Friday, September 23, 2016

Kenapa Persoal Apabila Najib Jawab Bagi Pihak Yang Di-Pertuan Agong?


Ada beberapa perkara menarik apabila pemimpin pembangkang mengemukakan pertanyaan, ‘Sejak bila Najib jadi jurucakap Agong?'

Malam kelmarin, Perdana Menteri  berkata Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah menjelaskan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa baginda tidak boleh mencampuri usaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam isu Deklarasi Rakyat.

Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan oleh Seri Paduka bahawa baginda mengambil maklum perkara dibangkitkan tetapi menjelaskan tidak boleh mencampuri usaha itu.

Berikutan itu pembangkang  menyifatkan kenyataan Perdana Menteri itu sebagai pelik kerana kebiasaannya kenyataan Seri Paduka dikeluarkan oleh setiausaha sulit baginda atau istana.

Memburukkan keadaan, kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri tersilap fakta.

Berikutan itu, pemimpin pembangkang menyifatkan Datuk Seri Mohd Najib Razak sudah tidak layak menjadi perdana menteri Malaysia apabila membuat kenyataan dengan fakta yang salah.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub mengemukakan pertanyaan: “Saya ingin bertanya, sejak bila Datuk Seri Najib menjadi jurucakap kepada Yang di-Pertuan Agong?”

Najib berkata, penolakan dibuat kerana  deklarasi itu tidak mengikut perlembagaan.

Selain itu tindakan sepatutnya diuruskan menurut amalan lazim melalui parlimen dan sistem pilihan raya.

Dr Mahathir mengadap Seri Paduka  di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada 15 September lalu bagi  menyerahkan Deklarasi Rakyat dalam pertemuan empat mata kira-kira satu jam 15 minit.

Bekas Perdana Menteri itu dilapor turut membawa dokumen didakwa mengandungi tandatangan 1.3 juta rakyat Malaysia bagi menuntut Najib berundur sebagai perdana menteri.

Antara lain, Deklarasi Rakyat anjuran bekas pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa Najib terbabit dalam skandal kewangan melibatkan syarikat pelaburan negara, 1MDB serta bantahan terhadap kemasukan RM2.6 bilion ke akaun peribadinya.

Ada memperlekehkan pertemuan itu kononnya Dr Mahathir gagal menjawab pertanyaan Seri Paduka dalam isu tandatangan deklarasi berkenaan. Malah bekas Perdana Menteri itu agak terkejut dengan pertanyaan berkenaan. Kerana itu Dr Mahathir senyap untuk beberapa minit.

"Anda dapat melihat bahawa Mahathir sedang mencari kata-kata dan akhirnya, selepas senyap beberapa ketika, beliau kemudian membalas bahawa petisyen itu merupakan apa yang telah diberikan padanya.
  
"Dalam erti kata lain, Dr Mahathir tidak dapat menjamin apa-apa kerana bukan beliau yang mengumpulkan tandatangan tetapi orang lain yang lakukan dan ia telah diberikan kepadanya,” demikian kata Raja Petra Kamarudin melalui blognya.

Akibatnya, Seri Paduka kemudian hanya memberikan senyuman sinis kerana cara Mahathir menjawab tidak meyakinkan dan sudah tentunya berdalih.  Baginda kemudian melihat Mahathir hanya memandang ke bawah dan tidak bercakap lebih tentang Deklarasi Rakyat atau tandatangan sebanyak 1.4 juta itu.


Salahuddin yang mempertikaikan kenyataan Najib itu berpendapat, oleh kerana dalam keadaan Najib menjadi pihak berkepentingan berkaitan dalam protes pada kepimpinannya itu, tidak wajar beliau menjawab bagi pihak Seri Paduka.

“Mana mungkin Datuk Seri Najib yang menjadi subjek dalam Deklarasi Rakyat dan juga menjadi pihak berkepentingan, boleh mengeluarkan kenyataan mewakili Yang di-Pertuan Agong dalam isu melibatkan dirinya sendiri?

“Bagi saya, ianya suatu yang melanggari kebiasaan dan cuba memperbodohkan rakyat,” katanya.

Sementara pemimpin PAS yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata fakta Deklarasi Rakyat yang disebut oleh Najib dalam kenyataannya sebagai Deklarasi PBBM adalah menyimpang sama sekali.

Menurutnya, satu  dunia tahu Deklarasi tersebut diusahakan oleh Gerakan Selamatkan Malaysia (GSM) yang diketuai oleh Dr Mahathir dan disertai oleh individu rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang.

Ia bukan diusahakan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kerana ketika itu parti pun belum tubuh lagi.

Malah menurut Mahfuz, Tan Sri Muhyidin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Shafie Apdal masih lagi ahli Umno pada waktu pelancaran Deklarasi Rakyat.


Menurutnya, kenyataan Najib seolah-olah Seri Paduka tidak faham fakta sebenar antara Deklarasi Rakyat dengan Deklarasi PBBM dan ia suatu penghinaan kepada Seri Paduka dengan menyatakan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh mencampuri usaha yang lakukan oleh BERSATU dalam Deklarasi PBBM.

Najib meletakkan Seri Paduka sama taraf dengan Ahli Parlimen Langkawi yang mentafsirkan MO1 adalah Yang di-Pertuan Agong, tegas Mahfuz.

Beliau merujuk kepada kenyataan akhbar oleh Najib pada 21 September yang mengandungi maklumat salah.

Selain itu, Mahfuz mempersoalkan bagaimana , dalam kenyataan Najib itu, fakta tempat boleh jadi tidak betul?

Peristiwa pertemuan empat mata tersebut berlaku di Istana Anak Bukit. Yang peliknya Najib dalam kenyataannya menyebut pertemuan tersebut berlaku di Istana Bukit Malut.

Fakta berkaitan dengan sesuatu kejadian atau peristiwa yang berlaku tidak seharus salah, kerana ia dilaporkan oleh media. “Peristiwa tidak pernah berbohong di mana tempat berlakunya peristiwa,” katanya.

Beliau hairan kenapa Najib begitu ghairah untuk mengeluarkan kenyataan berkaitan peristiwa pertemuan empat mata antara Seri Paduka dengan Dr Mahathir.


“Kalaupun tujuan kenyataan Najib untuk memperlekehkan Mahathir tetapi tidak seharusnya menunjukan fakta yang salah. Kan berbeza antara Bukit Malut dengan Anak Bukit. Bukit Malut di Langkawi.Anak Bukit dalam kawasan Majlis Bandaraya Alor Setar. Bukit Malut dan Anak Bukit dipisahkan oleh laut,” katanya.

Malah, Mahfuz lebih jauh mendesak Najib mohon maaf pada Seri Paduka atas penghinaannya dan perlu sedari yang beliau sudah tidak layak menduduki kerusi perdana menteri.
.
“Saya harap Najib tahu cara untuk mengundur diri sebagai perdana menteri seperti mana yang di lakukan oleh Tun Abdullah Badawi dan Dr Mahathir,” tegas Mahfuz.

Kenyataan silap itu dikatakan sudah diperbetulkan oleh Pejabat Perdana Menteri, namun apakah persoalan yang dikemukakan oleh Salahuddin dan Mahfuz ini akan mendapat jawapan daripada Istana Negara?

Juga dalam isu yang dikatakan oleh Raja Petra mengenai pertemuan Dr Mahathir dan Seri Pasuka  itu, apakah benar  Dr Mahathir gagal menjawab soalan?

Apakah benar isu Deklarasi Rakyat dibincangkan sambil lalu dalam pertemuan satu jam 15 minit itu sebaliknya perbualan berkisar mengenai perkara lain?

Jika Raja Petra ‘boleh mendengar perbualan empat mata’ antara Seri Paduka dan Dr Mahathir,  apakah kenyataan Najib itu benar-benar menggambarkan sikap dan pendirian Yang Di-Pertuan Agong mengenai Deklarasi Rakyat?

Rakyat ingin tahu perkara sebenar!

No comments: