Benarkah Malaysia kini dalam keadaan krisis yang parah?
Benarkah kita pada persimpangan getir yang memerlukan
kerajaan baru bagi melaksanakan segala kewajipan dan tanggungjawabnya terhadap rakyat
dengan beramanah dan berintegriti?
Menurut bekas timbalan perdana menteri yang kini Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin
Yassin, Malaysia berada di suatu persimpangan yang getir.
Rakyat sudah memberi mandat kepada kerajaan dengan
harapan wujud keadaan kerajaan yang beramanah dan berintegriti akan dapat
memastikan rakyat hidup selesa dan sejahtera.
Bagaimanapun, kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang tidak
melaksanakan kewajipan dan tanggungjawabnya terhadap rakyat.
Lebih teruk, kata Muhyiddin, kerajaan hari ini sedang
bergelumangan suatu krisis kepimpinan yang tidak berupaya untuk membantu
menyelesaikan permasalahan rakyat.
“Tiada gunanya kita menyerahkan amanah kepimpinan kepada
mereka yang pecah amanah,” katanya.
Berikutan itu, rakyat mengharapkan sebuah kerajaan yang mampu membantu meringankan beban rakyat.
Apa sebenarnya krisis yang parah itu?
1.
Kos sara hidup rakyat kian meningkat.
Harga barangan keperluan harian
semakin mahal. Nilai ringit rendah. Pendapatan rakyat terjejas dengan suasana
ekonomi yang suram. Rakyat yang berpendapatan rendah paling terkesan dengan
keadaan ekonomi hari ini kerana pendapatan yang mereka perolehi tidak dapat
menampung beban kenaikan kos sara hidup yang tinggi. Ada yang terpaksa
berhutang untuk hidup.
2.
Mahukan pekerjaan dengan pendapatan yang
setimpal.
Ini termasuk harga barangan
keperluan harian yang patut, pendidikan yang berkualiti, biasiswa dan bantuan
pendidikan untuk anak-anak, rumah yang mampu dimiliki, pertumbuhan ekonomi yang
rancak dan yang paling penting ialah kehidupan yang selesa.
3.
Ekonomi negara tidak diurus dengan baik, rasuah
bermaharajalela, keitirisan dan pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan yang menggerunkan.
Keadaan ini menyebabkan sumber
kerajaan yang terhad tidak dapat diagih dengan secukupnya kepada sektor-sektor
yang penting kepada kesejahteraan rakyat seperti pendidikan, kesihatan,
pengangkutan awam, pembangunan luar bandar, kebajikan masyarakat dan lain-lain
lagi.
4.
Perbelanjaan kementerian-kementerian dipotong.
Hasil daripada tindakan ini menyebabkan banyak projek pembangunan serta
program bantuan kepada masyarakat tidak dapat dilaksanakan. Namun anehnya,
projek-projek mewah yang tidak masuk akal dilaksanakan untuk menguntungkan
kroni.
Penyelesaian:
1.
Rakyat mempunyai pilihan.
Kerajaan dibentuk dengan
mendapat mandat rakyat. Suatu kerajaan baharu yang beramanah dan berintegriti
perlu dibentuk menerusi proses pilihanraya yang bebas, adil dan demokratik.
2.
Keutamaan hendaklah diberikan kepada usaha untuk
memulihkan ekonomi negara.
Ini termasuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan, meningkatkan
pendapatan rakyat, meringankan beban kos sara hidup, melaksanakan reformasi
institusi dan mengurus negara secara beramanah dengan berpandukan prinsip
tadbir urus yang baik.
Pilihan kini berada di tangan
rakyat:
“Kuasa rakyatlah yang akan menentukan masa depan negara
kita. Samada kita mahu Malaysia menjadi sebuah negara yang berjaya dan
sejahtera atau sebuah negara yang gagal dan kacau bilau, segalanya terserah
kepada kuasa rakyat,” katanya.
“Sempena sambutan Hari Malaysia yang ke-53 ini, marilah
kita seluruh rakyat bersatu dalam membuat suatu komitment baharu untuk
memulakan perjalanan ke arah Malaysia yang lebih baik.
Katanya, pembentukan Malaysia 53 tahun yang lalu
bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu, maju, aman
dan selamat daripada ancaman geopolitik pada waktu itu.
Dalam tempoh lebih lima dekad ini, Malaysia telah berjaya
mengharungi pelbagai cabaran untuk menjadi sebuah negara yang aman, makmur dan
harmoni.
“Kejayaan ini adalah berkat komitmen dan usaha gigih
rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama dalam menyumbang
tenaga dan kepakaran untuk membangun dan memajukan negara,” katanya.
Kerana itu dengan kedudukan Malaysia yang kini dalam persimpangan
getir dan keadaan krisis yang parah, rakyat mempunyai pilihan untuk tidak lagi
memberikan mandat kepada kerajaan yang sama untuk mentadbir negara.
Bagi Muhyiddin, suatu kerajaan baharu yang beramanah dan
berintegriti perlu dibentuk dan kerajaan yang bakal dibentuk ini mestilah
meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya!
(Baca kenyataan penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini)
No comments:
Post a Comment