Sunday, October 2, 2016

Tunggu Tindakan Polis Terhadap Pihak Yang Buat Provoksi Di Teluk Intan..


Penyakit apa sedang melanda masyarakat Malaysia?

Kenapa mesti ada ‘pertembungan’ sesame rakyat dan puncanya daripada siapa dan kerana apa?

Rakyatkah wajar dipersalahkan? Rakyatkah yang menjadi punca dan penyebab sementara pemimpin hanya memerhatikan sahaja?

Semalam dua kumpulan – Baju Merah dan Baju Kuning - ‘bertembung’ di Teluk Intan.

Nasib baik tiada kecederaan atau perkara buruk lain berlaku, hanya suatu ‘insiden kecil’ menurut polis.

Apakah insiden kecil sebegini akan dibiarkan?

Memanglah tiada kejadian tumbukan atau perkelahian tetapi siapa boleh jamin kejadian serupa dan mungkin lebih teruk tidak akan berulang?

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Supt Yahaya Hassan yang dipetik The Star Online berkata tiada  tumbukan dilaporkan berlaku dalam pergelutan antara penyokong Gerakan Baju Merah dan aktivis BERSIH di Teluk Intan, Perak, semalam.

Beliau menyifatkan ia sebagai insiden kecil antara penyokong kedua-dua pihak dan tiada tumbukan dilepaskan.

Yahaya berkata, polis sudah mengenal pasti beberapa individu yang memulakan provokasi itu dan mengesahkan tindakan akan diambil terhadap mereka.


Jika demikian, kita tunggu janji polis untuk membuktikan apa dan jenis tindakan yang akan dikenakan kepada pihak yang membuat provokasi.

Bagaimanapun satu rakaman video dimuat naik ke laman Facebook BERSIH 2.0 menunjukkan pergelutan antara penyokong Gerakan Baju Merah yang diketuai Datuk Jamal Md Yunos dan aktivis BERSIH 5 di Teluk Intan, semalam.

Rakaman video selama satu minit 37 saat yang dimuat naik ke laman Facebook BERSIH 2.0 itu menunjukkan  mulanya, aktivis BERSIH dilihat bercakap dengan Jamal dan pengikutnya, sebelum keadaan bertukar kecoh apabila Jamal menyambar satu  kain rentang daripada aktivis BERSIH.

Pergelutan itu berlaku dekat sebuah van polis, di mana ada orang yang kedengaran memanggil polis untuk campur tangan, sebelum pergelutan berakhir tidak lama kemudian.

ADUN Kampung Tunku dari DAP Lau Weng San menggesa supaya Ketua bahagian Umno Sungai Besar itu  ditangkap serta merta.

Ini berikutan Jamal dan Gerakan Baju Merah semalam  bertempur dengan BERSIH di Teluk Intan selepas cuba merampas kain rentang mereka.

Lau berkata polis harus menyegerakan tindakan terhadap Jamal sepertimana dilakukan terhadap pembangkang.

"Saya menggesa pihak polis untuk mengambil tindakan segera dengan menyiasat dan menangkap Baju Merah yang diketuai oleh Jamal Yunos seperti yang berlaku dalam siasatan berkaitan 'salah laku' pembangkang," kata Lau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata polis tidak boleh dilihat berat sebelah apabila melibatkan kes-kes individu dari parti pemerintah.


BERSIH 2.0 mengadakan konvoi jelajah ke bandar di luar Kuala Lumpur bagi memaklumkan himpunan BERSIH 5 akan diadakan pada 19 November nanti untuk menuntut pembaharuan institusi.

Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar bagaimanapun memberitahu perkara sebaliknya dengan menafikan dakwaan beliau menyerang aktivis BERSIH.

“Mereka berarak dari pejabat Amanah di Teluk Intan dengan sepanduk dan kain rentang serta melaungkan slogan,” katanya sambil menambah kumpulan aktivis itu turut mengedar risalah yang didakwanya sarat dengan pembohongan mengenai kerajaan.

“Kami menghalang laluan mereka dan enggan berganjak, itulah masanya mereka mula menolak (kami).”

Jamal berkata, beliau sedia bekerjasama dengan polis jika siasatan dijalankan ke atas kekecohan itu.

Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah mendakwa Jamal sebagai punca kekecohan itu berlaku, apabila beliau menyerang seorang aktivis BERSIH.

Bagaimanapun, ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu menafikan dakwaan Maria.

Maria memberitahu FMT, polis Teluk Intan bertindak menghalang penyokong Baju Merah mendekati aktivis BERSIH, tetapi ketika kedua-dua pihak berunding, Jamal bertindak melancarkan serangan.

Beliau berkata, Jamal sepatutnya ditahan serta-merta kerana mendakwa seorang pegawai polis menyaksikan serangan Jamal itu.

Katanya, UMNO perlu menegur Jamal dan menyingkirkan ahli yang berlagak seperti samseng, kecuali parti itu mahu dilihat membiarkan tingkah laku sedemikian.

Terdahulu, konvoi BERSIH 5 di Lumut, Perak dilaporkan diganggu penyokong Gerakan Baju Merah bermotosikal yang menjerit dan memukul tingkap kereta dinaiki aktivis.

Jamal bagaimanapun menafikan pernah mengarahkan penyokong Baju Merah menggunakan kekerasan dan berkata, beliau tidak dapat mengawal kemarahan penyokongnya.

Rabu lalu, Jamal melancarkan kempen Merah V2 yang menggembleng penyokongnya untuk turun ke 6 lokasi utama konvoi jelajah negeri BERSIH mulai hari ini, menuju acara kemuncak di ibu negara, iaitu himpunan BERSIH 5 pada 19 November nanti.


Katanya, penyokong Baju Merah bersedia “menyerang” semua lokasi yang diumumkan BERSIH 2.0.

No comments: