Sunday, June 12, 2016

Kenapa Sampai Mahu 'Berjihad' Menentang Dr Mahathir?

"Dia tidak boleh bangun, tetapi dia masih ingat segala-galanya dan semua orang," isteri Abdul Shukur, Datin Dzan Mansor memberitahu Dr Mahathir.
Tidak payah gelabahlah dengan Tun Dr Mahathir Mohamad kalaupun dia turun ke Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

‘Orang tua’ itu sudah tidak pengaruh. Bandingkan dengan pengaruh pemimpin UMNO sekarang – dari Perdana Menteri hingga kepada pemimpin tempatan seperti Tan Sri Noh Omar atau juga pemimpin UMNO di Perak, khususnya di Kuala Kangsar -  Dr Mahathir sebenarnya tiada apa berbanding mereka.

Dr Mahathir bukan presiden parti, ketua bahagian atau menteri yang boleh mengumum atau menarik peruntukan, juga tidak boleh mengugut atau memberi amaran.

Beliau hanya boleh menyatakan pendirian dengan harapan ada yang menyokong beliau.

Sebelum ini ramai pemimpin UMNO mengatakan pengaruh Dr Mahathir sudah tidak sebesar mana kerana sudah tidak berkuasa.

Jadi untuk berdepan dengan cakap-cakap atau pendapat bekas Perdana Menteri itu, tidak payahlah hingga mahu ‘berjihad’.

Apakah Dr Mahathir dilihat sebagai musuh penting yang memerlukan ‘jihad’ untuk menentangnya?

Berucap di depan jentera UMNO PDM Kampung Masjid, Manong, petang semalam Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengatakan PRK Kuala Kangsar merupakan PRK yang bersifat peribadi, malah satu jihad buatnya.


“Memang saya anggap ia jihad saya sendiri. Saya tidak akan duduk diam sehingga tiba hari mengundi, sehingga majoriti kita lebih tinggi daripada pilihan raya lalu,” katanya.

Hishammuddin meminta pengundi di kawasan PRK Parlimen Kuala Kangsar agar tidak terpengaruh dengan pelbagai dakwaan tidak berasas oleh Dr Mahathir terhadap kepimpinan negara.

Menurutnya, banyak isu yang dibawa Dr Mahathir tidak konsisten. Pengundi kena nilai isu beliau bawa. “Perlu ada hujah, ada asas, ada kaitan," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Masjid, Ketior Luar di Kuala Kangsar semalam.

Amat nyata, Hishamuddin yang juga Menteri Pertahanan awal-awal lagi memberi ingatan kepada rakyat di Kuala Kangsar bahawa  Dr Mahathir akan membangkitkan isu yang menurut beliau tiada kaitan dengan PRK Kuala Kangsar, dan lebih tertumpu kepada serangannya terhadap Perdana Menteri.

Malah, beliau turut menegaskan “Saya sudah beritahu, PRK ini personal buat saya. Jadi sesiapa yang tidak buat kerja kena menjawab dengan ‘menteri perang’ (pertahanan) ini,” katanya.

Apakah kata-katanya itu menggambarkan Hishamuddin sebenarnya bimbang dengan pengaruh Dr Mahathir?

Di Sungai Besar semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganggap ucapan Dr Mahathir ketika turun padang berkempen untuk Pakatan Harapan di Sekinchan pada sebelah pagi  sebagai ‘kontroversi’ dan percubaan untuk membakar kelambu Barisan Nasional (BN).


Ucapan yang diviralkan di media sosial itu diharapkan tidak mempengaruhi sikap dan pengundi-pengundi kerana masyarakat dan pengundi di Sungai Besar tahu bahawa hati dan jiwa mereka yang tetap bersama BN  akan terus memilih BN.

“Terdapat gelombang perubahan untuk ramai pengundi di atas pagar yang mahu bersama BN pada kali ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar semalam.

Malah Naib Presiden itu berkata, Dr Mahathir berada di persimpangan jalan politik untuk menguji populariti dirinya apabila bersama orang yang pernah menjadi musuh politiknya, semata-mata untuk menolak kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


Mengenai kempen Dr Mahathir yang menyokong calon Parti Amanah Negara (AMANAH), Azhar Abdul Shukur pada PRK Sungai Besar semalam Hishammuddin berkata: "Najib tidak bertanding di Sungai Besar. Perkara yang disentuh Dr Mahathir hanyalah bersifat peribadi," katanya yang juga anggota Parlimen Sembrong.

Nilai sendirilah pendapat Hishamuddin apabila mengemukakan pertanyaan kenapa kaitkan Najib sedangkan Perdana Menteri tidak bertanding pada kedua-dua PRK ini?

Soalan untuk Hishamuddin ialah apakah PRK hanya untuk pemimpin dan rakyat setempat? Jika demikian kenapa ada jentera pilihan raya dan Perdana Menteri turut turun padang jika ia hanya peristiwa tempatan?

Apakah Hishamuddin buat-buat lupa bahawa jika sudah turun padang, kena ‘tahan’ lah jika diserang. Apalagi lagi dengan kedudukan sekarang di mana Deklarasi Rakyat itu sendiri banyak menumpukan kepada isu negara yang turut mengaitkan dikaitkan dengan isu Perdana Menteri.

Hishamuddin tidak boleh mengatakan perkara yang disentuh oleh Dr Mahathir itu bersifat peribadi.

Daripada menganggapnya isu peribadi, lebih baik Hishamuddin menjelaskan kepada rakyat dan pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar bahawa isu 1MDB tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada rakyat. Juga, tiada salah laku oleh pemimpin negara dalam isu berkenaan.

Buktikan dengan HUJAH dan ASAS bahawa laporan wujudnya siasatan oleh pihak antarabangsa sebagai ‘konspirasi peringkat global’ untuk menjatuhkan Najib dan BN.

Bagi Dr Mahathir, beliau mengakui nampak agak ganjil sikit kerana berada bersama musuh kuatnya, Lim Kit Siang. Bagaimanapun beliau menjelaskan, beliau kini bukan sebagai ahli mana-mana parti, bukan Umno, bukan pembangkang.

Menurutnya, beliau berucap di pentas di Sungai Besar itu sebagai rakyat yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap negara.

Malah, kehadirannya tidak dapat mengumumkan apa-apa bantuan atau projek untuk rakyat di tempat yang beliau lawati.

Cuma menghairan, kenapa kehadriannya ke pekan Sekinchan, pagi Sabtu tetap tetap mendapat perhatian ramai penduduk setempat di kalangan masyarakat nelayan dan petani.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir menjelaskan, kos sara hidup rakyat yang makin tinggi, selain masalah ekonomi negara mendorong beliau bekerjasama dengan pimpinan Pakatan Harapan.

Pada majlis itu, beliau menyaksikan ikrar yang dibuat oleh calon Amanah, Azhar Ab Shukur yang menyatakan sokongan terhadap Deklarasi Rakyat.

Malah, berucap kira-kira 30 minit itu, beliau banyak menyentuh tentang skandal 1MDB berbanding isu tempatan.

Selain itu turut menarik ialah beliau turut menziarahi ahli politik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Shukur Siraj, 82 yang juga bapa kepada Azhar.

Dr Mahathir meluangkan masa kira-kira lima minit berbual dengan bekas ahli Parlimen Tanjung Karang selama satu penggal itu yang kini sedang terlantar sakit.

Menurut laporan mStar online, ini adalah perjumpaan memilukan bagi dua veteran Umno yang tidak pernah bertemu antara satu sama lain selama beberapa dekad.

Selain pernah menjadi ahli Parlimen, Abdul Shukur juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burung selama dua penggal.

Apakah seramai-ramai pemimpin UMNO yang ada atau tiba di Sungai Besar itu boleh melupakan jasa bekas Ahli Parlimen dan ADUN berkenaan? Atau memang pemimpin dan ahli UMNO jenis mudah lupa kepada sumbangan seseorang terhadap parti dan kerajaan?

Saya dapat bayangkan bagaimana jika pemimpin penting  UMNO termasuk Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri, atau calon Barisan Nasional, Budiman melawat bapa calon AMANAH berkenaan.

Tidakkah ini akan memberikan suatu kelebihan dalam kempen BN?

Namun kini selepas Dr Mahathir sudah melakukannya, tiada lagi istimewa jika pemimpin UMNO membuat lawatan.

No comments: