Sunday, November 20, 2016

Salahkan Dr Mahathir - Salleh Memang Menteri Merapu, Pendendam


"Salleh wajar bertanya kenapa ada rakyat yang sanggup meredah ancaman polis dan kemungkinan menghadapi tindakan pihak bekuasa...kehadiran kira-kira 50,000 rakyat yang TIDAK DIBAYAR atau DIANGKUT cukup memberangsangkan."

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai punca kehadiran rendah BERSIH5 semalam.

Menurutnya, kesan penyertaan Dr Mahathir dan kroninya (Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir?) dalam perhimpunan BERSIH kali ini menyebabkan jumlah kehadiran menurun hampir 97 peratus.

Namun, kenapa Salleh tidak menyebut pemimpin lain seperti Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR), Mohamad Sabu (Presiden AMANAH) serta juga pemimpin DAP yang turut hadir?

Apakah mereka kroni Dr Mahathir? Apakah pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin pelajar juga kroni Dr Mahathir?

Menurut Salleh lagi, orang Melayu melihat melalui agenda pentingkan dirinya sendiri dan enggan hadir sementara ribuan rakyat Malaysia keturunan Cina yang menghadiri BERSIH tahun lalu meluat dengan pembabitkan Mahathir (sehinggakan) mereka duduk di rumah.

Betullah kata Muhyiddin bahawa memang dalam Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak sekarang ramai menteri MERAPU. Dan salah seorang itu pastinya Salleh Said Keruak.

Salleh tidak melihat kepada fakta bahawa BERSIH 5.0 kali ini diancam dengan amaran keras polis serta tangkapan yang dibuat sehari sebelum berlangsungnya perhimpunan itu.


Selain mengancam.  ia diklasifikasikan sebagai HARAM walaupun hakikatnya perhimpunan dibenarkan oleh perlembagaan selain Suhakam mengatakan ia tidak melanggar perlembagaan.

Orang ramai pastinya takut apabila berlaku tangkapan beramai-ramai. Inilah sebenarnya punca utama kenapa orang ramai tidak keluar menyertai BERSIH5.

Salleh sebagai menteri tidak melihat bahawa ‘ancaman yang dibuat oleh pihak berkuasa’ yang beliau turut bertanggungjawab sebagai punca utama kejayaan menyekat lebih ramai penyertaan orang rakyat.

Kira-kira 7,000 anggota polis akan bertugas pada perhimpunan Bersih 5 dan Gerakan Merah di ibu negara semalam. Sewajarnya Salleh ucap tahniah kepada polis.

Amaran daripada Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh yang menyifatkan ‘perhimpunan haram’ selain bersedia untuk bertindak jika ada peserta perhimpunan yang melanggar undang-undang dan ingkar arahan polis,  adalah amaran dan ancaman kepada peserta BERSIH5.

Selain itu ia dibantu oleh berbagai fatwa mufti yang menyokong kerajaan yang menyifatkannya HARAM,  mengurangkan orang ramai menyertai BERSIH5.

Antara kelmarin dan semalam, kesemuanya seramai kira-kira  20 orang ditahan, malah Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan perkara itu.

Lebih kurang enam individu ditahan sepanjang perhimpunan Bersih 5 dan Baju Merah yang diadakan di sekitar ibu negara semalam. Sebanyak 28 laporan polis turut dibuat iaitu 20 laporan tangkapan dan lapan laporan Am.

Tiga lagi individu bersangkut siasatan di bawah Seksyen 147/511 Kanun Keseksaan ialah Hishamuddin bin Md Rais, Howard Lee Chuan How dan Armand Azha Abu Hanifah.

Kini empat kertas siasatan dibuka sepanjang perhimpunan berlangsung tersebut biarpun larangan telah dibuat.

Bukan sekadar itu sahaja, malam semalam Tian Chua dan Ketua Wanita PKR, Zuraida turut ditahan.


Di sebalik itu seharusnya Salleh bertanya diri sendiri  bagaimana masih ada rakyat yang sanggup meredah ancaman polis dan kemungkinan menghadapi tindakan pihak bekuasa dengan menyertai perhimpunan di sekitar Kuala Lumpur.

Kehadiran kira-kira 50,000 rakyat yang TIDAK DIBAYAR atau DIANGKUT oleh parti cukup memberangsangkan dalam kedudukan mereka diancam dan diberikan amaran keras.

Bandingkan dengan penyokong Baju Merah yang kononnnya akan turut beratus ribu, di mana mereka?

Bekas pengerusi BERSIH Datuk Ambiga Sreenevasan mengumumkan lebih 100,000 orang hadir 'menguningkan' ibu kota semalam. Beliau tampil selepas penggantinya Maria Chin yang ditahan polis.

Di kemuncaknya di KLCC, Malaysiakini menganggarkan kira-kira 40,000 penyokong BERSIH hadir, manakala jumlah Baju Merah pula kira-kira 4,000 orang – 10 kali ganda kurang.

Tindakan polis menyekat dan mengubah haluan juga menyebabkan rakyat merasakan ‘destinasi utama mereka seperti biasa’ iaitu Dataran Merdeka, seperti 'hilang arah' dan ini memberikan kesan kepada ‘selera perhimpunan’.

Kegagalan memasuki jalan utama pusat bandar raya turut menjejaskan perhimpunan dan ini juga faktor penting.

Namun fakta penting ialah, mereka yang menyertai BERIH5 semalam adalah yang benar-benar cekal dan mereka adalah ‘wakil’ kepada rakyat lain yang gementar dan takut dengan ugutan.

Walaupun pihak berkuasa mengancam, memberi amaran dan menangkap pemimpin dan penyokong BERSIH5 mereka tetap pasrah dan mara.

Bagi yang tidak hadir, mereka akan tunjuk dan bukti penentangan mereka pada kertas undi dalam pilihan raya umum nanti.


Salleh jangan berbangga kerana menurunnya jumlah bilangan yang hadir pada BERSIH5 semalam tetapi bimbanglah dengan sokongan rakyat kepada kerajaan pada pilihan raya umum nanti.

Polis mematuhi arahan pemerintah. Ini waktu kerajaan Barisan Nasional (BN), bagaimana kelak jika parti lain memerintah negara ini?

Apakah Salleh dan BN boleh perintah  mereka melakukan seperti ancaman dan arahan tangkap seperti dilakukan kelmarin, semalam dan hari ini?

Dengan kejayaan memecah-belahkan tumpuan perhimpunan, polis kali ini berjaya melumpuhkan semangat peserta, malah ramai yang pulang dan tidak meneruskan perhimpunan di sekitar KLCC, walaupun sambutan ribuan rakyat berbagai kaum.

Berbalik kepada pendapat Salleh, Dr Mahathir sebelum ini tidak menjamin akan hadir perhimpunan sekadar menyeru rakyat turun ke perhimpunan itu.

Ini kerana beliau mempunyai acara di luar negara.

Pada ketika kepulangan semalam dan sampai di Dataran Mayban, Bangsar petang semalam, ramai yang sudah meninggalkan tempat itu. Oleh kerana tidak dibenarkan ke Dataran Merdeka, Dr Mahathir mengubah haluan ke KLCC.


Salleh turut membandingkan anggaran polis mengenai kehadiran orang ramai semalam seramai 15,500 berbanding 500,000 orang yang diisytiharkan penganjur BERSIH4 pada tahun lalu.

Jika kerana faktor Dr Mahathir, kenapa tahun lalu yang mana Dr Mahathir turut sertainya, seramai 500,000 orang menyertainya?

Hanya kerana ada hali PAS hadir ke BERSIH4?

Hakikatnya sebelum ini ini tiada tangkapan dibuat sehari sebelum perhimpunan dan amaran polis juga tidak sekeras dua tiga hari kebelakangan ini?

Salleh sewajarnya membuat pengakuan bahawa polis yang menjalankan tugas mereka dengan baik yang menyebabkan kurang penyertaan orang ramai.

Salleh hanya mahu menyalah dan mengutuk Dr Mahathir mungkin kerana dendam, dalam soal kehadiran pada BERSIH5 ini, sedangkan banyak faktor lain yang juga menyebabkan kebimbangan rakyat.

Kenyataan Ketua Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos yang mengancam akan bertindak balas terhadap peserta BERSIH5 juga menyebabkan mereka yang menyokong BERSIH berfikir dua kali untuk turun gelanggang.

Kejayaan Jamal membuat ugutan sepatutnya menerima pujian Salleh, walaupun Jamal kini ditahan reman tiga hari.


Rakyat kebanyakan tidak mahu mengambil risiko, apalagi yang tidak kuat semangat walaupun memiliki hasrat untuk menyertai BERSIH5.

Salleh langsung tidak melihat faktor psikologi tetapi kerana sebab kebencian yang amat sangat terhadap bekas Perdana Menteri itu, beliau lupa dan menunjukkan geramnya yang tidak boleh dikawal.

Kata Salleh lagi, kehadiran BERSIH5 hari ini adalah kegagalan serius Dr Mahathir dan parti barunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang didakwa sepatutnya mampu menarik sokongan lebih ramai orang Melayu.

Katanya-kata yang berbunyi, "Syukurlah, demokrasi kini tertancam kuat di Malaysia. Ia tidak dapat ditakluki hawa nafsu seorang lelaki tua yang mengaku diktator ketika berkuasa dulu. Sebahagian besar rakyat Malaysia telah menolak hipokrasi BERSIH dan menolak Pribumi (BERSATU), “ bukan sahaja tersasar tetapi juga menghina.

Salleh juga akan menjadi tua. Jika Dr Mahathir masih diterima sebahagian rakyat, termasuk orang muda seperti ditunjukkan di KLCC petang semalam, apakah Salleh akan dilayan serupa ketika ini, atau apabila  beliau sudah tua atau tidak memiliki lagi jawatan menteri?


Juga, sekiranya Salleh tidak lagi menjadi orang penting dalam UMNO atau parti itu mengalami kekalahan, apakah Salleh masih bersuara?

Sanggupkah Salleh menelan kata-katanya bahawa PPBM ialah parti tercicir dan gagal, dicipta hanya oleh rasa terdesak Dr Mahathir untuk menjadikan anaknya perdana menteri selepas UMNO menolaknya, pada ketika Salleh mahu menyelamatkan dirinya?

No comments: