dibuat oleh DOJ itu.
Dengan notis Deloitte untuk menarik diri, bagi melepaskan
tanggungjawabnya sebagai juruaudit dana kerajaan Malaysia itu, menjadikannya
firma audit ketiga yang menamatkan khidmat dengan 1MDB sejak penubuhannya
pada 2009.
The Wall Street Journal melaporkan firma Ernst &Young (EY) ditamatkan pada 2010. Ia dilakukan oleh pemegang saham dan Lembaga
Pengarah entiti itu.
EY adalah juruaudit pertama 1MDB yang dilantik pada 25
Mac 2009 oleh Terengganu Investment Authority dan ditamatkan kontrak pada 15
September 2010 sebelum 1MDB mengemukakan penyata kewangan pertama untuk tempoh
berakhir 31 Mac 2010.
Ini kerana EY telah meminta untuk menyemak laporan due dilligence yang disediakan oleh
pengurusan dan laporan status hak milik aset PetroSaudi International Ltd.
(PSI) dalam syarikat usaha sama. EY juga meminta penyata kewangan syarikat
usaha sama bagi melaksanakan penilaian nilai saksama terhadap saham, aset,
liabiti dan liabiliti luar jangka syarikat tersebut.
Firma itu telah melaksanakan penilaian awal dan memohon
maklumat tambahan bagi menentukan nilai jangkaan aset PSI dan perkara itu
dibangkitkan semasa mesyuarat lembaga pengarah 1MDB. Ini menunjukkan EY tidak
berpuas hati dengan laporan dan dokumen sokongan dan meminta pihak pengurusan
mengemukakan lebih banyak maklumat.
EY tidak menemui dokuman berkaitan status pemilikan
sebenar, nilai dan risiko yang berkaitan aset yang dilaburkan oleh rakan usaha
sama. EY turut membangkitkan keperluan semula nilai aset bagi proses semakan
kaedah perakaunan terhadap pertukaran ekuiti kepada Nota Murabahah dalam tahun
kewangan berakhir 31 Mac 2010 namun pada tarikh itu 1MDB tidak mempunyai
dokumen yang mencukupi untuk membuktikan pemilikan aset oleh syarikat usahasama.
Semasa mesyuarat lembaga pengarah pada 4 Oktober 2010,
dimaklumkan 1MDB PetroSaudi Ltd belum menyediakan penyata kewangan dan Ketua
Pegawai Eksekutif telah menyakin lembaga pengarah perkara itu akan dibincangkan
dalam mesyuarat akan datang. Tetapi tiada sebarang bukti menunjukkan kertas
perbincangan berhubung perkara itu pernah dibentangkan dalam mana-mana
mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.
Pendirian EY menimbulkan situasi kurang senang kepada
pengurusan 1MDB dan pemegang saham serta lembaga pengarah memutuskan menamatkan
perkhidmatannya," kata laporan itu.
Pada 7 Apr 2016 lalu, penemuan Jawatankuasa
Kira-kira Awam (PAC) menyebut, bekas juruaudit 1MDB, Ernst & Young (EY) dan
KPMG telah digantikan selepas berkeras melihat dokumen mengenai beberapa urusan
dana syarikat itu.
Akaun-akaun 1MDB dari 15 Sptember 2010 hingga 2012
diaudit oleh KPMG. Perkhidmatan syarikat itu bagaimanapun ditamatkan pada
Disember 2013. Menurut laporan jawatankuasa kira-kira Wang Negara berkaitan
1MDB, khidmat KPMG ditamatkan selepas enggan menandatangani akaun-akaun tanpa
perincian berkaitan pelaburan bernilai AS$$2.32 bilion.
KPMG dilaporkan dipecat selepas bertelingkah pendapat
megenai nilai pelaburan 1MDB dalam Bridge GLobal SPC melalui Brazen Sky Ltd. KPMG
telah memutuskan untuk mengeluarkan laporan audit berkelayakan 1MDB untuk
laporan kewangan 2013, tetapi firma audit itu tiba-tiba diganti dengan
Deloitte.
Laporan itu menyebut berdasarkan minit mesyuarat antara
1MDB dan Tetuan KPMG pada 29 November 2013, ketua eksekutif 1MDB pada masa itu
Mohd Hazem Abd Rahman cuba meyakinkan Tetuan KPMG mengenai pelaburan berkenaan.
Bagaimanapun, Tetuan KPMG tidak berpuas hati jika tiada
apa-apa keterangan berdokumen.
Dalam mesyuarat lembaga 1MDB pada 9 Disember 2013, Hazem
dimaklumkan bahawa Tetuan KPMG tidak berpuas hati dan akan mengadakan mesyuarat
untuk memutuskan sama ada maklumat oleh pengurusan 1MDB boleh diterima dan
mencukupi bagi maksud audit, atau untuk mengeluarkan pendapat berkelayakan.
KPMG telah memilih untuk mengeluarkan pendapat yang
berkelayakan, menurut laporan PAC yang dibentangkan di Parlimen itu.
Oleh kerana pertikaian semakin meningkat antara KMPG dan
1MDB, laporan itu berkata 1MDB memberitahu KMPG untuk mendapatkan penjelasan
daripada pengurus dananya Bridge Global Absolute Return Fund SPC (Bridge
Global) di Kepulauan Cayman.
Sebagai rekod, aduan DOJ membabitkan beberapa nama disebut termasuk anak tiri Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz dan hartawan kelahiran Malaysia, Low
Taek Jho yang lebih dikenali dengan nama Jho Low.
Seorang individu lain juga disebut namun identitinya
tidak didedahkan kecuali dirujuk sebagai Malaysian Official 1.
DOJ mahu menyita lebih AS$1 bilion aset yang dikatakan
berpunca daripada 1MDB walaupun pihak
Malaysia mendakwa ia tiada kena kena dengan 1MDB. Lembaga 1MDB bagaimanapun
berkata mereka yakin tiada sebarang salah laku berlaku.
Deloitte Malaysia menjelaskan, dalam aduan yang
melibatkan beberapa maklumat, jika diketahui pada 2013 dan 2014, akan
menyebabkan wujud perbezaan dalam laporan kewangan dan laporan audit olehnya
terhadap 1MDB.
Deloitte dikatakan mengesahkan audit untuk tahun kewangan
2013 dan 2014 dengan kedudukan di mana
pihaknya tidak mendapat kedudukan sebenar beberapa maklumat yang dikatakan
sebagai ‘kabur’.
Berikutan itu, standard audit Deloitte menjadi tanda
tanya sejak 2015 selepas 1MDB didapati sukar memenuhi obligasi membayar faedah
dan balik hutangnya.
1MDB pada 26 Jul 2016 berkata penyata kewangan 2013 dan
2014 yang ditandatangani Deloitte pada 28 Mac 2014 dan 5 November 2014 tidak
boleh lagi digunakan sehingga dakwaan dibuat DOJ ditentukan di mahkamah.
Bagaimanapun kata syarikat itu tindakan berkenaan diambil
hanya sebagai "langkah berjaga-jaga".
"Walaupun lembaga tetap yakin bahawa tiada kesalahan
dilakukan 1MDB, dan penyata kewangan yang telah diaudit sebelum ini terus
menunjukkan gambaran sebenar dan saksama mengenai hal ehwal syarikat pada masa
berkenaan, lembaga memutuskan, sebagai langkah berjaga-jaga, penyata kewangan
2013 dan 2014 yang diaudit tidak lagi boleh digunakan oleh mana-mana pihak
sehingga keputusan muktamad mahkamah dibuat berhubung dakwaan tertentu seperti
dinyatakan aduan (DOC) berkenaan," kata syarikat itu dalam kenyataan .
Kenyataan itu juga
menyebut 1MDB juga sedang mencari juruaudit baru selepas firma sebelum ini,
Deloitte, menyatakan keinginan mereka menarik diri pada 26 Februari lalu.
Bagaimanapun, kata syarikat berkenaan, Deloitte kekal
sebagai juruaudit 1MDB, termasuk untuk anak syarikatnya TRX City Sdn Bhd,
Bandar Malaysia Sdn Bhd dan Edra Bhd sehingga firma baru dilantik.
Untuk laporan audit akaun 2015, 1MDB diberikan tarik lanjutan oleh Suruhanjaya
Syarikat Malaysia sehingga 30 September 2016.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara Tan Sri Irwan
Serigar Abdullah berkata semalam, juruaudit baru untuk 1MDB akan diumumkan
tidak lama lagi. Beliau enggan mengulas mengenai soalan lain berkaitan 1MDB.
"Saya tidak mahu respon kepada itu, terima
kasih," katanya ketika ditanya mengenai 1MDB pada sidang media di majlis
penutup bagi program 'Bahasa Inggeris 1Malaysia' di Kuala Lumpur semalam. Irwan
Serigar juga mengetuai lembaga pengarah baru 1MDB.
Menurut Deloitte Malaysia, maklumat dalam saman DOJ berkaitan
rampasan aset berkaitan 1MDB, menjejaskan laporan audit syarikat pelaburan Deloitte
pada tahun 2013 dan 2014.
Ini kemudian diulangi oleh Deloitte, yang berkata bahawa
audit 1MDB bagi tahun itu akan memberi kesan dalam tindakan undang-undang
DOJ.
Persoalannya, kenapa pentadbiran baru 1MDB yang diketuai
Mohd Irwan Serigar membuat keputusan membatalkan laporan itu? Ada yang tidak
kena dengan laporan audit Deloitte itu?
Dan bagaimana boleh Deloitte Malaysia mengatakan ada
perkara yang ‘kabur’?
Apa yang tidak kena atau ada perkara-perkara yang ‘’dirahsiakan’
menyebabkan 1MDB membatalkan laporan itu?
Berapa belanja sudah dibayar kepada ‘The Big Three’ dan
berapa pula akan dibayar kepada firma juruaudit keempat nanti?
Apakah sejarah berulang di mana 1MDB akan berusaha ‘mengelak
soalan-soalan cepu mas’ dan 'menyorok punca masalah' daripada juruaudit dan akhirnya 1MDB perlu melantik
juruaudit baharu pula?
No comments:
Post a Comment