Saturday, January 3, 2009

PERJANJIAN PANGKOR 3

http://nobisha.blogspot.com (3 Januari 2009)

Membaca laporan Malaysiakini yang menyebut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta Dato' Seri Anwar Ibrahim mendisiplinkan ahli-ahli PKR, saya fikir ada sesuatu yang tidak kena dalam Pakatan Rakyat. Lebih-lebih lagi isu yang dibangkitkannya adalah mengenai pertelingkahan antara PKR dan PAS; bukannya melibatkan DAP.

Sepatutnya, Lim Guan Eng risau dengan isu perbalahan antara Speaker DUN Selangor Teng Chang Kim dan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, bukannya campur tangan dalam rumahtangga PAS dan PKR.

Atau, mungkinkah Lim Guan Eng mula bimbang dengan pelbagai isu keretakan dalam Pakatan Rakyat sehingga membuatkan beliau membuat desakan itu kepada Anwar?

Selepas satu, timbul satu isu. Antara isu yang masih panas ialah Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam menuduh pemimpin Pakatan Rakyat sebagai tidak mengendahkan kepentingan rakyat, khususnya kaum India, dan tidak mahu bertemu beliau bagi membincangkan isu yang dihadapi. Sekiranya seorang ahli parlimen tidak boleh bertemu pemimpin dengan mudah, bagaimana pula dengan rakyat marhain?

Perbalahan terbuka ini tidak menguntungkan Pakatan Rakyat. Saya fikir lebih banyak lagi perbalahan sebegini akan berlaku dari semasa ke semasa. Pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat adalah manusia. Mereka juga ada kepentingan. Ada kepentingan umum. Ada kepentingan peribadi. Usah nafikan. Apabila berlaku pertembungan kepentingan, maka orang politik akan melaungkannya kuat-kuat. Dalam blog. Dalam media massa. Dalam ceramah. Dan, kepada sesiapa sahaja yang nak mendengar.

Apabila isu pertelingkahan ini timbul, maka penyokong-penyokong Pakatan Rakyat akan menyalahkan Barisan Nasional. "Sebenarnya tak ada isu pun, ia hanya dibesar-besarkan oleh media massa dan Barisan Nasional," kata mereka.

Wah, hebatnya Barisan Nasional sehingga boleh membuatkan Lim Guan Eng mendesak Anwar Ibrahim. Wah, hebatnya Barisan Nasional sehingga boleh memaksa S Manikavasagam mengkritik PKR secara terbuka dan kemudiannya terbang ke India untuk bertemu pemimpin HINDRAF. Wah, hebatnya Barisan Nasional sehingga boleh membuat Teng Chang Kim dan Charles Santiago berbalah.

Saya fikir, sudah sampai masanya untuk Pakatan Rakyat berhenti menyalahkan orang lain. Berhenti menjadi burung unta yang membenamkan kepala ke dalam pasir dan berpura-pura tidak melihat masalah. Sekiranya mereka inginkan Pakatan Rakyat utuh, mereka kena belajar menerima realiti dan teguran. Usah melenting apabila orang kata Pakatan Rakyat semakin retak. Usah menjadi maharaja yang seronok dan merasakan dia berpakaian cantik di tengah bandar semata-mata kerana rakyat memujinya, sedangkan dia bertelanjang bogel.

Apa kata kalau saya cadangkan Pakatan Rakyat mengadakan Perjanjian Pangkor 3 untuk memantapkan hubungan sesama mereka? Mengapa Perjanjian Pangkor 3? Eh, saya fikir itu nama yang sesuai kerana Perjanjian Pangkor 2 tidak ada. Sekurang-kurangnya itu yang disebutkan oleh Menteri Besar Perak.

PAS, PKR dan DAP harus menyelesaikan semua isu-isu yang ada antara mereka "once and for all" supaya tidak ada sesiapa yang harus melangkah mayat antara satu sama lain. Bukan kata saya, itu kata Pengerusi DAP Karpal Singh kepada PAS. Adakah mereka mengharapkan rakyat akan lupa kata-kata itu. Saya tidak fikir begitu.

Anda mungkin bertanya mengapakah saya mencadangkan nama Perjanjian Pangkor 3, bukannya Perjanjian Ipoh Timur, Perjanjian Marang atau Perjanjian Permatang Pauh?

Aha, itu soalan yang baik. Pada masa ini saya berada di tepi pantai di Pulau Pangkor. Terlintas di fikiran saya, bukankah baik sekiranya Pakatan Rakyat damai dan tenang seperti keadaan di tepi pantai ini. Kalau ada pun hembusan angin, biarlah sepoi-sepoi bahasa dan menambah kedinginan pagi.

Mengapa saya ke Pangkor, bukannya Pulau Pinang. Soalan yang menarik juga tu. Saya kerap ke sana. Cuma di situ agak sibuk. Banyak kenderaan dan penuh debu. Rimas dan sukar untuk mencari ketenangan. Oleh kerana rimas itulah agaknya maka Lim Guan Eng mengingatkan Anwar untuk berbuat sesuatu!

No comments: