Saturday, June 27, 2009

HADI HILANG TARING, HILANG PUNCA


MAULANA ARRIF (malaysiaaktif.com)

24 Jun 2009


Jika saya menjadi ahli Pas, keyakinan saya terhadap daya kepimpinan Haji Hadi Awang sudah terhakis. Barangkali elok juga saya memikirkan siapa yang layak dicalonkan untuk mengambil tempatnya dalam pemilihan akan datang.

Isu kerajaan perpaduan memperjelaskan bahawa Hadi kini kehilangan ciri-ciri penting yang perlu ada pada seorang presiden sebuah parti yang besar dan sepatutnya cukup matang.

Dulu Hadi terkenal sebagai seorang yang cukup tegas dan keras pendiriannya. Bagaimana melalui `Amanat Haji Hadi’ beliau telah melabelkan UMNO secara kias sebagai sebuah parti kafir. Kesan amanatnya itu cukup buruk. Orang-orang Pas memulaukan kenduri orang UMNO, enggan menyembahyangkan jenazah orang UMNO, malah enggan bersolat jemaah dengan orang-orang UMNO.

Ketika itu Hadi yang menempa nama melalui khutbah yang berapi-api di Masjid Rusila dilihat sebagai bakal pemimpin yang akan membawa Pas ke mercu yang lebih tinggi, jika sekalipun tidak dapat mendaulatkan sebuah kerajaan Islam di bumi Malaysia.

Nama Hadi lebih gah apabila Pas berjaya menawan Terengganu dalam pilihan raya umum 1999 dan beliau menjadi Menteri Besar.

Bagaimanapun kepimpinannya tidaklah sehebat yang disangka dan diharapkan apabila Pas kehilangan tampuk kuasa pentadbiran Terengganu kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2004. Hadi hanya memegang jawatan Menteri Besar selama sepenggal.

Mulai saat itu, ramai ahli dan penyokong Pas melihat ketokohan Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz lebih hebat daripada Hadi. Walaupun ucapan Nik Aziz tidak berapi seperti Hadi, ternyata dalam banyak sudut beliau lebih hebat daripada Hadi.

Kelantan masih teguh berpenggal-penggal di bawah pentadbiran Pas yang diketuai oleh Nik Aziz. Ini menjadi faktor utama perbandingan antara beliau dan Hadi yang hanya mampu mentadbir Terengganu selama sepenggal.

Bagaimanapun disebabkan tiada siapa yang berani mencabar Hadi, kedudukannya sebagai Presiden Pas masih utuh sehingga dipilih semula tanpa bertanding pada muktamar Jun lalu.

Hanya Pas kawasan Bukit Bintang yang menongkah arus dengan mencalonkan Nik Aziz bagi jawatan Presiden Pas. Itulah satu-satunya pencalonan protes terhadap Hadi.

Hadi juga kelihatan tidak lagi mendapat sokongan mutlak ahli-ahli Pas apabila beliau tidak semena-mena mengemukakan syor kerajaan perpaduan dengan BN dan menyatakan kesediaan berunding dengan UMNO.

Cadangan Hadi itu menimbulkan polemik besar dalam Pas sehingga bahananya turut merebak ke muktamar yang lalu. Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa ditentang dua penjuru oleh Husam Musa dan Mohammad Sabu.

Nasharuddin walaupun menang, tapi diserang habis-habisan kerana pendiriannya menyokong kuat idea kerajaan perpaduan yang dilontarkan oleh Hadi. Malah Nik Aziz yang sejak awal lagi menyuarakan kecurigaan terhadap idea menubuhkan kerajaan perpaduan itu, kemudiannya mendesak Nasharuddin meletak jawatan setelah isu berkaitan bergema semula selepas muktamar.

Sebelum itu Nik Aziz pernah menegaskan bahawa ``dalam Pas hanya ada seorang nakhoda’’ apabila Hadi terus mengulangi kenyataan mengenai kerajaan perpaduan. Sudah tentulah nakhoda yang Nik Aziz maksudkan itu ialah dirinya sendiri, bukannya Hadi.

Malah dalam ucapan penangguhannya di muktamar tahunan itu, Hadi menegaskan bahawa Islam menganjurkan perdamaian. Jelas beliau merujuk kepada cadangan supaya Pas berunding dan berdamai dengan UMNO demi kepentingan Islam dan Melayu.

Walaupun idea menubuhkan kerajaan perpaduan itu sangat samar, Hadi bertegas mahu meneruskannya walaupun rakan-rakannya daripada PKR dan DAP sedikit pun tidak memberikan isyarat positif. UMNO pula kurang faham apa yang Hadi maksudkan, tapi Presiden UMNO Najib Tun Razak menyambut positif dengan membuka pintu kepada sebarang bentuk rundingan.

Orang Melayu yang juga kurang faham kerana Hadi tidak pernah memperincikan ideanya, tetapi mereka tetap beranggapan bahawa Presiden Pas itu berniat baik demi masa depan bangsa dan agamanya.

Tiba-tiba…sebagaimana mendadaknya Hadi melontarkan cadangan kerajaan perpaduan tersebut, begitu jugalah beliau menarik balik selepas berunding dengan Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Ini telah memberikan gambaran bahawa pengaruh Pas dalam pakatan pembangkang amatlah lemah. Ia juga menunjukkan bahawa Hadi sudah hilang kelayakan untuk memimpin Pas ke mercu yang lebih tinggi.

Hadi boleh dilihat sebagai seorang yang berfikiran kabur, tidak tegas, berdolak-dalik dan berpendirian lemah kerana mudah tunduk kepada Anwar dan Kit Siang. Sifatnya ini amat bertentangan dengan seorang yang pernah mengkafirkan UMNO kononnya kerana tidak melaksanakan hukum hudud dan bekerjasama dengan parti-parti bukan Islam.

Pada hari ini, Pas di bawah Hadi telah melaungkan slogan `Pas Untuk Semua.’ Bukan Islam juga diterima sebagai ahli Kelab Penyokong Pas, malah ada ura-ura untuk membuka pintu keahlian kepada mereka.

Di bawah Hadi, Pas kini bukan sekadar bekerjasama dengan DAP dan PKR yang sekular, tapi tunduk pula kepada mereka.

Jika pada suatu hari nanti mala petaka menimpa umat Islam dan orang Melayu di Malaysia, pencatat sejarah janganlah lupa merakamkan nama Hadi Awang sebagai penyumbang besar kepada mala petaka itu.

No comments: