Tuesday, June 23, 2009

KERAJAAN PERPADUAN BAGAI IKLAN TIN KOSONG

‘Kucar kacir yang mereka kata UMNO menjadi penyebabnya adalah alasan terbaik bagi mereka menutup ketelanjuran yang berlaku. Dalam hal ini, kalau katakanlah Kit Siang bergaduh dengan Karpal Singh misalnya, mereka akan kata UMNO yang cucuk. Kalau Anwar berselisih faham dengan Nik Aziz pun mereka akan kata UMNO punya angkara’

Oleh ZABIDI NOOR

AKHIRNYA apa jadi dengan kerajaan perpaduan? Kerana itulah dari awal lagi saya sudah meragui rundingan itu yang terakhir saya sebut apabila Dato’ Seri Abdul Hadi muncul semula, beliau akan bentang 1001 alasan untuk menyelamatkan diri dari terus dikecam walaupun pada mulanya nampak cukup cantik dan menarik.

Acahnya untuk berbaik dengan UMNO nampaknya tidak menjadi juga sebaik sahaja Pas terus dihurung oleh ahli sekutu pakatan pembangkang yang sudah barang tentu tidak akan setuju untuk berbaik-baik dengan UMNO hingga akhirnya menempelak UMNO pula yang sengaja mengembar-gemburkan perkara itu untuk memecahbelahkan pakatan pembangkang.

Pada saya, apa pun alasan yang timbul selepas ditentang oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz, saya tetap beranggapan bahawa kerajaan perpaduan itu hanyalah tajuk ritorik sahaja tanpa ada apa isi kandungan pun. Ia hanya kulit untuk jadi bahan acah semata-mata. Malah ada yang menyebut hanya iklan sahaja.

Walaupun orang ramai akan melihat langkah memadamkan kerajaan perpaduan akan merugikan Pas dalam jangka panjang, tetapi itulah hakikat sebenarnya Pas lebih yakin pakatan yang lebih dilihat dikawal ketat dengan bimbingan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencapai cita-citanya untuk menubuh kerajaan persekutuan sekaligus mahu jadi perdana menteri.

Tentunya juga ramai ahli Pas yang menyokong usaha kerajaan perpaduan sebelum ini akan tawar hati dan akan berfikir dua kali untuk terus bersekongkol dengan PKR dan DAP untuk mengejar cita-cita mereka menubuhkan kerajaan persekutuan yang mana ideologi Pas tidak selari dengan kedua-dua parti lain itu.

Perkara yang paling digeruni oleh PKR dan DAP ialah apabila Pas akan meninggalkan pakatan itu sama ada mahu bersendirian mahupun berbaik-baik dengan UMNO. Tanpa Pas dalam pakatan pembangkang, PKR dan DAP akan tempang dan kerana itulah mereka perlu tatang Pas seperti menatang minyak penuh.

Mereka juga tahu orang paling penting perlu ditatang dalam Pas adalah Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana walaupun dikatakan tidak mempunyai kuasa mutlak dalam pentadbiran Pas sebagai Mursyidul Am, tetapi pengaruh beliau adalah lebih besar daripada presiden, timbalan, naib presiden dan lain-lain jawatan penting dalam parti itu.

Seperti yang digambarkan oleh Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar yang menyifatkan UMNO beria-ia sangat mahu menyambut idea kerajaan perpaduan kerana UMNO sudah kehabisan oksigen yang memerlukan tambahan tenaga dari Pas kononnya menunjukkan Pas adalah sebuah parti yang cukup kuat.

Secara langsungnya beliau juga bermaksud dengan kehadiran Pas dalam pakatan pembangkang adalah sebagai membekalkan oksigen kepada PKR dan DAP yang tidak sekuat mana jika diukur dari haluan dan ideologi dalam usahasama mahu membentuk kerajaan persekutuan bersama selepas ini.
Sebenarnya dalam ketiga-tiga buah parti itu, ketua masing-masing mahu menjadi perdana menteri. Anwar memang sudah tentulah mengidam lama sejak dari zaman Tun Mahathir lagi sehingga sekarang. Kononnya jawatan itu adalah haknya atas janji yang Tun Mahathir telah berikan sekian lama.

Pas juga melalui Nik Aziz pernah kata kalau mahu berbaik-baik dengan UMNO, mereka mahu pegang jawatan perdana menteri dan kementerian kewangan, baru mereka mahu bersama. Apa kurangnya juga Lim Kit Siang yang turut sama mengidam jawatan itu sekian lama. Kalau beliau jadi perdana menteri, boleh beliau menyerah jawatan itu kelak kepada anaknya sepertimana dilakukan menteri kanan Singapura sebagai module DAP.

Perjumpaan yang mengumpulkan jaguh-jaguh dalam pakatan rakyat di parlimen baru-baru ini adalah satu perjumpaan yang hanya bertujuan untuk memutuskan talian hayat kerajaan perpaduan dengan memulang paku buah keras kepada UMNO yang dituduh selama ini cuba memgkucar-kacirkan pakatan pembangkang.

Sebelum ini, secara terang-terang Anwar bersama pakatan pembangkang telah mengkucar-kacirkan BN kononnya telah membeli beberapa orang ahli parlimen BN dengan harga berpuluh-puluh juta ringgit mahu menumbangkan BN pada 16 September lau tetapi habuk pun tarak. Itupun iklan tin kosong dari Anwar.

Jika diperhatikan sehalus-halusnya, tanpa UMNO menyebut sedia berunding pasal kerajaan perpaduan pun pakatan pembangkang mudah menjadi kucar kacir kerana Pas sudah dilihat lari dari tujuan asalnya memperjuang dan menegakkan syiar Islam manakala PKR pula lebih sibuk menolak Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Walaupun DAP tidak menunjukkan beliau berminat dengan apa yang Anwar kejarkan itu, tetapi lebih membawa sifat tunggu dan lihat. Kalau Anwar lebih-lebih atau cuba mahu mengkongkong mereka, DAP pada bila-bila masa boleh angkat kaki. Buat sementara ini, mereka ikut saja apa kata Anwar dan Anwar juga setuju saja apa mereka kata sedangkan mereka saling mencurigai kelakuan masing-masing.

Dipercayai juga semasa hayat Nik Aziz masih ada, pemimpin Pas juga tidak akan mudah mahu kata tidak setuju dengan Anwar dan Lim Kit siang kerana mereka juga faham Nik Aziz sedang ditatang oleh mereka yang cukup yakin hanya Nik Aziz sahaja harapan mereka.

Walaupun mereka sepakat di waktu ini menolak kerajaan perpaduan, tetapi jauh dalam hati dan sudut fikiran Abdul Hadi dan timbalannya Nasharuddin yang sebenar-benarnya menerajui Pas pasti ada yang mereka tidak berkenan dengan corak gabungan mereka.

Kucar kacir yang mereka kata UMNO menjadi penyebabnya adalah alasan terbaik bagi mereka menutup ketelanjuran yang berlaku. Dalam hal ini, kalau katakanlah Kit Siang bergaduh dengan Karpal Singh misalnya, mereka akan kata UMNO yang cucuk. Kalau Anwar berselisih faham dengan Nik Aziz pun mereka akan kata UMNO punya angkara.

Kerana itulah juga saya lebih suka kalau kerajaan menganjurkan perpaduan Melayu dengan membabitkan pertubuhan-pertubuhan Melayu terlebih dahulu untuk mencari arah kepentingan bangsa terlebih dahulu daripada melibatkan parti politik Melayu yang belum tentu boleh diharap buat ketika ini.

No comments: