Tuesday, October 1, 2013

Dr Mahathir Syor Kerajaan Tidak Perlu Teruskan Pemberian BR1M


"Sepatutnya dalam masyarakat kita, kita tak suka jadikan orang kita ini, orang yang selalu bergantung kepada kerajaan dan tak mahu membuat kerja. Apa yang kita dapat secara percuma tidak akan dihargai ...Kalau  betul-betul daif, miskin dan tak berupaya barulah boleh diberi bantuan." 
 - Tun Dr Mahathir Mohmad


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa berkata Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak perlu diteruskan dalam Belanjawan 2014.

Husni - "BR1M lebih tinggi..."
Ini, menurutnya, sekali gus mengurangkan kebergantungan rakyat kepada kerajaan.

Kerajaan sebaliknya perlu mencari jalan untuk melatih golongan kurang berkemampuan itu dengan sesuatu kebolehan supaya dapat menjadi sumber pendapatan mereka.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas berucap di majlis Program Bicara Petang Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di Petalingjaya hari ini.

Pada 29 September lalu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, Kerajaan bercadang melaksanakan pembayaran BR1M secara berperingkat kepada rakyat yang layak untuk pemberian seterusnya selepas pembentangan Bajet 2014.

Pada masa sama, beliau turut memberi gambaran jumlah BR1M yang diterima rakyat juga lebih tinggi berbanding sebelum ini.

“Kita telah menyediakan draf pertama Bajet 2014 dan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita masih lihat dan memperkukuhkan draf bajet berkenaan namun, jumlah sebenar BR1M masih belum ditentukan tetapi jumlahnya pasti melebihi RM500,” katanya.

Ahmad Husni berkata, golongan pertengahan turut diberi perhatian dengan mengambil beberapa pendekatan bagi meringankan beban mereka yang mempunyai pendapatan RM4,000 dan RM5,000.

“Kita akan terus beri bantuan dengan melihat dari semua kemungkinan walaupun pengurangan subsidi minyak dilaksanakan. Model bantuan yang akan dilaksanakan, kita tunggu pembentangan bajet.

“Dari segi jangka panjang, kita tumpu usaha mempertingkatkan pendapatan rakyat termasuk dalam Transformasi Ekonomi Negara yang dilaksanakan,” katanya.

Menurut Dr Mhathir : "Sepatutnya dalam masyarakat kita, kita tak suka jadikan orang kita ini, orang yang selalu bergantung kepada kerajaan dan tak mahu membuat kerja.

"Apa yang kita dapat secara percuma tidak akan dihargai sebab itu walaupun banyak BR1M diberi," katanya sambil menambah: "Kalau betul-betul daif, miskin dan tak berupaya barulah boleh diberi bantuan."

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai cadangannya untuk Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen pada 25 Oktober ini.

No comments: