Tuesday, June 7, 2016

MCA Musuh Dalam Selimut Kepada Barisan Nasional?


"Wahai umatku, bersatulah mempertahankan Islam. Musuh wajib dikeluarkan daripada kerajaan. Musuh ini akan menjadi Umno lebih buruk dan hilang sokongan."


SAYA bersyukur kerana meninggalkan parti ultra kiasu yang anti Islam, tidak malu, berpura-pura menyokong kerajaan bagi mendapatkan projek, tetapi bila tiba musim pilihan raya, mereka sokong DAP menentang agenda Islam.

Dua puluh tahun lalu, saya mohon menjadi ahli MCA yang hanya diluluskan 5 tahun kemudian pada tahun 2000. Setelah sekian lama menunggu, saya dicampakkan ke Rawang, sedangkan saya tinggal di Ampang.

Presidennya berkata, MCA mempunyai keahlian 1.07 juta. Betul ke? Jika betul, kenapa tidak pernah menang di kawasan majoriti Cina menentang DAP? Kenapa mengemis kerusi di kawasan majoriti Melayu untuk menang?  

Melayu yang memenangkan MCA. MCA pula menjaga kebajikan dan perut bangsa sendiri. Masih tidak rasis? Adilkah? Berita akhbar bahasa Inggeris dan Cina mereka sudah menjadi suara DAP saban hari. Sama juga seperti parti Gerakan dan MIC.

Pemimpin MCA pula tidak tahu saya ahli seumur hidup. Kononnya tidak nampak muka saya dalam acara mereka. Perlukah kesemua 1.07 juta ahli menghadiri acara MCA? Dewan mana yang boleh memuatkan? Layakkah mereka memimpin negara?

Hampir 20 tahun saya berada dalam MCA, tidak pernah mereka menggunakan khidmat saya sebagai jambatan untuk memahami Islam. Pemimpinnya jahil tentang ahli mereka sedangkan saban kali saya menerima emel berita buletin MCA. Bagaimanakah saya rasis sehingga 20 tahun di MCA? Isteri saya Melayu lah. Siapa rasis?

Pemimpin MCA menghina saya kerana bersyukur bila saya keluar parti atas alasan saya rasis dan ekstrem. Saya keluar atas dasar prinsip. Sesiapa menentang Quran adalah musuh Islam. Akta 355 ini adalah kemuncaknya. Sebelum ini, apa juga perkara berkaitan dengan Islam, MCA tidak pernah bersetuju. Contohnya perihal mahkamah syariah, undang-undang pergaulan bebas lelaki perempuan dan lain-lain.

Selepas saya dan rakan lain menubuhkan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) 1994, antara strategi dakwah saya adalah menjadi ahli parti Cina seperti MCA. Pertama, untuk membuktikan bahawa saya masih Cina meskipun memeluk Islam, supaya tidak dikonotasikan masuk Melayu. Kedua, ingin menyampaikan Islam dan menjadi jambatan sekiranya ada kekeliruan mengenai Islam.

Saya masih ingat pesanan Subky Latif, wartawan veteran Pas, supaya jangan menyertai MCA yang menjunjung perlembagaan kafir. Hari ini terbukti kenyataan Subky.

Ironinya, DAP lebih berterus terang daripada MCA, yang menjadi musuh dalam selimut. Tipulah, jika Umno tidak sedar.  

MCA sedang mengintai dan melobi kerusi kawasan majoriti Melayu untuk bertanding seperti Dun di Gua Musang. Sekiranya Umno melayan permintaan MCA, Umno akan kehilangan lebih banyak kerusi malah mengkhianati amanah Melayu Islam.

Adakah kebajikan Melayu terpelihara dengan memberi kemenangan kepada MCA? Mengapa tidak hanya melantik mereka menjadi senator untuk memenuhi kuota kaum? Jangan paksa orang Melayu terutama ahli Umno mengundi parti rasis ini!

Kenapa MCA sentiasa mahu bertanding di Dun dan Parlimen majoriti Melayu, meskipun kerusi senator adalah juga laluan mendapatkan kerusi menteri? Sebenarnya kuasa Senator terhad berbanding dengan ahli Dun atau wakil Parlimen yang seterusnya mudah membuncitkan perut.

MCA dan parti ultra kiasu lain, termasuk Sabah Sarawak, jangan ingat berjaya sekiranya Akta 355 gagal di Parlimen. Melayu dengan Islam sudah sebati, ibarat darah dan daging. Jika dicabar, pasti ada akibatnya. Inilah jiwa dan hati budi Melayu.

Sudah hampir 60 tahun merdeka, sensitiviti ini langsung tidak diendahkan. Kita terlalu memberi muka sehingga kaduk naik junjung. Seandainya saya seorang PM, agenda Islam sudah lama saya ketengahkan untuk dihayati oleh semua rakyat jelata tanpa mengira agama, kerana Islam adalah agama persekutuan dan agenda negara.

Ini tidak, sudahlah Islam masih tidak difahami, bahasa Melayu bahasa negara pun tidak dikuasai. Cakap tunggang-langgang.

Apa lagi MCA (bukan Islam) mahu? Apa yang mereka tidak dapat? Hak? Harta? Kekayaan? Hatta, di Kelantan, yang mahu melaksanakan hudud, terdapat patung Buddha, sebesar-besar patung berdiri di sana sini walaupun penyembah amat sedikit. Mana nak jumpa toleransi sebegini.

Tulisan saya selama ini menjelaskan, atas nama Cina, dan bukan Islam, ultra kiasu sentiasa bersatu menentang Islam. Wahai umatku, bersatulah mempertahankan Islam. Musuh wajib dikeluarkan daripada kerajaan. Musuh ini akan menjadi Umno lebih buruk dan hilang sokongan.

Bertindak tegas seperti bakal presiden Amerika, Donald Trump. Saya harap Trump menang. Trump lebih baik daripada parti demokrat dan ultra kiasu lain. Ya, walaupun ramai yang tidak suka Trump tetapi beliau bercakap benar dan berterus terang.

Beliau tidak menentang Islam, tetapi menentang ISIS.

Kepada Presiden Pas, janganlah gentar di hati. Hadapi musuh ini dengan semangat jihad yang tinggi. Jangan undur walau seinci, kerana ia perjuangan sejati.

Tajuk asal - Bahaya simpan musuh dalam selimut

Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Felo Utama, INSPIRE dan pensyarah PPI, UniSZA


No comments: