Friday, September 30, 2016

RUU 355 – Kenapa Mesti Menghukum, Mengkafirkan Sesama Islam?

Dr Wan Salim...tidak wajar kafikrkan orang Islam
Apakah apabila tiba sahaja perkara berkaitan Ahli Parlimen Marang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, akan muncul hukuman ‘jatuh akidah’ dan ‘mengkafirkan sesama Islam’?

Tidak serikkah kita masyarakat Islam dengan ‘Amanat Hadi’ yang menyebabkan masyarakat Islam berpecah-belah dan mengkafirkan sesama Islam suatu ketika dahulu?

Kini, ada hukuman terbaru terhadap seseorang Ahli Parlimen Islam yang menolak dan tidak menyokong Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 yang bertujuan memartabatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara ini, sebagai 'jatuh akidah' (rosak akidah).

Lebih menyedihkan dikatakan mereka yang menolak RUU 355 sebagai mereka yang layak dikebumikan di jirat (tanah perkuburan Cina).

Isu pindaan Akta 355 ini mula menjadi perhatian apabila  Hadi  mengemukakan usul atau notis bagi membawa RUU Persendirian bagi  meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang mampu memperluas bidang kuasa mahkamah syariah terhadap pesalah jenayah di Dewan Rakyat, 26 Mei lalu.

Namun Abdul Hadi sendiri memohon untuk menangguhkan perbahasan usul tersebut ke sidang Dewan Rakyat bersidang 17 Oktober depan.

RUU 35 ini mulanya menjadi kontroversi dan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan parti-parti bukan Islam ialah cadangan menangguhkan usul Hadi itu dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan disokong pula oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

RUU yang dibawa Abdul Hadi itu didakwa parti-parti bukan Islam sebagai 'jalan' untuk membenarkan pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Semua pemimpin parti komponen bukan Islam dalam BN memberikan kenyataan secara terbuka bahawa mereka akan melepaskan jawatan dalam kerajaan sekiranya RUU yang dibawa Presiden Pas itu diluluskan oleh Parlimen.

Namun akhir-akhir ini apabila ada permintaan daripada Ahli Parlimen Islam supaya ada penjelasan beberapa perkara sepatutnya diberikan oleh Hadi terhadap RUU itu dan tidak mendapat respons, mula timbul ‘serangan’ terhadap Ahli Parlimen Islam.


 Pada 20 September lalu, Parti Amanah Negara (AMANAH) mendesak Hadi supaya memberi penjelasan berhubung RUU 355 itu.  Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad (gambar atas) mendakwa, RUU itu tidak jelas dan mengelirukan, malah ia dilihat tidak boleh memperkasakan Mahkamah Syariah.

Khalid berkata, Biro Undang-Undang (Kanun) parti itu beri tempoh kepada beliau memberi penjelasan sehingga akhir September. Awal bulan ini, AMANAH mempersoalkan kekeliruan berhubung RUU itu selain cadangan meningkatkan hukuman yang jelas menimbulkan ketakutan dan salah faham di kalangan rakyat.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, empat perkara yang dipersoalkan berhubung RUU berkenaan ialah apakah yang diperkasakan, kenapa diganti seluruh Seksyen 2, kenapa Seksyen 2 (a) tidak menyebut had dan jenis hukuman serta apakah kesan pindaan ini kepada institusi Mahkamah Syariah.

Khalid menjelaskan bahawa desakan itu perlu dilihat secara positif dalam membantu PAS menjawab segala persoalan berikutan penjelasan mereka lebih bersifat retorik.

Persoalannya, kenapa mesti ada kumpulan yang sanggup mengkafirkan orang Islam dengan sewenang-wenangnya mereka yang tidak bersetuju dengan Rang Undang-undang 355 (RUU 355) sedangkan ia belum dibentangkan di Dewan Rakyat?

Kenapakah segelintir agamawan di negara ini dengan begitu mudah dan sewenang-wenang berbuat demikian hanya kerana mereka mengambil pendirian tidak bersetuju dengan rang undang-undang yang dikatakan bertujuan memperkasa serta memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah?

Yang perlu diketahui dan difahami ialah RUU 355 belum lagi dimuktamadkan.

Ia hanya akan dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang di Parlimen yang akan mulai bersidang pada pertengahan bulan Oktober ini.


Kerana itu, biarlah ia dibincang dan diperincikan terlebih dahulu dengan teliti dari pelbagai aspek oleh pihak legislatif dengan tujuan penambahbaikan. 

Kita mengharapkan perbahasan yang bebas akan menghasilkan satu undang-undang  yang adil untuk dilaksanakan ke atas seluruh warganegara.

Kita tidak menolaj seseorang Muslim sememangnya wajib menerima hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT namun RUU 355 bukanlah hukum Allah SWT.

RUU 355  hanya satu langkah ke arah memperkasa dan memartabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia.

Tindakan berani menegur oleh Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor terhadap segelintir agamawan yang mengkafirkan orang Islam yang tidak bersetuju dengan Rang Undang-undang 355 (RUU 355) membuka jalan kepada perbahasan yang sedail-adilnya.

Bagi beliau, adalah tidak wajar mana-mana Ahli Parlimen dipaksa menerima RUU 355 termasuk mengugut kononnya sesiapa tidak menyokong akan menjejaskan akidah.

RUU 355 dibentangkan untuk perbincangan daripada pelbagai aspek oleh pihak legislatif bagi tujuan penambahbaikan.

 26 September lalu, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyeru orang Islam agar menyokong pindaan RUU355 itu.


Mohamad Shukri (gambar atas) pada masa yang sama, turut menasihati anggota Parlimen khususnya yang beragama Islam agar menyokong pindaan tersebut apabila ia dibahaskan di sidang Dewan Rakyat pada sesi akan datang.  
     
“Memang wajib (menyokong)... kenapa tidak mahu melihat perkara baik berlaku dalam Mahkamah Syariah. Kalau sebelum ini, bidang kuasa Mahkamah Syariah rendah, kalau beri sedikit kuasa, apa masalahnya.

“Dalam al-Quran ada menyebut, bertolong, membantu dalam hal-hal kebaikan, kebajikan dan taqwa merupakan benda yang baik, jadi semua patut sokong perkara baik (Akta 355),” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Mahabbah Ulama di Kota Bharu.
         
Mufti Kelantan itu melihat tentangan terhadap pindaan Akta 355 banyak dikemukakan oleh parti politik yang disifatkan mempunyai kepentingan masing-masing.

Kenyataan Dr Wan Salim yang dikeluarkan hari ini dipercayai merujuk kepada kuliah sebuah kuliah Yang Dipertua PAS  Padang Serai Shaharuddin Ibrahim yang menyifatkan ahli parlimen yang tidak menyokong RUU 355 sebagai 'jatuh akidah' (rosak akidah) dan layak dikebumikan di jirat (tanah perkuburan Cina).

"Saya amat sedih mendapati segelintir agamawan di negara ini yang dengan sewenang-wenang mengkafirkan orang Islam hanya kerana mengambil pendirian tidak bersetuju dengan rang undang-undang yang bertujuan memperkasa serta memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah.

"Saya tidak menafikan tentang peri pentingnya gagasan  sedemikian dilaksanakan dan justeru sepatutnya ia mendapat sokongan semua pihak.

Dr Wan Salim menjelaskan, kemungkinan wujud kekurangan dan kelemahan tertentu di dalam RUU 355 yang perlu diperbaiki sebelum dijadikan undang-undang.

Malah beliau memberi pendapat, adalah baik pihak kerajaan sendiri mengambil daya usaha membentangkannya supaya kelihatan lebih serius dan tidak dilihat sebagai gimik politik semata-mata.


Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan permintaan maaf Shaharuddin atas keceluparannya 'mengkafirkan' Presiden Keadilan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh jika tidak menyokong RUU 355 di Dewan Rakyat kelak.

Bagaimanapun Shaharuddin menjelaskan permintaan maaf itu dibuat untuk tidak memanjangkan isu itu.

"Dalam kuliah saya baru ini, saya ulas dengan panjang, tak ada tuju khusus kepada siapa-siapa, harap mana-mana pihak yang mahu petik ceramah atau kuliah, dengar sampai habis supaya faham," ujarnya membela diri.

Sahaharuddin pernah  mencetuskan kontroversi apabila mendakwa Pulau Pinang menghalang azan daripada dilaungkan.

Bagaimanapun setelah diberi amaran akan diambil tindakan mahkamah,  pemimpin PAS itu memohon maaf kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan DAP kerana tuduhan berunsur fitnah.

No comments: