Pelik dan aneh apabila Parlimen, khususnya Dewan Rakyat bukan
lagi tempat untuk membincangan isu dan masalah negara.
Segala-galanya adalah kerana 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) dan kebetulan tiga Ahli Parlimen yang memperkatakannya baru-baru ini adalah
daripada parti pembangkang. Mereka bekas Menteri yang pernah menjadi pemimpin UMNO.
Amat nyata parti pembangkang berkenaan, walaupun baru sangat
ditakuti oleh Barisan Nasional (BN) dan UMNO ketika ini.
Mereka berpengaruh dan rakyat akan percaya kata-kata mereka, apalagi ucapan dan kata-kata itu dilafazkan di Dewan Rakyat.
Sepatutnya, isu yang membabitkan rakyat dan negara
diberikan ruang untuk dibahaskan di Dewan Rakyat, tidak sebaliknya.
Malah, di Dewan Rakyat jugalah, Perdana Menteri dan
Menteri-Menteri boleh menjelas dan menjawab isu yang dikemukakan. Di Dewan Rakyat, ahlinya tidak boleh berbohong dan setiap patah perkataan akan dipercayai oleh rakyat.
Namun sayang, medan ‘suci’ ini tidak mahu digunakan oleh
pihak kerajaan untuk menjawab dan menjelaskan kepada kerajaan kedudukan sebenar
1MDB yang kini menghantui politik dan kerajaan yang memerintah hari ini.
Semua tahu bahawa Dewan Rakyat adalah tempat paling
‘suci’ untuk memperkatakan sebarang isu yang berkaitan dengan rakyat sejak
institusi itu ditegakkan di negara ini.’
Juga ahli-ahli Parlimen tahu bahawa mereka mempunyai kebebasan
dan keistimewaan untuk memperkatakan sesuatu perkara tanpa rasa gusar atau
dikecam di luar dewan.
Di situlah ‘wakil rakyat’ yang dipilih oleh rakyat
melalui sistem demokrasi menyatakan pendirian, membuat cadangan dan juga
menetapkan pendirian mengenai sesuatu isu membabitkan rakyat dan negara.
Jika tidak di Parlimen, khususnya di Dewan Rakyat, di
manakah lagi suara rakyat boleh diketengahkan?
Lagipun, Dewan Rakyat mempunyai imunitinya sendiri bagi
membolehkan ‘wakil rakyat’ menyatakan apa yang dirasakan sesuai untuk
kepentingan rakyat dan jika terbabas, sudah tentu mereka dikenakan tindakan.
Selalunya tindakan dikenakan kerana ‘menghina Dewan
Rakyat’ dan sebab-sebab yang dikira sebagai bertentangan dengan peraturan Dewan
Rakyat.
Namun dalam isu bertanya dan menyatakan pendirian
mengenai isu yang sudah menjadi ‘isu rakyat’ dan ‘isu antarabangsa’ seperti isu
penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa serta pengubahan wang haram dalam
kaitannya dengan 1MDB, ia bukan sesuatu
yang kekal sebagai rahsia dan memang berkepentingan umum.
Lebih memalukan, wang 1MDB itu bagaikan seketul kek yang
dibahagi-bahagikan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak tertentu di peringkat
antarabangsa.
Ia adalah milik rakyat dan negara dan apabila ada yang
mahu perkara ini diatasi, kerajaan bagaikan cuba melindungi pihak berkenaan
apabila melarang ia dibincang dan diperkatakan di Dewan Rakyat.
Jadi apabila Dewan Rakyat juga mahu disekat daripada
menjadi medan perbincangan awam demi kepentingan rakyat, apakah kerajaan
Malaysia kini sudah tidak meletakkan kepentingkan rakyat sebagai keutamaan
selain menghormati demokrasi?
Juga apakah kerajaan yang ada hari ini berusaha mengekang
suara rakyat atau wakil yang membawa hasrat rakyat?
Apakah kerajaan yang memerintah sekarang – Barisan
Nasional - sudah meletakkan Dewan Rakyat di bawah kuasa multaknya yang
membolehkan mereka mengawal semua perkara, termasuk isu membabitkan rakyat
jelata?
Hari ini, mesyuarat parti pembangkang membabitkan lima
parti menghadirinya di Parlimen meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghentikan
tindakan memanggil dan mengambil keterangan daripada mana-mana ahli parlimen
yang berucap di Dewan Rakyat yang menyentuh isu 1MDB, Jabatan Keadilan Amerika
(DOJ) dan wang RM2.6 billion yang dimasukkan dalam akaun peribadi ahli parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak merangkap
menteri kewangan dan perdana menteri.
Mesyuarat dihadiri Pengerusi Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden Tan Sri Muhyidin
Yasin, Presiden Parti Pembangunan Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafei
Apdal, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Ketua Parlimen DAP Lim
Kit Siang dan Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa serta lebih 20
ahli parlimen pembangkang yang lain.
Melain itu, mesyuarat juga mengambil ketetapan untuk
meminta Speakar Dewan Rakyat mengkaji semula ‘petua yang dikeluarkan beliau
pada 20 Oktober 2016’ atas perkara: Tafsiran Sub Judice bagi Pertanyaan Jawab
Lisan, Jawab Bukan Lisan dan Usul membabitkan Isu Tindakan Sivil in Rem oleh
DOJ pada mesyuarat ketiga, Penggal Keempat, parlimen
ke-13 ini.
Mengikut ‘petua’ yang dikeluarkan beliau, ahli parlimen
telah tidak dibenarkan berbahas atas isu yang menyentuh 1MDB, DOJ, dan wang
RM2.6 billion.
Menteri-menteri juga disekat dan terbatas dalam memberi
jawapan kepada soalan-soalan berhubung perkara tersebut.
Pertemuan dan keputusan lima parti itu - PKR, DAP, AMANAH
daripada Pakatan Harapan dan dua parti baharu – BERSATU dan Warisan - diumumkan
pada sidang media selepas mesyuarat khas berkaitan hak-hak dan kekebalan
anggota parlimen di parlimen hari ini.
Lima parti itu mahu semua pihak mengiktiraf dan mengembalikan
hak ahli parlimen sebagai wakil rakyat untuk berbahas.
Kelima-lima parti ini mengingatkan semua pihak agar tidak
menyekat kebebasan ahli parlimen supaya rakyat dan negara mendapat faedah daripadanya
dan kedudukan parlimen Malaysia dipandang tinggi oleh masyarakat antarabangsa.
Mesyuarat khas berkaitan hak-hak dan kekebalan anggota
parlimen diadakan ekoran tindakan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyifatkan
tindakan tiga bekas menteri Kabinet membangkitkan isu 1MDB dan beberapa isu
lain dalam parlimen adalah satu tindakan yang melanggar sumpah mereka sebagai
menteri kabinet.
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ahmad Husni
Hanadzlah dan Datuk Seri Shafie Apdal disiasat atas dakwaan membocorkan rahsia
kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat,
dua minggu lalu.
Siasatan itu dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972
kerana mendedahkan rahsia kerajaan, termasuk berkaitan 1MDB.
Pertemuan hari ini besar maknanya yang membuktikan pada
ketika pihak kerajaan cuba menyekat kebebasan bersuara demni isu rakyat dan
negara, pembangkang bukan sahaja mahu isu berkenaan diperkatakan dengan
sewajarnya tetapi juga menuntut agar demokrasi dikekalkan.
Memang kerajaan mempunyai berbagai kuasa melalui berbagai
akta untuk bertindak tetapi sesuatu tindakan itu jika dilakukan dengan ‘tidak
waras dan melenaggar peraturannya’ ia akan menjadi ‘boomerang’ yang akan mencederakan tuan badan yang membalingnya!
No comments:
Post a Comment