Sunday, February 18, 2018

Hadi – PAN Pecahbelahkan Umat Islam, Undi Melayu



Kenapa Parti Amanah Negara (PAN) diserang teruk oleh Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang tetapi tidak menyebut walau sepatah perkataan mengenai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?

Apakah bagi PAS, ia melihat saingan daripada PAN akan menyebabkan ia terjjejas pada kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandinginya dalam pilihan raya nanti?

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan pertanyaan : “Kalau benar PAN mahu lawan UMNO, kenapa sibuk masuk kerusi PAS yang menjadi tradisi pertandingan UMNO-PAS sejak puluhan tahun?”

Berkaitan itu, dalam temubual dengan Mingguan Malaysia yang diterbitkan hari ini Hadi berkata  'PAN sebenarnya yang memecah-belahkan umat Islam dan undi Melayu'.

Apakah ini bermakna PAS tidak bermusuh dengan PPBM tetapi menyerang PAN yang dilihat menjadi lawannya selain Barisan Nasional (BN) dan UMNO?

Menurutnya, kehadiran PAN  dilihat hanya mahu memecahkan undi Melayu dan umat Islam pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).


Abdul Hadi berkata hasrat PAN untuk bertanding di kerusi PAS dilihat hanya akan memberi kemenangan kepada UMNO.

Bagi Hadi, PAN wujud untuk memecah-belahkan umat Islam, undi Melayu dan memberikan  talian hayat kepada UMNO untuk menang.

“PAN adalah ijtihad yang salah hasil daripada campur tangan pihak luar terhadap politik Malaysia dan mendapat sokongan DAP yang mulanya untuk menggantikan PAS tapi sekarang laksana melukut di tepi gantang sahaja,” kata Hadi /

Hadi berkata demikian merujuk kepada rancangan PAN untuk bertanding di 27 kerusi Parlimen, sebahagian besarnya di kerusi milik PAS.

PAS pula merancang akan bertanding di 130 kerusi parlimen pada PRU nanti.

Hadi berpendapat keputusan PAS itu realistik memandangkan pihaknya mempunyai 196 kawasan daripada 222 kerusi Parlimen serta mempunyai 7,063 cawangan.

Hadi berkata PAS bertanding untuk membuat perubahan dasar dan sistem kepada penyelesaian Islam.

“Sama ada PAS menjadi kerajaan memerintah atau pembangkang yang menasihat. PAS berhasrat menjadikan Malaysia negara yang sejahtera dengan mengubah dasar negara, dan urus tadbir yang sesuai dengan penuh berhikmah dan matang.

“Selain itu PAS sedang bekerja bersungguh-sungguh untuk menang paling kurang 40 kerusi. Dengan kemenangan itu PAS ada pengaruh untuk menentukan kerajaan dan mencapai matlamat perjuangan Islam,” kata Hadi sebagaimana dilaporkan.

Dengan kedudukan ini, PAN semakin tersepit apabila jedua-dua musuhnya – PAS dan BN – tidak akan membuka ruang langsung kepadanya.

Apakah kedudukan ini akan menyebabkan PAN akan kalah besar pada PRU14 nanti?