Sunday, December 18, 2016

Annuar Pemimpin Yang Gagal, Namun Tetap Punya Keinginan – Tunku Ismail

 

Selama ini banyak pihak memuji dan memberikan penghormatan tinggi kepada Tan Sri Annuar Musa dalam konteks pengurusan bolasepak, khususnya Persatuan Bolasepak Kelantan (KFA).

Namun tidak di mata Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika ini.

Menurutnya, bekas Presiden Persatuan KAFA itu adalah pemimpin yang lemah dan gagal kerana menyebabkan kegagalan pasukan Kelantan dalam berdepan masalah kewangan ketika diterajui oleh Annuar.

"Setiap kali sebuah kelab bola sepak atau syarikat menghadapi masalah kewangan, ia dipanggil kelemahan pengurusan. Ia juga secara tidak langsung mencerminkan sikap pemimpin tersebut.

"Apabila anda berada dalam kedudukan di mana anda mempunyai banyak penaja, anda sepatutnya menggunakan peluang tersebut untuk melangsaikan semua hutang anda.

"Sebaliknya, anda membuat keputusan dengan mengambil khidmat jurulatih import baru serta tiga pemain import tambahan.

Dengan keputusan ini, orang-orang yang menjadi mangsa adalah pemain-pemain tempatan kerana mereka tidak menerima gaji mereka," kata Tunku Ismail.

Bagi Tengku Mahkota Johor, keutamaan sepatutnya diberikan kepada pemain tempatan dan bukannya pemain import.

"Ia jelas menunjukkan bahawa anda terlebih membayar pemain import dan hasilnya, anda tidak mampu untuk mengekalkan kelab.
 
"Perkara itu tidak berakhir di sini, kita dapat lihat prestasi Kelantan mulai merosot dan cukup jelas bahawa kapal tersebut mulai karam.

Lebih memburukkan lagi keadaan, menurut Tunku Ismail, sebagai nakhoda kapal, beliau memilih untuk meninggalkan kapal tersebut, dan membiarkan anak-anak kapal menderita. “Dan dengan situasi tersebut, anda masih ada keinginan untuk menjadi Presiden FAM," kata Tunku Ismail.

Malah Tunku Ismail turut menegaskan beliau tidak akan menerima nasihat daripada pemimpin yang gagal berhubung cadangan agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ditadbir secara proksi.

"Baru-baru ini, terdapat satu kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri, menggesa agar bola sepak tidak sepatutnya diuruskan melalui proksi dan menyatakan saya perlu menjelaskan pendirian dan membuat keputusan sama ada mahu menerima tugasan tersebut (selaku Presiden FAM) atau tidak.

"Bagi saya, perkara yang terbaik adalah membiarkan ahli-ahli gabungan yang membuat keputusan mengenai apa yang terbaik untuk bola sepak Malaysia dan juga kepada penyokong.

"Pertama sekali, saya tidak perlu untuk menerima nasihat daripada seorang pemimpin yang gagal untuk memimpin," katanya dalam cacatan di Facebook.

Kenyataan Tunku Ismail itu jelas merujuk kepada  Annuar yang dilapor mempertikaikan pendirian Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) supaya FAM ditadbir secara proksi.

Annuar berkata, cadangan MUSA bagi melantik Tan Sri Aseh Che Mat sebagai presiden badan induk itu untuk membolehkan Tunku Ismail terbabit dalam FAM adalah sama sekali tidak boleh diterima kerana melanggar statut badan induk berkenaan.

"Apakah yang cuba dilakukan? Apakah FAM mahu ditadbir secara proksi? Di mana letak duduk statut FAM sehingga MUSA boleh mencadangkan struktur jawatan yang tidak wujud dalam statut FAM," kata Annuar seperti dilapor Berita Harian.

MUSA menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Yusoff Mahadi dalam satu laporan akhbar berkata pihaknya bersedia untuk memberi sokongan kepada Aseh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM asalkan ia dapat menarik pembabitan Tunku Ismail dalam badan induk bola sepak negara itu.

MUSA berpendapat Tunku Ismail lebih selesa berada dalam FAM sebagai penaung atau penasihat diraja berbanding menjadi presiden, tetapi ahli gabungan perlu memilih Aseh bagi menerajui FAM.

Sementara itu, kemelut yang melanda bolasepak Kelantan bukan sekadar isu gaji pemain dan perletakan jawatan Annuar, malah Berita Harian melaporkan 9 Disember lalu,  KAFA memutuskan untuk menarik diri daripada beraksi dalam kancah Liga Malaysia musim depan kerana tidak mampu menyediakan dana mencukupi bagi menguruskan skuad The Red Warriors (TRW).

Semalam, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob bersedia berjumpa dengan Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Seri Afandi Hamzah bagi membincangkan masalah yang membelenggu organisasi berkenaan.

Beliau memberi jaminan, pihaknya sedia mendengar pandangan mereka selain berbincang bagi membantu mencari jalan penyelesaian terbaik.

Ahmad Yakob turut mencadangkan supaya pengurusan tertinggi KAFA mengadakan satu perancangan jangka masa pendek dan panjang dalam menyelesaikan isu pembiayaan pasukan.

 "KAFA seharusnya membuat satu unjuran bagaimana mereka boleh menghadapi masalah kewangan secara baik dan mengemukakan kepada orang ramai. Saya yakin dari situ, KAFA akan mendapat tajaan daripada pihak luar.

"Menjelang kongres KAFA pada 29 Disember ini, sewajarnya ia dimanfaatkan bagi mengambil kira idea serta pandangan ahli dalam membantu menyelesaikan kemelut yang melanda pasukan berkenaan," katanya.

Ahmad Yakob berkata, walaupun kerajaan negeri tidak terbabit secara langsung dalam pengurusan tertinggi KAFA, namun ia tidak bermakna ia tidak peduli langsung terhadap nasib yang menimpa skuad Kelantan.

 "Saya juga selaku Pengerusi Perbadanan Stadium Kelantan sudah pun mengurangkan bayaran levi yang dikenakan kepada KAFA iaitu daripada 17 peratus kepada 10 peratus.

"Malah kerajaan negeri juga tidak mengenakan sebarang cukai hiburan terhadap pasukan berkenaan. Ini secara tidak langsung sebagai salah satu daripada tindakan kami dalam membantu KAFA," katanya.

No comments: