Tuesday, January 3, 2017

TMJ Ingatkan Annuar - Jangan Jadi Liabiliti, Khianti Amanah UMNO...


Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam catatan terbaharu di Facebook Johor Southern Tigers secara berterus terang mendedahkan bahawa Tan Sri  Annuar Musa tidak menjalankan amanahnya ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Tunku Ismail yang turut dikenali sebagai TMJ melondehkan ‘perkara yang banyak orang tahu’ tetapi mahu atau berani bercakap mengenainya.

Namun pendedahan Tunku Ismail itu memberikan pukulan hebat kepada Annuar yang sebelum ini sudah beberapa kali bertelagah dengan beliau dalam banyak perkara.

Pada 17 Disember lalu,  Tunku Ismail berkata beliau tidak perlu terimanasihat pemimpin gagal (merujuk kepada Annuar).

Kenyataan Tunku Ismail itu merujuk bekas Annuar yang dilapor mempertikaikan pendirian Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) supaya FAM ditadbir secara proksi.

Annuar berkata, cadangan MUSA bagi melantik Tan Sri Aseh Che Mat sebagai presiden badan induk itu untuk membolehkan Tunku Ismail terbabit dalam FAM adalah sama sekali tidak boleh diterima kerana melanggar statut badan induk berkenaan.

Pada entri Facebook Johor Southern Tigers kelmarin (bertarikh 1 Januari 2017) itu,  Tunku Ismail mendakwa Dr Mahathir menyediakan peruntukan yang banyak ( bagi awak duit yang banyak)  untuk menangkan kembali Kelantan, demi kebajikan rakyat tetapi sebaliknya yang berlaku.

Tunku Ismail juga mendakwa Annuar yang pernah menjadi Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Kelantan ketika Dr Mahathir menjadi Ketua Perhubungan UMNO telah menyalahgunakan peruntukan, termasuk menggunakan wang tersebut dengan  membeli sebuah kereta Porsche Panamera.

Mungkin juga Tuanku Ismail mengetahui lebih banyak perkara mengenai Annuar tetapi sekadar memberikan satu contoh bagaimana ‘kepercayaan Dr Mahathir’ dikhianti oleh Annuar.

Malah Annuar turut digambarkan telah mengkhianati harapan dan hak  rakyat Kelantan kerana ‘penyalahgunaan peruntukan itu.

Kata Tunku Ismail: “Pandangan ikhlas dari saya, dulu masa Tun Dr Mahathir (Mohamad) bagi awak duit yang banyak untuk menangkan kembali Kelantan, untuk anda gunakan wang tersebut sebaiknya demi kebajikan rakyat, bukan untuk beli sebuah kereta Porsche Panamera.”
.
Teguran Tunku Ismail  itu rentetan daripada tindakan Anuar yang mempertikaikan mengenai fasiliti milik  Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT).

Tunku Ismail turut mengingatkan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bahawa pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir supaya tidak menjadi liabiliti kepada parti pemerintah.

Ahli Parlimen Ketereh  itu diingatkan bahawa Johor adalah sebuah kubu kuat Umno dan olrh kerana tarikh untuk rakyat negara keluar mengundi sudah hampir, jangan cuba menjolok sarang tebuan kerana kelak buruk padahnya.

"Kepada Tan Sri, jangan jadi liabiliti kepada parti anda. Anda sendiri jelas mempunyai kepentingan diri sendiri dalam parti. Ingatlah bahawa anda berkhidmat kepada rakyat," kata Tunku Ismail .

Mengenai bolasepak, Tunku Ismail menegaskan ramai sedia maklum bahawa Annuar telah membina KAFA sejak awal lagi. Oleh itu, Annuar perlu bertanggungjawab ke atas kegagalan dan ketidak urus KAFA hari ini. 


Merujuk kegagalan pasukan Kelantan dalam berdepan masalah kewangan ketika diterajui Annuar, Tunku Ismail measihatkan bekas Presiden KAFA itu sepatutnya melupakan hasrat untuk menerajui bola sepak Malaysia, apabila beliau menjadi orang pertama meninggalkan pasukannya apabila berdepan masalah.

"Janganlah Tan Sri bagaikan nakhoda bertempiaran lari meninggalkan bahtera bila berhadapan ombak besar. Sedangkan KAFA pun Tan Sri tak boleh nak urus, elok Tan Sri lupakan hasrat menerajui bola sepak negara," katanya.

Mengenai komen Annuar bahawa JDT  telah merosakkan pasaran bola sepak Malaysia dengan membayar gaji pemain terlalu tinggi, beliau berkata perkara ini 'terpulang kepada JDT'.

"Sistem bola sepak negara kita kini sudah berdaya maju, dan tidak wujud mengenai pasukan lain tidak mampu untuk bersaing atau beraksi dalam liga.


"Ianya berkenaan dari kebijaksanaan mengurus wang. Ianya satu perkiraan yang mudah, JDT paling ramai boleh mendaftar dalam 27 hingga 30 orang pemain tempatan sahaja dalam satu masa.

"Berapa ribu pemain yang ada dalam negeri ni? Jikalau anda nak menandatangani pemain yang sama memanglah duit anda akan habis.

"Terpulang kepada JDT untuk membayar berapa tinggi sekalipun gaji pemain kami. Masih ada ramai lagi pemain lain yang boleh bermain dan tidak perlulah bersaing dengan JDT untuk mendapatkan pemain yang terbaik.

"Ikutlah kemampuan dan jangan sibuk bersaing dengan cara JDT," katanya.

Tunku Ismail juga berkata Annuar perlu memberi fokus kepada pengurusan KAFA terlebih dahulu sebelum memberi komen mengenai kelab dan negeri-negeri lain.

"Tidak payah buang masa untuk sibuk mengenai urusan pasukan atau kelab lain. Selesaikan dulu hutang piutang sebanyak RM6.7 juta terlebih dahulu sebelum bercakap hal-hal yang lain.

Janganlah sibuk mencari kudis di kaki orang lain sedangkan tokak di kaki sendiri tidak mampu diubati, tegas Tunku Ismail.

No comments: