Thursday, December 29, 2016

Siapa ‘Jantan’ Yang DiAnggap ‘Sampah Yang Bertaburan’ Oleh Anina?

 

Apakah Anina Saadudin menjadi mangsa 'lelaki' yang mengkhianatinya?

Daripada kenyataan amaran Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM) itu, ia jelas melibatkan pertelingkahannya dengan seseorang.

Namun sayang seribu kali sayang, kini ia dikaitkan dengan kedudukannya dalam parti yang sekalgus menyulitkan kedudukan dan hubungan beliau dengan beberapa pemimpin dalam parti yang dianggotainya.

Lebih memburukkan keadaan, ada pula yang kononnya membela Anina selepas beliau diumumkan tidak dipilih oleh Majlis Presiden untuk menjadi Ketua Srikandi (Wanita), sayap penting PPBM.

Dengan nada keras, Anina yang minggu lalu dipalitkan  dengan dakwaan ‘skandal mesej seks’ apabila 'screenshot' perbualan intim dalam aplikasi WhatsApp yang didakwa antara beliau dan seorang lelaki yang tidak dinamakan, seakan menjelaskan pendiriannya bahawa jika benar beliau mahu mencari kebahagian, beliau akan memilih lelaki budiman, bukan 'jantan sampah'.

Mesej seks yang tersebar itu menyebabkan beliau menjadi tumpuan ramai, sebaliknya Anina menegaskan jika benar beliau mahu kebahagiaan, beliau akan pilih lelaki budiman, bukan ‘jantan sampah yang bertaburan' apabila tidak dapat apa yang dihajati.

"Ingatlah kepada Allah kerana Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Manusia yang budiman tidak akan meroyan apabila bertepuk sebelah tangan.

"Siang malam melalak kerana dendam hajat tak kesampaian, itu bukan manusia yang baik. Saya sendiri yang tentukan siapa raja yang ingin saya pilih untuk bertakhta di hati saya. Saya ingin menjadi permaisuri di hati lelaki budiman, bukan perempuan kepada lelaki bersifat peribadi seperti binatang yang mengamuk umpama serigala gila yang gagal mendapat bunga di taman larangan," ujarnya.

Kenyataanya itu jelas seperti ditujukan kepada seseorang, sama ada kepada orang yang ‘bertukar mesej seks’ dengannya atau orang lain dalam kepimpinan PPBM.

Beliau  dijangka akan mengadakan sidang media minggu hadapan untuk menjelaskan krisis yang melanda dirinya mengenai dakwaan skandal seks dan jawatan Ketua Srikandi.

Menurut Anina,  beliau bersikap mendiamkan diri terhadap tomahan itu tidak bererti beliau kalah. Malah, menurutnya, “diam tidak bererti saya kalah. Kalah juga tidak bererti saya hilang semuanya. Begitu juga jika saya menang, tidak bererti saya dapat semuanya.”

Menurutnya, jika sebelum ini beliau berdiri di hadapan Presiden kepada sebuah parti yang berkuasa tanpa gentar, beliau juga akan berdiri di hadapan sesiapa sahaja yang kencing kepada perjuangan beliau.

Menarik untuk mengetahui siapa yang Anina maksudkan kerana jika ada individu tertentu yang berminat dengannya, apa lagi menjadi antara pemimpin PPBM, ini akan mengucar-kacirkan lagi parti baru itu.

Apalagi Anina sudah memberi amaran bahawa "jangan sampai saya fikir anda di atas sana lebih teruk daripada  apa yang ada di sebelah sinun”.

Tegasnya: “Kuncinya ada pada saya. Anda perlu tahu bahawa sekiranya saya tekan butang kunci ini, ledakannya akan menghancurkan semua.”

Katanya beliau sudah cukup baik selama ini. Beliau tidak melayan isu sampah, namun pada masa yang sama anda masih sumbatkan sampah ke mulut rakyat.

"Kuncinya ada pada saya. Anda perlu tahu bahawa sekiranya saya TEKAN butang kunci ini, ledakannya akan menghancurkan semua," ujar ibu tunggal kepada tiga orang cahayamata ini di laman facebooknya petang semalam.

Malah, daripada kata-katanya, "jika anda tidak tahu erti keadilan, pembelaan dan sifat keperimanusiaan, anda tidak layak duduk di sebelah saya," membayangkan seseorang yang ditujukan itu adalah ‘orang penting’.

Kelmarin, penganalisis politik dari Universiti Malaya Prof Madya Azman Awang Pawi berkata jika “skandal mesej seks” benar-benar punca di sebalik penyingkiran Anina daripada jawatan ketua wanita PPBM, beliau mungkin boleh kehilangan kedudukan sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.

Azman berkata masyarakat umum tidak sepatutnya terlalu menghakimi, kerana ahli politik tempatan biasa dilempar dengan tuduhan fitnah di kedua-dua bahagian pembangkang dan Barisan Nasional.

Sejauh ini, Setiausaha Agung PPBM sudah pun memberi penjelasan yang jawatan ketua wanita parti itu masih belum diwujudkan lagi, jadi tindakan ini mungkin hanya sementara.


Menurut  Datuk Shahruddin Md Salleh kelmarin, isu ketua Srikandi parti itu tidak seharusnya wujud kerana majlis pimpinan tertingginya belumpun menubuhkan sayap berkenaan.

Justeru, kata beliau, kedudukan Anina Saadudin yang sering dirujuk oleh pelbagai pihak sebagai ketua srikandi BERSATU tidak timbul sama sekali.

"Menurut Perkara 21 Perlembagaan BERSATU, penubuhan sayap-sayap parti di semua peringkat adalah di bawah bidang kuasa MPT.

"Justeru, kedudukan Anina yang dirujuk oleh pelbagai pihak sebagai Ketua Srikandi PPBM tidak seharusnya timbul," ujar beliau dalam kenyataannya.

Anina mendakwa  dirinya dipecat daripada jawatan ketua wanita PPBM namun dakwaan itu dipertikaikan ketua penerangan, Datuk Kamarudin Md Nor.

Anina berkata, beliau sudah tanya Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan yang mengesahkan keputusan menyingkirkan beliau daripada jawatan itu.


Kamarudin sebelum ini  berkata, Anina tidak pernah dilantik dan angkat sumpah beliau merupakan “kesilapan teknikal”.

No comments: