Sunday, June 28, 2009

JANGAN IKUT ETIKA SYAITAN

Sumber: Mingguan Malaysia (28 Jun 2009)

SEPERTI diduga, apabila Mufti Perak, TAN SRI HARUSSANI ZAKARIA mengeluarkan kenyataan mengkritik gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa parti Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan sesama Islam, beliau telah menerima kecaman yang hebat.

Pandangan Harussani tidak lagi dilihat sebagai pendapat seorang ulama yang harus dihormati tetapi beliau dikecam dan dituduh sebagai menyokong UMNO. Segalanya berlaku apabila Harussani menyuarakan kekesalan berikutan kegagalan merealisasikan kerajaan perpaduan Pas dan UMNO. Beliau diserang habis-habisan di dalam blog-blog tetapi beliau tidak peduli semua itu.

‘‘Saya bercakap yang hak (benar), dalam Islam mengeratkan silaturahim antara saudara Islam adalah wajib, jadi saya hairan daripada rujukan mana sesetengah pihak itu ambil sehingga sanggup mencela saudara seagama,” katanya dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan MOHD. RADZI MOHD ZIN di pejabatnya di Ipoh, Perak.

Walaupun sekali sekala dalam berhujah, Harussani menyelitkan kata-kata gurauan namun nada beliau sentiasa serius apabila menekankan soal perpaduan Melayu dan umat Islam.

Bagi Harussani, masa depan golongan itu dalam semua bidang termasuklah politik akan berhadapan dengan bahaya, jika mereka terus berpecah belah.

Harussani juga kecewa kerana ada sesetengah ahli politik begitu mudah mengeluarkan hujah yang mengelirukan dan mencela sesama Islam. Oleh itu beliau mengingatkan dalam apa pun perkara berkaitan hubungan sesama Islam, jangan sesekali mengikut etika syaitan.

MINGGUAN: Apa pandangan Tan Sri berhubung kegagalan pembentukan kerajaan perpaduan, yang sekali gus menggagalkan usaha untuk menyatukan umat Islam di dalam UMNO dan Pas?

HARUSSANI: Sebagai orang Islam kita berpegang kepada Rukun Iman dan salah satunya ialah percaya kepada Allah, yang bererti kita mengucap dua kalimah syahadah, apabila kita mengucap dua kalimah syahadah kita masuk kumpulan muslim.

Apabila kita sudah masuk dalam kumpulan muslim, Allah sudah 'ikat' kita melalui firman-Nya dalam surat al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud, "Sesungguhnya orang Muslim itu adalah bersaudara kerana ini damaikanlah antara keduanya saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah semoga kamu mendapat rahmat-Nya."

Manakala Rasulullah SAW pula pernah bersabda bahawa, orang muslim itu adalah saudara bagi orang muslim yang lain, kemudian Nabi kata, siapa sebenarnya orang muslim itu, orang-orang muslim yang selamat daripada keburukan lidahnya dan keburukan tangannya.

Maka itu Rasullullah sendiri dalam membentuk ajaran Islam baginda mempersaudarakan orang Islam.

Maknanya, itulah perjuangan utama kita iaitu mesti mempersaudarakan sesama orang Islam. Ia adalah perbuatan yang sebagaimana dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya bermaksud: … dan peliharalah hubungan silaturrahim… (an-Nisa': 1).

Oleh itu, kalau kita memecah belah orang Islam itu bukan ajaran Islam, itu ajaran syaitan.

Tuhan sudah sebut bahawa syaitan itu bertujuan untuk membangkitkan di antara kamu permusuhan dan pergaduhan. Jadi pada saya, perpaduan itu adalah sesuatu yang cukup mustahak, perkara pokok yang wajib kita usahakan dalam apa bentuk pun. Berdasarkan kepada hujah itu, saya berpendapat, idea kerajaan perpaduan adalah satu idea yang cukup baik dan saya amat bersetuju dengan langkah tersebut.

Kalau kita lihat pada waktu ini, apabila orang Islam berpolitik, mereka berpecah sesama mereka. Ini berbeza dengan kaum lain, orang Cina contohnya, mereka pun berpolitik tetapi walaupun berada dalam parti yang berbeza-beza, mereka bersatu, ertinya mereka berpecah untuk mendapatkan sesuatu sedangkan kita berpecah untuk menghilangkan sesuatu.

Mereka (orang Cina) berpecah supaya banyak suara atau banyak jurusan bagi membolehkan mereka menuntut sesuatu demi kepentingan bangsa mereka, begitu juga dengan kaum India, mereka berpecah supaya mereka mempunyai banyak jalan bagi menyuarakan tuntutan atau pandangan. Tetapi bagaimana dengan orang Melayu? Kita memaki hamun sesama kita dan berpatah arang, berkerat rotan.

Ini adalah satu perbuatan yang cukup buruk sekali. Ini bukan daripada etika Islam bahkan ia etika syaitan. Maka itu saya cukup kecewa apabila orang Islam sendiri menolak perpaduan dan lebih mementingkan perpaduan dengan bangsa asing daripada bersama orang Melayu.

Kita jangan lupa kedudukan Melayu dalam negara ini, hanya berapa peratus sahaja. Mungkin kalau kita bandingkan dari segi pecahan Islam dan bukan Islam, mungkin 50-50. Ia bermakna kalau kita berpecah suara kita menjadi minoriti, jadi bila kita hendak berjaya?

Dalam masa 18 tahun kebelakangan ini, ekonomi orang Melayu tidak bergerak, kaum Cina meningkat kepada 42 peratus, India (35 peratus), orang Melayu sudah 18 tahun tidak meningkat. Dalam 18 tahun itu juga, orang India yang sebelum ini berada di bawah orang Melayu kini naik mengatasi orang Melayu, kaum Cina yang sudah tinggi, kini melonjak, orang Melayu ketinggalan di belakang.

Oleh itu, kalau kita berpecah lagi, keadaan umat Islam akan menjadi bertambah buruk. Allah sudah menyatakan perkara ini dalam al-Quran melalui firman-Nya yang mengingatkan kita bahawa jangan kamu berpecah, kamu akan gagal dalam hidup ini.

Akan hilang wibawa kamu dalam masyarakat. Itu Tuhan sudah sebut terang-terang, kenapa kita memilih jalan perpecahan, ini yang saya paling kecewa.

Tetapi Pas tidak mahu bekerjasama dengan UMNO kerana mendakwa pernah ditipu suatu ketika dahulu, apakah ini wajar?

HARUSSANI: Tak kan kerana perkara itu, ia tidak boleh dimaafkan? Kalau itu satu pengalaman tidak bolehkah kita baikinya supaya tidak berulang? Kita sudah ada perjanjian bagi memastikan perkara itu tidak berlaku lagi.

Anak kita pun kadang-kadang buat salah dengan kita tetapi kenapa kita boleh makan bersama semula dan boleh beri nasihat? Allah pun menyeru memohon keampunan kepada-Nya dan menyuruh kita bermaaf-maafan.

Jadi tak kanlah hanya kerana satu peristiwa itu, kita hendak menjadikan sandaran, apakah kita hendak hancur? Ini yang menjadi masalah. Atau kita hendak pakai juga pepatah, biar papa asal bergaya? Maknanya kita jadi hero tetapi kita kalah, kita kecundang, apa gunanya semua itu.

Saya tidak peduli, apa pun orang nak tuduh bila saya bercakap macam ini. Di Kuala Lumpur, orang-orang muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) kata Mufti Perak sudah masuk UMNO, saya tidak pernah masuk mana-mana parti , UMNO pun tak suka saya.

Kalau UMNO tidak betul, UMNO saya 'bantai', kalau raja tak betul, raja saya 'hentam' saya nak kisah apa. Malah suatu masa dulu, Suharto ketika minum bersama saya, bila dia cakap tak betul dari segi hukum berkaitan faedah (bunga) bank, saya tegur. Pada hal seluruh ulama Indonesia sentiasa menyokong apa sahaja yang beliau kata, tetapi saya tidak.

Masalahnya apabila seseorang bertaraf Mursyidul Am dalam Pas bercakap, orang lebih mempercayai kata-katanya biarpun dia mengecam sesama Islam.

HARUSSANI: Kita pun tidak menafikan perangai pemimpin UMNO dahulu, sombong dan berlagak, tetapi sekarang sudah ada kesedaran berhubung kesilapan yang dilakukan.

Tetapi kalau kita masih dengan hujah masing-masing, itulah masalahnya. Kita sudah tengok kaum India yang merupakan kelompok kecil sudah mempunyai suara yang cukup kuat tetapi kita semakin lemah kerana berpecah.

Bagaimanakah kita hendak satukan orang Melayu, kalau penyokong parti masing-masing terus mengamalkan politik sempit?

HARUSSANI: Kita lupakan soal politik, kita balik kepada agama kita, balik kepada Tuhan kerana Islam menyuruh kita bersatu kerana kita bersaudara sesama Islam, haram memutuskan silaturahim. Kembalilah kepada ajaran Islam jangan terlalu banyak politiking.

Kita berpolitik dengan tujuan mentadbir negara sahaja, bukan untuk berkelahi sesama kita, tetapi malangnya apa yang berlaku sekarang apabila orang Melayu kita masuk politik mereka menjadi taksub. Apabila bersikap demikian maknanya orang lain tak betul dia sahaja yang betul.

Contohnya, krisis politik di Perak, apabila pakatan pembangkang membawa kes itu ke mahkamah, pada mulanya mereka menang, mereka seronok. Kemudian apabila UMNO membuat rayuan dan menang, mereka (pakatan pembangkang) kata ini tidak boleh, ini tidak betul.

Persoalannya apakah (keputusan) yang dahulu betul? Tak kan dulu seorang hakim dan sekarang tiga hakim, tiga yang buat salah. Kemudian buat rayuan kepada Mahkamah Agung, lima hakim yang bersidang membuat keputusan yang sama, jadi tak kan kita tidak mahu terima, tak kanlah hakim-hakim itu berat sebelah.

Oleh itu, saya tidak boleh terima tindakan pembangkang tetapi bila saya cakap macam ini mereka kata saya anti Pas, bila keluar kenyataan saya dukacita kerana kerajaan perpaduan gagal, mereka kata patutlah dapat (dianugerah) Tan Sri, sedangkan saya tak tahu fasal 'Tan Sri'.

Sebelum ini saya berada di Mekah, balik sahaja ada surat suruh terima, bukan UMNO yang beri tetapi Yang di-Pertuan Agong.

Ada pihak mengkritik meminta Tan Sri jangan campur urusan politik, apa komen Tan Sri?

HARUSSANI: Saya cuba melihat perjalanan politik mereka dan saya lihat ia tidak betul dari segi syarak, itu yang saya tegur. Begitu juga bila UMNO bersikap tidak adil atau sombong, saya akan tegur.

Dalam soal Pas, saya pun tahu sikit-sikit fasal hukum Islam, oleh itu apabila apabila saya melihat tindakan mereka menyeleweng daripada hukum syarak, itu saya tegurlah. Tak kanlah kerana itu pun nak suruh saya masuk UMNO.

Memang saya tidak tahu politik, kalau nak suruh cakap fasal politik, saya tak tahu, suruh cakap fasal ekonomi, saya bukan ahli ekonomi. Sebab itulah kebanyakan ustaz-ustaz yang menjadi ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), apabila orang bahas ekonomi, dia tidak boleh bercakap. Golongan ustaz-ustaz ini hanya tahu soal dakwah, tidak tahu fasal politik. Kita perlu faham politik ini harus tahu semuanya.

Sebab itu saya tidak mahu terlibat dalam politik, kalau mahu dah lama saya boleh berbuat demikian. Saya fikir kalau saya jadi ahli Parlimen atau ADUN, jika orang bercakap perkara saya tak tahu, buat apa.

Kita tengok dalam Parlimen, apabila bercakap soal agama Islam ia lebih banyak menyentuh soal zakat, wakaf dan urusan pejabat agama, itu sahajakah? Sedangkan banyak lagi perkara yang boleh dibangkitkan, begitu juga ahli UMNO, kalau soal Islam tanya fasal berapa kutipan zakat, sepatutnya tak perlu tanya, itu kita punya.

Adakah dalam soal perpecahan umat Islam ini, para alim ulama harus campur tangan?

HARUSSANI: Selamanya kita sudah memainkan peranan, tiap kali bersyarah saya akan membangkitkan soal perpaduan, soal silaturahim, saya bangkit soal etika permasyarakatan, jangan lupa hukum bermasyarakat kerana kalau kita lupa dan buat silap sikit kita boleh menjadi fasiq, tapi siapa yang peduli?

Ketika memberikan tazkirah sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, semalam (Khamis) saya bercakap sedikit sahaja mengenai sembahyang. Saya tidak kupas berapa rakaat sembahyang, saya tekankan soal firman Allah bahawa sembahyang itu mencegah kamu daripada perbuatan keji dan mungkar.

Bila kita sembahyang, pejamkan mata dan cuba lakukan pembetulan dalam diri, apakah kita mempunyai sifat-sifat seperti ego, takbur, sombong, marah, mengumpat orang dengki atau khianat kepada orang lain.

Kalau ada sifat itu masa sembahyang kena buang, kalau ada sifat itu ketika sembahyang, maka sembahyang kita tidak terpakai, ini Allah tegaskan dalam Firman-Nya yang bermaksud; Celaka bagi orang yang sembahyang tetapi lari daripada hikmah sembahyang itu sendiri. (al-Maa'uun: 4-5)

Itu semua harus dihapuskan, bila sembahyang lahirlah dia sebagai insan Rabbani. Bila kita tidak ada sifat-sifat tak baik itu, kalau dia menjadi pemimpin ia akan menjadi pemimpin yang adil, pemimpin yang bertimbang rasa, bertanggungjawab dan jujur.

Kalau dia seorang bapa dia seorang bapa yang bertanggungjawab, kalau suami dia akan berikan hak kepada isteri dengan sebaik-baiknya, kalau dia isteri dia akan menjaga suami dan anaknya.

Adakah kuasa yang menjadi penyebab atau faktor yang tersirat di sebalik yang tersurat menjadi punca keengganan menjayakan kerajaan perpaduan ini?

HARUSSANI: Jika kuasa menjadi matlamat sampai bila-bila pun perpaduan umat Islam tidak akan dapat dicapai dan pelaksanaan kerajaan perpaduan tidak mampu dilakukan. Sepatutnya, kuasa politik yang kita ada itu digunakan untuk mencapai perpaduan, keadilan dan persaudaraan.

Sebab itulah orang Arab tidak boleh menang melawan Israel. Begitu juga apabila setiap negara mengatakan ia lebih kuat daripada yang lain. Contohnya, Libya dan Mesir, sudah beberapa kali mereka berpecah akibat perbezaan politik. Ia berlaku kerana masing-masing merasakan mereka lebih berkuasa, ini masalahnya.

Kalau kuasa itu menjadi matlamat, maka kita tidak akan berjaya tetapi kalau matlamat kita adalah untuk melahirkan kedamaian, persaudaraan dan keadilan itu maka ia akan berjaya.

Dalam soal ini, kedua-dua parti terlibat, UMNO pun kalau mereka melihat kepada kuasa sahaja, ia tak kan ke mana, saya bukan nak kata kepada Pas sahaja.

Kalau persengketaan ini berterusan apa yang berlaku kepada orang Islam?

HARUSSANI: Jika ini dibiarkan berterusan, orang Islam akan hancur. Bila berpecah, kita akan jadi lemah dan hilang wibawa termasuk kuasa politik. Jika ini berlaku, hancurlah kita, ini yang saya lihat.

Ada bertanya kenapa saya berani bercakap, Saya hanya bercakap yang hak (benar), apa hendak jadi, jadilah. Politik tidak lagi dilihat sebagai alat tetapi bagi mendapatkan matlamat iaitu kuasa, kalau itu tujuannya habislah orang Melayu dan Islam.

Apa yang paling merisaukan ialah keyakinan orang kepada individu bertaraf ulama, akibatnya apa sahaja dia cakap orang akan percaya, biarpun ia boleh memberi kesan yang buruk kepada perpaduan umat Islam, apa komen Tan Sri?

HARUSSANI: Rasulullah pernah mengingatkan takutlah kamu kepada penyelewengan ulama kerana dia mempunyai pengaruh. Tetapi kita sama-sama Islam dan berilmu kita boleh timbang sendiri, jangan kita taksub tak tentu fasal, lepas itu kita gelar orang macam-macam, dari segi syarak itu haram.

Firman Allah: Wahai orang yang beriman, janganlah satu kaum mencela kaum yang lain, boleh jadi mereka yang dicela itu lebih baik daripada yang mencela dan janganlah para wanita mencela wanita yang lain, boleh jadi wanita-wanita itu lebih baik daripada wanita-wanita yang mencela dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri, dan janganlah kamu saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk-buruk… (al-Hurujat: 11).

Tetapi apa yang kita lihat ada panggil orang komunis, ayah pin, ini apa? Tambahan pula yang dengar itu pula orang tak tahu. Contohnya seorang doktor bila dia bagi ubat orang percaya, tok bomoh cerita fasal penyakit barah orang terus percaya sebab dia tok bomoh. Pada hal dia pun tak tahu apa-apa.

Islam menerima perbezaan pendapat. Malah al-Quran dalam surah an-Nisa' ayat 59 menjelaskan bagaimana menghadapi perbezaan pendapat. Soalnya, mengapa terdapat parti-parti politik yang terlibat tidak mahu mentaatinya?

HARUSSANI: Dalam ayat itu Allah berfirman yang maksud-Nya, Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan ulil amri, kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian.

Sepatutnya, sebagai saudara seagama, kita patuh kepada arahan Allah. Kita juga wajib patuh kepada pemerintah selagi mana tidak diarahkan membuat maksiat. Kalau tidak taat, maka kita durhaka. Sekali pun jika pemimpin itu zalim.

Rasulullah SAW bersabda: Bantulah saudaramu baik yang berbuat zalim atau yang dizalimi. Baginda ditanya, Kalau yang dizalim kami boleh menolong tetapi bagaimana dengan yang menzalimi wahai Rasulullah? Baginda menjawab, kamu pegang kedua tangannya atau kamu cegahnya daripada melakukan kezaliman, itulah cara kita menolongnya.

Sepatutnya hubungan sesama Muslim itu penuh dengan kasih sayang bukannya menyemai sikap benci membenci atau keras. Ingatlah firman Allah yang maksud-Nya: Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan baginda adalah keras terhadap orang-orang kafir tetapi berkasih sayang sesama mereka (Muslim)…(al-Fath; 29)

Rasulullah SAW bersabda, "Seorang Muslim itu adalah saudara kepada seorang Muslim yang lain, ia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya kepada musuh… janganlah kamu saling berhasad dengki, janganlah saling bermusuhan dan janganlah kamu saling menipu… jadilah kamu semua hamba-hamba Allah yang bersaudara."

Kesimpulannya, bagaimana kita hendak selesaikan kemelut ini?

HARUSSANI: Kalau ulama perlu ambil peranan untuk selesaikannya, kita harus kembali ke pangkal jalan. Asas utama yang perlu adalah perpaduan, silaturahim dan hormat-menghormati. Perseteruan, pecah belah dan persengketaan adalah ajaran syaitan. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan di antara kamu… (al-Maidah: 9).

Saturday, June 27, 2009

HADI HILANG TARING, HILANG PUNCA


MAULANA ARRIF (malaysiaaktif.com)

24 Jun 2009


Jika saya menjadi ahli Pas, keyakinan saya terhadap daya kepimpinan Haji Hadi Awang sudah terhakis. Barangkali elok juga saya memikirkan siapa yang layak dicalonkan untuk mengambil tempatnya dalam pemilihan akan datang.

Isu kerajaan perpaduan memperjelaskan bahawa Hadi kini kehilangan ciri-ciri penting yang perlu ada pada seorang presiden sebuah parti yang besar dan sepatutnya cukup matang.

Dulu Hadi terkenal sebagai seorang yang cukup tegas dan keras pendiriannya. Bagaimana melalui `Amanat Haji Hadi’ beliau telah melabelkan UMNO secara kias sebagai sebuah parti kafir. Kesan amanatnya itu cukup buruk. Orang-orang Pas memulaukan kenduri orang UMNO, enggan menyembahyangkan jenazah orang UMNO, malah enggan bersolat jemaah dengan orang-orang UMNO.

Ketika itu Hadi yang menempa nama melalui khutbah yang berapi-api di Masjid Rusila dilihat sebagai bakal pemimpin yang akan membawa Pas ke mercu yang lebih tinggi, jika sekalipun tidak dapat mendaulatkan sebuah kerajaan Islam di bumi Malaysia.

Nama Hadi lebih gah apabila Pas berjaya menawan Terengganu dalam pilihan raya umum 1999 dan beliau menjadi Menteri Besar.

Bagaimanapun kepimpinannya tidaklah sehebat yang disangka dan diharapkan apabila Pas kehilangan tampuk kuasa pentadbiran Terengganu kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2004. Hadi hanya memegang jawatan Menteri Besar selama sepenggal.

Mulai saat itu, ramai ahli dan penyokong Pas melihat ketokohan Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz lebih hebat daripada Hadi. Walaupun ucapan Nik Aziz tidak berapi seperti Hadi, ternyata dalam banyak sudut beliau lebih hebat daripada Hadi.

Kelantan masih teguh berpenggal-penggal di bawah pentadbiran Pas yang diketuai oleh Nik Aziz. Ini menjadi faktor utama perbandingan antara beliau dan Hadi yang hanya mampu mentadbir Terengganu selama sepenggal.

Bagaimanapun disebabkan tiada siapa yang berani mencabar Hadi, kedudukannya sebagai Presiden Pas masih utuh sehingga dipilih semula tanpa bertanding pada muktamar Jun lalu.

Hanya Pas kawasan Bukit Bintang yang menongkah arus dengan mencalonkan Nik Aziz bagi jawatan Presiden Pas. Itulah satu-satunya pencalonan protes terhadap Hadi.

Hadi juga kelihatan tidak lagi mendapat sokongan mutlak ahli-ahli Pas apabila beliau tidak semena-mena mengemukakan syor kerajaan perpaduan dengan BN dan menyatakan kesediaan berunding dengan UMNO.

Cadangan Hadi itu menimbulkan polemik besar dalam Pas sehingga bahananya turut merebak ke muktamar yang lalu. Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa ditentang dua penjuru oleh Husam Musa dan Mohammad Sabu.

Nasharuddin walaupun menang, tapi diserang habis-habisan kerana pendiriannya menyokong kuat idea kerajaan perpaduan yang dilontarkan oleh Hadi. Malah Nik Aziz yang sejak awal lagi menyuarakan kecurigaan terhadap idea menubuhkan kerajaan perpaduan itu, kemudiannya mendesak Nasharuddin meletak jawatan setelah isu berkaitan bergema semula selepas muktamar.

Sebelum itu Nik Aziz pernah menegaskan bahawa ``dalam Pas hanya ada seorang nakhoda’’ apabila Hadi terus mengulangi kenyataan mengenai kerajaan perpaduan. Sudah tentulah nakhoda yang Nik Aziz maksudkan itu ialah dirinya sendiri, bukannya Hadi.

Malah dalam ucapan penangguhannya di muktamar tahunan itu, Hadi menegaskan bahawa Islam menganjurkan perdamaian. Jelas beliau merujuk kepada cadangan supaya Pas berunding dan berdamai dengan UMNO demi kepentingan Islam dan Melayu.

Walaupun idea menubuhkan kerajaan perpaduan itu sangat samar, Hadi bertegas mahu meneruskannya walaupun rakan-rakannya daripada PKR dan DAP sedikit pun tidak memberikan isyarat positif. UMNO pula kurang faham apa yang Hadi maksudkan, tapi Presiden UMNO Najib Tun Razak menyambut positif dengan membuka pintu kepada sebarang bentuk rundingan.

Orang Melayu yang juga kurang faham kerana Hadi tidak pernah memperincikan ideanya, tetapi mereka tetap beranggapan bahawa Presiden Pas itu berniat baik demi masa depan bangsa dan agamanya.

Tiba-tiba…sebagaimana mendadaknya Hadi melontarkan cadangan kerajaan perpaduan tersebut, begitu jugalah beliau menarik balik selepas berunding dengan Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Ini telah memberikan gambaran bahawa pengaruh Pas dalam pakatan pembangkang amatlah lemah. Ia juga menunjukkan bahawa Hadi sudah hilang kelayakan untuk memimpin Pas ke mercu yang lebih tinggi.

Hadi boleh dilihat sebagai seorang yang berfikiran kabur, tidak tegas, berdolak-dalik dan berpendirian lemah kerana mudah tunduk kepada Anwar dan Kit Siang. Sifatnya ini amat bertentangan dengan seorang yang pernah mengkafirkan UMNO kononnya kerana tidak melaksanakan hukum hudud dan bekerjasama dengan parti-parti bukan Islam.

Pada hari ini, Pas di bawah Hadi telah melaungkan slogan `Pas Untuk Semua.’ Bukan Islam juga diterima sebagai ahli Kelab Penyokong Pas, malah ada ura-ura untuk membuka pintu keahlian kepada mereka.

Di bawah Hadi, Pas kini bukan sekadar bekerjasama dengan DAP dan PKR yang sekular, tapi tunduk pula kepada mereka.

Jika pada suatu hari nanti mala petaka menimpa umat Islam dan orang Melayu di Malaysia, pencatat sejarah janganlah lupa merakamkan nama Hadi Awang sebagai penyumbang besar kepada mala petaka itu.

Friday, June 26, 2009

MUFTI PERAK KURANG ILMU?

Tidak tahulah apa sindrom yang melanda Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mungkin kerana dendam atau marah kerana Barisan Nasional (BN) dikatakan ‘menendang PAS’ keluar pakatan itu.

Akhir-akhir ini beliau begitu lantang membantai orang lain.

Terbaru Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pula menjadi sasarannya.

Bukan itu sahaja. Nik Aziz menganggap PAS sama atau setaraf dengan Nabi Muhamad s.a.w.
Menurut laporan terbaru Harakahdaily, Nik Aziz disebut sebagai berkata Harussani dianggap tidak terdedah dengan sejarah politik Islam sehingga menganggap PAS sebagai punca perbalahan orang Melayu di negara ini.

Kalau betullah PAS menjadi punca balah, maka Nabi Muhammad saw juga menjadi punca masyarakat Arab ketika itu berbalah.

"Ini kerana PAS meniru apa yang dilakukan Nabi Muhammad saw. Apakah Nabi Muhammad saw menjadi punca belah. Sedangkan apa yang berlaku punca pecah belah datang daripada orang yang lawan Islam," kata Nik Aziz.

Mursyidul Am PAS itu bertanya sekarang siapa punca berpecah belah, parti Islam atau parti kebangsaan yang berteraskan sekular.

Menurutnya, orang Islam kena tengok semula sejarah, adakah Nabi Muhammad saw menjadi punca perbalahan masyarakat ketika itu atau orang yang melawan ajaran dibawanya.

"Kalaulah Nabi Muhammad saw menjadi punca balah, maka apa yang dikatakan Mufti Perak itu betullah.

"Sedangkan baginda berbalah dengan bapa saudara dan masyarakat Arab bagi menegakkan Islam. Jadi siapa yang menjadi punca balah," katanya di sini.

Utusan Malaysia semalam menyiarkan kenyataan Mufti Perak yang dianggap kecewa dengan gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan bagi menegakkan ideologi politik mereka.

Sambil menyuarakan rasa kecewa dengan kegagalan merealisasikan kerajaan perpaduan Pas-UMNO, Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2008 itu berkata, parti yang mendakwa Islam ini bertindak tidak seperti mana DAP yang tidak bergaduh sesama parti Cina lain malah sanggup pula bersatu demi kejayaan kaum sendiri.

‘‘Saya sebenarnya amat berharap benda ini (kerajaan perpaduan) jadi (kenyataan) sebab saya sendiri memperjuangkan supaya masyarakat Melayu dan Islam ini bersatu.

‘‘Tapi saya kecewa. Mereka ini taksub kepada parti sehingga menganggap sesama mereka (dalam parti sendiri dan parti-parti Melayu lain) bukan bersaudara.

Politik itu politiklah tapi persaudaraan Islam itu mestilah dijaga, maka haramlah memutuskan tali persaudaraan Islam itu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, PAS ditubuh di Pulau Pinang oleh alim ulama yang asal berada dalam Umno.

Namun katanya mereka keluar daripada Umno dan menubuh sebuah parti Islam pada 1951.
Beliau juga berkata, Umno ialah United Malay National Organization yang memperlihatkan parti itu berjuang berteraskan kaum.

"Jadi mengapa dia sibuk dengan kita, sedangkan dia parti Melayu. Pelawalah orang Melayu seramai yang boleh kerana mereka parti orang Melayu.

"Tetapi sekarang mengapa pula orang Melayu sudah ramai yang lari daripada Umno. Orang Melayu sudah lari kepada PAS, KeADILan dan DAP," tambahnya.

Thursday, June 25, 2009

ORANG KUAT PAS PERLIS DERA ISTERI?

Oleh Shahboy, Naib Presiden 1 (GPMM) (Wednesday, Jun 24, 2009)
Macam-macam dah cerita tentang Pakatan Pembangkang kita dengar hari ini.

Shahboy yang baru balik dari kampung ni pun dibuatnya tak senang duduk. Hari ini kalau rakan-rakan membaca Surat Khabar Berita Harian m/s 12 tentu akan jumpa artikel ni.

Seorang ustazah yang merupakan Isteri orang kenamaan PAS mendakwa hanya menerima nafkah RM300 daripada suaminya, Abdul Rashid Rahman, 59, yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, sepanjang 10 tahun mendirikan rumah tangga. Apa dah jadi dengan Orang-orang PAS ni.. Cakap mengenai ISLAM cukup gah.. tetapi perangai macam orang yang tidak ada akal!!!

Dakwaan itu dibuat Siti Rosmala Mohamed, 37, di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Kangar, Mohd Zaidi Abdullah, pada hari pertama perbicaraan kes tuntutan fasakh yang difailkannya, semalam.

Menurut Siti Rosmala lagi, nafkah RM300 itu diterima pada bulan pertama iaitu September 1999 dan tiada lagi nafkah sehingga hari ini.

Tidak cukup dengan itu Abdul Rashid juga dituduh mendera Isterinya juga.Siti Rosmala turut mendedahkan suaminya juga bertindak kejam dengan memukulnya termasuk di kepala, selain dirotan hanya kerana kesalahan kecil.

"Dari luar dia memang kelihatan baik dan warak, tetapi sebenarnya dia lelaki yang kejam dan panas baran," katanya.

Menjawab soalan peguamnya, Shazril Khairy Mustafa mengenai nafkah batin, Siti Rosmala berkata suaminya tidak pernah lupa menunaikannya.

"Dari segi batin dia tidak pernah lupa. Kalau boleh setiap hari dia mahu sehingga kadangkala dia tetap memintanya walaupun saya dalam pantang," katanya.

Hakim menangguhkan perbicaraan dan menetapkan 24 Ogos sambung bicara.
Siti Rosmala, ustazah di Sekolah Menengah Tunku Bendahara di Kodiang, memfailkan tuntutan fasakh di Mahkamah Rendah Syariah Kangar bagi menuntut perceraian daripada suaminya selepas mengakui tidak tahan lagi dipukul dan didera.

Permohonan itu difailkan melalui Shazril dengan menamakan suaminya yang juga calon Pas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Santan pada Pilihan Raya Umum ke-12 sebagai defendan. Bagaimanapun, defendan tidak hadir dan diwakili peguamnya, Zulmi Sabry.

Terdahulu, Siti Rosmala menghadiri prosiding dua lagi kes berjalan serentak di Mahkamah Tinggi Syariah berhubung hak penjagaan tiga anak berusia dua setengah tahun dan sembilan tahun.

Ia membabitkan sebutan semula kes yang difailkan Siti Rosmala pada 10 April tahun lalu. Mahkamah Tinggi Syariah Kangar pada 14 April 2008 memutuskan hak penjagaan sementara diberikan kepadanya.

Sementara satu lagi kes membabitkan permohonan difailkan Abdul Rashid pada 25 Julai 2008 untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kangar pada 14 April tahun lalu.

Wednesday, June 24, 2009

JANGAN BAWA SINDROM MENAFIKAN DI TERENGGANU

Oleh Zamzuri Damanhuri (http://www.citra-bangsa.blogspot.com)

SERONOK membaca wawancara Utusan Malaysia dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang baru, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini (23 Jun 2009) bertajuk ‘Misi Hishammuddin di Terengganu’.

Disebabkan wawancara itu agak panjang, sukalah saya memetik salah satu jawapan Hishammuddin yang berpunca dari soalan wartawan Arshad Khas yang berbunyi ‘Ketidakhadiran Idris Jusoh, adakah menjadi satu petanda bahawa isu Terengganu masih jauh dari selesai?’

Jawapan Hishammuddin; “beliau berada di London, bukan apa, saya berhubung dengan belau sekurang-kurangnya sekali dalam dua hari dan adakalanya hari-hari. Beliau menyatakan memang hendak balik pada Ahad tetapi sampai malam, tidak sempat hadir pada mesyuarat itu. Tetapi wakil Besut ada.

“Saya lihat tidak ada isu dengan ketidakhadiran Idris itu. Bila perjumpaan dibuat sebelum ini, ia melibatkan saya, Ahmad Said dan Idris. Kalau ada pihak di luar sana cuba melaga-lagakan mereka berdua, jangan harap ia akan berjaya kerana saya berpengalaman dalam hal ini.

“Ada ketikanya pihak-pihak tertentu ini memperalatkan pemimpin dengan melaga-lagakan mereka demi kepentingan diri. Maka janganlah ada pemimpin yang terikut-ikut dengan rentak mereka ini kerana akhirnya bila kita berdepan dengan sesuatu, percayalah akhirnya kita akan keseorangan. Jadi ini satu perkara yang kita tidak boleh lupa.”

Dari apa yang Hishammuddin kata ini, ia membuktikan bahawa Hishammuddin mempunyai rasa simpati yang cukup tinggi kepada Idris. Padahal, dalam kes di Terengganu, jika bukan kerana Idris, isu yang timbul ini tidak akan timbul.

Menyalahkan Idris, mungkin tidak betul tetapi simpati kepada Idris hingga boleh menelefon Idris setiap dua hari sekali dan kadang-kadang tiap-tiap hari menunjukkan bahawa Hishammuddin tidak tahu ‘erti kemelut’ di Terengganu sebenarnya.

Ketika ini, Menteri Besar Terengganu ialah YAB Datuk Ahmad Said. Hishammuddin pasti tahu itu. Pegawai-pegawainya juga pasti tahu yang Menteri Besar Terengganu ialah YAB Datuk Ahmad Said.

Ketika Idris dikatakan tidak ada masalah dengan Ahmad, ia suatu kenyataan yang penuh dengan kepura-puraan. Kalau Idris tidak hadir ke mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu ketika Hishammuddin mempengerusikannya, bukan suatu masalah tetapi ketika Ahmad mempengerusikannya, ia merupakan satu masalah.

Hishammuddin menghubungi Idris dua hari sekali atau hari-hari, tetapi cuba bertanya dengan Hishammuddin, adakah dia menghubungi Ahmad sekerap apa yang dia lakukan terhadap Idris?

Hebat sangatkah Idris Jusoh di mata Hishammuddin sebenarnya? Adakah Hishammuddin mahu meminta izin dari Idris untuk mengadakan mesyuarat perhubungan ini?

Atau, sebelum membuat perlantikan, Hishammuddin meminta restu dari Idris?

Satu perkara yang Hishammuddin perlu tahu, Menteri Besar Terengganu sekarang adalah Ahmad. Tugas Hishammuddin di Terengganu ialah untuk memperkuatkan kedudukan Ahmad dan dengan memperkuatkan kedudukan Ahmad, sekaligus akan memperkuatkan institusi Umno itu sendiri.

Kalau Hishammuddin masih ‘segan silu’ dan semua hal mahu merujuk dan menghubungi Idris terlebih dahulu, bilakah Umno Terengganu akan kembali pulih?
Siapa sebenarnya yang memboikot Persidangan DUN Terengganu, April lalu? Adakah ini angkara Datuk Ahmad Said? Adakah Geng 10 yang Hishammuddin terlalu hormati itu datangnya dari kem Ahmad Said?

Sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Hishammuddin jangan menggunakan ayat-ayat yang berbunyi ‘Kalau ada pihak di luar sana cuba melaga-lagakan mereka berdua, jangan harap ia akan Berjaya kerana saya berpengalaman dalam hal ini.’

Hakikat sebenarnya, tiada siapa yang hendak melaga-lagakan mereka berdua. Yang memulakannya ialah puak yang tidak dapat menjadi Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri. Bukan Ahmad Said yang memulakannya.

Ahmad memang tidak boleh dilaga-lagakan tetapi apabila beliau ditekan dengan begitu teruk, dimalukan di depan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan diserang dengan bahasa yang tidak wajar di depan Hishammuddin sendiri, apakah Hishammuddin rasa Ahmad sebagai seorang manusia tidak terasa apa-apa?

Memanglah Idris dilihat cukup baik kerana ‘baik di depan bukan bererti baik juga di belakang’. Kalau sekalipun Idris tidak pernah menghadirkan diri dalam mesyuarat badan perhubungan ketika dipengerusikan Datuk Ahmad Said, apakah yang sebenarnya mahu ditunjukkan oleh Idris kepada rakyat Terengganu?

Hishammuddin mungkin berkata, itu dulu tetapi sekarang ini apakah buktinya yang Idris sudah berubah? Apakah ada jaminan dari Hishammuddin Geng 10 ini tidak mengacau pentadbiran Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu lagi?

Atau Hishammuddin sudah meletakkan tahap simpatinya yang cukup tinggi kepada Idris Jusoh dan Geng 10 yang menyebabkan beliau mahu ‘cakap senang’ semuanya boleh selesai?

Hishammuddin kena bersikap jujur dan ikhlas. Kalau dia betul-betul jujur dan ikhlas dan tidak takut kepada Idris dan Geng 10, cuba jawab satu pertanyaan; “Berapa kalikah beliau ada berhubung dengan Datuk Ahmad Said sama ada melalui telefon atau pertemuan sebaik sahaja beliau diumumkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umo Negeri Terengganu?”

Adakah hubungannya dengan Ahmad lebih kerap dari hubungannya dengan Idris? Atau Hishammuddin masih keliru dengan situasi dan kemelut politik di Terengganu yang menyebabkan semua hal Hishammuddin hendak rujuk terlebih dahulu dengan Idris?

Kalau begitu, adalah lebih baik Hishammuddin berterus-terang sahaja kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menukarkan beliau dari menjadi pengerusi di Terengganu supaya digantikan oleh Najib sendiri.

Hishammuddin mungkin meminta daripada Najib untuk menjadi pengerusi di Umno Negeri Selangor.

Kemelut di Terengganu sebenarnya boleh diselesaikan jika Hishammuddin boleh memberitahi Geng 10 dan Idris supaya ‘sedar diri’ dan jangan lupa daratan! Itu sudah memadai untuk menghentikan segala ketidak puasan hati mereka ini.

Tuesday, June 23, 2009

KERAJAAN PERPADUAN BAGAI IKLAN TIN KOSONG

‘Kucar kacir yang mereka kata UMNO menjadi penyebabnya adalah alasan terbaik bagi mereka menutup ketelanjuran yang berlaku. Dalam hal ini, kalau katakanlah Kit Siang bergaduh dengan Karpal Singh misalnya, mereka akan kata UMNO yang cucuk. Kalau Anwar berselisih faham dengan Nik Aziz pun mereka akan kata UMNO punya angkara’

Oleh ZABIDI NOOR

AKHIRNYA apa jadi dengan kerajaan perpaduan? Kerana itulah dari awal lagi saya sudah meragui rundingan itu yang terakhir saya sebut apabila Dato’ Seri Abdul Hadi muncul semula, beliau akan bentang 1001 alasan untuk menyelamatkan diri dari terus dikecam walaupun pada mulanya nampak cukup cantik dan menarik.

Acahnya untuk berbaik dengan UMNO nampaknya tidak menjadi juga sebaik sahaja Pas terus dihurung oleh ahli sekutu pakatan pembangkang yang sudah barang tentu tidak akan setuju untuk berbaik-baik dengan UMNO hingga akhirnya menempelak UMNO pula yang sengaja mengembar-gemburkan perkara itu untuk memecahbelahkan pakatan pembangkang.

Pada saya, apa pun alasan yang timbul selepas ditentang oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz, saya tetap beranggapan bahawa kerajaan perpaduan itu hanyalah tajuk ritorik sahaja tanpa ada apa isi kandungan pun. Ia hanya kulit untuk jadi bahan acah semata-mata. Malah ada yang menyebut hanya iklan sahaja.

Walaupun orang ramai akan melihat langkah memadamkan kerajaan perpaduan akan merugikan Pas dalam jangka panjang, tetapi itulah hakikat sebenarnya Pas lebih yakin pakatan yang lebih dilihat dikawal ketat dengan bimbingan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencapai cita-citanya untuk menubuh kerajaan persekutuan sekaligus mahu jadi perdana menteri.

Tentunya juga ramai ahli Pas yang menyokong usaha kerajaan perpaduan sebelum ini akan tawar hati dan akan berfikir dua kali untuk terus bersekongkol dengan PKR dan DAP untuk mengejar cita-cita mereka menubuhkan kerajaan persekutuan yang mana ideologi Pas tidak selari dengan kedua-dua parti lain itu.

Perkara yang paling digeruni oleh PKR dan DAP ialah apabila Pas akan meninggalkan pakatan itu sama ada mahu bersendirian mahupun berbaik-baik dengan UMNO. Tanpa Pas dalam pakatan pembangkang, PKR dan DAP akan tempang dan kerana itulah mereka perlu tatang Pas seperti menatang minyak penuh.

Mereka juga tahu orang paling penting perlu ditatang dalam Pas adalah Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana walaupun dikatakan tidak mempunyai kuasa mutlak dalam pentadbiran Pas sebagai Mursyidul Am, tetapi pengaruh beliau adalah lebih besar daripada presiden, timbalan, naib presiden dan lain-lain jawatan penting dalam parti itu.

Seperti yang digambarkan oleh Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar yang menyifatkan UMNO beria-ia sangat mahu menyambut idea kerajaan perpaduan kerana UMNO sudah kehabisan oksigen yang memerlukan tambahan tenaga dari Pas kononnya menunjukkan Pas adalah sebuah parti yang cukup kuat.

Secara langsungnya beliau juga bermaksud dengan kehadiran Pas dalam pakatan pembangkang adalah sebagai membekalkan oksigen kepada PKR dan DAP yang tidak sekuat mana jika diukur dari haluan dan ideologi dalam usahasama mahu membentuk kerajaan persekutuan bersama selepas ini.
Sebenarnya dalam ketiga-tiga buah parti itu, ketua masing-masing mahu menjadi perdana menteri. Anwar memang sudah tentulah mengidam lama sejak dari zaman Tun Mahathir lagi sehingga sekarang. Kononnya jawatan itu adalah haknya atas janji yang Tun Mahathir telah berikan sekian lama.

Pas juga melalui Nik Aziz pernah kata kalau mahu berbaik-baik dengan UMNO, mereka mahu pegang jawatan perdana menteri dan kementerian kewangan, baru mereka mahu bersama. Apa kurangnya juga Lim Kit Siang yang turut sama mengidam jawatan itu sekian lama. Kalau beliau jadi perdana menteri, boleh beliau menyerah jawatan itu kelak kepada anaknya sepertimana dilakukan menteri kanan Singapura sebagai module DAP.

Perjumpaan yang mengumpulkan jaguh-jaguh dalam pakatan rakyat di parlimen baru-baru ini adalah satu perjumpaan yang hanya bertujuan untuk memutuskan talian hayat kerajaan perpaduan dengan memulang paku buah keras kepada UMNO yang dituduh selama ini cuba memgkucar-kacirkan pakatan pembangkang.

Sebelum ini, secara terang-terang Anwar bersama pakatan pembangkang telah mengkucar-kacirkan BN kononnya telah membeli beberapa orang ahli parlimen BN dengan harga berpuluh-puluh juta ringgit mahu menumbangkan BN pada 16 September lau tetapi habuk pun tarak. Itupun iklan tin kosong dari Anwar.

Jika diperhatikan sehalus-halusnya, tanpa UMNO menyebut sedia berunding pasal kerajaan perpaduan pun pakatan pembangkang mudah menjadi kucar kacir kerana Pas sudah dilihat lari dari tujuan asalnya memperjuang dan menegakkan syiar Islam manakala PKR pula lebih sibuk menolak Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Walaupun DAP tidak menunjukkan beliau berminat dengan apa yang Anwar kejarkan itu, tetapi lebih membawa sifat tunggu dan lihat. Kalau Anwar lebih-lebih atau cuba mahu mengkongkong mereka, DAP pada bila-bila masa boleh angkat kaki. Buat sementara ini, mereka ikut saja apa kata Anwar dan Anwar juga setuju saja apa mereka kata sedangkan mereka saling mencurigai kelakuan masing-masing.

Dipercayai juga semasa hayat Nik Aziz masih ada, pemimpin Pas juga tidak akan mudah mahu kata tidak setuju dengan Anwar dan Lim Kit siang kerana mereka juga faham Nik Aziz sedang ditatang oleh mereka yang cukup yakin hanya Nik Aziz sahaja harapan mereka.

Walaupun mereka sepakat di waktu ini menolak kerajaan perpaduan, tetapi jauh dalam hati dan sudut fikiran Abdul Hadi dan timbalannya Nasharuddin yang sebenar-benarnya menerajui Pas pasti ada yang mereka tidak berkenan dengan corak gabungan mereka.

Kucar kacir yang mereka kata UMNO menjadi penyebabnya adalah alasan terbaik bagi mereka menutup ketelanjuran yang berlaku. Dalam hal ini, kalau katakanlah Kit Siang bergaduh dengan Karpal Singh misalnya, mereka akan kata UMNO yang cucuk. Kalau Anwar berselisih faham dengan Nik Aziz pun mereka akan kata UMNO punya angkara.

Kerana itulah juga saya lebih suka kalau kerajaan menganjurkan perpaduan Melayu dengan membabitkan pertubuhan-pertubuhan Melayu terlebih dahulu untuk mencari arah kepentingan bangsa terlebih dahulu daripada melibatkan parti politik Melayu yang belum tentu boleh diharap buat ketika ini.

KERAJAAN PERPADUAN BAGAI IKLAN TIN KOSONG

‘Kucar kacir yang mereka kata UMNO menjadi penyebabnya adalah alasan terbaik bagi mereka menutup ketelanjuran yang berlaku. Dalam hal ini, kalau katakanlah Kit Siang bergaduh dengan Karpal Singh misalnya, mereka akan kata UMNO yang cucuk. Kalau Anwar berselisih faham dengan Nik Aziz pun mereka akan kata UMNO punya angkara’

Oleh ZABIDI NOOR

AKHIRNYA apa jadi dengan kerajaan perpaduan? Kerana itulah dari awal lagi saya sudah meragui rundingan itu yang terakhir saya sebut apabila Dato’ Seri Abdul Hadi muncul semula, beliau akan bentang 1001 alasan untuk menyelamatkan diri dari terus dikecam walaupun pada mulanya nampak cukup cantik dan menarik.

Acahnya untuk berbaik dengan UMNO nampaknya tidak menjadi juga sebaik sahaja Pas terus dihurung oleh ahli sekutu pakatan pembangkang yang sudah barang tentu tidak akan setuju untuk berbaik-baik dengan UMNO hingga akhirnya menempelak UMNO pula yang sengaja mengembar-gemburkan perkara itu untuk memecahbelahkan pakatan pembangkang.

Pada saya, apa pun alasan yang timbul selepas ditentang oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz, saya tetap beranggapan bahawa kerajaan perpaduan itu hanyalah tajuk ritorik sahaja tanpa ada apa isi kandungan pun. Ia hanya kulit untuk jadi bahan acah semata-mata. Malah ada yang menyebut hanya iklan sahaja.

Walaupun orang ramai akan melihat langkah memadamkan kerajaan perpaduan akan merugikan Pas dalam jangka panjang, tetapi itulah hakikat sebenarnya Pas lebih yakin pakatan yang lebih dilihat dikawal ketat dengan bimbingan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencapai cita-citanya untuk menubuh kerajaan persekutuan sekaligus mahu jadi perdana menteri.

Tentunya juga ramai ahli Pas yang menyokong usaha kerajaan perpaduan sebelum ini akan tawar hati dan akan berfikir dua kali untuk terus bersekongkol dengan PKR dan DAP untuk mengejar cita-cita mereka menubuhkan kerajaan persekutuan yang mana ideologi Pas tidak selari dengan kedua-dua parti lain itu.

Perkara yang paling digeruni oleh PKR dan DAP ialah apabila Pas akan meninggalkan pakatan itu sama ada mahu bersendirian mahupun berbaik-baik dengan UMNO. Tanpa Pas dalam pakatan pembangkang, PKR dan DAP akan tempang dan kerana itulah mereka perlu tatang Pas seperti menatang minyak penuh.

Mereka juga tahu orang paling penting perlu ditatang dalam Pas adalah Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana walaupun dikatakan tidak mempunyai kuasa mutlak dalam pentadbiran Pas sebagai Mursyidul Am, tetapi pengaruh beliau adalah lebih besar daripada presiden, timbalan, naib presiden dan lain-lain jawatan penting dalam parti itu.

Seperti yang digambarkan oleh Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar yang menyifatkan UMNO beria-ia sangat mahu menyambut idea kerajaan perpaduan kerana UMNO sudah kehabisan oksigen yang memerlukan tambahan tenaga dari Pas kononnya menunjukkan Pas adalah sebuah parti yang cukup kuat.

Secara langsungnya beliau juga bermaksud dengan kehadiran Pas dalam pakatan pembangkang adalah sebagai membekalkan oksigen kepada PKR dan DAP yang tidak sekuat mana jika diukur dari haluan dan ideologi dalam usahasama mahu membentuk kerajaan persekutuan bersama selepas ini.

Sebenarnya dalam ketiga-tiga buah parti itu, ketua masing-masing mahu menjadi perdana menteri. Anwar memang sudah tentulah mengidam lama sejak dari zaman Tun Mahathir lagi sehingga sekarang. Kononnya jawatan itu adalah haknya atas janji yang Tun Mahathir telah berikan sekian lama.

Pas juga melalui Nik Aziz pernah kata kalau mahu berbaik-baik dengan UMNO, mereka mahu pegang jawatan perdana menteri dan kementerian kewangan, baru mereka mahu bersama. Apa kurangnya juga Lim Kit Siang yang turut sama mengidam jawatan itu sekian lama. Kalau beliau jadi perdana menteri, boleh beliau menyerah jawatan itu kelak kepada anaknya sepertimana dilakukan menteri kanan Singapura sebagai module DAP.

Perjumpaan yang mengumpulkan jaguh-jaguh dalam pakatan rakyat di parlimen baru-baru ini adalah satu perjumpaan yang hanya bertujuan untuk memutuskan talian hayat kerajaan perpaduan dengan memulang paku buah keras kepada UMNO yang dituduh selama ini cuba memgkucar-kacirkan pakatan pembangkang.

Sebelum ini, secara terang-terang Anwar bersama pakatan pembangkang telah mengkucar-kacirkan BN kononnya telah membeli beberapa orang ahli parlimen BN dengan harga berpuluh-puluh juta ringgit mahu menumbangkan BN pada 16 September lau tetapi habuk pun tarak. Itupun iklan tin kosong dari Anwar.

Jika diperhatikan sehalus-halusnya, tanpa UMNO menyebut sedia berunding pasal kerajaan perpaduan pun pakatan pembangkang mudah menjadi kucar kacir kerana Pas sudah dilihat lari dari tujuan asalnya memperjuang dan menegakkan syiar Islam manakala PKR pula lebih sibuk menolak Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Walaupun DAP tidak menunjukkan beliau berminat dengan apa yang Anwar kejarkan itu, tetapi lebih membawa sifat tunggu dan lihat. Kalau Anwar lebih-lebih atau cuba mahu mengkongkong mereka, DAP pada bila-bila masa boleh angkat kaki. Buat sementara ini, mereka ikut saja apa kata Anwar dan Anwar juga setuju saja apa mereka kata sedangkan mereka saling mencurigai kelakuan masing-masing.

Dipercayai juga semasa hayat Nik Aziz masih ada, pemimpin Pas juga tidak akan mudah mahu kata tidak setuju dengan Anwar dan Lim Kit siang kerana mereka juga faham Nik Aziz sedang ditatang oleh mereka yang cukup yakin hanya Nik Aziz sahaja harapan mereka.

Walaupun mereka sepakat di waktu ini menolak kerajaan perpaduan, tetapi jauh dalam hati dan sudut fikiran Abdul Hadi dan timbalannya Nasharuddin yang sebenar-benarnya menerajui Pas pasti ada yang mereka tidak berkenan dengan corak gabungan mereka.

Kucar kacir yang mereka kata UMNO menjadi penyebabnya adalah alasan terbaik bagi mereka menutup ketelanjuran yang berlaku. Dalam hal ini, kalau katakanlah Kit Siang bergaduh dengan Karpal Singh misalnya, mereka akan kata UMNO yang cucuk. Kalau Anwar berselisih faham dengan Nik Aziz pun mereka akan kata UMNO punya angkara.

Kerana itulah juga saya lebih suka kalau kerajaan menganjurkan perpaduan Melayu dengan membabitkan pertubuhan-pertubuhan Melayu terlebih dahulu untuk mencari arah kepentingan bangsa terlebih dahulu daripada melibatkan parti politik Melayu yang belum tentu boleh diharap buat ketika ini.

Monday, June 22, 2009

PAS JADI LEADER KEPADA PR ATAU BINA KEKUATAN SENDIRI

Oleh Ramli Abdul Halim (KapakJangat)

PAS yang mula ditubuhkan pada tahun 1951 ekoran dari persidangan ulamak bagi menubuhkanmya secara resmi yang diadakan pada 24 November 1951 dengan Mudir Madrasah ad-Daeratul Ma'arif al-Wataniah di Butterworth, Haji Ahmad Badawi Abdullah Fahim (ayahnda kepada Tun Abdullah, mantan Perdana Menteri Ke-5) bertindak sebagai tuan rumah kepada persidangan itu, kini sudah pun berusia 55 tahun.

Usia 55 tahun bagi manusia dikira sudah lebih dari usia matang, malah berdasarkan kepada hayat Rasulullah s.a.w (63 tahun), maka hanya untuk yang berusia 55 tahun hanya tinggal lapan tahun sahaja bagi tempoh hayat yang masih berbaki untuk setiap umat baginda.

Kalau ada yang masih hidup selepas angka hayat itu, kebanyakannya sudah 'kucar taik ttikar', malah boleh ttukar antara ulu dengan gobek dan antara bulu dengan rambu, hijau dengan biru, ilir dengan ulu, kicap dengan budu, kerbau dengan lembu, bapak dengan ibu. Kalau ada pun yang masih cergas dan masih tidak nyanyuk, jumlahnya sedikit benar.

Maknanya PAS sudah patut dewasa dan patut menjadi orang tua atau leader kepada kerjasama dengan parti-parti lain, termasuk dalam Pakatan Rakyat (PR).

Kalau parti itu masih terpaksa berleaderkan parti lain, apatah lagi parti yang pada status budak belum luruh pusat di arena politik negara, ianya adalah sesuatu yang pelik dan dangkal.

Bila parti lain yang menjadi leader atau peneraju utama kepada sesuatu pakatan, maka PAS tidak boleh memandai-mandai dalam membuat sesuatu tindakan atau keputusan sebelum menerima izin/persetujuan laeder.

Orang tua atau leader bermakna parti-parti lain kena mengutamakan PAS dalam membuat sesuatu tindakan dan keputusan kerana dalam PR PAS adalah parti tertua dan paling banyak pengalaman. PAS patut jadi sebagaimana dalam Barisan Nasional (BN) yang mana yang menjadi leadernya adalah Umno.

Kerana Umno menjadi leader, maka dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan pelbagai keistimewaan untuk kaum Bumiputera yang tidak dapat dinikmati oleh bangsa lain dapat diwujudkan kerana kedudukan dan power Umno sebagai leader.

Tetapi dalam PR, nampaknya PAS yang lebih berusia dan lebih matang serta lebih berpengalaman bukannya leader kepada PR dan PAS tidak seberkuasa Umno dalam mencorakkan BN untuk PAS mencorak dan mewajahkan PR.

Sebenarnya tindakan yang sedang PAS lakukan umpama suatu bentuk perjudian apabila PAS pada pemerhatian saya menjadi parti kelas nombor tiga selePAS DAP dan PKR dalam PR. Ianya suatu kesilapan PAS yang sangat ketara.

Seandainya PR berjaya tumbangkan BN pun, yang akan jadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bukan dari PAS, sebaliknya antara orang DAP dengan PKR, yakni parti yang menjadi leader kepada PR.

Maknanya dengan jumlah kerusi parlimen yang dimiliki PAS dan dengan kedudukannya dalam PR sekarang, PAS tidak mungkin akan dapat merealisasikan wajah dan bentuk kerajaan yang dimahukan, malah kalau PAS mahu lebih diisalmikkan kerajaan berbanding dengan kerajaan BN, DAP PASti akan mengulangi kata berupa amaran supaya langkah mayat orang DAP dulu.

Sebenarnya penyertaan PAS dalam PR lebih menjurus kepada PAS menuju jalan mati atau bersifat menggali lubang untuk menimbus PAS sendiri atau memasang bom jangka pada diri sendiri.

PAS sebenar diperalat dan dibonekakan oleh DAP dan PKR yang mana wakil rakyat DAP tidak ada seorang pun orang Melayu tetapi dalam PKR wakil rakyat Melayu dengan bukan Melayu dan bukan Islam tidak ada jauh beza dari segi jumlahnya.

Rasanya menyedari tentang bahaya yang sedang dihadapi PAS itulah, maka Presiden PAS menggagaskan sesuatu yang boleh menyebabkan rakan-rakan dalam PR mula mengkaji kedudukan PAS dalam PR.

Tentulah PAS akan lebih bermoral dan akan lebih disimpati umum jika ditendang keluar dari PR berbanding dengan PAS sendiri bertindak keluar dari PR. Apa yang dilakukan Presiden PAS itulah politik namanya.

Tetapi sayangnya ada di kalangan orang PAS sendiri gagal menyelami pelan, rangka, kerangka dan saraf politik Presiden menyebabkan tujuan gagasan itu dapat dicium dengan mudah oleh rakan-rakan dalam PR gara-gara ada yang melenting giler kerana gagasan itu.

Sebenarnya demi kepentingan PAS dan sesuai dengan pendekatan dan matlamat perjuangan asalnya, adalah lebih baik jika PAS bergerak solo dan tidak menjalin ikatan dengan PR.

Bagi saya berada dalam PR menjadikan PAS umpama ayam yang disembelih secara halal dicampur dalam kumpulan ayam yang dimatikan dngan cara dipulas dan dipatahkan tengkoknya serta turut bergaul dengan daging babi dalam satu bekas.

Selama mana ahli dan penyokong PAS boleh menerima dakawaan, pandangan dan kepercayaan bahawa DAP lebih baik dijadikan rakan kerjasama PAS berbanding dengan Umno? Orang Umno tu siapa dan orang dalam DAP pula siapa?

Juga sejauh mana PKR yang cacamarba status wakil rakyatnya boleh perpihak kepada PAS yang mahu menjadi barisan pembangkang atau pun jika ditakdirkan menjadi kerajaan, secara yang dituntut oleh Islam?

Kalau kerjasama PAS-Parti Melayu (S46) yang sesama sebangsa dan seagama pun boleh punah ranah dalam tempoh yang singkat, masakan PAS boleh bertahan lama beerjasama dengan parti-parti yang lauknya tidak boleh digulai seperiuk untuk hidangan bersama.

PAS patut bermati-matian mempertahankan PR kalau yang menjadi leadernya adalah PAS. Tetapi hakikatnya dalam pembentukkan kerajaan di negeri-negeri yang dimenangi PR pun hanya Kelantan dan Kedah sahaja yang berleaderkan PAS manakala di Pulau Pinang dan Selangor PAS bukan leader.

Semasa berkerajaan di Perak pun leader sebenar bukan PAS apabila wakil rakyat PAS dilantik menjadi MB hanya kerana perlembagaan negeri menetapkan MB kena berbangsa Melayu dan beragama Islam, bukannya kerana PAS ada kerusi majoriti berbanding dengan DAP dan PKR. Kalau bukan kerana halangan perlembagaan, yang jadi MB di Perak adalah dari DAP, bukan PKR, apatah lagi PAS.

Dalam pada itu walaupun MB bagi Kerajaan PR Perak dulu dari PAS tetapi majoriti exconya adalah dari DAP dan PKR yang mana dari PKR itu pula bukan Melayu, bukan beragama Islam semuanya.

Tetapi nampak sangat betapa tidak kenang budinya dan 'tak reti basonya' bekas MB yang dapat pengalaman menjadi MB Perak walaupun sekejap kerana undang-undang tubuh negeri, telah bertindak membedil dan mengembom giler pihak yang memberikannya pengalaman itu.

Kerana tidak nampak bahawa PAS sedang dibonekakan oleh DAP dan PKR yang akan menjadikan PAS terpaksa terus menjadi budak-budak pada usia 55 tahun, maka gagasan yang dibuat oleh Presiden PAS telah dibangkang giler oleh pimpinan PAS sendiri.

Bukan sahaja tidak sokong tetapi telah menganggap penyokong gagasan itu adalah boneka Umno tanpa disedari bahawa pihak yang membuat tuduhan itulah sebenarnya sedang dibonekakan oleh DAP dan PKR.

DUA KABILAH PAS VS DUA KABILAH UMNO TERENGGANU –BENARKAH?

Ada sebuah blog mengatakan pentas politik tanah air kini diwarnai dengan pelbagai cerita kadang-kadang ia sampai membuat kita tertawa dengan sendiri. Itulah betul kata orang tua dulu-dulu "Politik ini umpama Bubur lambuk, macam-macam ada di dalamnya".

Joong(Mendung) kadang-kadang akan melanda pentas politik tanah air, ADUN Ajil iaitu Dato Haji Rosol Wahid turut bercakap mengenai "joong mendung politik" di dalam blognya.

Di pihak PAS ada dua kabilah, satu kabilah yang menyokong idea "Kerajaan Perpaduan" yang diketuai oleh TG Hj. Abdul Hadi Awang, manakala satu lagi kabilah ialah yang membanteras keras idea "Kerajaan Perpaduan" sampai tergamak menghalau keluar Ustaz Nasharuddin Mat Isa dari PAS.

Di pihak UMNO Terengganu pula dikatakan berpecah dua kabilah juga iaitu Blok Terengganu Utara dan Blok Terengganu Selatan. Wah banyak betul 'joong politik' sejak akhir-akhir ini, tetapi tak apa anggaplah ini adalah ujian Allah tuhan seru sekian alam terhadap umatnya.

Khabarnya juga dua orang telah terkait dengan kes SPRM, namun belum dapat disahkan lagi kebenaran khabar ini. Jika khabar ini benar-benar berlaku, adakah ia benar-benar bersalah ataupun 'senjata Ahmad Said' untuk memperkukuhkan kedudukanya sebagai MB Terengganu dan terus membuncitkan perutnya yang sedia buncit dengan wang rakyat yang diterima melalui pembayaran Royalti oleh Kerajaan Pusat dan siapa lawan SPRM akan jadi senjata.

Jika itu yang Ahmad Said lakukan, hentikanlah segera kerana tindakan itu benar-benar menyusahkan SPRM dan dalam masa yang sama mengaibkan mereka yang tidak salah tetapi dihadapkan ke SPRM, Ingatlah "Politik bukan pentas untuk main-main, ini bukan main pondok-pondok tetapi politik" .

Ahmad Said kini diberi gelaran baru berdasarkan apa yang telinga penulis dengari dari perbualan kedai-kedai kopi yang penulis singgah. Gelaran tersebut ialah MBKU (Bukan OKU), apa yang mereka maksudkan dengan MBKU ialah Menteri Besar Kurang Upaya berdasarkan prestasi yang agak lemah yang ditunjukkan oleh Ahmad Said sejak menjadi Menteri Besar Terengganu.

Saturday, June 20, 2009

DI MAHKAMAH ALLAH, PASTI AKAN DIBICARAKAN JUGA

Tulisan FAUZI IRWAN SHAH (bypass308.blogspot.com) dengan tajuk asal ‘SYUKUR, KEBENARAN DTG KETIKA KITA MASIH WARAS DAN BERIMAN’ berkata, laporan Perubatan yang dikeluarkan oleh Hospital Kuala Lumpur kelmarin mengesahkan bahawa tidak ada sebarang tanda yang menunjukkan bahawa Saiful Azlan Bukhari diliwat! Laporan ini ditanda tangani oleh tiga pakar perubatan daripada hospital berkenaan.Laporan dari HKL ini sekaligus mengesahkan laporan pertama dari Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI) yang turut mengesahkan bahawa tidak ada sebarang tanda-tanda saiful diliwat.

Kata Fauzi: “SAYA JADI KELU SEJENAK, ENTAH TERKEJUT ATAU SAJA BERHENTI BERFIKIR...APA MAKSUDNYA SEMUA INI? YANG MULA SINGGAH DALAM KOTAK AKAL SAYA ADALAH 2 PERKARA, YANG PERTAMA KEBENARAN ITU AKAN TUHAN TUNJUKKAN JUA WALAUPUN SERIBU KALI KEPALSUAN MENERPA. KEBENARAN MENJADI SINAR YANG AKHIRNYA MENELANJANGKAN PELAKU-PELAKU FITNAH YANG BERSELINDUNG KONONNYA BERIMAN, BERTAQWA KEPADA ALLAH SWT DAN MENGAKU ISLAM.

WALAU BAGAIMANAPUN, JANGAN PULA KITA CUBA TERNIAT SEHINGGA TERIA-IA HENDAK MENYAKSIKAN BALA YANG DITURUNKAN KEPADA UMAT MANUSIA YANG SEBENARNYA BERKIBLATKAN DUNIAWI INI. SAMA-SAMA KITA PANJATKAN KESYUKURAN KERANA KEBENARAN ITU DATANG KETIKA KITA MASIH TAHU MENILAI, MELIHAT DAN MENDENGAR. MARILAH KITA BERMOHON KEPADA ALLAH
AKAN KESEJATERAAN UMAT YANG DIHINA KERANA MASIH BERDIRI PENUH KESABARAN DI SISI ALLAH.

BALA YANG DATANG BERTIMPA, USAH KITA POHON JENIS DAN BENTUKNYA KERANA ALLAH MAHA MENGETAHUI AKAN HUKUM TERHADAP LAKNAT BANGSA DAN SEAGAMA.

SERAYA INI, MARILAH KITA BERMOHON KEPADA YANG MAHA ESA, SELAMATKANLAH, SEJATERAKANLAH KEEMPAT-EMPAT PAKAR PERUBATAN YANG MENITI ATAS JALAN KEBENARAN YANG KAU TUNJUKKAN. JAUHKAN MEREKA DARI DIHIMPIT MALA PETAKA DAN SEGALA KEJAHATAN YANG MUNGKIN TERSERU DARI LAKNAT BANGSA YANG KINI TELAH TERKOYAK TOPENG MANUSIANYA. AMIN.”

(bacalah selanjutnya laporan berkaitan Saiful yang tidak diliwat tetapi berani bersumpah dalam masjid mendakwa diliwat DSAI)

Menurut mereka, laporan perubatan itu yang dikeluarkan oleh hospital tersebut, mendedahkan bahawa tiada bukti yang menunjukkan berlaku tusukan pada dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan - pengadu di mana kes jenayah itu diasaskan.Satu salinan laporan perubatan itu disertakan bersama afidavit yang difailkan oleh Anwar semalam untuk mengetepikan tuduhan liwat terhadapnya.

Kes itu akan didengar mulai 1 Julai ini.Laporan perubatan itu bertaikh 13 Julai 2008 dan disahkan oleh tiga pakar dari hospital kerajaan tersebut.
Sebahagian daripada laporan tersebut, yang diedarkan kepada pihak media oleh peguam Anwar hari ini menyebut, tiada bukti klinikal yang konklusif yang menunjukkan berlaku tusukan di dubur dan tiada luka yang signikan pada tubuh pesakit (Mohd Saiful).

Bukti terpenting dalam tuduhan rogol atau liwat ialah menunjukkan bukti berlakunya tusukan, kata peguam Amer Hamzah Arshad.Dan ianya tidak ada dalam kes ini, tambahnya.Jadi ini sekaligus membuktikan bahawa segala dakwaan bahawa Saiful diliwat adalah palsu dan tidak berasas.

Ini juga bermakna konspirasi Liwat 2 semakin terdedah segala pembohongan. Ternyata kospirasi Liwat 2 dibuat secara caca marba dan tergesa-gesa kerana terdesak. Sewajarnya dakwaan yang dikemukakan oleh Pendakwaraya melalui Peguam Negara terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim digugurkan serta merta. Adakah DSAI akan dihantar sekali lagi ke Penjara Sungai Buloh semata-mata pengakuan dusta dan palsu Saiful? Jangan biarkan institusi kehakiman negara kita dijadikan lawak jenaka sekali lagi.

“Persoalannya apa yang berlaku kepada Saiful? Bagaimana sumpah yang dibuat di masjid Persekutan Jalan Duta? Bagaimana pula pihak yang ditemuinya atas urusan 'biasiswa' seperti gambar yang pernah didedahkan oleh Datin Dr Wan Azizah sebelum ini? Bagaimana pula dengan pemimpin Umno yang ditemui di Putrajaya yang sebelum ini memberitahu bahawa Saiful dalam keadaan pucat dan ketakutan?” tanya Fauzi.

Bagaimanapun, bekas pembantunya mengingatkan penasihat PKR bahawa beliau mungkin boleh lepas di mahkamah dunia, tetapi "di Mahsyar (mahkamah Allah) pasti akan dibicarakan juga".

Bagi Mohd Saiful Bukhari Azlan pula, jika ditakdirkan tuduhan liwat terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan, beliau reda menerimanya
Mohd Saiful menegaskan demikian dalam blognya sebagai mengulas permohonan Anwar untuk mengetepikan tuduhan tersebut.

Anwar dituduh meliwat Mohd Saiful di sebuah kondominium di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun lepas.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Beliau kini bebas dengan bon peribadi RM20,000.

Perbicaraan kes itu akan didengar mulai 1 Julai ini.

Mohd Saiful menulis dalam blognya lagi: "Tidak terkata.. Jika ditakdirkan kes ini digugurkan di mahkamah dunia, tidak mengapa, saya reda.

"Kerana kelak semasa di Mahsyar (mahkamah Allah) pasti akan dibicarakan juga.

"Sebagai hamba Allah yang kerdil, saya hanya mampu berusaha, berdoa dan berserah sepenuhnya kepada Allah SWT sahaja, kerana Dialah yang Maha Adil lagi Maha Berkuasa," tulisnya.

Mohd Saiful mengakhiri catatannya dengan menulis "yang hak pasti berdiri, yang batil pasti jatuh."

Thursday, June 18, 2009

DESTINASI NIK AZIZ MULA MENAMPAKKAN BIBIT-BIBIT KESONGSANGAN

Oleh Ramli Abdul Halim
(http://melikapakjangak.blogspot.com)

KENYATAAN terbaru Mursyidul Am Pas, Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru) -- berdasarkan apa yang saya dapat tangkap dengan membaca posting terbaru Haji Mohd. Sayuti Omar atau MSO melalui blognya, nampak sangat betapa Menteri Besar Kelantan yang mungkin sekarang ini disayangi dan dihormati akan menjadi sebaliknya kerana sikapnya yang saya lihat bersifat SANGAT BUANG TABIAT, sebenarnya saya sukar untuk percaya bahawa apa yang dikatakan oleh Tok Guru benar-benar keluar dari mulutnya.

MSO yang memetik laporan satu portal berita dipetik sebagai berkata: sebagai Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa perlu letak jawatan sebagai timbalan presiden Pas dan ahli parlimen Bachok sekiranya Nasharudin masih berhasrat meneruskan rundingan dengan Umno.

Nampak sangat Tok Guru tidak tahu atau sengaja mahu mengepi dan membelakangi peraturan berorganisasi. Yang pilih Ustaz Nasaruddin Mat Isa adalah para perwakilan, bukannya beliau sebagai Mursyidul Am yang pilih. Jawatan Mursyidul Am itu jawatan yang dilantik, bukannya melalui proses pengundian.

Mana boleh seorang yang dilantik menyuruh orang yang menang jawatan atas pilihan perwakilan berhenti. Nasaruddin dipilih oleh majoriti perwakilan. Itu sudah songsang jadinya. Sepatutnya orang yang dilantik tanpa proses pemilihan yang tidak bersetuju dengan kepimpinan terkini parti yang kena berhenti.

Bagi saya Ustaz Nasaruddin berindak betul dan ikut prosedur. Oleh kerana kerajaan perpaduan adalah gagasan Presiden, maka Timbalan Presiden kena bersetuju, barulah kepimpinan parti tidak akan menjadi sebuah kapal mempunyai dua kemudi yang mahu ke destinasi yang berbeza.

Ustaz Nasaruddin akan dilihat sebagai ayam berkokok salah puyan, murai berkicau salah musim dan kapal dilabuh salah pelabuhan kalau menongkah dan menyongsang Presiden, malah tidak mustahil ia akan menjadi umpama kucing dengan anjing diletak dalam satu sangkar.

"Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden PAS) dan di Bachok. Apa buat sampah, menyusahkan,"

Saya yakin Ustaz Nasaruddin profesional orangnya. Beliau tidak akan termakan provokasi yang dituding kepadanya. Sebenci mana pun Tok Guru kepadanya, bukan menggambarkan kebencian majoriti orang Pas terhadapnya, kalau tidak masakan beliau menang dan lawannya yang membawa keramat Tok Guru boleh kalah dengan majoriti yang besar.

Ustaz Nasaruddin pasti akan merujuk kepada Presiden sebagai bossnya dulu bagi mempertimbangkan kedudukannya di Kelantan setelah beliau dihina sedemikian rupa. Beliau ada ilmu, bekas pensyarah. Kalau tak menjadi Ahli Parlimen di Kelantan beliau mampu meraih hidup mewah dengan ilmmunya.

Mungkin beliau akan letak jawatan senagai Ahli Parlimen Bachok kalau orang Pas Kelantan dan Tok Guru anggap segala kerusi parlimen dan dewan undangan pusaka makbapak sendiri tetapi masalah tidak akan selesai, sebaliknya akan bertambah berlipat ganda kerana sebagaimana Tok Guru, Ustaz Nasaruddin juga ada pengikutnya, malah saya yakin pengikut Presiden akan membelanya.

Dari sudut majoritinya, orang Pas lebih memilih Presiden yang ada sekarang, mereka lebih yakin kepada kepemimpinan Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang sehingga beliau menang jawatan tanpa tandingan apabila Tok Guru sendiri hanya dapat satu pencalonan bagi merebut jawatan itu.

Macam mana seorang yang menang jawatan tanpa tentangan dan orangnya yang menang dalam pertandingan mahu dinyahkan dari parti dan kerusi Ahli Parlimen oleh orang yang hanya dapat satu pencalonan untuk menentang presiden dan calon-calon yang pronya semuanya kalah boleh mahu jadi lebih berkuasa.

Teori dan undang-undang rimba mana yang mahu dipakai. Nak pongoh, nak bengken bukan tak boleh, nak tunjuk ek'oh pun bukan tak boleh tetapi biarlah pongoh, bengkeng dan ek'oh sakan hanelah kita biar profesional dan bersesuaian dengan keadaan dan ketika.

Agaknya Mohamad Nizar Jamaluddin yang menampakkan ciri-ciri kurang bertamadun pun kerana menteladani tokoh dari Kelantan yang disangka 'BEGHES BELAKA' kerana lebih berpengalaman dalam membentuk kerajaan dan memulihara kemenangan tetapi hakikatnya adalah 'REBEH' dan kualitinya semakin EXPIRED.

Bermula dengan ALLAH PUN MENCARUT, TUHAN PUN SAMSENG, SANGGUP BEKERJSAMA DENGAN SYAITAN membawa kepada isu KERAJAAN PERPADUAN, nampak ada bibit-bibit kesongsangan bagi destinasi politik Tok Guru sehingga boleh berlaku percanggahan secara terbuka antara beliau dan Presiden dan kalangan yang sealiran pemikiran politiknya.

Saya tidak dapat meramalkan KUASA KERAMAT apa yang beliau ada bagi memulihkan kembali retak menunggu belas Pas gara-gara penentangan dan prejudis mengkkhizir butanya terhadap gagasan kerajaan perpaduan yang seolah-olah kerajaan perpaduan itu lebih bahaya dari peluru berpandu atau bom pintar berangkai.

Sungguh memeranjatkan apabila kumpulan pro gagasan kerajaan perpaduan mendominan kepimpinan Pas, Tok Guru dan kumpulannya tiba-tiba jadi macam Siam mabuk tuak masam, macam tok bageh tak dengar kata tok minduk dalam bercakap dan menyatakan pendirian dan pandangan, menjadikan pretasi dan reputasi ketokohannya mula nampak ada birat dan berpetit lalat.

Lagak dan gaya berpolitik dan bertingkah laku zaman pontong berasap nampaknya dihidupkan kembali oleh Tok Guru yang sepatutnya lebih diprofesional dan dimatangkan oleh pengalaman tetapi nampaknya sikap dan cara bercakapnya sudah mundur lebih dari 50 tahun ke belakang, mungkin kesan dari menerima nasihat dan pandangan para penasihat otak kementut yang pernah ditulis oleh Ustaz Nik Abduh dalam blognya.

Agaknya Ustaz Nik Abduh sudah nampak apa yang akan berlaku dan boleh merosakkan pretasi dan retupasi parti seperti sekarang akan berlaku sehingga beliau sanggup mengambil risiko membuat teguran dan padah dari risiko yang diambil, beliau tumpas dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, malah rentetan dari itu Dato' Haji Mohamed Daud Iraqi telah turut menerima tempias.

Sebagaimana MSO, saya berharap apa yang kekesatan kata-kata Tok Guru terhadap Nasarudin bersifat salah lapor dan salah faham pihak media yang telah menyebabkan Tok Guru dilihat membuat suatu kenyataan yang sangat tidak manis, tidak bijaksana dan tidak berhemah bagi seorang tokoh seperti beliau.

Pada hari tulisan saya menegur Tok Guru yang bersifat memutlakkan kemahuannya tersiar di ruangan pendapat akhbar Utusan Malaysiaa, saya ada berjumpa secara tidak langsung dengan Ustaz Saiba (Pegawai Akhbar MB) di masjid dekar Bank Muamalat. Beliau kata laporan akhbar yang mendorong saya menulis pendapat itu tidak benar. Kononnya Tok Guru tak kata begitu.

Tapi saya membaca tiga akhbar harian berbahasa Melayu setiap hari dan dua akhbar berbahasa Inggeris. Pada pemerhatian saya laporan mengenainya sama sahaja bagi semua akhbar. Apakah tiga akhbar harian berbahasa Melayu dan dua akhbar berbahasa Inggeris boleh buat kesilapan yang serupa?

Sebagai pengamal media sejak tahun 1973, soal silap lapor, sengaja merancang bentuk laporan untuk burukkan Pas misalnya adalah yang sering dijadikan alasan untuk menidakkan apa yang telah dinyatakan tetapi boleh menjadi senjata makan tuan merupakan andaian yang dibuat oleh kalangan yang tidak ada pengalaman dan tidak tahu tentang etika kewartawan dan kemediaan.

Pada saya apa yang sedang berlaku sekarang adalah berpunca dari Tok Guru yang terlalu terburu-buru dan mengenepikan profesionalisme dalam berpolitik kerana tersalah terima pandangan dan nasihat. Jika teguran Ustaz Nik Abduh diambil-pakai, saya percaya percanggahan terbuka Presiden + Timbalan Presiden + Setiausaha Agung + Jawatankuasa Kerja Pusat dengan Tok Guru + puak yang kalah merebut jawatan pada muktamar ke-55 yang baru lepas tidak akan berlaku.

Tuesday, June 16, 2009

BISUL-BISUL DALAM SERBAN PAS

Oleh AZIZI ABDULLAH

Orang PAS kata kepada Umno, busuk ikan bermula di kepala, bukan ekur. Ertinya kebobrokan Umno, kotor dan kelamkabutnya Umno adalah kerana pemimpin.

Pengikut PAS bertepuk tangan. Semua kata betul. Tetapi bagaimana pula kalau Umno kata, bisul-bisul PAS berada di kepala yang memakai ketayap atau serban?

Memang pun bisul tidak seperti ikan busuk yang bermula di kepala. Bisul boleh muncul dan bernanah di mana-mana, hata di kepala yang memakai serban.

Saya di antara pengikut dan ahli PAS sejak berusia 14 tahun, yang berkempen waktu itu sampai kena baling telur ayam kemuruk. Pemimpin yang saya ikuti dulu semua berserban, berketayap putih. Semua bermatlamat satu; berjihad menegak agama Allah dengan motto; Negara yang baik yang mendapat keampunan Allah.

Kini setelah 56 tahun hidupnya PAS, serangan demi serangan terhadap Umno diteruskan. Dikatakan Umno berkepentingan duniawi, rasuah, tidak adil, kepentingan pribadi, mengaut kekayaan, bertokak sama sendiri, melarikan wang, melarikan perempuan, banglo besar, kereta besar, munafik malah sampai kepada taghut, maha firaun dan lain-lain.

Apabila kemasukan cerdik pandai, peguam, profesor dan lain-lain ahli profesional ke dalam PAS, maka sedikit sebanyak nampak semacam sedikit tergugat golongan ulama. Lalu mereka pun bangkit dengan memberi alasan betapa ulama sebenarnya penting dalam perjuangan PAS. “ Jangan tinggalkan kami” , kata mereka.

Memang satu ketika dulu golongan profesional tidak ada tempat dalam PAS. Tetapi kini ulama pula nampak macam tergugat. Seperti dibimbangi akan ujud satu fenomena baru di mana PAS akan dikuasai oleh golongan profesional.

Secara peribadi, saya melihat golongan ulama di dalam PAS ialah golongan yang hanya bijak dalam soal-soal kupasan perkara ukhrawi, haram halal dan sunah makruh. Mereka tidak profesional. Beremosi. Pembakar semangat tetapi tidak mampu menyelesaikan masalah. Ia tidak bersifat profesional keagamaan.

Jadual atau atur cara antara golongan profesional dengan golongan ulama, golongan ulamalah yang paling tercorot. Jadual majlis jam 9, majlis bermula jam 10. Perkataan Insyaallah hanya sandaran menutup kelemahan.

Maka apabila dilihat golongan profesional ini semakin ramai, kemungkinan satu ketika lubang-lubang jawatan di dalam parti akan dimasuki oleh golongan profesional, lalu timbul tanda tanya, ke mana hendak pergi golongan ulama?

Di Pinggir Neraka?

Sebenarnya, sebelum ini pertanyaan patut dikemukakan: Mengapa harus ada golongan ulama dan profesional? Dalam satu jamaah Islamiah, bagi saya tidak penting adanya ulama dan profesional.

Jamaah Islamiah yang mengambil politik sebagai landasannya dan sebagai dasar perjuangan ke arah jihad, apa pentingnya membahagi kepada dua kategori? Apakah ulama itu lebih baik dari profesional? Apakah gologan profesional, ilmu mereka tidak berguna? Apakah profesional tidak ada aqidah?

Istilah ‘walak, setia kepada pemimpin, wali,ulama’ menjadi satu kegerunan, seolah-olah siapa yang tidak membuktikan arah ini, ia sedang berada di pinggir neraka.

Kemunculan golongan profesional menjadikan sebahagian besar ulama merasa fobia. Sehingga ada kawasan dan negeri sangat mencurigai hendak melantik golongan profesional menjadi pemimpin. Kemudian apabila tiba muktamar tahunan, hal ini pun ditimbulkan.

Akibatnya bergemalah puak profesional dan ulama. Ada yang meragui dan berkata, profesional saja tidak memadai dalam perjuangan PAS dan ulama juga tidak memiliki kecekapan dalam petadbirannya.

Wadah PAS ialah perjuangan dan dakwah, satu wadah yang meletak dasar tertinggi Al-Qur`an dan Hadis, Ijmak dan sebagainya. Mereka yang memasuki PAS ialah mereka yang yakin dengan dasar ini.

Maka apabila seorang jurutera yang belajar bertahun-tahun, apakah ia seorang komunis atau athis ketika ia memohon menjadi ahli PAS dan perlukah kita bertanya, pengajian agama kamu setinggi mana? Tidak pernah terjadi, sebaliklnya kita berbangga.

Begitu juga kita berbangga sekarang ini bilamana ramai mereka yang bukan Islam, terutama golongan Cina yang sudah mulai mendekati PAS.

Malangnya PAS yang dianggap kepimpinan ulama tidak pernah mengambil kata putus bagaimana kaedah untuk menerima mereka. Yang dilakukan ialah satu rancangan yang tidak disukai ramai, iaitu ‘Pemerintahan perpaduan.’

Kita hairan tentang gagasan yang tidak diterima ramai ini. Ada jalan atau uslub membolehkan PAS menjadi kuat dengan sokongan bukan Islam, tiba-tiba mahu melakukan sesuatu yang dibenci oleh ramai orang.

PAS tidak pernah belajar sejarah. Kaedah apa yang dipakai, jika dulu, kini dan selamanya Umno dianggap musuh, tiba-tiba presidennya pula menganggap, di sanalah jalan perpaduan.

Apa Kayu Ukur Ulama?

Maka bergema dan berkumandanglah di media bagaimana pentingnya perpaduan tetapi malang PAS melalui pucuk pemimpinnya tidak sedar, setiap rancangan yang disiar, PAS menjadi batu loncatan, PAS diperbodoh dan PAS dimomok-momok.

Atas nama ulama, kita diajar sangka baik. Maka apapun tohmahan dan senda, kita menerimanya.

Apa kayu ukur ulama? Ini pun satu hal. Di dalam PAS, ukuran ulama berlainan dari ukuran biasa. Masakan sekadar lulus Azhar atau belajar di Jordan kita sudah boleh namakan ulama?

Sekarang ini begitulah ukuran ulama di dalam PAS, selain dari syarat tersembunyi mesti berserban atau berjubah dan mesti ada sedikit janggut. Diperbesarkan soal janggut lalu ditekan sebagau Sunnah Nabi.

Maka sebab itu Pemuda dengan senang hati menerima Hasan Tantawi, kerana ia 100% berwatak ulama. Tetapi apakah ukuran ini, termasuk keluar dari universiti agama atau lulus syariah maka ia harus kita lebalkan sebagai ulama?

Apapun yang terkesan sekarang, kita tersangat cepat melebalkan ulama terhadap seseorang yang pulang dari Mesir atau Timur Tengah dari seorang PhD agama di UKM atau di UIA.

Inilah satu tanggapan yang silap. Sehingga kini orang PAS tidak mengakui Tan Sri Hamid Othman, Nakhaie, Noh Gadot dan terakhir Hj Harussani yang baru menerima anugerah Tan Sri sebagai ulama. Malah mufti-mufti sendiri bagi PAS, hanya Dato’ Ishak Baharum sahaja yang diakui ulama.

Inilah kesilapan kita.

Ulama Bukan Penghurai Masalah?

Maka atas kepercayaan ulama mempunyai bidang tersendiri, apabila ulama melakukan sesuatu, atau melontarkan idea sesuatu yang bersifat sekular, bersifat keduniaan maka orang tidak berapa ambil peduli hendak mempertikaikan, menolak atau menyanggah. Sebaliknya jika golongan profesional yang ingin melakukan sesuatu yang bersifat agama ia dipertikaikan.

Ulama mestilah berhati-hati dan tidak boleh memandai-mandai dalam semua hal atas status ulamanya. Di awal tadi telah dikatakan, kebanyakan ulama ialah mereka yang hanya mampu dan bijak mentafsir dasar, bukan menjalankan dasar.

Mereka mampu menghurai syarah dan tafsir Qur`an juzuk demi juzuk, tetapi mereka belum tentu mampu melaksanakan mengikut tafsir itu. Mereka mampu melihat isu dan masalah tetapi mereka bukan penghurai masalah.

Maka kerana itu, ulama yang sudah berada di peringkat atas, ia mestilah bijak mengawasi dasar dan ia perlu memelihara dasar, bukan mengubah dasar atau memandai-mandai menyimpang dari dasar.

Ingatlah, pemimpin ialah orang yang memelihara dasar, melaksanakan dasar tetapi bukan mengubah dasar, memandai-mandaikan dasar.

Kerajaan perpaduan

Presiden PAS, dalam ingatan saya sudah membuat percubaan pertama bagaimana hendak merealisasi ‘kerajaan perpaduan’ tetapi ia disanggah oleh ramai ahli dan pemimpin. Maka selepas muktamar beliau mengulangi lagi dan mencari celah dan ruang untuk menerangkannya.

Tetapi Presiden ini lupa dan tidak nampak bagaimana pengikut-pengikutnya melompat dan gelisah, bagaimana mereka menangis dan meraung sedih, menyumpah dan maki hamun kerana:

1. Itu bukanlah dasar PAS yang ditubuhkan sekian lama.
2. Apapun istilah, seakan nampak satu hambatan pelangi beberapa pemimpin PAS untuk duduk sama taraf dengan pemimpin Umno/BN.
3. Seakan nampak semakin hilang teras perjuangan PAS. Dinyatakan oleh mereka, perjuangan PAS bukan untuk menang bersama Umno/BN tetapi ialah perjuangan menegakkan dasar PAS itu sendiri dan mereka percaya dasar PAS akan diterima juga pada satu hari nanti.

“Apa untungnya mewujudkan ‘Pemerintahan Perpaduan?’ jika dengan Pakatan Rakyat sendiri kita sudah ada acuan perpaduan?” Begitu yang lain bertanya pula.

Sunday, June 14, 2009

SPRM SELESAI SIASAT DUA DATUK

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah selesai melakukan siasatan dan akan memutuskan dalam tempoh terdekat sama ada untuk mendakwa dua 'Datuk' yang disyaki terbabit rasuah dalam pembinaan projek Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata SPRM melakukan siasatan secara adil dan bebas tanpa mengira individu itu menganggotai parti tertentu.

"Saya dimaklumkan siasatan sudah habis dan SPRM sudah mengumpul bukti dan kemungkinan untuk mendakwa kedua-dua pihak yang terbabit. Pada masa sama saya memberi jaminan kepada SPRM bahawa mereka hendaklah bertindak adil dan bebas tanpa mengira pihak yang didakwa datang daripada parti tertentu.

"Kalau cukup bukti dan siasatan sudah dibuat sepenuhnya serta ada keperluan untuk mendakwa, itu adalah keputusan yang bebas dibuat SPRM, malah baik kerajaan atau Umno tidak akan campur tangan dengan keputusan itu," katanya selepas merasmikan Program Hari Bersama Pelanggan Jabatan Perdana Menteri, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, mengulas desakan Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor, kelmarin yang mahu SPRM mengambil tindakan segera ke atas dua anggota Umno bergelar Datuk yang disyaki terbabit dalam kes rasuah berhubung pembinaan MRR2.
Kelmarin, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Syukri Abdull mengesahkan siasatan ke atas dua lelaki bergelar Datuk telah siap dan sudah diserahkan kepada Bahagian Pendakwaan. Siasatan mengenai penyelewengan projek tersebut dijalankan selepas media pada Ogos 2004 mendedahkan mengenai keretakan MRR2 yang tidak selamat digunakan.

Isu ini dikaitkan dengan persepsi orang ramai terhadap UMNO, khususnya dalam konteks imej parti berkenaan.
Menurut blog hambali1.blogspot.com semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, imej UMNO boleh dibersihkan jika tindakan dikenakan ke atas mereka yang melakukan rasuah politik dan rasuah membabitkan projek.
Menurut penulis blog berkenaan, baik dicadangkan, mana-mana ahli atau pemimpin yang pernah kena siasat kerana rasuah atau salah laku atau apa jugalah kesalahannya membabitkan awam, jangan diberikan kepercayaan memegang jawatan penting parti.
Takut nanti dipalitkan atau sedikit sebanyak akan tercemar atau tercalar imej mereka dan ini boleh menjejaskan imej parti.
Ini kerana Tengku Adnan sendiri berdepan dengan beberapa kes yang membabitkan kepentingan awam, malah penggendalian ibu pejabat UMNO olehnya turut dipersoalkan oleh beberapa bahagian yang bermasalah.

Hakikatnya bukan Tengku Adnan seorang sahaja pemimpin UMNO yang pernah berdepan dengan pelbagai tuduhan, ramai lagi yang berkedudukan serupa.

Tengku Adnan yang turut mengesahkan siasatan ke atas kedua-dua ahli parti UMNO bergelar Datuk yang disyaki terlibat dalam kes rasuah pembinaan projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) itu, mahu imej UMNO dibersihkan.
‘‘Kita tak nak ahli yang memburukkan imej parti. Kalau mereka kena dakwa, kita ikut prosedur biasanya kita akan gantung jawatan yang mereka pegang, itu kita akan lakukan.
‘‘Tapi SPRM kena ambil tindakan (terlebih dahulu), parti juga akan ambil langkah serupa seperti dilakukan ke atas Datuk Norza Zakaria dan Datuk Suhaili Abdul Rahman serta dua lagi pemimpin UMNO dari Seremban dan Perlis,” katanya kepada pemberita di Putrajaya semalam.

Beliau lantas mahukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tindakan ke atas dua ahli UMNO bergelar Datuk yang disyaki itu.
Mengulas lanjut pembabitan kedua-dua ahli UMNO itu dengan kes rasuah, beliau berkata, UMNO tidak wajar dipersalahkan jika perbuatan itu dilakukan oleh mana-mana ahlinya.
‘‘Macam kita buka satu tin jus atau susu, apa ada dalam tin kita tak tau tapi dari luar kita tahulah ia tin susu, mungkin kandungannya itu busuk atau tak baik, kita tak tau,” katanya.

Mengenai tanggapan persepsi pihak tertentu bahawa SPRM kini dilihat lebih 'mensasarkan' pemimpin Umno berhubung kes rasuah, Mohamed Nazri berkata perkara itu tidak benar sama sekali.

"Persepsi itu tidak betul. Apa lebih penting, melawan rasuah atau hendak parti (Umno) membela seorang yang dituduh melakukan rasuah. Saya kira ini adalah satu usaha membersihkan parti daripada gejala rasuah, itu lebih penting daripada hendak menjaga nama parti atau cuba melindungi perbuatan itu."

Malah, katanya, usaha SPRM melakukan siasatan membabitkan rasuah disambut baik kerana apa yang dilakukan agensi itu adalah semata-mata untuk membersihkan parti.

"Saya kira ia tidak mendatangkan malu kepada kita (Umno) sekiranya SPRM mengambil tindakan terhadap mereka (ahli) yang melakukan rasuah.
"Saya rasa Umno akan dibersihkan daripada gejala rasuah dan sampai masanya esok kalau dapat kita membanteras rasuah dalam Umno ia akan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti," katanya.

Sinar Harian melaporkan kelmarin, tiga pemimpin UMNO akan didakwa minggu depan berhubung suapan bernilai RM3 juta bagi projek Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) selepas keterangan pertuduhan ke atas mereka diambil dua hari lalu.
Difahamkan selain dakwaan di atas penyelewengan projek MRR2, Bendahari UMNO, Datuk Roslan Awang Chik dan Ketua UMNO Bahagian Dungun yang juga bekas Ahli Parlimen Dungun, Datuk Rosli Md Hassan akan didakwa dengan empat pertuduhan lain manakala tiga pertuduhan lain terhadap Ketua UMNO salah sebuah bahagian di Terengganu.
Konsortium Bumi Hijau kontraktor dikatakan memberi suapan kepada ketiga-tiga pemimpin berkenaan atas dasar sumbangan politik UMNO.

ZAID - ADA TAK MENAMBAH, TIADA TAK MENGURANG

Oleh Amir Hamzah, Batu Pahat

www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Zaid Ibrahim bukanlah nama besar dalam persada politik tanah air. Penglibatannya dalam politik tidak setinggi mana jika dibandingkan dengan kejayaannya dalam firma perundangan. Pada 1987 beliau menubuhkan Zaid Ibrahim & Co., yang sehingga 2008 adalah firma perundangan terbesar di Malaysia dengan 140 orang peguam.

Zaid juga pengasas serta presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1988. Di dalam politik khususnya UMNO beliau boleh dianggap sebagai 'Ada tak menambah, tak ada pun tak mengurang'.

Pada 15 September 2008 ,Zaid meletak jawatan sebagai Menteri Kehakiman Malaysia kerana tidak dapat menerima penggunaan ISA terhadap pengamal media , orang awam dan ahli politik.

Sejak itu beliau sering berdolak dalik sekalipun sering kelihatan hadir di majlis anjuran Parti Keadilan Rakyat, akhirnya hari ini 13 Jun 2009, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu secara rasmi menyertai parti PKR yang diumumkan oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di kongres khas parti itu di Bangi.

Walaupun umurnya sudah pun menjangkau 58 tahun, beliau hanya menyertai UMNO ketika berumur 49 tahun iaitu pada tahun 2000.

Tahun berikutnya Zaid telah dipilih sebagai Ketua UMNO bahagian Kota Bharu. Beliau juga pernah diberi kepercayaan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan pada tahun 2003. Beliau pernah menjadi ahli parlimen (BN) Kota Bharu dari tahun 2004 - 2008. Dalam sejarah pendeknya di dalam UMNO, beliau bukanlah pemimpin UMNO tulen. Beliau hanya digunakan oleh Pak Lah untuk menyerang Tun Mahathir yang sering mengkritik pentadbirannya.

Apakah sumbangan besar Zaid dalam politik negara ini? Tidak ada, kecuali menimbulkan keputusan yang kontoversi khususnya sebagai alat oleh Pak Lah untuk memalukan Tun Mahathir.

Pada 22 Mac 2008, Zaid Ibrahim, yang baru lima hari dilantik sebagai menteri kabinet bertanggungjawab bagi badan kehakiman, mencadangkan agar kerajaan Malaysia meminta maaf kepada mereka yang dikatakan menjadi mangsa dalam Krisis Perlembagaan Malaysia 1988 yang membawa kepada pemecatan Tun Salleh Abas dan lima hakim Mahkamah Agung — Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh, Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh dan Datuk George Seah.

Beliau mencadangkan supaya dilakukan reformasi dalam bidang kehakiman untuk mengembalikan kembali kebebasan kehakiman yang dilihat sudah tercalar akibat krisis 1988. Datuk Seri Mohd Nazri Aziz mengumumkan bahawa kerajaan telah membayar saguhati sejumlah RM10.5 juta kepada Tun Salleh Abas, Tan Sri Azmi Kamaruddin, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcadeer, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Tan Sri George Seah dan Tan Sri Hamzah Mohamed Salleh.

Bukankah RM10.5juta itu satu pembaziran setelah pemecatan di zaman Tun Mahathir itu mengikut proses undang-undang. Tun Mahathir sendiri bertanggung jawab atas keputusan yang dipersetujui dan diperkenan oleh DYMM Yang Dipertuan Agong.

Selaku pengasas serta presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1988 memang mempunyai hubungan yang dingin dengan kerajaan khususnya dalam era Tun Mahathir.

Sama ada ianya satu komplot antara beliau dan Pak Lah berkaitan dengan bayaran ex-gratia itu tidak diketahui secara jelas. Yang jelas Pak Lah dan Zaid mempunyai perasaan marah kepada Tun Mahathir dan bayaran ex-gratia itu adalah kemungkinan satu usaha memalukan Tun Mahathir seolah-olah mengungkit perkara lama sedangkan perkara itu sudah selesai.

Kemasukan beliau di dalam kabinet setelah dilantik sebagai senator hanya untuk selesaikan satu perkara dan selepas itu tindak tanduk, kenyataan dan ucapannya sangat bertentangan dengan dasar kerajaan khususnya tentangan beliau terhadap isu ISA.

Pada 15 September 2008 ,Zaid meletak jawatan sebagai Menteri Kehakiman Malaysia kerana tidak dapat menerima penggunaan ISA terhadap pengamal media , orang awam dan ahli politik.

Pada 3 Disember 2008, Zaid Ibrahim dipecat daripada UMNO ekoran beberapa tindakan beliau, termasuk menghadiri perhimpunan parti pembangkang dan menyalahi peraturan parti. Zaid dilaporkan menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Melawati, Shah Alam .

Sebelum itu beliau juga dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Pulau Pinang yang turut dihadiri anggota Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang. Pemecatan Zaid berdasarkan prinsip dan mematuhi garis panduan parti dan Majlis Tertinggi UMNO sebulat suara memecatnya.

Beliau juga sangat popular dengan kritikan dan mempertikai konsep ketuanan Melayu. Zaid dikritik oleh ramai pihak kerana beliau sendiri adalah lulusan ITM kini Uitm yang ditubuhkan atas dasar ketuanan Melayu.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, dalam hal ini Zaid tidak ubah seperti cuba membakar jambatan, tidak tahu mengenang jasa dan budi yang pernah membantunya hingga mencapai kejayaan bergelar pemilik firma guaman terbesar di negara ini.

Lebih keras lagi, apabila Bekas Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyifatkan kenyataan Senator Datuk Zaid Ibrahim mengenai ketuanan Melayu sebagai keterlaluan. “Zaid perlu bertaubat, jika tidak, Zaid perlu keluar dari rumpun bangsa Melayu,”

Pendek kata, orang yang keluar UMNO selalu dikaitan dengan kekecewaan di dalam parti. Kemungkinan tidak cukup pencalonan sebagai ketua UMNO Bahagian Kota Bahru adalah satu bibit tercetusnya kekecewaannya di dalam UMNO.

Kemasukannya ke PKR menunjukkan belangnya yang sebenar. UMNO harus bersyukur kerana musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan dan duri dalam daging kepada parti sudah memilih jalannya sendiri dan menjadi musuh yang nyata.