"Semua pengundi yang memilih ahli parlimen yang salah dan tidak jujur - selain PAS - berdosa dan akan menerima 'celaka' dan akan dilaknat Allah."
Tidak ada pilihan lagi kepada pengundi di Sungai Besar,
mahupun Kuala Kangsar, pada 18 Jun ini kecuali mengundi parti PAS.
‘Fatwa’ terbaru Presiden
PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ialah “berdosa dan celaka jika pilih wakil
rakyat salah.”
“Salah’ pada takrif Hadi ialah selain daripada PAS, tidak
kiralah UMNO, Barisan Nasional (BN), Amanah atau Pakatan Harapan, juga Bebas.
Selain itu pengundi yang tidak mengundi PAS akan dilaknat Allah kerana memilih ahli
parlimen tidak jujur.
Kenyataan terbaru Hadi ini akan mengundang perbahasan
pelbagai aspek, sama ada dalam konteks politik, perpaduan umat Islam, akidah
serta juga perkara lain membabitkan kerjasama politik antara PAS dan parti
lain, khususnya dengan UMNO.
"Fatwa' ini juga bermakna bahawa Hadi tidak menyifatkan sikap lembutnya dengan UMNO, khsuusnya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selama ini sebagai sesuatu toleransi dalam konteks hubungan parti tetapi tidak dalam aspek membuang undi atau memilih ahli parlimen.
Berdasarkan apa yang diucapkannya terbaru itu semua pengundi yang memilih ahli parlimen - selain PAS - berdosa dan akan menerima 'celaka'.
Persoalannya, apakah dengan kenyataan ini bermakna PAS
kembali membuat hukuman bahawa orang UMNO yang mengundi Barisan Nasional atau
penyokong AMANAH yang bergama Islam akan turut mendapat celaka jika tidak
mengundi PAS?
Demi mendapatkan keredaan Allah dan terlepas daripada
dosa - seseorang pengundi itu sama ada dia ahli UMNO, AMANAH atau ‘atas pagar’ - perlu
mengundi PAS agar tidak menerima padah ‘berdosa dan celaka’.
Jika demikian, apakah bermakna ‘fatwa’ ini menjurus
kepada bayangan ke arah pembubaran UMNO dan AMANAH supaya tidak dilaknat oleh Allah?
Atau boleh kekal dalam apa juga gerakan atau parti tetapi
apabila mengundi hanya PAS yang perlu dipangkah.
Malam semalam pada satu ceramah di Sungai Besar, Presiden PAS itu memberi amaran kepada pengundi di kawasan
Parlimen itu bahawa mereka akan berdepan
dengan kemurkaan Allah jika memilih ahli parlimen salah pada 18 Jun ini.
Ini kerana memilih
wakil rakyat adalah satu tanggungjawab. Dan kerana itu, kata Hadi, “kalau apa
yang diucap (oleh ahli parlimen) adalah salah, (maka) berdosa dan celakalah
kita.”
Akibat hukuman sudah dinyatakan oleh Hadi, pendirian ini sudah pasti akan dijadikan oleh PAS
sebagai pendiriannya untuk menghadapi pilihan raya akan datang, termasuk
pilihan raya umum ke-14.
Bagi pengundi di dua kawasan parlimen pilihan raya kecil
kali ini, khususnya kepada yang beragama Islam, mereka terpaksa berfikir
panjang apakah ‘fatwa’ ini wajar diikuti atau ia sekadar pendapat oleh seorang pemimpin politik sebauh parti
semata-mata.
Jika dilihat kepada apa yang di’fatwa’kan oleh Hadi itu. hanya
PAS sahaja yang ‘mendapat keredaan’ sementara UMNO, AMANAH serta parti lain
adalah parti yang akan menyumbang kepada ‘dosa dan celaka’.
Hadi menyifatkan calon-calon PAS, adalah jujur serta
bertanggungjawab kerana telah melafazkan sumpah bai'ah bagi memastikan mereka
tidak menyimpang dari prinsip-prinsip parti Islam itu.
“Kalau khianat akan dilaknat oleh Allah. Sebab itu wakil
PAS tak makan dedak walaupun orang tabur dedak,” katanya, merujuk kepada
kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu sebelum ini berkata bahawa
beliau telah menemui Hadi bagi menerangkan dakwaan salah laku Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Abdul Razak tetapi “apa yang dia nampak ialah dedak."
Menurut Hadi, sumpah bai’ah itu turut melindungi wakil PAS supaya tidak akan pernah terbabit dalam mana-mana skandal
rasuah, termasuk yang melibatkan banglo.
Walaupun beliau tidak menyebut sebarang nama, bidasan itu
mungkin ditujukan kepada bekas sekutu PAS yang kini bertukar menjadi musuhnya,
iaitu Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang kini disiasat atas tuduhan rasuah
kerana membeli banglo di bawah harga pasaran.
Hadi juga mungkin merujuk kepada bekas Menteri Besar
Selangor Dr Khir Toyo, yang baru-baru dibebaskan daripada tahanan rumah selepas
menjalani hukuman penjara kerana skandal rasuah dalam pembelian banglonya.
Sebelum ini, PAS pernah mendakwa mereka yang mengundi calon parti itu
akan mendapat ganjaran Allah pada akhirat termasuk memasuki syurga.
Ini kerana ahli parlimen yang dipilih mewakili kerusi
Sungai Besar dan juga Kuala Kangsar berpeluang membahas dan mengundi berhubung
usul rang undang-undang persendirian Hadi bagi memperkasakan kuasa mahkamah
syariah pada sesi Parlimen akan datang.
Pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) akan membuka jalan bagi pelaksanaan hudud di Kelantan.
Juga persoalan, apakah Hadi melihat politik dan
pentadbiran di Malaysia ini hanya berkisar sekitar usul RUU 355 sahaja dan
tidak perkara lain?
Akan banyak lagi perdebatan mengenai ‘fatwa’ Hadi ini
kerana PAS hanyalah sebuah parti yang mendapat sokongan kecil berbanding UMNO
yang pendokongnya juga beragama Islam.
No comments:
Post a Comment