Sebelum ini ada soalan, “Bolehkah Peguam Negara (AG) Malaysia tolak permintaan Bantuan Guaman Bersama (MLA) pihak berkuasa asing?”
Ia berkaitan dengan permohonan bantuan Malaysia untuk
menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kenyataan Peguam
Negara Switzerland (OAG) , Michael Lauber (gambar atas) jelas menyebutnya sebagai ‘memohon
bantuan’.
Akhbar The Telegraph United Kingdom dengan tajuk Swiss seek Malaysian help probing $4 billion financial
scandal mengatakan siasatan
itu perlu dijalankan kerana skandal kewangan itu melanggar undang-undang negara
berkenaan.
Persoalannya apa kesan dan telahan pihak asing kepada
Pejabat AG dan Malaysia jika permintaan itu ditolak?
Apakah dengan menolak permintaan OAG itu Malaysia dilihat cuba melindungi pihak
tertentu dalam kes 1MDB?
Sudah pasti akan timbul berbagai pertanyaan, dengan keputusan
AG Malaysia itu, apakah ia usaha untuk terus ‘membersihkan Perdana Menteri’?
Ini kerana siasatan Switzerland tertumpu kepada penipuan termasuk
satu bentuk skim "Ponzi", di mana pulangan bagi pelaburan asal
dibayar daripada dana yang diperolehi daripada pelabur berikutnya, dan bukannya
daripada hasil sah pelaburan berkenaan.
Siasatan mengenai syarikat pelaburan 1MDB yang dibebani
hutang dan dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang
dijalankan di beberapa buah negara di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat,
Switzerland dan Singapura.
Malah perbicaraan bekas pegawai bank BSI Singapura yang sudah ditutup sedang berlansung selain beberapa orang lagi akan dihadapkan ke mahkamah dalam
tempoh terdekat.
Pada 13 Oktober
2016, lalu, Malaysiakini menyiarkan persoalan mengenai perkara
ini dengan mengemukakan soalan apakah
Malaysia cuba mengelakkan diri berhubung permintaan OAG Switzerland buat
kali kedua, untuk mendapatkan MLA dalam siasatan
terhadap dakwaan penyelewengan dan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB?
Persoalan yang berlegar selepas permintaan kedua untuk
bantuan mengikut Perjanjian Bersama Bantuan Perundangan Antarabangsa adalah
sama ada Malaysia cuba menjarakkan diri, atau sama ada kertas diplomatik
"didapati telah hilang".
Sebelum itu pada pada 6 Oktober, Jabatan Peguam Negara
(AGC) dalam jawapannya berkata pihaknya belum menerima sebarang permohonan
tambahan MLA daripada OAG Switzerland.
"Bagaimanapun, Peguam Negara ingin menekankan
komitmen kami dalam kerjasama antarabangsa dan akan mempertimbangkan sebaik
mungkin permintaan ini berlandaskan undang-undang sedia ada apabila ia diterima
menerusi saluran diplomatik, seperti mana ditetapkan undang-undang negara
berhubung bantuan bersama perundangan," kata AGC dalam
satu kenyataan.
Undang-undang yang berkaitan mengenai perkara ini ialah
Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002.
Di bawah Akta ini, permohonan itu perlu dibuat oleh
peguam negara di negara asing yang berkenaan kepada Peguam Negara Malaysia, Tan
Sri Mohamed Apandi Ali.
Hari ini, Financial Times United Kingdom
melaporkan secara rasminya Malaysia menolak permintaan Switzerland untuk
mendapatkan MLA dalam siasatan penyelewengan dan pengubahan wang haram yang
didakwa melibatkan 1MDB.
Dengan tajuk ‘Malaysia Rebuffs
Swiss Inquiries Into 1MDB’, Peguam Negara Switzerland itu memberitahu akhbar
berkenaan dalam satu temu bual yang disiarkan hari ini mengatakan pihaknya
baru-baru ini mendapat respon yang pihak berkuasa Malaysia tidak akan bersetuju
dengan permintaan kami.
"Mereka hanya berkata bahawa di bawah undang-undang
mereka, mereka tidak boleh menjawab," katanya.
Dilaporkan, Jabatan Peguam Negara Malaysia menafikan ia
cuba menggagalkan siasatan pihak berkuasa Switzerland itu tetapi menyebut
kerajaan akan meneruskan siasatan jenayah oleh polis Malaysia berhubung perkara
berkaitan 1MDB.
Apandi...tolak permintaan Peguam Negara Switzerland. |
FT memetik pejabat AG sebagai berkata,
"peguam negara berpendapat bahawa permintaan ini boleh menimbulkan prejudis
berlaku perkara jenayah di Malaysia," dan menambah, "tiada isu
Malaysia menyekat siasatan jenayah Swiss".
Sedangkan CNBC yang memetik FT pada 23 Ogos bahawa OAG sudahpun
melancarkan siasatan jenayah terhadap 1MDB.
Laporan CNBC itu menyebut: “Attempts
by Najib Razak, Malaysia's embattled prime minister, to contain a financial
scandal have taken a knock after Swiss authorities said they had opened
criminal proceedings related to the state development fund at the center of the
affair.
Switzerland's Office of the
Attorney-general said its case involved "suspected corruption of public
foreign officials, dishonest management of public interests and money
laundering".
Its confirmation of
proceedings involving 1Malaysia Development Berhad, or 1MDB, which has $11 billion
in debt, marks the potential internationalization of a case that has so far
received mainly domestic scrutiny. The fund, established in 2009 by Malaysia's
finance ministry, is supervised by an advisory board chaired by the prime
minister.”
Dan pada 12 Oktober
2016 pula, OAG Switzerland mengatakan pihaknya memulakan prosiding
jenayah terhadap Falcon Private Bank kerana gagal menghalang kesalahan
berkaitan dengan penyelewengan dana 1MDB.
Keputusan memulakan prosiding adalah berdasarkan maklumat
yang didedahkan oleh siasatan dalam kes 1MDB dan isu-isu yang dibangkitkan
dalam keputusan Pihak Berkuasa Penyeliaan Pasaran Kewangan Switzerland atau Swiss Financial Market Supervisory Authority (FINMA) dari awal Oktober 2016.
FINMA, sehari sebelum itu, mendedahkan kira-kira AS$ 3.8 bilion dana berkaitan 1MDB disalurkan melalui
Falcon Private Bank.
Menurut FINMA, dana itu termasuk melalui urusniaga AS$681
juta dan pembayaran balik AS$620 juta enam bulan kemudian.
Pihak berkuasa kewangan itu tidak memberikan butirannya
tetapi jumlah itu sepadan dengan AS$ 681 juta yang diterima oleh Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang dirujuk sebagai RM2.6 bilion berdasarkan
kadar pertukaran ketika itu apabila perkara berkenaan didedahkan pada Julai
tahun lalu.
Najib mendakwa wang itu adalah "derma dari
Arab" dan AS$620 juta daripada wang itu kemudiannya dikembalikan.
Pada 28 Oktober lalu ketika mengesahkan pejabatnya telah
menerima permintaan daripada OAG
Switzerland di bawah MLA, Peguam
Negara tidak mengulas panjang.
Dilaporkan pada 6 Oktober bahawa pejabat peguam negara
Switzerland telah menghantar permintaan MLA kedua untuk Malaysia.
Ini merupakan
permintaan kedua untuk mendapatkan bantuan daripada rakan sejawatannya
dari Malaysia di bawah Bantuan Perundangan Bersama, selepas pejabat peguam
negara di negara ini mendakwa ia tidak menerima permohonan pertama.
Apandi sebelum ini membersihkan Najib daripada sebarang
salah laku.
Perjanjian Bersama Bantuan Perundangan Antarabangsa
adalah perjanjian antara dua atau lebih negara bagi tujuan pengumpulan dan
pertukaran maklumat dalam usaha untuk menguatkuasakan undang-undang awam atau
undang-undang jenayah.
Dengan pendrian Pejabat Peguam Negara Malaysia kini,
apakah kita sebenarnya tidak lagi mahu bekerjasama dan tidak peduli dengan
persepsi antarabangsa?
Atau memang tidak penting bagi kita untuk menjayakan
Bantuan Perundangan Bersama selain menghormati Perjanjian Bersama Bantuan
Perundangan Antarabangsa?
Nampak gayanya, kerajaan ketika ini sedang menuju ke arah
itu.
No comments:
Post a Comment