Thursday, September 19, 2013

Tengku Adnan Bidas Media Cina Pertikai Agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera

"Janganlah ada orang mainkan cerita dalam akhbar khususnya akhbar Cina (yang) kononnya bila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan kenyataan berkenaan Dasar Ekonomi Bumiputera, kita (kerajaan) tidak peduli kepada bangsa Cina.(Itu) tidak (benar)...Saya tidak boleh baca akhbar Cina tetapi daripada laporan yang saya terima, saya terkejut."
- Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Khamis membidas media berbahasa Cina yang katanya cuba menimbulkan isu perkauman mengenai agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilaksanakan kerajaan.

Beliau kesal kerana tindakan media vernakular itu dan mendakwa ia boleh memecah-belahkan perpaduan kaum di negara ini, yang sedia terjalin erat.

"Janganlah ada orang mainkan cerita dalam akhbar khususnya akhbar Cina (yang) kononnya bila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan kenyataan berkenaan Dasar Ekonomi Bumiputera, kita (kerajaan) tidak peduli kepada bangsa Cina.(Itu) tidak (benar).

"Bila kita bantu kaum Bumiputera, kita tidak pernah meminggirkan kaum Cina atau India, tidak pernah dalam sejarah kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perbarisan sempena Hari Penguatkuasa Ke-44 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2013 di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan Jaganathan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Tengku Adnan berkata sebenarnya pelaksanaan agenda itu ialah untuk mewujudkan keseimbangan ekonomi antara kaum di negara ini kerana kedudukan ekonomi Bumiputera lemah berbanding kaum Cina. 

"Keseimbangan ekonomi kaum penting untuk mengekalkan perpaduan dan keharmonian dalam negara," tambahnya.

"Saya tidak boleh baca akhbar Cina tetapi daripada laporan yang saya terima, saya terkejut," katanya.

Sabtu lepas, Najib melancarkan agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera bagi mencipta serta menjana kekayaan baharu agar nikmat dan kemakmurannya diraih dan dirasai semua rakyat Malaysia secara adil dan saksama.

Malah Najib dalam ucapan pelancarannya meminta rakyat supaya tidak salah sangka dan salah faham terhadap usaha Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera itu yang dilaksanakan bukan dengan jalan memintas atau mengambil hak orang lain mahupun menafikan kepentingan sesiapa.

Di bawah agenda itu, sebanyak lima strategi utama bagi memperkasa ekonomi Bumiputera turut diumumkan, meliputi modal insan, pemilikan ekuiti, pemilikan aset bukan kewangan, keusahawanan dan penyampaian perkhidmatan.

No comments: