Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah selesai melakukan siasatan dan akan memutuskan dalam tempoh terdekat sama ada untuk mendakwa dua 'Datuk' yang disyaki terbabit rasuah dalam pembinaan projek Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata SPRM melakukan siasatan secara adil dan bebas tanpa mengira individu itu menganggotai parti tertentu.
"Saya dimaklumkan siasatan sudah habis dan SPRM sudah mengumpul bukti dan kemungkinan untuk mendakwa kedua-dua pihak yang terbabit. Pada masa sama saya memberi jaminan kepada SPRM bahawa mereka hendaklah bertindak adil dan bebas tanpa mengira pihak yang didakwa datang daripada parti tertentu.
"Kalau cukup bukti dan siasatan sudah dibuat sepenuhnya serta ada keperluan untuk mendakwa, itu adalah keputusan yang bebas dibuat SPRM, malah baik kerajaan atau Umno tidak akan campur tangan dengan keputusan itu," katanya selepas merasmikan Program Hari Bersama Pelanggan Jabatan Perdana Menteri, di sini, semalam.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, mengulas desakan Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor, kelmarin yang mahu SPRM mengambil tindakan segera ke atas dua anggota Umno bergelar Datuk yang disyaki terbabit dalam kes rasuah berhubung pembinaan MRR2.
Kelmarin, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Syukri Abdull mengesahkan siasatan ke atas dua lelaki bergelar Datuk telah siap dan sudah diserahkan kepada Bahagian Pendakwaan. Siasatan mengenai penyelewengan projek tersebut dijalankan selepas media pada Ogos 2004 mendedahkan mengenai keretakan MRR2 yang tidak selamat digunakan.
Isu ini dikaitkan dengan persepsi orang ramai terhadap UMNO, khususnya dalam konteks imej parti berkenaan.
Menurut blog hambali1.blogspot.com semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, imej UMNO boleh dibersihkan jika tindakan dikenakan ke atas mereka yang melakukan rasuah politik dan rasuah membabitkan projek.
Menurut penulis blog berkenaan, baik dicadangkan, mana-mana ahli atau pemimpin yang pernah kena siasat kerana rasuah atau salah laku atau apa jugalah kesalahannya membabitkan awam, jangan diberikan kepercayaan memegang jawatan penting parti.
Takut nanti dipalitkan atau sedikit sebanyak akan tercemar atau tercalar imej mereka dan ini boleh menjejaskan imej parti.
Ini kerana Tengku Adnan sendiri berdepan dengan beberapa kes yang membabitkan kepentingan awam, malah penggendalian ibu pejabat UMNO olehnya turut dipersoalkan oleh beberapa bahagian yang bermasalah.
Hakikatnya bukan Tengku Adnan seorang sahaja pemimpin UMNO yang pernah berdepan dengan pelbagai tuduhan, ramai lagi yang berkedudukan serupa.
Tengku Adnan yang turut mengesahkan siasatan ke atas kedua-dua ahli parti UMNO bergelar Datuk yang disyaki terlibat dalam kes rasuah pembinaan projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) itu, mahu imej UMNO dibersihkan.
‘‘Kita tak nak ahli yang memburukkan imej parti. Kalau mereka kena dakwa, kita ikut prosedur biasanya kita akan gantung jawatan yang mereka pegang, itu kita akan lakukan.
‘‘Tapi SPRM kena ambil tindakan (terlebih dahulu), parti juga akan ambil langkah serupa seperti dilakukan ke atas Datuk Norza Zakaria dan Datuk Suhaili Abdul Rahman serta dua lagi pemimpin UMNO dari Seremban dan Perlis,” katanya kepada pemberita di Putrajaya semalam.
Beliau lantas mahukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tindakan ke atas dua ahli UMNO bergelar Datuk yang disyaki itu.
Mengulas lanjut pembabitan kedua-dua ahli UMNO itu dengan kes rasuah, beliau berkata, UMNO tidak wajar dipersalahkan jika perbuatan itu dilakukan oleh mana-mana ahlinya.
‘‘Macam kita buka satu tin jus atau susu, apa ada dalam tin kita tak tau tapi dari luar kita tahulah ia tin susu, mungkin kandungannya itu busuk atau tak baik, kita tak tau,” katanya.
Mengenai tanggapan persepsi pihak tertentu bahawa SPRM kini dilihat lebih 'mensasarkan' pemimpin Umno berhubung kes rasuah, Mohamed Nazri berkata perkara itu tidak benar sama sekali.
"Persepsi itu tidak betul. Apa lebih penting, melawan rasuah atau hendak parti (Umno) membela seorang yang dituduh melakukan rasuah. Saya kira ini adalah satu usaha membersihkan parti daripada gejala rasuah, itu lebih penting daripada hendak menjaga nama parti atau cuba melindungi perbuatan itu."
Malah, katanya, usaha SPRM melakukan siasatan membabitkan rasuah disambut baik kerana apa yang dilakukan agensi itu adalah semata-mata untuk membersihkan parti.
"Saya kira ia tidak mendatangkan malu kepada kita (Umno) sekiranya SPRM mengambil tindakan terhadap mereka (ahli) yang melakukan rasuah.
"Saya rasa Umno akan dibersihkan daripada gejala rasuah dan sampai masanya esok kalau dapat kita membanteras rasuah dalam Umno ia akan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti," katanya.
Sinar Harian melaporkan kelmarin, tiga pemimpin UMNO akan didakwa minggu depan berhubung suapan bernilai RM3 juta bagi projek Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) selepas keterangan pertuduhan ke atas mereka diambil dua hari lalu.
Difahamkan selain dakwaan di atas penyelewengan projek MRR2, Bendahari UMNO, Datuk Roslan Awang Chik dan Ketua UMNO Bahagian Dungun yang juga bekas Ahli Parlimen Dungun, Datuk Rosli Md Hassan akan didakwa dengan empat pertuduhan lain manakala tiga pertuduhan lain terhadap Ketua UMNO salah sebuah bahagian di Terengganu.
Konsortium Bumi Hijau kontraktor dikatakan memberi suapan kepada ketiga-tiga pemimpin berkenaan atas dasar sumbangan politik UMNO.
No comments:
Post a Comment