Tuesday, June 21, 2016

Dr M Berikrar Tindakan Membersih Maruah Malaysia Menjadi Lebih Keras


"...tidak dapat terima seorang Perdana Menteri yang menjatuhkan maruah bangsa dan negara setelah akhbar dan TV seluruh dunia menyiar dengan terang dan bukti yang jelas akan salah laku Najib."

Pada ketika ramai pemimpin UMNO menyerangnya, selain bekas ketua hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohamad turut menyelarnya,  bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  menegaskan pendiriannya tidak berubah.

Beliau tidak heran dengan pelbagai cemuhan dan kritikan terhadapnya. Kekalahan parti yang disokong dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu lalu,  bukan penamat segal-galanya untuk beliau.

Malah beliau berikrar untuk membersih dan menggembalikan Kerajaan Malaysia melalui apa cara sekalipun.

"Maruah bangsa dan negara sudah dimusnah sehingga rakyat Malaysia yang dahulu bermaruah sudah turut mencontohi  yang ditunjuk oleh pemimpin,’ katanya.

Malah beliau menegaskan, selepas ini pendirian dan perjuangannya akan menjadi lebih keras.

Demikian  reaksi beliau dalam menegaskan  pendiriannya selepas Barisan Nasional (BN)  menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu lalu.

Abdul Hamid mendakwa bekas perdana menteri itu merosakkan integriti dan pencapaian beliau dengan menyokong pembangkang pada PRK ini.


“Janganlah menyusahkan orang untuk terus menghormati beliau. Lebih baik Dr Mahathir berehat supaya orang boleh terus menghormatinya,” katanya seperti di petik oleh FMT kelmarin.

Selain Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kalangan beberapa menteri ‘belasah’ Dr Mahathir hasil kemenangan BN di dua PRK itu, Setiausaha Kerja Umno Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut berpendapat Deklarasi Rakyat tidak relevan dan ditolak rakyat.

Kemenangan Barisan Nasional (BN) di dua kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Sabtu membuktikanya.

Rakyat sebaliknya lebih yakin dengan deklarasi yang dibawa BN dan menterjemahkannya dalam undi mereka yang membawa kemenangan besar pada BN.

"Masa telah berubah. Apa yang dibuat oleh Tun (Mahathir) sebenarnya mencerminkan bahawa rakyat sekarang tidak lagi berada pada landasan politik seperti masa yang dibawa oleh kepimpinan DAP atau Parti Amanah Negara (Amanah) yang disokong Tun.

"Deklarasi Rakyat yang dibawa Tun tidak relevan kerana ia merupakan satu deklarasi yang mengaburkan mata rakyat untuk menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sedangkan beliau merupakan pemimpin yang masih lagi mendapat sokongan pada PRK di dua negeri itu," katanya.

Amat nyata bagi pemimpin UMNO, Deklarasi Rakyat bertujuan ‘menjatuhkan Najib’ sebaliknya bagi Dr Mahathir, apa yang diperjuangkannya bukan sekadar itu sahaja.

Beliau tidak dapat terima Najib yang berpegang kepada konsep “Cash is King” - Wang Tunai itu Raja – iaitu mengamal rasuah sebagai prinsip politiknya.


 Dalam entri terkini diblognya bertajak 'PENDIRIAN SAYA', Dr Mahathir menjelaskan beliau tidak dapat terima seorang Perdana Menteri yang menjatuhkan maruah bangsa dan negara setelah akhbar dan TV seluruh dunia menyiar dengan terang dan bukti yang jelas akan salah laku Najib.

Ia berkaitan duit 1MDB di mana  institusi-institusi Kerajaan di Switzerland, Singapura mendakwa berkenaan kesalahan 1MDB pimpinan Najib dalam pengurusan wang 1MDB; pembayaran berbillion ringgit kepada syarikat palsu, yang menyebabkan 1MDB disaman oleh badan milik kerajaan Qatar di Abu Dhabi supaya dibayar gantinya sebanyak RM20 billion lebih.

Kerana itu tidak mungkin baginya untuk menyokong perbuatan salah guna kuasa oleh kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri apabila dakwanya menubuh dana kekayaan negara dengan berhutang; pengurusan dana yang rugi berbillion-billion ringgit selain beberapa perbuatan lain, termasuk:


     1.      pembelian oleh 1MDB tanah Kerajaan bernilai RM3000 pada harga RM60 sekaki persegi; penglibatan Jho Low dalam pengurusan 1MDB;

2.      pemindahan bermillion dollar Amerika kepada syarikat milik Jho Low;

3.      pengakuan Najib bahawa adalah benar wang sebanyak RM2.6 billion ada dalam akaun peribadinya;

4.      kegagalan Najib menjelas dari mana datangnya wang ini serta

5.      kehilangan berbillion Ringgit wang 1MDB; pemindahan beban bayaran hutang 1MDB kepada Kerajaan.

"Saya juga tidak mungkin sokong penyalahgunaan kuasa oleh Najib dengan menangkap, memasukkan dalam tahanan, menuduh dengan mengguna undang-undang yang salah iaitu undang-undang anti-terrorist yang kemudian ditukar kepada undang-undang mensabotaj ekonomi kononnya, membuang Penguam Negara supaya dapat diganti dengan Peguam Negara yang sanggup berbohong dan berselindung di belakang OSA, ‘ katanya.

Mengulas kemenangan luar biasa BN dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Dr Mahathir berpendapat ia jelas dihasilkan dari pemberian wang dan barang-barang kepada pengundi.

"Perbuatan ini dilihat oleh orang ramai. Tidak ada perasaan segan silu atau malu apabila membuat penipuan untuk mendapat kemenangan.

"Maruah bangsa dan negara sudah dimusnah sehingga rakyat Malaysia yang dahulu bermaruah sudah turut contohi yang ditunjuk oleh pemimpin,’ katanya.

Bagi Dr Mahathir, bagi mereka yang bertanya akan pendirian dirinya, mereka  perlu bertanya diri sendiri apakah maruah kamu sudah tidak ada lagi sehingga sanggup berbangga dengan kemenangan hasil penipuan, hasil rasuah yang terbuka dan salah guna kuasa yang ketara?


Beliau berikrar untuk membersih Kerajaan Malaysia dan akan diteruskan olehnya dengan apa cara sekalipun.

No comments: