Aneh apabila orang yang diserang kini ditangkap. Malah
beliau didakwa pula sebagai melanggar keamanan di bawah Kanun Keseksaan dan
Akta Hasutan.
Itulah yang terjadi kepada kartunis selepas pamerannya ‘diserang’
oleh beberapa ahli Pemuda Umno Pulau Pinang yang menuntut Zunar menurunkan
lukisannya yang dipamerkan di ruang legar Komtar.
Ahli-ahli Pemuda Umno Pulau Pinang berkata, mereka
mendapati lukisan Zunar menyinggung perasaan kerana menggambarkan perdana
menteri dan pemimpin negara lain dalam keadaan yang buruk.
Ketua Pemuda Umno Nibong Tebal Mohd Norhiesam Ismail
membuat laporan polis tidak lama selepas itu dengan mendakwa lukisan Zunar
mengganggu keamanan rakyat Malaysia amnya.
Apakah polis bertindak kerana laporan itu?
Bagaimana dengan mereka yang menganggu pameran yang mendapat
kelulusan kerajaan negeri?
Pameran 10 karya seni Zunar terletak di tingkat 3 Komtar
telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng pada tengah hari sebelum ia
diganggu oleh sekumpulan anggota Pemuda Umno Pulau Pinang.
Mereka yang terdiri sekumpulan 30 orang melemparkan
kata-kata kesat terhadap Zunar dan dua pembantunya seperti "haram
jadah" semasa kekecohan yang bermula sekitar jam 3 petang.
Zunar mendakwa semalam beliau dikepung dan diancam
sekumpulan kira-kira 30 individu tidak dikenali ketika mempamerkan karya satira
mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Razak di Komtar, Pulau Pinang.
Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque
berkata dalam kejadian 2.45 petang itu, beliau hampir ditumbuk, tetapi polis
dapat meleraikan kumpulan itu.
“Saya didatangi kira-kira 30 orang bertindak agresif
secara fizikal menyuruh saya menurunkan lukisan yang dipamerkan. Mereka
mengancam dan mengepung saya.
“Tidak ada kerosakan yang berlaku kerana saya turunkan
lukisan saya. Kalau saya masih ada di sana, tidak tahulah apa yang akan
berlaku,” katanya.
Berikutan ‘serangan’ itu beliau terpaksa membatalkan pameran atas
sebab-sebab keselamatan. Pameran itu sepatutnya berlangsung sehingga Ahad ini.
Mohd Norhiesam mendakwa kartun Zunar sebagai sesuatu yang
tidak boleh diterima kerana menggambarkan pemimpin negara seperti Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam apa-apa cara.
Ketua Pemuda Umno Nibong Tebal itu mendakwa lukisan Zunar
mengganggu keamanan rakyat Malaysia amnya.
Norhiesam berkata, ia sesuatu yang tidak boleh diterima
untuk Zunar berbuat demikian terhadap pemimpin negara seperti perdana menteri.
Zunar berkata beliau bertindak tenang dan tidak melawan
walaupun diancam dan diugut kumpulan itu yang segelintirnya penyokong Umno.
“Saya tidak melawan, kerana ia bukanlah matlamat saya.
Saya hanya mahu adakan pameran. Tetapi keadaan sangat ganas hingga memaksa
polis dan FRU datang meleraikan kejadian tadi,” katanya.
“Saya tidak pernah lagi mengalami keadaan sebegini, ini
kali pertama. Bagi saya kalau mereka tidak setuju, tidak ada masalah, mereka
boleh bantah.
“Sepatutnya sampai 3 hari di sini (Komtar), tetapi saya
tidak meneruskan pameran kerana isu keselamatan.
“Terima kasih kepada anggota polis yang datang cepat,
jika tidak, tak tahulah apa yang akan berlaku,” katanya.
Dianggarkan kira-kira 30 anggota polis dan 10 anggota FRU
dikerahkan di bangunan Komtar, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan Zunar ditahan di
Balai Polis Daerah Timur Laut di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948.
Peguam Zunar, R S N Rayer berkata polis mungkin akan
memohon perintah reman esok.
“Saya tidak boleh mengatakan apa-apa lagi pada masa ini.
Apa yang saya boleh katakan, Zunar ditangkap dan polis sedang memproses kertas
seperti dikatakan,” kata Rayer.
Sementara itu Ahli
Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, polis kini akan merampas karya-karya
Zulkiflee atau lebih dikenali sebagai Zunar.
Polis dilaporkan akan ke Komtar bersama-sama dengan Zunar
untuk merampas semua karya-karya beliau. Lokasi adalah di Asia Comic Muzium
Komtar aras 3.
No comments:
Post a Comment