Thursday, July 7, 2016

Yayasan Milik Dr Zakir Di Mumbai Dalam Pemerhatian Selepas Serangan Di Dhaka


Pendakwah terkemuka dari India, Dr Zakir Naik berkata, istilah Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) tidak Islamik, selain menganggap penggunaan nama Negara Islam itu juga lebih disifatkan kepada tindakan mengutuk Islam.

The Indian Express yang memetik Zakir, 50 yang juga pengasas Yayasan Kajian Islamik (IRF) berpangkalan di Mumbai berkata, mereka membunuh rakyat asing yang tidak bersalah dan menggunakan nama yang diberi musuh Islam.

Yayasan milik Zakir itu didakwa mempunyai lebih daripada 1,000,000 pengikut di Facebook. Sementara Peace Network miliknya dipercayai mempunyai penonton global sebanyak 200 juta orang.

Bekas doktor perubatan itu pernah beberapa kali mencetuskan kontroversi termasuk pada 2010 apabila kerajaan British menarik visa dan menghalangnya memasuki negara itu.

Antara suspek pengganas yang dikatakan peminat Zakir termasuk Najibulla Zazi yang terlibat dengan pengeboman di New York dan ditahan pada 2009, Dr Kafeel Ahmed yang terlibat dalam serangan di lapangan terbang Glasgow pada 2007 dan Rahil Sheikh dari Mumbai yang ditahan kerana siri letupan pada 2011.

Mengenai serangan di Dhaka yang dikatakan diinspirasikan daripada ceramahnya, Zakir berkata, beliau mempunyai 14 juta pengikut di Facebook, selain 200 juta mengikutinya di Peace TV yang menggunakan pelbagai bahasa termasuk Urdu, Bengali dan Cina.


Zakir menjelaskan, peratusan terbesar di Facebook beliau adalah dari Bangladesh.

Menurutnya, sebanyak 90 peratus warga Bangladesh mengenali beliau, termasuk ahli politik, dermanwan, selain rakyat biasa termasuk pelajar. “Selain itu, 50 peratus lagi adalah peminat saya. Apakah saya terkejut penyerang mengenali saya? Tentu tidak," katanya.

Bagaimanapun, katanya, situasi ini tidak bermakna beliau bersetuju dengan kaedah yang dilakukan kumpulan pengganas itu.

Sambil menyatakan ramai yang mendekati Islam kerana dirinya, beliau berkata, golongan itu kemudiannya turut mengikut ceramah yang disampaikan pendakwah lain yang ada di antaranya menggunakan Islam untuk mengelirukan ramai pihak.

Mengenai saranan beberapa negara untuk mengharamkan beliau menyampaikan ceramah, kata Zakir, perkara itu adalah gerak kerja di kalangan penganut Hindu yang fanatik.

Dilaporkan, siasatan terhadap serangan di Dhaka Jumaat lalu telah membawa polis ke Mumbai, tempat di mana Dr Zakir Naik menjalankan tugas-tugas berkaitan dakwahnya.

IRF yang terletak di satu lorong di kawasan kejiranan Mumbai Dongri, pusat yang diasaskan oleh ulama Islam ini kira-kira enam tahun lalu kini menjadi perhatian Agensi Risikan Kebangsaan India (NIA) dan negara lain serta rangkaian Pusat anti keganasan.

Ini berikutan pengakuan dua suspek pengganas Negara Islam (IS), Rohan Imtiaz dan Nibran Islam, yang menyerang dan mengepung Artisan Holey Bakery di Dhaka minggu lepas bahawa mereka telah mendapat 'inspirasi' daripada ajaran radikal Zakir dan telah menjadi pengikut setia beliau di Facebook dan Peace Television Channel.


Pada Rabu, Zakir, bagaimanapun, menafikan pernah berkata bahawa 'semua umat Islam perlu menjadi pengganas'.

Berdepan tindak balas kerana mempertahankan Osama bin Laden dalam salah satu ucapan, Zakir berkata video ucapan beliau telah dipalsukan.

NIA dan Skuad Anti Keganasan (ATS) telah membuat keputusan untuk memeriksa dan menganalisis wacana Zakir untuk menentukan sama ada yayasan itu terlibat dalam radikalisasi anak muda berpendidikan dan celik teknologi, bukan sahaja di India tetapi juga di negara-negara jiran.

Agensi-agensi Pusat telah memulakan tindakan selepas Bangladesh bersetuju untuk berkongsi risikan dan input siasatannya untuk mengelakkan rantaian keganasan.

Sejak kebangkitan IS, NIA dan ATS telah menahan lebih daripada 50 anak muda di seluruh negara, sama ada yang telah berfikiran radikal atau yang hampir terjebak ke dalamnya atas nama 'jihad'  agama.

Zakir, yang berada di Arab Saudi untuk mengerjakan ibadah umrah, terkenal dengan 'persidangan keamanan' di mana beliau 'menjelaskan pandangan Islam dan menerangkan salah faham dengan tafsiran sahih daripada kalimah-kalimah agama."

Bagaimanapun, beliau tidak menganjurkan sebarang persidangan sejak 2012 kerana memilih untuk disiarkan di Peace TV Network.

Kes pertama radikal berlaku dua tahun lalu apabila empat pemuda yang yang biasa dengan teknologi tanpa disangka-sangka hilang dari rumah mereka di Mumbai.

Mereka didakwa melarikan diri ke Syria tanpa memberitahu keluarga mereka. Pihak polis mengesyaki penglibatan Zakir dalam kehilangan itu.

Zakir telah melawat beberapa negara di seluruh benua, termasuk Malaysia, bagaimanapun beliau diharamkan di United Kingdom dan Kanada untuk menyampaikan ceramah mengenai rukun Islam.

Sumber berkata keterangan dua remaja Bangladesh semasa soal siasat disokong dengan kenyataan yang sama dibuat oleh Mohammed Ibrahim Yazadani dari Hyderabad, yang baru-baru ini ditangkap oleh NIA dalam satu serbuan di didakwa oleh modul IS di bandar itu.

Yazadani dilaporkan memberitahu NIA bahawa dia telah 'dipengaruhi' oleh Zakir dan telah melawat Mumbai untuk mengambil bahagian dalam Persidangan Keamanan pada tahun 2011.

Skuad anti keganasan polis Maharashtra telah menghalang tiga pemuda berasal dari pinggir bandar Malawani di Mumbai daripada keluar dari negara itu untuk menyertai IS di Syria pada tahun lepas.

Apabila disoal mengapa mereka mahu menyertai IS ketiga-tiganya memberitahu polis bahawa mereka telah dipengaruhi oleh ajaran Zakir.


Menurut Zakir, mereka yang mengikuti ceramahnya termasuk bukan Islam.


Malah, setiap kali berceramah, beliau menggalakkan bukan Islam bertanya soalan bagi menjelaskan sebarang persoalan dan menangani sebarang ancaman di kalangan pihak yang fanatik itu.

No comments: