Monday, January 23, 2017

Iktiraf Sijil UEC di UniKL - Annuar, Ismail Sabri Bertelagah Lagi…


Nampaknya pertelagahan antara Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa tidak tamat dengan penajaan MARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk bolasepak Kelantan semata-mataa.

Pertelagahan itu kini merebak kepada isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi kemasukan ke UniKL.

Kelmarin, Annuar  sebagai Pengerusi MARA menyatakan UniKL mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat kemasukan untuk belajar di universiti itu.

Ismail Sabri semalam pula mengatakan sebaliknya di mana setakat ini, universiti itu tidak berhasrat  untuk meniktiraf UEC.

"Mengenai kenyataan Annuar, itu mungkin pandangan peribadinya kerana melihat kepada surat daripada Kementerian Pendidikan Tinggi yang membenarkan pelajar yang memiliki sijil UEC diterima di UniKL.

"Jumlah enrolmen terkini penuntut UniKL adalah seramai 26,000 orang. UniKL menawarkan program yang mendapat pengiktifaran dan akreditasi dari badan-badan akreditasi dan profesional.

"Jadi, syarat kemasukan adalah tertakluk oleh keperluan badan-badan tersebut dan sehingga kini, sijil UEC tidak pernah menjadi sebahagian syarat kemasukan ke UniKL," kata beliau.

UniKL adalah institusi pengajiaan tinggi swasta.
Sijil UEC adalah peperiksaan yang dikendalikan oleh badan persendirian menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina.

Pengiktirafan ke atas sijil ini sering menjadi tuntutan utama Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) dan ahli jawatankuasanya (Dong Zong).

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebelum ini memaklumkan pengiktirafan sijil itu hanya terpakai sebagai syarat kemasukan ke universiti swasta dan bukan universiti awam kerana kurikulumnya tidak memenuhi keperluan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Terdapat tiga tahap dalam UEC, iaitu Vokasional (UEC-V), Junior (UEC-JML/JUEC) dan Senior (UEC-SML/SUEC). Bahasa Cina menjadi bahasa pengantar bagi kurikulum dan peperiksaan UEC-V dan UEC-JML, manakala bahasa itu juta atau bahasa Inggeris adalah bahasa pengantar bagi subjek Matematik, Sains (Biologi, Kimia dan Fizik), Simpan Kira, Akaun dan Perdagangan.

Keengganan UniKL mengiktiraf sijil berkenaan kerana ia  tidak selaras dengan falsafah pendidikan negara yang memerlukan kelulusan Bahasa Melayu dan Sejarah untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Walaupun UniKL sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) namun ia milik penuh MARA yang sehingga kini masih mematuhi falsafah pendidikan negara.

"Biarpun Kementerian Pengajian Tinggi telah memberikan kebenaran IPTS mengambil pelajar berdasarkan sijil UEC pada 2004, tetapi itu bukan bermakna kita (MARA) mesti ikut, kita ada pilihan yang mana sehingga kini tidak akan membuka pengambilan pelajar berdasarkan sijil tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan Jalinan Rakyat (JR) Pergerakan Wanita Umno Bahagian Bera semalam.

Kelmarin (Sabtu),  Annuar  dipetik oleh Bernama sebagai berkata, UniKL mengiktiraf UEC sebagai syarat kemasukan ke universiti tersebut.

Beliau berkata walaupun di bawah kendalian MARA, UniKL adalah institusi pengajian tinggi swasta yang telah mendapat kelulusan daripada KPT untuk menerima permohonan pemegang sijil tersebut.

"Ramai yang terlepas pandang dan menyangka UniKL sebuah univesiti awam kerana ia di bawah MARA tetapi sebenarnya ia IPTS.

Muzammil...tidak faham apa yang berlaku dengan MARA.
Saya sudah periksa polisi UniKL dan sememangnya kita dibenarkan mengambil lulusan UEC dan pensijilan antarabangsa lain seperti O-Level," kata Annuar selepas melawat Pusat Pembelajaran Permai di Ampang

Justeru, Annuar menggalakkan lepasan UEC untuk memohon pelbagai jurusan yang ditawarkan oleh UniKL termasuk Pendidikan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) yang menjadi fokus utama universiti itu.

"Semua lepasan UEC ini merupakan pelajar yang berkualiti dan kita harap penjelasan ini akan membuka mata mereka untuk melanjutkan pelajaran di UniKL.

Daripada pergi ke Taiwan dan negara lain, ambil peluang belajar di sini kerana kita ingin lihat kepelbagaian latar belakang," katanya.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata pelajar bukan Bumiputera dan dari negara luar boleh memohon masuk ke UniKL berdasarkan kelayakan sijil yang diiktiraf kerajaan bagi syarat kemasukan ke IPTA seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk peringkat diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi ijazah atau setaraf dengannya seperti A Level.

"UniKL sebuah IPTS yang ditubuh pada tahun 2002 dan dimiliki sepenuhnya oleh MARA ... tawar program yang mendapat pengiktirafan daripada badan-badan akreditasi dan profesional.

Syarat kemasukan tertakluk oleh keperluan badan-badan tersebut dan sijil UEC tidak menjadi sebahagian syarat kemasukan ke UniKL," kata menteri berkenaan.

Tindakan Pengerusi Mara itu turut dibantah dan dianggap bukan cara terbaik mempromosi universiti milik `MARA itu, kata Yang Dipertua Persatuan Alumni UniKL, Muzammil Arif Kamaruddin.

“Saya tidak faham apa yang berlaku dengan MARA pada hari ini walhal agensi ini sepatutnya mempunyai pengerusi yang mampu membawa agenda Bumiputera secara berterusan dan relevan dengan perubahan persekitaran.

“Saya tahu bahawa UniKL memerlukan pelajar, tetapi ini bukanlah cara yang terbaik mempromosikan UniKL dengan membuka ruang seluas-luasnya kepada pelajar lulusan UEC,” katanya menerusi kenyataan disiar dalam laman Facebook alumni itu, semalam.

Muzammil berkata, MARA sepatutnya berperanan di atas landasan yang betul selaku ‘socioeconomic engineering agency’ dan sentiasa relevan di atas fungsi utamanya, supaya agensi ini masih lagi relevan dan menepati kehendak komuniti Bumiputera.

“Saya merasakan kefahaman Pengerusi MARA tentang Konsep Universiti Teknikal MARA ini telah lari pada objektif asas penubuhan universiti ini.

“Jika Pengerusi MARA membuka ruang kepada pelajar lulusan UEC, ini akan mampu menutup ruang sebahagian besar anak-anak Bumiputera di peringkat pertengahan teknikal bagi meningkatkan pendidikan mereka ke peringkat tertinggi pendidikan Mara iaitu di UniKL.


“Semua orang tahu bahawa UniKL merupakan apex pendidikan TVET yang menyediakan pengajian anak-anak Bumiputera sehingga ke peringkat PhD bagi melengkapkan generasi baharu Bumiputera menghadapi cabaran akan datang,” katanya.

Tuesday, January 17, 2017

Petisyen PRU-13 - Benarkah Pemimpin PAS Bohong, Khianati Ahlinya?

 

Percayakah kita jika diberitahu bahawa parti Islam mengkhianti ahlinya sendiri?

Ini bukan parti 'kabir harbi' tetapi pemimpinnya mendakwa ia parti Islam dan mereka juga mengamalkan Islam tulen.

Namun apabila berjanji, pemimpin mereka tidak menepatinya. Salahkan jika yang menjadi mangsa berubah angin?

Ceritanya ialah seorang bekas ahli PAS yang tewas dalam petisyen mencabar keputusan pilihan raya umum ke-13 bukan sahaja tidak lagi diendahkan tetapi terpaksa meminta ehsan untuk menampung kos mahkamah.

Inilah yang berlaku terhadap Za’aba Ibrahim terkilan dengan sikap bekas partinya PAS yang langsung tidak menyatakan sokongan walaupun petisyen itu dibuatnya atas arahan parti.

Laporan FMT semalam menyebut, walaupun tidak dipedulikan oleh partinya sendiri, Za'aba terharu dengan sokongan masyarakat pelbagai latar belakang yang membantunya mengumpul wang bagi menampung kos mahkamah.

“Sebagai ahli, saya taat dengan arahan itu. Malah pemimpin sendiri berkata parti akan membayar setiap petisyen yang kalah,” kata Za’aba yang kini ahli AMANAH.

Pada 24 Januari 2014, mahkamah rayuan mengarahkan Za’aba membayar kos guaman sejumlah RM50,000 selepas petisyen mencabar keputusan PRU ke-13 bagi kerusi Parlimen Pulai, yang dimenangi Datuk Nur Jazlan Ahmad dari Barisan Nasional, ditolak.

Tarikh akhir bagi pembayaran itu adalah 17 Januari 2017.

Nur Jazlan memenangi kerusi itu mengalahkan calon PAS, Salahuddin Ayub yang kini timbalan presiden Amanah, dengan perbezaan 3,226 undi.

Salahuddin kalah kepada Nur Jazlan
“Saya terima panggilan daripada orang yang tidak dikenali, menyatakan sokongan dan ingin menyumbang wang,” kata Za’aba mengenai sokongan yang diterimanya.

“Ada seorang Punjabi yang menelefon lewat malam, kata ingin pindahkan wang esok pagi sebab bank sudah tutup,” katanya dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini.

Za’aba, yang bekerja sebagai jurukimpal, berkata antara yang banyak membantu adalah wakil rakyat pembangkang terutama Amanah dan DAP negeri, selain gabungan Bersih 2.0 yang menurutnya antara yang memberikan sumbangan terbesar.

“Malah orang UMNO dan kariah surau di Kuala Lumpur juga ada yang menghulurkan wang, setakat termampu. Saya hargai semuanya.

“Saya doakan Allah memberikan rahmat dan kesihatan yang baik kepada mereka semua,” kata Za’aba yang juga imam sebuah surau di Perling, Johor Bahru.

Pada 10 Januari lalu, Za’aba terselamat daripada diisytiharkan muflis selepas kempen mengumpul dana oleh AMANAH berjaya mengumpul RM54,431.76.

“Terima kasih kepada masyarakat yang membantu. Semoga semangat tersebut menjadi petanda kita sudah bersedia membuat perubahan pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Za’aba berkata beliau terkejut apabila diarahkan ke mahkamah November lalu untuk kes tersebut, kerana selama ini menyangka PAS sudah membayarnya.

“Ketika mendapat surat arahan membayar dari mahkamah pada 2014, saya terus menghantarnya kepada PAS kawasan untuk disampaikan kepada peringkat negeri. Kepimpinan negeri kata akan menyampaikannya ke peringkat Pusat.

“Selepas itu senyap tanpa khabar berita. Saya fikir mereka sudah menguruskannya. Sehinggalah November tahun lalu apabila saya diarahkan ke mahkamah,” katanya kecewa.

Disember lalu, Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed dilaporkan berkata PAS tidak akan membayar jumlah itu kerana Za’aba bukan lagi ahli parti.

Za'aba menunjukkan kad ahli PAS yang masih disimpan.
Bagi Za’aba pula, ia tidak harus dijadikan alasan kerana petisyen dibuat atas arahan parti dan perintah bayaran dikeluarkan ketika beliau masih menjadi ahli.

“Tiada seorang pun pemimpin PAS menyumbang. Mereka hanya sumbang maki hamun. Dengan ahli PAS lagi teruk saya kena,” katanya yang menyertai PAS sejak 1994 dan keluar pada 2015, bersama-sama ramai pemimpin dan ahli lain, menubuhkan AMANAH.

Sepanjang keahliannya dalam PAS, Za’aba aktif menganjurkan program PAS di Johor selaku ahli jawatankuasa peringkat kawasan.

Menurutnya, beliau menjadi “wajah pertama” yang akan berhadapan dengan pihak berkuasa jika program parti berhadapan masalah permit.

“Saya keluar kerana akhlak kumpulan mereka tidak lagi menonjolkan akhlak Islam, terutama dengan kutuk-mengutuk terhadap kumpulan profesional menjelang muktamar pemilihan 2015.

“Tetapi saya tidak alergik dengan PAS, malah masih menyimpan kad keahlian sehingga sekarang,” katanya lagi.

Pada Muktamar 2015, pimpinan PAS berubah arah menyaksikan kesemuanya jawatan tertinggi parti itu diisi puak pro-Hadi, yang menyokong dasar presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Wednesday, January 11, 2017

EXCO & Anak Ada Kepentingan Dalam Anak Syarikat Monspace Group???


Blog ini menunggu jika ada ulasan Menteri Besar atau pegawai kerajaan negeri mengenai artikel ‘Individu, Syarikat Kontroversi Dapat Kepercayaan Ahmad Razif?” pada 6 Januari lalu.

Hingga ketika ini tiada apa-apa reaksi daripada mereka dan blog terengganutoday pula, yang semua tahu ditaja oleh kerajaan negeri, cuba menjawab bagi mempertahankan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif dan kerajaan negeri dalam isu ini

Menganggap ulasan blog ini sebagai sampah, terengganutoday menyiarkan sebuah ulasan balas pada 7 Januari 2017 dengan tajuk “Benarkah Razif Bersekongkol Dengan Penipu???”

Tidak payah mengemukakan soalan atau jawapan kerana gambar-gambar menceritakan semuanya.

"Pelancong asing" yang datang ke majlis makan malam meraikan 3,000 orang pelancong itu bukan semuanya pelancong sebenarnya. Mereka adalah ahli kepada syarikat Monspace Group yang membuat pelaburan dengan syarikat berkenaan.
  
Ada kalangan wartawan yang mengenali mereka yang datang. Ada dari Pahang dan sebagainya. Mereka dibayar untuk bas pelancongan, tempat tinggal dan makan sambil melancong percuma atau dalam bahasa mudah SEMUANYA FREE ketika berada di Terengganu.

Apa untungnya yang kerajaan negeri dapat dengan cara sebegini? Mana kata kerajaan negeri akan dapat hasil daripada perbelanjaan sekurang-kurangnya RM1,000 seorang daripada 3,000 pelancong itu?

Sila tunjukkan bukti, termasuk oleh penulis yang membuat andaian melalui penulisannya bertajuk "Memahat Sejarah, 3,000 Pelancong Luar Negara Tiba Sekali Gus Sempena BeautifulTerengganu 2017".

Blog ini mulanya tidak berniat pun memalukan kerajaan negeri dan Menteri Besar dengan pendedahan ini tetapi terengganutoday memang BEBAL kerana tidak mengetahui siapa yang datang pada malam itu.

Jika tidak benar, sila Menteri Besar atau pegawai kanan kerajaan negeri jawab atau menafikan yang datang malam itu semuanya pelancongan dari negara ASEAN.

Apakah dianggap MENGHASUT apabila mengatakan perkara sebenar yang Menteri Besar kena tipu?

Juga Menteri Besar mesti berani menjawab segalanya dan jangan main ‘baling batu sembunyi tangan’ dan menjawab melalui terengganutoday.

Dedahkan siapa di belakang Forte Hospitality Management Sdn Bhd (selepas ini dirujuk sebagai Forte)?

Sekali lagi diulangi, kebanyakan mereka yang datang ke Terengganu 3 Januari lalu adalah ahli kepada ‘skim pelaburan’ Monspace Group.

Bukankah seorang EXCO  dan anak EXCO yang mendapat elaun RM15,000 sebulan dan dikatakan menjadi ejen mengutip pelaburan skim cepat kaya RM600 sesaham?

Mereka berselindung di sebalik syarikat agen pelancongan, yang pejabatnya di daerah Hulu Terengganu.

terengganutoday perlu memikirkan nasib yang akan menimpa rakyat Terengganu yang melabur dalam skim cepat kaya ini daripada  mempertahankan individu yang bersekongkol dengan syarikat skim cepat kaya yang sedang bergerak bebas di BAWAH HIDUNG PEJABAT MENTERI BESAR DAN KERAJAAN NEGERI.

Blog ini bukan mahu mencipta sensasi atau persepsi buruk terhadap kepimpinan kerajaan yang diterajui oleh Ahmad Razif tetapi memikirkan masa depan pelabur yang terdiri daripada rakyat Terengganu dan juga Ahmad Razif dan kerajaan negeri yang ditipu’hidup-hidup’.


Siapa di atas pentas pada malam meraikan ‘3,000 pelancong negara Asean’ di Gong Badak itu jelas membuktikan bahawa Ahmad Razif dan kerajaan negeri merestui Datuk Seri Jesica Lai, apalagi Monspace Group menganugerahkan pula sijil penghargaan kepada negeri sebagai ‘tanda terima kasih’.

Terima kasih dan pengiktirafan untuk apa?

Jika tidak benar apa yang ditulis oleh blog ini, Menteri Besar atau pegawai kerajaan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) boleh menafikannya.

Mengejutkan kerana sebelum ini syarikat ini menurut China Press yang dipetik FMT pada 27 Julai 2016 mendedahkan lima syarikat yang didaftarkan di bawah MonSpace adalah syarikat kosong yang tidak mempunyai sebarang aset mahupun modal.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengesahkan lima syarikat itu adalah Mon Space (M) Sdn Bhd, Mon Space City Sdn Bhd, Mon Space Media Entertainment Sdn Bhd, Mon Space F&B Sdn Bhd dan Mon Space Synergy Power Sdn Bhd.

Ahmad Razif, kalau tidak mahu menjawab sebagai Menteri Besar boleh jawab sebagai Exco Pelancongan (portfolio yang dipegangnya sejak Ogos lalu selepas mengambilnya daripada Datuk Mohd Jidin Shafie.

Juga sila jawab soalan-soalan berikut:

1. Siapa mencadang dan membawa syarikat berkaitan MonSpace Group untuk terlibat dalam kerja-kerja mempromosi Tahun Melawat Terengganu yang dikenali sebagai  Visit Beautiful Terengganu 2017(VBT 2017)?  Syarikat itu datang sendiri menawarkan diri?

Menurut laporan The Star, Ketua Pegawai Eksekutif Monspace Group, Datuk Seri Jessy Lai, “The company will continue its close partnership with the state government to popularise Terengganu as a travel destination.” Matlamat Monspace ialah menawarkan15,000 pengunjung ke Terengganu.

2. Apa kaitan Monspace Group dengan Mon Space Sdn Bhd serta Forte yang sedang bergerak aktif di Terengganu sekarang? Forte dikatakan konsortium yang menguruskan perhotelan pelancong dan kenapa tidak kedapatan dalam search dilakukan melalui Google terhadap Forte?

Apa nombor  pendaftaran syarikatnya? Untuk makluman: INI BUKAN SUATU TUDUHAN TETAPI PERMOHONAN UNTUK PENCERAHAN.

3. Siapa di belakang Forte? Benarkah ada anak seorang Exco terlibat dalam syarikat berkenaan atau syarikat yang ada kaitan dengan Forte yang ditubuhkan bertujuan mengurus dan  menarik pelancong ke Terengganu sambil menjual pakej pelancongan? Forte beribu pejabat di Kuala Lumpur atau di mana dan kenapa website syarikat itu tidak boleh dicapai?

Yang ditekakan di sini ialah, tidak jadi masalah jika syarikat berkenaan tulen dan bersih. Kebimbangan ialah wujud penipuan dalam konteks kepentingan. Memalukan jika dilaporkan pula oleh media, termasuk media antarabangsa, bahawa Menteri Besar dan kerajaan negeri bersekongkol dengan syarikat kontroversi?

4. Benarkan anak EXCO yang duduk dalam syarikat berkaitan Forte  itu mendapat elaun sebanyak RM15,000 sebulan? Selain itu , selain tujuan promosi pelancongan,  syarikat yang ditubuhkan di Terengganu ini ada kaitan dengan kerja atau menjadi pengutip pelaburan kira-kira RM600 bagi satu saham melalui skim cepat kaya yang memang menjadi teras perniagaan Mon Space Sdn Berhad?

Kenapa berurusan dengan syarikat yang dilaporkan mengutip pelaburan tanpa lesen?

Kita hanya mampu berdoa kepada Allah swt supaya jangan skim ini berkesudahan dengan penipuan berjuta ringgit seperti skim ‘Umrah Guru’ yang heboh diperkatakan baru-baru ini. Kutipan wang RM600 bagi sesaham itu sedang giat dijalankan di Terengganu.

Apakah dengan ‘bekerjasama’ atau apa juga perkataan yang berkaitan dengannya - Ahmad Razif dan kerajaan Terengganu sanggup dikait dan dipersalahkan,  jika ada sesuatu yang buruk dimasa hadapan?

5. Mon Space menggunakan kerajaan negeri untuk ‘mengesahkan kewujudnya di Terengganu’ sebagai serampang dua mata, iaitu mempromosi pelancongan tetapi di sebalik itu bergerak melalui skim cepat kaya mereka.

   Tahukah Ahmad Razif dan kerajaan negeri bahawa skim cepat kaya melalui syarikat milik Monspace Group sebelum ini, iaitu  YSLM pernah dijalankan di Pantai Barat pada 2014 secara haram? 

   Dulangi bahawa Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Pengguna mengatakan syarikat di bawah Zhang tidak pernah berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat dan siasatan mendapati pengasasnya  Zhang Jian datang ke Malaysia untuk membina syarikat skim piramid cepat kaya melalui YSLM.

Berikutan itu, kementerian melakukan tindakan penguatkuasaan di mana pada Julai  2014 dengan meramas semua aset dan menutup cawangan YSLM di negara ini.

Diulangi juga, Zhang ditahan oleh pihak berkuasa Thailand di Phuket pada Oktober 2014 kerana berjaya memperdaya pelabur Malaysia dan China berjumlah hampir RM1 bilion.

Benarlah kata The Star dalam satu laporannya pada 28 julai 2016 bahawa “Owner of airline no stranger to controversy”

6. Apakah mana-mana syarikat boleh datang dan naik pentas majlis kerajaan begitu sahaja kalau tidak ada kebenaran dan restu Menteri Besar  dan kerajaan Terengganu? Malah syarikat itu mendapat pula tempat istimewa dan bukankah dengan menerima apa juga ‘hadiah’ daripada MonSpace Group termasuk sijil penghargaan itu menggambarkan ia  suatu recognition sah syarikat berkenaan bekerjasama dengan kerajaan negeri? Bagaimana mengatakan ia tidak ada kaitan dengan kerajaan negeri?

7. Kenapa benarkan sebuah syarikat kontroversi dan berikan  kepercayaan penuh kepadanya? Hasil saranan siapa? Apa istimewanya syarikat ini dan tidak adakah syarikat lain yang lebih ‘suci dan bersih’ mampu melakukan kerja untuk menggalakkan pelancongan di Terengganu?

   Tahukah kerajaan negeri dan Ahmad Razif sendiri bahawa MonSapce dikenakan denda kelmarin  (9 januari 2017) kerana kononnya ada  syarikat penerbangan sendiri dan membuat penerbangan dalam negeri tanpa ada lesen dan kebenaran?

Apa kesudahannya? Ini petikan laporan oleh FMT pada 9 Januari 2017 (kelmarin) yang masih panas:

Suasa Airlines Sdn Bhd (Suasa Airlines) didenda RM380,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana beroperasi tanpa Permit Perkhidmatan Udara (ASP) yang sah dalam perjalanan antara Kuala Lumpur dan Langkawi.


Hakim Harith Sham Mohamed Yasin menjatuhi hukuman itu selepas wakil syarikat berkenaan mengaku bersalah atas pertuduhan membawa penumpang untuk sewa atau upah dalam perjalanan tidak berjadual di antara Kuala Lumpur dan Langkawi tanpa ASP yang sah.

Suasa Airlines melakukan kesalahan itu pada Julai tahun lepas, di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor, mengikut Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015.

Syarikat itu membayar denda tersebut. Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam Mohamad Abazafree Mohd Abbas dan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz.”

   Ini antara salah satu perbuatan perbuatan menyalahi undang-undang tetapi sangat baik di mata Ahmad Razif dan kerajaan negeri?

   Siapa pemilik dan yang dikaitkan dengan pesawat ini kalau bukan Monspace Group?

Kenapa tidak tapis dahulu jenis syarikat apa yang mahu dijalinkan kerjasama?

8. Benarkah syarikat ini dibawa masuk melalui bekas Exco Pelancongan Datuk Mohd Jidin Shafie? Apa kaitan syarikat ini dengan EXCO berkenaan?

9. Pada majlis di Gong Badak, tanyalah pegawai kerajaan yang bertugas, benarkah meja goodies runtuh kenapa ‘pelancong ASEAN ‘yang datang itu berebut-rebut untuk mendapatkan cenderamata demikian? Jenis pelancong apa ini? TIDAK ADA KELAS LANGSUNG!!!

   Juga diumumkan ada pemberian lukisan atau ikan bernilai RM380,000 kepada Ahmad Razif atau mungkin untuk kerajaan negeri? Apa ada dengan penerimaan hadiah itu?

10. Apakah terengganutoday berhasrat menggalakkan perbuatan salah guna hak mutlak kerajaan negeri apabila mengatakan: “Jika saya sendiri berminat untuk mempromosikan Terengganu, besar kemungkinan saya juga akan meletakkan nama saya beserta tagline tersebut bagi kemudahan saya menjual pakej-pakej pelancongan di negeri ini. Malah sebuah bonus pula bagi saya jika usaha saya membawa sejumlah pelancong ke sini diiktiraf dan diraikan pula oleh Kerajaan Negeri Terengganu. Itu sudah pasti dapat meningkatkan kredibiliti perniagaan saya di mata pelanggan-pelanggan saya pada masa akan datang.

  Tagline selalunya dikaitkan dengan penaja. Contohnya pada 1990-an nama Liga Malaysia disebut sebagai DUNHILL LIGA MALAYSIA kerana ditaja oleh Dunhill. FA Malaysia sudah pasti tidak membenarkan Dunhill menggunakan nama itu sewenang-wenangnya jika kalau bukan penaja.

   Kenapa di England, Piala FA kini dikenali dikenali dengan The Emirates FA Cup? Ia ada kaitan dengan penajaan yang dibenar dan dihalalkan.

   Namun dalam konteks Monspace Froup, ia senang-senang sahaja meletakankan nama syarikatnya dengan menyebut sebagai 'The MonSpace Visit Terengganu Year 2017'.

Adakah dia membayar atau menaja tahun melawat Terengganu 2017?

   Apakah yang tersirat?

Pertama, blog ini cuba menyedar dan membersihkan nama Ahmad Razif dan kerajaan negeri bahawa dengan bersekongkol dengan’penipu’ itu akan menjejaskan reputasi mereka. Bila reputasi terjejas ia akan memabawa implikasi yang buruk di masa hadapan. Kenapa buka ruang untuk kritikan?

Kedua, kenapa Ahmad Razif dan kerajaan negeri tidak diberikan maklumat sebenar mengenai syarikat Monspace ini? Ada ‘udang di sebalik batu?” Atau Ahmad Razif memang mahu syarikat ini bekerjasama dengan kerajaan negeri?

Ketiga, menjauhkan diri daripada syarikat skim cepat kaya akan membantu rakyat terjerat dengan skim itu. Kini tidak diketahui  sudah berapa ramai yang  melabur sebanyak RM600 untuk cepat kaya. Memburukkan keadaan ia syarikat ini dibantu oleh mereka di Terengganu yang ada kepentingan dengan syarikat berkenaan.

Keempat, penulisan blog ini dianggap sampah tetapi apabila akan ada siasatan kementerian dan polis mengenai skim ini selepas ada laporan nanti, siapa kelak yang sampah sebenarnya?

Kelima, dedahkan MOU syarikat Forte atau Monspace Group dengan kerajaan Terengganu dan berapakah anggaran sebenar jumlah pelancong asing yang akan datang atau ahli Monspace Group dari luar negara yang akan datang ke Terengganu; dan

Keenam, nafikan syarikat Forte atau Monspace Group tidak ada kaitan dengan keluarga salah seorang EXCO Terengganu yang nyata mempunyai conflict of interest dalam isu ini.

Kenapa Ahmad Razif dan kerajaan negeri benarkan semua ini berlaku????




Monday, January 9, 2017

PKR, AMANAH, DAP Persoal Guna Jet Kerajaan Untuk Bercuti...


Kenapa mesti pegawai khas isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor yang mempertahankan tindakan Perdana Menteri menggunakan pesawat kerajaan untuk bercuti di Australia baru-baru ini?


Apakah beliau jurucakap kerajaan?

Kalau sekadar pembantu Rosmah, kenapa pula beliau bagai seseorang yang berautoriti untuk bercakap bagi pihak Perdana Menteri?

Menurut Rizal, Datuk Seri Najib Razak  tidak seperti orang lain ketika ayah mempunyai banyak masa diluangkan bersama keluarga, si ayah (Perdana Menteri) bekerja tujuh hari seminggu, keluar rumah pagi hari dan pulang lewat malam.

Dan anak beriadah dengan mengayuh basikal dan seperti mana orang lain, mereka mahu lakukan aktiviti bersama.

Amat nyata tindakan mempertahankan Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor jauh di luar konteks yang diperkatakan oleh pembangkang mengenai bagaimana Najib menggunakan masa berkualiti itu.

Kontroversi yang ditimbulkan pembangkang bukan mengenai bagaimana Najib dan Rosmah bersama anaknya sewajarnya menikmati percutian sebagai satu keluarga.

Tetapi yang dipersoalkan ialah bagaimana  Perdana Menteri menggunakan jet kerajaan yang dikesan di beberapa lokasi di mana keluarganya bercuti.

Perbuatan seperti ini menjadi teguran setiap akhir tahun namun Perdana Menteri dan isterinya bagai memekakkan telinga.

Ketua Pemuda DAP Wong Kah Who mengemukakan pertanyaan sama ada terdapat sebarang salah guna kuasa oleh Perdana Menteri yang terbang dengan keluarga ke seluruh dunia menggunakan jet kerajaan dan bukan untuk tujuan rasmi.

Wong...salah guna kuasa?
Malaysiakini sebelum ini melaporkan jet kerajaan 9M-NAA itu dikesan terbang merentasi Australia ketika keluarga Najib bercuti di sana, berdasarkan gambar yang dimuat naik di media sosial oleh anaknya, Norashman.

Mengulas perkara itu sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata Najib berhak menggunakan jet untuk tujuan peribadi.

Bagaimanapun, Wong berkata Nur Jazlan gagal menunjukkan sebarang dokumen mengenai hak dan kelayakan Najib menggunakan pesawat tersebut.

Selepas laporan Malaysiakini berdasarkan data dari laman web pengesanan penerbangan flightaware.com, maklumat mengenai jet kerajaan titu dibuang daripada laman web berkenaan yang dikatakan atas permintaan pemilik jet.
Data penerbangan itu juga tidak ada di laman web pengesanan penerbangan popular, Flightradar24.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad pula berkata memang hak Najib sekeluarga untuk bercuti tetapi sikap Perdana Menteri Datuk yang  gemar bercuti secara bermewah di luar negara pada hujung tahun menunjukkan sikap acuh tak acuh terhadap penderitaan yang dirasai rakyat Malaysia.

Raja Bahrin...sensitif dengan kesusahan rakyat.
Menurutnya, sementara menjadi hak bagi Najib untuk bercuti dengan keluarganya, perdana menteri perlu berbuat demikian pada masa yang sesuai.

Buatlah dengan menggunakan duit sendiri dan masa tersendiri dengan sensitif kepada realiti kesusahan yang sedang dihadapi rakyat hari ini.

"Adakah Perdana Menteri sedar masa yang sukar kepada negara ini ekoran kos menjalani kehidupan yang semakin meningkat kerana beliau sendiri luluskan kenaikan harga petrol baru-baru ini," kata Raja Kamarul Bahrin dalam kenyataan.

Jelas beliau, ketika Najib dan keluarganya menikmati percutian luar negara, rakyat sedang bergelut dengan banjir, perbelanjaan persekolahan dan bayaran cukai pendapatan, antara lain.

Sebelum ini pada 4 Januari lalu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, mengulas percutian Perdana Menteri ini berkata, ketika keadaan ekonomi negara yang suram, Najib  tidak sepatutnya mengadakan perjalanan untuk percutian mewah di luar negara.

Walaupun beliau bersetuju dengan pendapat seorang menteri bahawa faktor keselamatan adalah antara sebab mengapa Najib berhak menggunakan kemudahan berkenaan atas kapasitinya sebagai perdana menteri, Rafizi berpendapat, pertimbangan perlu diambil mengikut keadaan semasa kewangan di Malaysia.

Kata Rafizi perdana menteri juga melaksanakan dasar pengurangan peruntukan pada Belanjawan 2017.
"Perbelanjaan jet kerajaan sepatutnya satu daripada keutamaan dipotong. Beliau tidak boleh terus menggunakan jet peribadi awalaupun untuk penerbangan domestik. Ini bertentangan dengan dasarnya.

"Saya menjangkakan kerajaan membelanjakan kira-kira RM70 juta setajun untuk meminjam dan mengendalikan semua lima jet rasmi," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) Dr Hatta Ramli berkata, percutian Najib dan keluarganya dibuat ketika ada rakyat di negara ini hadapi musibah banjir.

"Ketika ada orang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Kelantan, perdana menteri kita menaiki kapal terbang ke sana sini.

"Ini membuatkan rakyat tertanya-tanya sama ada perdana menteri memahami penderitaan kita," katanya.
Tambahan pula, kata anggota parlimen Kuala Krai itu, Najib boleh saja menghabiskan percutiannya di Malaysia berbanding ke luar negara.

"Dia tidak cukup sensitif. Saya tak pasti sama ada Malaysia berhak mempunyai perdana menteri yang begitu," katanya.


Rizal dalam catatan di Facebooknya kelmarin berkata "Dalam setahun mungkin 10 hari sahaja si ayah benar-benar dimiliki oleh keluarga. 355 hari lagi mereka terpaksa berkongsi ayahnya dengan rakyat.”

Friday, January 6, 2017

Individu, Syarikat Kontroversi Dapat Kepercayaan Ahmad Razif?

Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Monspace Multinasional Corp, Datuk Seri Jessy Lai (dua dari kanan) pada majlis di Stadium Tertutup Gong Badak, malam 2 Januari lalu.
Apa sudah jadi dengan kerajaan dan rakyat Terengganu?

Apakah kes penipuan yang dihadapi hampir 4,000 guru akibat ‘skim umrah tipu’ yang diperkatakan mutakhir ini,  akan menimpa pula kepada kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan rakyat negeri ini?

Sebuah syarikat dikatakan memainkan peranan untuk menarik kedatangan pelancong China dan negara Asean sempena Visit Beautiful Terengganu 2017 (VBT 2017).

Kerajaan negeri dengan bangganya memberi kepercayaan kepada individu dan syarikat berkenaan untuk membawa pelancong asing ke Terengganu, sedangkan sayarikat itu penuh kontroversi.

Malah pada pelancaran VBT 2017, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Monspace Multinasional Corp, Datuk Seri Jessy Lai turut memberi keyakinan kepada  Ahmad Razif bahawa pihaknya akan mengatur kedatangan pelancong  dari China, Asean, Asia Barat dan Afrika Utara.

Jessy Lai adalah pengasas Mon Space Group yang merupakan bekas pembantu Zhang Jian yang mendakwa dirinya lelaki terkaya di dunia.

Jessy Lai adalah pengasas syarikat jualan langsung, YSLM, yang dikatakan menjalankan perniagaan sekitar 2014 di Malaysia dan Thailand dan disahkan tidak berdaftar dengan SSM.

Ia juga  menjalankan perniagaan tanpa lesen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Jessy Lai kembali menjadi perhatian media tahun ini susulan syarikat penerbangan baru, Suasa Airlines yang didakwa beroperasi secara komersil tanpa permit disiasat oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Tidak diketahui bagaimana syarikat ini mendapat kepercayaan yang sebegitu tinggi oleh kerajaan negeri sehinggakan ia turut diraikan pada majlis makan malam Meraikan Pelancong ASEAN di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, malam 2 Januari lalu.

Lebih mengelirukan, pada Facebook syarikat itu, ia menyebut 'The MonSpace Visit Terengganu Year 2017', apakah ia penaja bersama?


Berapakah  peruntukan disumbangkannya untuk menjayakan program negeri ini jika melabelkan tagline sedemikian?

Bukan mengkritik atau mahu merendahkan kerjasama ini namun, apakah kerajaan negeri khususnya Ahmad Razif yang kini memegang portfolio pelancongan sudah menapis syarikat berkenaan untuk dijalinkan kerjasama?

Dengan memberikan tanggungjawab itu, syarikat negeri sanggup menanggung risikonya?

Tidak pedulilah sama ada kesemua yang hadir pada majlis makan malam itu pelancong luar negara atau yang dibawa dari Kuala Lumpur itu sebahagian kecil sahaja pelancong asing. Matlamatnya walaupun yang lain dibayar tujuannya adalah untuk menunjukkan ramainya pelancong Luar negara  ke Terengganu.

Kebimbangan yang nyata ialah syarikat ini  - Kumpulan Monspace Multinasional Corp, dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk  Seri Jessy Lai, sebelum ini menimbulkan banyak kontroversi.

1.       Moonspace Airlines


Pada 24 Julai 2016 – Kementerian Pengangkutan mengatakan pihaknya tidak tahu wujudnya sebuah syarikat penerbangan yang dikenali dengan MonSpace Sky Airline, di sebalik pelancarannya yang gilang gemilang di Subang dua hari sebelum itu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan kerajaan tidakpun meluluskan sebarang lesen untuk syarikat penerbangan baharu.

Selain itu syarikat berkenaan tidak mempunyai lesen untuk pesawatnya membuat penerbangan.

Monspace Sky Airlines tidak sepatutnya dibenarkan terbang. "Ini adalah kesalahan yang sangat serius. Bagaimana anda boleh terbang tanpa lesen?," kata Tiong Lai

Monspace Sky Airlines, yang didakwa beroperasi di bawah Suasa Airlines Sdn Bhd dikatakan melancarkan penerbangan sulungnya dari Lapangan Terbang Subang ke Langkawi pada 22 Julai 2016 .
  
Bagaimanapun pada 10 August 2016, kerajaan mengatakan Suasa Airlines tidak bersalah menggunakan pesawatnya bagi tujuan mengiklan MonSpace Sky Airline bagi pihak Mon Space Sdn Bhd.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata iklan itu sah dan penerbangan Kuala Lumpur ke  Langkawi PADA 22 Julai itu diluluskan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Sebuah pesawat dipunyai oleh Suasa Airline membawa logo dan ikan Mon Space terbang sebagai pesawat bukan perniagaan dari Kuala Lumpur ke Langkawi itu menimbulkan berbagai spekulasi kononnya wujud satu lagi syarikat penerbangan baru tanah air.

Walaupun  siasatan berhenti setakat itu tetapi pertanyaan tetap wujud mengenai "Mon Space Sky Airlines" kerana tidak ada syarikat sedemikian didaftarkan dan bagaimana Suasa Air boleh mengiklankannya bagi pihak  Mon Space Sdn Bhd.

2.      Syarikat MLM Mon Space


Pada Jumaat  8 Januari 2016,  DAP membuat satu laporan kepada Bank Negara mengenai sebuah syarikat skim cepat kaya terhadap Mon Space (M) Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng yang membuat laporan itu mendakwa syarikat berkenaan menggunakan strategi MLM bagi tujuan berkenaan.

Dilaporkan oleh The Star, pada 2014 Jessy Lai, iaitu pengedar kanan dan pegawai media Yun Shu Mao – lebih dikenali sebagai YSLM atau CDTUP di Malaysia – memulakan  sebuah syarikat pemasarab multi-level  yang diasaskan di China oleh Zhang Jian.

Zhang mendapat perhatian selepas adanya papan iklan besar yang dipasang di Pulau Pinang menagung-agungkan dirinya sendiri kononnya ‘orang paling kaya di masa hadapan di dunia’ dua tahun lalu.

Jessy Lai dilaporkan berkata YSLM sudah ‘menukar kehidupannya’ dan berterima kasih kepada “big brother Zhang” yang membantunya mengecapi kekayaan dan nasib bertuah.

Zhang Jian
Bagaimanapun Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Pengguna mengatakan syarikat di bawah Zhang tidak pernah berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat dan siasatan mendapati Zhang datang ke Malaysia untuk membina syarikat skim pyramid cepat kaya melalui YSLM.

Berikutan itu, kementerian melakukan tindakan penguatkuasaan di mana pada Julai  2014 dengan meramas semua aset dan menutup cawangan YSLM di negara ini.

Di sebalik itu, Jessy Lai tetap mengatakan YSLM adalah perniagaan halal dan menyalahkan media kerana wujudkan serangan bersepadu ke atas syarikat miliknya.

Beliau memberitahu China Press jika mereka menipu, tidak akan memulangkan wang kepada ahli yang mahu keluar daripada skim pelaburan itu.

Langkah tegas kementerian itu bagaimanapun gagal mengesan di mana Zhang dan melalui satu panggilan oleh Jessy Lai pada 1 Ogos 2014, mereka bercakap dengan Zhang yang mengatakan beliau di Bangkok dan tidak akan kembali ke Malaysia.

YSLM diisytiharkan haram di China tetapi terus beroperasi di Thailand dan Malaysia.

Zhang kemudian ditahan oleh pihak berkuasa Thailand di Phuket pada Oktober 2014 kerana berjaya memperdaya pelabur Malaysia dan China berjumlah hampir RM1 bilion.

Malah, melalui mesej Whatsapp, ramai juga rakyat Terengganu yang terlibat dan menyumbang sebanyak RM600 seorang untuk skim pelaburan ini.

Sama ada duit itu sudah ‘terbang’ atau dikembalikan tidak diketahui, cumanya yang nyata Jessy Lai masih bebas.

Dia kini begitu rapat dengan Menteri Besar Terengganu hasil daripada VBT 2017.

Ternyata Jessy Lai  yang  bergelut dengan berbagai kontroversi sebelum ini berjaya memboloskan dirinya dengan bijak dan kini menempatkan dirinya di kalangan orang penting untuk projek menarik pelancong ke Terengganu.

Laporan The Star pada Khamis, 28 Julai 2016, bertajuk Owner of airline no stranger to controversy menceritakan segala-galanya tetapi hairan bagaimana Menteri Besar sebagai Exco Pelancongan negeri boleh terpengaruh dan mempercayai individu ini.

3. Syarikat sekadar rangka kosong


Jika berasaskan laman rasmi Mon Space Group, perniagaan yang dijalankan kumpulan itu termasuk sektor kewangan, makanan dan minuman, hartanah, telekomunikasi, hiburan, e-dagang dan sebagainya.

Maklumat SSM menunjukkan kumpulan itu mendaftarkan pelbagai perniagaannya antara 2014 hingga 2015 dengan kesemua syarikat itu tidak mempunyai sebarang dana simpanan atau wang tunai.

Bukan itu sahaja, kelima-lima syarikat itu juga mempunyai nama lain sebelum ini yang bermakna ia adalah syarikat lama yang diubah nama.

Satu laporan China Press yang dipetik FMT pada 27 Julai 2016 mendedahkan lima syarikat yang didaftarkan di bawah Mon Space adalah syarikat kosong yang tidak mempunyai sebarang aset mahupun modal.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengesahkan lima syarikat itu adalah Mon Space (M) Sdn Bhd, Mon Space City Sdn Bhd, Mon Space Media Entertainment Sdn Bhd, Mon Space F&B Sdn Bhd dan Mon Space Synergy Power Sdn Bhd.

Perniagaan yang diceburi lima syarikat itu termasuk hartanah, bon dan sekuriti, jual beli produk, sektor pembinaan, import serta eksport pelbagai barangan.

Pegawai SSM memberitahu akhbar berbahasa Cina itu, kebiasaannya ia akan menyatakan jenis perniagaan dikendalikan sesebuah syarikat itu, seperti import eksport, jualan langsung atau jual beli dan sebagainya.

Bagaimanapun, jelasnya, sesetengah pengendali akan menubuhkan syarikat terlebih dahulu dan menjadikan ia “dormant” sebelum arah tuju perniagaan ditentukan dan diubah dalam maklumat pendaftaran.
  

Pendedahan ini dibuat kerana ada beberapa mesej Whatsapp mengatakan yang menghadiri majlis makan malam di Stadium Tertutup Gong Badak beberapa malam lalu,  bukan semuanya pelancong dari luar Malaysia.

Oleh kerana masalah mendapatkan kecukupan jumlah pelancong asing dijanjikan, dikatakan turut diselitkan orang tempatan.

Mereka turut dibayar dan datang ke Terengganu dengan bas percuma, menetap percuma dan makan percuma.

Persoalannya siapa bayar untuk mereka?

Apakah Menteri Besar sudah di ‘kong-kali-kong’ dan apakah kerajaan Terengganu mengeluarkan belanja untuk membayar kesemua itu?

Biarkah yang bertanggungjawab menjawab.

Yang diharapkan kerajaan negeri lebih berhati-hati dan mencemarkan imejnya dengan menjadikan individu dan syarikat penuh kontroversi menjadi penganjur, penasihat atau yang membantunya demi maruah dan integriti kepimpinan dan kerajaan negeri.