Tuesday, July 26, 2016

Akta 355 PAS 'Haram', Tidak Harus Dibentang Di Dewan Rakyat


"Adalah lebih baik untuk kerajaan terus membatalkan RUU kerana ia tidak sah dan jika diteruskan MPM tidak teragak-agak untuk bawanya ke mahkamah."
 - Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman

Rang undang-undang (RUU) persendirian yang akan dibawa anggota Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah tidak sah serta tidak berperlembagaan.

Justeru, ia tidak menjadi keperluan dan tindakan presiden PAS itu adalah satu pembaziran masa dan tenaga.

Bahkan, menurut Majlis Perundingan Melayu (MPM) , Parlimen tidak seharusnya membenarkan ia dibentangkan sama sekali.

Jika demikian, kenapa Perdana Menteri dan timbalannya mengarahkan Hadi membentangkan RUU itu secara tergesa-gesa sebelum ini?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang kini dipertanggungjawabkan dengan soal undang-undang berkata pada 4 Jun lalu di Sungai Besar,  beliau menerima arahan itu selepas melaporkan maklumat yang disampaikan oleh Speaker Dewan Rakyat, bahawa kerajaan tidak membantah usul itu dibahaskan.

Apakah Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak dimaklumkan bahawa RUU itu ‘haram’?
 
Azalina...Jamil Khir yang bertanggungjawab
Azalina menjelaskan,  “Dalam tugas saya sebagai menteri menjaga urusan Parlimen, saya bertanggungjawab kepada pemimpin majoriti, iaitu Perdana Menteri dan ketua whip, iaitu Timbalan Perdana Menteri.


“Justeru, arahan untuk membawa ke depan (usul RUU Persendirian) dari nombor 15 ke nombor satu sudah pasti daripada pemimpin majoriti dan ketua whip kerana itulah prosedur yang diperlukan di Parlimen,” katanya.

Menurutnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom  adalah Menteri  yang bertanggungjawab terhadap kandungan usul dan memberi kebenaran untuk usul itu dibahaskan.

Apakah Jamil Khir tidak memaklumkan kedudukan rang undang-undang ini sebagai tidak sah serta tidak berperlembagaan?

Hadi pada satu majlis di Pusit Islam 17 Julai lalu membidas sebilangan orang Islam yang menolak undang-undang persendirian yang dibawanya sebagai ‘sangat pelik’.

Hadi...tanggungjawab semua orang Islam
“Mahkamah syariah hanya berkait dengan orang Islam sahaja, tak ada kena mengena dengan orang bukan Islam. Kenapa orang bukan Islam menentang, ini saya rasa pelik. Mengapa ada (orang) Islam menyokong bukan Islam, lagi pelik,” katanya.

Hadi  berpendapat, sudah menjadi tanggungjawab setiap orang Islam di negara ini untuk menyokong RUU itu dalam usaha memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah setanding mahkamah sivil.

“Tanggungjawab yang sangat penting pada hari ini adalah untuk meminda (Akta) 355 (mengenai) bidang kuasa mahkamah syariah. Kalau dia (orang Islam) tak nak naikkan taraf mahkamah dia, apa guna dia jadi orang Islam,” tegasnya.

Berbeza dengan kesemua pandangan di atas, Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM) Tan Sri Abdul Aziz Rahman sebaliknya menegaskan semalam, ramai individu dan badan tertentu telah memberikan komen mengenainya..

Ini termasuklah mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid dan Majlis Peguam tetapi mereka hanya menyentuh isu yang berlainan.
  
Terdapat tiga undang-undang melibatkan hudud seperti Rang Undang-undang Persedirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah, Akta Mahkamah Syariah (bidangkuasa jenayah) 1965 (Akta 355) dan Enakmen Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan).

Bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur semalam, Abdul Aziz berkata ketiga-tiga undang-undang ini adalah tidak sah kerana tidak konsisten.

Ia juga bercanggah dengan beberapa bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan dan Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Kata Abdul Aziz, dalam Fasal 74 Perlembagaan Persekutuan, jadual 9 senarai 1 Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan Islam dan Mahkamah Syariah di bawah jadual 9 serta 8, senarai 4(a) dan (b).

Malah, beliau berhujah seterusnya bahawa Enakmen Jenayah Syariah (II) bercanggah dengan Fasal 7 dan 8 Perlembagaan Persekutuan serta jadual 9 senari 1 I (4) 9h) Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Keseksaan.

Boleh dihujahkan bahawa Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1965 (Akta 355) diluluskan oleh Parlimen mengikut Fasal 76A(1) Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai di dalam kes ini.

“Ia memandangkan parlimen tidak mempunyai kuasa dalam hal berkaitan Islam sekali gus tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan Mahkamah Syariah,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata undang-undang yang cuba dilaksanakan di Kelantan itu juga jelas bertentangan dengan perlembagaan.
  
DUN Kelantan...pernah bincang Hudud
“Undang-undang hudud yang diluluskan Kelantan termasuk kesalahan di dalam Perlembagaan Persekutuan seperti membunuh, merogol, mencuri sebab itu saya katakan ia tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan.

“Pesalah tidak boleh dihukum lebih dari sekali dan hanya boleh dihukum sekali sahaja, lebih dari itu tidak sah dan negeri hanya boleh buat undang-undang bagi kesalahan yang tiada dalam perlembagaan,” kata Abdul Aziz.

Sehubungan itu, Abdul Aziz mempersoalkan apakah Hadi telah merujuk majlis agama negeri bagi memperjelaskan perkara tersebut.

“Apa saja pindaan yang hendak dibuat perlu melalui majlis agama negeri tetapi apa yang saya difahamkan Majlis Agama sendiri tak maklum akan perkara itu,’ kata Aziz.

Abdul Aziz berkata sekiranya pihak yang terlibat masih lagi berminat untuk meneruskannya mereka haris mengkaji perlembagaan persekutuan dan mencadangkan pindaan tersebut sebelum diluluskan.

Bagaimanapun Abdul Aziz berkata adalah lebih baik untuk kerajaan terus membatalkan RUU tersebut. Malah, Abdul Aziz menegaskan  beliau tidak teragak-agak untuk membawa perkara berkenaan ke mahkamah untuk tindakan lanjut.

Beliau mahu RUU itu dibatalkan saja sebab ia tidak sah dan majlis itu tidak teragak-agak untuk bawanya ke mahkamah.

RUU Hadi mengenai Akta 355 itu dibentangkan di Parlimen pada 26 Mei, hari terakhir persidangan, setelah dilangkau dalam dua persidangan sebelumnya.

RUU itu, jika diluluskan di Parlimen, dilihat akan membolehkan Kelantan melaksanakan hudud sebahagiannya apabila mahkamah syariah kemudiannya akan dibenarkan untuk mengenakan semua hukuman hudud kecuali hukuman mati.


Pada masa ini, kuasa-kuasa mahkamah syariah terhad kepada menjatuhkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.

No comments: