Wednesday, June 1, 2016

Kleptokrasi – Kenapa Presiden Parti Komponen BN Tidak Ugut Letak Jawatan?


“Tindakan mengugut  bukan sahaja tidak mencerminkan kematangan politik dan tindakan mencemarkan maruah negara tetapi ia sebagai sabotaj terhadap BN dan Pengerusi BN itu sendiri, iaitu Najib Razak.”

Kenapa berani  bertindak mengugut dalam isu usul persendirian bagi meminda Akta 355 Perlembagaan Persekutuan (RUU 355)  tetapi tidak mengenai ‘kleptokrasi’?

Kleptokrasi merujuk kepada cara pentadbiran sesebuah kerajaan yang menghadapi masalah kronik tertentu disebabkan kegagalan sistem dengan pegawai awam atau kelas pemerintah yang menggunakan rasuah untuk menambah kekayaan peribadi serta kuasa politik mereka.


Pada ketika pembangkang berjuang menentang masalah berkenaan, pemimpin parti komponen dalam gabungan parti pemerintah – Barisan Nasional (BN) – berdiam diri.

Mereka seolah-olah bersekongkol sama, malah mungkin turut menerima ‘habuan’ kerana mendiamkan diri.

Mengharapkan pemimpin UMNO menentang? Memang jauh sekali.

Dalam  isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diperkatakan di seluruh dunia, pemimpin parti komponen ‘menikus’ dan tidak menganggapnya sebagai kepentingan rakyat, termasuk rakyat bukan Islam.

Sebaliknya, apabila Presiden PAS membentangkan RUU di Dewan Rakyat, suasana jadi kecoh dan haru-biru dengan beberapa Prediden dan pemimpin parti komponen BN menyatakan hasrat mereka meletak jawatan jika ia diluluskan.

Ia baru usul dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, usul berkenaan dibawa untuk memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah di Kelantan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak pun sudah mengaku bahawa wujud salah faham kalangan parti komponen BN mengenai rang undang-undang persendirian dibawa Abdul Hadi pada 27 Mei lalu.

Katanya, apa yang dibentangkan Hadi bukan undang-undang hudud tetapi pindaan yang menjurus ke arah pemerkasaan sistem hukuman yang tertakluk di bawah Mahkamah Syariah.

Bukankah isu 1MDB lebih penting dan sesuatu yang dikira segera dan amatt wajar disegerakan?

Kenapa pemimpin BN tidak bangkit dan memberikan kata dua mereka untuk meletak jawatan dalam isu 1MDB, termasuk skandal derma Najib?

Kenapa dan bagaimana MCA, Gerakan, MIC, UPKO, SUPP dan PBB boleh terus menyokong seorang perdana menteri yang dituduh secara langsung menyelewengkan berbilion-bilion dolar daripada 1MDB yang juga anak syarikat Kementerian Kewangan?

Ketua Audit Negara sudah mendedah pihaknya gagal mengesahkan apa berlaku ke atas transaksi AS$7 bilion, aset dan wang tunai 1MDB di luar negara, namun ketua parti komponen BN berdiam diri sahaja?

Semalam, bagai ada suara serupa antara dua parti yang kini ‘bermusuh’ - PAS dan DAP - dalam isu perletakan jawatan dan kaitannya dengan isu 1MDB di kalangan pemimpin utama parti komponen BN.

Anggota parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Phua berkata lebih baik anggota Kabinet BN meletak jawatan kerana 1MDB dan derma RM2.6 bilion diterima Perdana Menteri berbanding isu hudud.

"Jika pemimpin BN yang menunjuk-nunjuk itu tidak meletak jawatan ekoran kecurian berbilion dolar dari pembayar cukai di Malaysia, maka ancaman mereka (dalam isu hudud) jelas sekadar mengurangkan kesan kerosakan akibat kemesraan hubungan antara UMNO  dan PAS," katanya.


Bagi Pua, tindakan di kalangan pemimpin komponen BN berhubung rang undang-undang persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang "menunjuk-nunjuk" itu bertentangan sama sekali dengan sikap terhadap isu 1MDB dan RM2.6 bilion dibangkitkan.

Bagi  Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, negara berdepan skandal melibatkan syarikat pelaburan strategik, 1MDB, namun tiada pula mana-mana parti komponen kerajaan yang berbunyi.

"Komponen BN, MCA, MIC ugut nak letak jawatan kalau diterima enakmen tersebut. Sepatutnya mereka ugut letak jawatan ketika negara berdepan isu 1MDB. Sepatutnya mereka berani memberi amaran kepada kerajaan untuk meletakkan jawatan dengan bebanan yang ditanggung oleh rakyat.

"Ke mana mereka ketika negara sedang bergelut dengan kemelut 1MDB yang tak selesai, derma yang dipulangkan, bebanan rakyat GST termasuk isu melanda anak-anak muda kita yang tiada kerja?.

"Semua ini masalah rakyat yang perlu diberi perhatian bukan menyekat hak orang Islam untuk mengamalkan ajaran dan agama mereka," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Muktamar Pemuda Pas ke-57 di Kota Bharu semalam.

Hakikatnya, semua ketua parti komponen BN tahu bahawa inilah masanya untuk mengugut Perdana Menteri bagi mendapatkan ‘habuan lebih besar’ menjelang pilihan raya kecil (PRK)  dua Parlimen 18 Jun depan.

Malah, ugutan itu jika berada dalam kedudukan yang boleh dilihat sebagai menggugat dan membahayakan BN,  akan menyebabkan Perdana Menteri dan pemimpin tertinggi negara perlu menyediakan beberapa ‘konsesi baru’ untuk mereka.

Rancang yang diatur secara tersusun oleh MCA, MIC, Gerakan, SUPP, malah Parti Bersatu Sabah (PBS) serta sekutu lain yang serentak menentang RUU, bukanlah ‘penting sangat pun’ tetapi lebih kepada tuntutan yang lebih lagi daripada apa yang sudah diberikan.

Mereka tahu sumbangan mereka kecil dalam konteks kerusi di Parlimen dan akan terpinggir apabila sampai PRU ke-14. Jadi mereka perlu ambil perluang dengan RUU ini.

Inilah masa sesuai mereka bersatu membuat tuntutan dan mengugut untuk meletakkan jawatan demi konsesi lebih lumayan.

Jika benar mereka mahu menuntut keadilan atau yang berkaitan isu rakyat, kenapa dalam isu 1MDB yang terang-terang menjejaskan imej negara, parti dan kredibiliti pemimpin penting BN, mereka diam.

Sepatutnya mereka bangun menyatakan bantahannya. Tetapi RUU‎ baru di peringkat pembentangan, belum dibahaskan pun lagi, mereka bising sehingga mendapat laporan media luar negara.

Hakikatnya tindakan mengugut ini bukan sahaja satu tindakan yang tidak mencerminkan kematangan politik dan tindakan mencemarkan maruah negara tetapi ia sebagai sabotaj terhadap BN dan Pengerusi BN itu sendiri, iaitu Najib Razak.

No comments: