Friday, June 17, 2016

PRK Kuala Kangsar - Kehadiran Dr M Makna Besar Kepada Amanah


Keputusan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turun ke Kuala Kangsar menggesa pengundi menjadikan PRK ini sebagai referendum menolak kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membawa makna besar kepada Amanah.

Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi berkata, ini kerana Dr Mahathir masih mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kalangan akar umbi Umno.

“Kita dapat lihat dalam program di Manong semalam di mana kebanyakan yang hadir adalah veteran dan pemimpin Umno akar umbi tempatan.

“Malah, mereka juga mempunyai pengikut yang ramai dalam kalangan ahli Umno. Maka ia pasti akan dapat membawa undi mereka kepada Amanah,” katanya.

Beliau turut mensasarkan 40% daripada 22,496 pengundi Melayu di kawasan Parlimen ini akan mengundi Amanah.

Dengan kedudukan menjelang hari pengundian esok, Presiden Amanah, Mohamad Sabu memberitahu sokongan pengundi terhadap calon Pakatan Harapan kini melepasi 50 peratus mendahului calon Barisan Nasional (BN) dan Pas di Kuala Kangsar kali ini.

"Kita harap menang sahaja, sekarang ni 55/45 peratus, BN dibelakang kita, Pas dah jauh terkebelakang.

"Kalau kita menang, Amanah akan teruskan keyakinan politik di kalangan pengundi dan penyokong baru yang akan menambah bilangan ahli kita kelak," ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Beliau ditemui ketika menghadiri siri Kempen Tun Mahathir bersama grup Deklarasi Rakyat di Tali  Air Lapan, Sekinchan pagi tadi.

Dalam kempen yang berbaki hanya sembilan jam lagi sebelum malam ini,Pakatan Harapan katanya akan terus berkempen seperti yang telah dijadualkan.

Sepanjang tempoh berkempen yang bermula 5 Jun lalu, Dr Mahathir turun dua kali ke Kuala Kangsar.

Khabar angin juga bertiup kencang mengatakan pencalonan Datin Mastura Mohd Yazid tidak disenangi oleh pihak di dalam Umno sendiri sehingga dijangka mengganggu perjalanan kempen BN.


Dalam pada itu, calon Amanah, Dr Ahmad Termizi Ramli dalam sidang media berkata beliau yakin partinya mampu mencipta kejutan dengan memenangi PRK ini.

“Di peringkat akhir kempen, kami akan lebih teliti bagi memastikan apa sahaja rancangan kita akan dilaksanakan tanpa sebarang gangguan.

Termizi berhadapan dengan Mastura BN), Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS) dan Izat Bukhari Ismail Bukhari (Bebas).

Bagaimanapun, daripada keempat-empat calon itu hanya Mastura yang berdaftar sebagai pengundi di Parlimen Kuala Kangsar, manakala Dr Najihatussalehah merupakan pengundi di Parlimen Parit, Dr Ahmad Termizi (Shah Alam, Selangor), manakala Izat Bukhary (Kelantan).


Mastura dalam sidang media hari ini berkata beliau sedia untuk keluar menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi esok di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin. 

Calon BN itu sedang dalam tempoh edah selama empat bulan 10 hari berikutan kematian suaminya Wan Mohammad Khair-il Annuar.

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai sebanyak 32,949 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu 22,496 adalah Melayu; Cina (7,757); India (2,287); Orang Asli (330); Bumiputera Sarawak (16); Bumiputera Sabah (13) dan lain-lain 50.

Esok 32,632 daripada 32,949 pemilih berdaftar itu layak mengundi bagi memilih wakil rakyat mereka dalam pilihan raya kecil berkenaan.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 23 pusat mengundi dengan 21 daripadanya adalah sekolah, manakala dua lagi dewan orang ramai akan dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Sebanyak 11 daripada pusat mengundi itu terletak di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan, manakala 12 lagi di DUN Manong yang semuanya melibatkan 69 saluran.

Sebanyak 312 daripada pemilih berdaftar itu merupakan pengundi awal yang menunaikan tanggungjawab itu pada 14 Jun lepas manakala lima ialah pengundi tidak hadir.

Sementara itu, Pengarah SPR Perak Ahmad Adli Abdullah menasihati para pengundi supaya keluar awal bagi mengelak cuaca panas pada tengah hari.

"Walaupun masa mengundi itu panjang, tapi kalau boleh kita minta pengundi keluarlah lebih awal dan jangan tunggu sehingga saat akhir," katanya hari ini.

Ahmad Adli turut mengingatkan pengundi supaya tidak sewenang-wenangnya memberikan kad pengenalan mereka kepada mana-mana individu kecuali petugas SPR.

Katanya peti undi pertama yang dijangka tiba di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Jubli Perak adalah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford memandangkan jarak antara kedua-dua tempat hanya kira-kira 500 meter. 

PRK Kuala Kangsar diadakan serentak dengan PRK Parlimen Sungai Besar, Selangor esok berikutan kematian Angggota Parlimen masing-masing iaitu Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikoper di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu. 

SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi kedua-dua PRK itu adalah 75 peratus. 

Semasa Pilihan Raya Umum ke-13, peratusan keluar mengundi di Parlimen Kuala Kangsar adalah 84.3 peratus, manakala di Sungai Besar 88.3 peratus.

No comments: