“Anda
mempunyai satu laporan penting yang sah mengenai 1MDB. Dedahkan isi
kandungannya supaya rakyat dapat mengetahui fakta sebenar daripada sumber yang
sahih.”
Oleh TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
12 Julai 2016
12 Julai 2016
Saya bersama dengan seluruh rakyat yang menuntut
kebenaran dalam isu 1MDB mendesak kerajaan supaya mengubah (declassify) status
rahsia rasmi Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dengan segera supaya
rakyat dapat mengetahui kedudukan sebenar dakwaan penyelewengan wang puluhan
billion ringgit dalam urusniaga syarikat berkenaan.
Beberapa petikan yang dikatakan bersumber daripada
laporan akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB seperti yang didedahkan oleh
portal Sarawak Report beberapa hari lalu mengandungi maklumat-maklumat penting
berkaitan penyelewengan syarikat berkenaan. Ini termasuk kehilangan wang berjumlah USD7 billion
(RM28 billion) yang dibayar kepada beberapa buah syarikat palsu yang tiada
kaitan dengan urusniaga 1MDB.
Ketika kemelut 1MDB mula dipersoalkan oleh rakyat pada
awal tahun lalu, saya telah menyuarakan kebimbangan saya di dalam kabinet dan
menyarankan supaya Ketua Audit Negara menyiasat akaun 1MDB, termasuk melakukan
audit forensik. Siasatan
Ketua Audit Negara adalah penting untuk menentukan kedudukan sebenar akaun 1MDB
dan menjawab segala tuduhan penyelewengan yang dilemparkan terhadap syarikat
berkenaan, termasuk yang melibatkan Perdana Menteri.
Perdana Menteri sendiri berjanji bahawa Laporan Ketua
Audit Negara mengenai 1MDB akan diumumkan dan beliau memberi jaminan bahawa individu atau pihak yang
terlibat dalam penyalahgunaan dan penyelewengan 1MDB akan dibawa ke muka
pengadilan. Bagi yang mungkin terlupa
akan janji Perdana Menteri ini, saya ingin memetik tulisan beliau dalam portal NajibRazak.com yang
disiarkan pada bulan Mei 2015.
Beliau berkata, “adalah
tidak adil bagi sesetengah ahli politik mensabitkan kerajaan dalam mahkamah
pendapat awam sebelum fakta sebenar dikemukakan oleh pihak berkuasa yang sah
iaitu Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang
bersifat dwipartisan...sementara itu, tolonglah, jangan buat spekulasi dan
kesimpulan, tanpa menggunakan maklumat yang akan dibentangkan oleh Ketua Audit
Negara, yang mengandungi laporan terperinci tentang kewangan 1MDB”.
Kata Najib lagi, “Jika
kita bersikap ikhlas untuk mencari kebenaran di sebalik dakwaan itu, kita perlu
mendapatkan maklumat daripada sumber yang sah (seperti Ketua Audit Negara) dan
bukan daripada portal berita pihak ketiga atau blog dalam talian yang mungkin
mempunyai agenda tersembunyi”.
Itu kenyataan Najib lebih setahun yang lalu.
Jabatan Audit Negara telah memulakan siasatan ke atas
akaun 1MDB pada bulan Mac 2015. Laporan Interim Terhadap Pengauditan 1MDB telah
disiapkan pada bulan Jun 2015 dan laporan akhir Ketua Audit Negara telah
dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara pada bulan Mac 2016.
Malangnya, Najib telah memungkiri janjinya kepada rakyat. Bukan sahaja
Laporan Ketua Audit Negara tidak didedahkan kepada umum, malah telah
diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Tindakan mengklasifikasikan Laporan Ketua Audit Negara sebagai dokumen rahsia
rasmi adalah aneh memandangkan Ketua Audit Negara mempunyai tanggungjawab di
bawah Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan untuk menyerahkan laporannya kepada
Yang di-Pertuan Agong. Laporan ini
kemudiannya hendaklah dibentangkan di Dewan Rakyat. Adakah kerajaan mempunyai
kuasa melebihi kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk menutup
hasil siasatan Ketua Audit Negara daripada pengetahuan rakyat?
Lebih malang, ada Menteri kabinet yang melabelkan pihak
yang membocorkan kandungan laporan Ketua Audit Negara sebagai pengkhianat
negara. Siapakah
pengkhianat sebenarnya? Orang yang mendedahkan salahlaku 1MDB atau orang yang
merompak wang negara menerusi transaksi 1MDB dan kemudian menutup kesalahan
mereka daripada diketahui oleh rakyat? Sudah tentulah merompak wang negara dan
menutup perbuatan jenayah adalah suatu pengkhianatan yang amat jijik kepada
negara. Seluruh kabinet bertanggungjawab terhadap rakyat. Mereka
tidak mempunyai kuasa mutlak untuk melakukan apa sahaja semata-mata untuk
melindungi keselamatan seorang individu. Kepentingan majoriti rakyat adalah
jauh lebih utama daripada keselamatan seorang individu.
Rakyat berhak untuk mengetahui kebenaran. Najib telah
dikaitkan secara langsung dalam skandal 1MDB dan dia harus tampil menjawab
pertanyaan rakyat. Tindakan berselindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi akan
menambah syak wasangka rakyat terhadap kredibiliti dan integriti Najib sebagai
Perdana Menteri. Jika dia seorang yang benar-benar ikhlas, budiman dan
berani mencari kebenaran, ubah (declassify) segera status rahsia rasmi Laporan
Akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dan dedahkan hasil siasatan untuk
tatapan rakyat. Usah berdolak dalih lagi.
Jangan berterusan menyalahkan portal berita atas talian
atau media asing kerana menyebarkan maklumat mengenai penyelewengan 1MDB. Anda
mempunyai satu laporan penting yang sah mengenai 1MDB. Dedahkan isi
kandungannya supaya rakyat dapat mengetahui fakta sebenar daripada sumber yang
sahih. Ini
adalah peluang terbaik untuk Najib dan kerajaan pimpinannya membersihkan nama
daripada pelbagai dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa.
Jika Najib gagal berbuat demikian, dan berterusan menyembunyikan
kebenaran daripada pengetahuan rakyat, maka dia mesti mengambil tanggungjawab
sepenuhnya di atas skandal 1MDB dan mengambil langkah terhormat dengan
meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Berasaskan
kenyataan media TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
12 Julai 2016
12 Julai 2016
(juga di https://goo.gl/MhA2EJ)
No comments:
Post a Comment