Sunday, February 5, 2012

Shahrizat: Tak Mahu Kurang Ajar Kepada Rafidah

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini menolak desakan Tan Sri Rafidah Aziz supaya beliau mengundurkan diri selepas terheret dengan skandal projek ternakan lembu syarikat Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Bercakap kepada wartawan selepas majlis penyampaian hamper sempena sambutan Maulidul Rasul, di Wad Bersalin, Hospital Kuala Lumpur (HKL) di Kuala Lumpur hari ini, Shahrizat berkata beliau tidak akan mengulas kerana dia tidak mahu dianggap kurang ajar terhadap bekas ketuannya itu.

"Saya tidak mahu serang orang yang lebih tua daripada saya, saya datang dari keluarga di mana ibu bapa saya mengajar saya untuk tidak kurang ajar kepada sesiapa, lebih-lebih lagi mereka yang lebih tua daripada saya, jadi saya akan tutup mulut," katanya.

Khamis lalu, akhbar Malay Mail menyiarkan pada halaman utamanya, gesaan Rafidah supaya penggantinya meletakkan jawatan kerana menimbulkan masalah kepada Umno.

Ditanya sama ada keengganan beliau untuk meletak jawatan dari kerajaan mahupun parti akan menjejaskan reputasi Umno, Shahrizat berkata kontroversi adalah perkara biasa bagi mana-mana pemimpin politik.

Menurut beliau, di seluruh dunia, baik pihak kerajaan mahupun pembangkang sentiasa akan berdepan dengan isu dan kontroversi yang mencabar.

"Di serata dunia, setiap kerajaan dan setiap parti politik, sama ada anda dengan kerajaan atau dengan pembangkang, anda melalui tempoh yang penuh cabaran. Tidak ada yang luar biasa atau aneh.

"When you are a leader, you will always (be) on the line of fire," (bila anda jadi pemimpin, anda akan sentiasa berada di sasaran serangan), katanya.

Jadi, apa yang berlaku ke atas dirinya dianggap sebagai perkara biasa. Shahrizat berkata beliau tidak perlu menjawab pelbagai tuduhan yang dilemparkan dan dia hanya bertanggungjawab kepada Allah.

"Mengapa saya pergi ke Mekah tiga kali dalam dua setengah bulan? Kerana saya takut kepada tuhan, saya minta petunjuk dan bimbingan dari Allah," kata Shahrizat, yang juga Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat.

Menurutnya, beliau tidak akan menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan NFC kerana siasatan masih berterusan tetapi menegaskan bahawa beliau tidak seharusnya dilabelkan bersalah tanpa proses yang sewajarnya.

"Sebagai seorang peguam dan bekas majistret, saya tidak menghukum seseorang bersalah sehingga dibuktikan. Jadi, tidak, saya tidak akan letak jawatan," katanya.

Malah, katanya, beliau juga memahami apa yang dilakukan oleh pembangkang adalah semata-mata untuk melemahkan semangat beliau selaku Ketua Wanita Umno, yang juga menjadi kekuatan kepada parti itu dan BN.

Pengerusi NFC Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail adalah suami Shahrizat. Syarikat itu dituduh menyalah-gunakan dana RM250 juta dalam bentuk pinjaman mudah yang diberikan oleh kerajaan melalui dana Kumpulan wang Simpanan Pekerja kepada NFC.

Projek NFC bertujuan untuk mengurangkan import daging lembu di negara ini tetapi Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyatakan bahawa projek berkenaan telah tersasar jauh.

Berikutan itu, beberapa pemimpin PKR kemudiannya mendedahkan bahawa pinjaman RM250 juta itu bukan digunakan untuk projek ternakan lembu tetapi dibelanjakan kepada perkara-perkara yang tidak ada kaitan, seperti pembelian kondominium mewah di Kuala Lumpur dan Singapura.

Baca dari sumber

Saturday, February 4, 2012

Azizan Berani Sanggah Manifesto ‘Buku Jingga’ Pakatan Pembangkang

Zulkifli Jalil (Utusan Malaysia)

Dalam ramai-ramai orang kanan parti pembangkang ini, ada seorang yang benar-benar sudah “nampak” apabila berani menyanggah isi kandungan Buku Jingga.

Bukan mahu memuji Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kerana waktu pelancaran buku atau manifesto PRU-13 pembangkang tempoh hari pun dia tidak membantah langsung.

Cuma sekarang, barulah Azizan tersedar daripada lamunan untuk mengakui kenyataan-kenyataan dan alasan yang diberikan oleh para pemimpin kerajaan sedia ada bahawa 10 janji dalam “Buku Jingga” untuk dilaksanakan oleh pembangkang dalam tempoh 100 hari sekiranya mereka berkuasa hanyalah janji-janji manis dan populis.

Benar dan tepat sekali kenyataan Azizan yang tidak semua kandungan Buku Jingga itu sesuai dilaksanakan di negeri tertentu. Memang berani sungguh Azizan untuk berkongsi nada dan pendapat dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) bahawa terdapat perkara-perkara dalam buku manifesto berkenaan yang perlu ditangguh pelaksanaannya sehingga suasana mengizinkan dengan mengambil kira keadaan politik dan masyarakat setempat.

Cuba kita rungkai kembali janji utama pembangkang “yang paling menusuk sanubari rakyat” dalam Buku Jingga iaitu menghapuskan tol.

Janji seperti ini sememangnya mampu menambat hati sesiapa sahaja kerana setiap rakyat pasti mengidamkan kemudahan lebuh raya yang percuma tanpa sebarang tol. Tetapi pada masa sama, lebuh raya berkenaan mestilah serba lengkap dan perkhidmatannya berkelas pertama.

Hakikatnya, adalah amat mustahil untuk memenuhi kedua-dua kehendak ini secara serentak. Tetapi apa yang realistiknya adalah kejayaan pelaksanaan sistem tol pada kadar paling minimum sekarang sekali gus mengekang kenaikannya dari semasa ke semasa dengan memikirkan beban rakyat.

Jika badan pelaburan milik kerajaan seperti Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diarahkan mengambil alih kesemua 19 syarikat konsesi lebuh raya yang ada ketika ini seperti yang dicanangkan dalam Buku Jingga, ia akan menelan belanja antara RM50 bilion hingga RM100 bilion. Jumlah ini bukanlah satu angka yang sedikit untuk dibelanjakan oleh kerajaan semata-mata untuk memberikan tol percuma.

Dengan pendapatan kerajaan hanya RM158.6 bilion (pada 2009), melaksanakan janji ini akan menelan kos hampir dua pertiga daripada jumlah keseluruhan pendapatan Kerajaan Persekutuan.

Malah, kos pengambilalihan konsesi lebuh raya di antara RM50 bilion hingga RM100 bilion itu juga belum termasuk kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya terbabit. Berdasarkan kos tahunan yang ditanggung oleh syarikat PLUS ketika ini, kos penyelenggaraan rutin adalah RM235 juta, kos pentadbiran (RM349 juta) dan melangsaikan hutang (RM410 juta). Secara kasarnya, kos operasi dan pengurusan lebuh raya akan menelan sekurang-kurangnya RM2 bilion setahun.

Ya! benar sekali tanggapan Azizan bahawa untuk melaksanakan janji dalam manifesto, ia perlu berpandukan “suasana yang mengizinkan”. Tentu rakyat Malaysia maklum dengan janji pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008, dengan DAP dalam manifesto pilihan raya mereka telah berjanji untuk menghapuskan tol di Plaza Tol Sungai Nyior dan Jambatan Pulau Pinang.

Namun setelah dapat menubuhkan kerajaan negeri, janji itu tidak dilaksanakan sehingga kini. Jelas terbukti janji itu sekadar populis dan amat mustahil untuk dilaksanakan. Akibatnya, rakyat tertipu.

Itu baru satu janji daripada 10 janji pembangkang dalam Buku Jingga. Kalau dihuraikan sembilan yang lain, tentu banyak cacat celanya. Contoh paling mudah boleh diteliti terhadap janji pakatan pembangkang untuk meningkatkan pendapatan semua isi rumah kepada tahap minimum RM4,000 dalam tempoh lima tahun menjelang 2015.

Untuk melaksanakan satu janji ini sahaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM93.9 bilion setahun untuk diagihkan kepada 3.8 juta isi rumah berpendapatan rendah dengan kadar imbuhan purata RM2,045 bagi seorang isi rumah.

Padahnya nanti jika janji-janji pembangkang dalam Buku Jingga ini direalisasikan, Malaysia akan menerima nasib sama seperti Greece yang sudah bankrap susulan hutang dan perbelanjaan awam terlalu tinggi sehingga gagal ditampung pendapatan kerajaan.

Walaupun Greece sebuah negara di Eropah dan bersandarkan kepada kumpulan kerjasama ekonomi Eropah yang paling kukuh dan sistem kewangan tunggal diperakui paling stabil dengan peraturan ketat di bawah European Central Bank (ECB), namun Greece terpaksa berhadapan dengan krisis kewangan akibat perbelanjaan negara secara boros sehingga hutangnya mencecah lebih 300 bilion euro (RM1.23 trilion).

Akibatnya, ketika ini rakyat Greece hidup menderita susulan kesukaran mendapatkan pekerjaan, aktiviti perniagaan tidak berjalan, kebajikan dan pembangunan sosial terjejas dan program jangka panjang pembangunan negara terbantut.

Apa yang berlaku di Greece akan turut menimpa Malaysia dalam tempoh tiga tahun jika bersandarkan corak pentadbiran dan pengurusan seperti yang dirangka pakatan pembangkang. Dalam tempoh tiga tahun juga, hutang negara bakal mencecah RM1.22 trilion (124.1 peratus daripada KDNK). Dan sudah mengalahkan Greece yang hanya berada pada paras 120 peratus sahaja KDNK jumlah hutang negara mereka.

Syabas! diucapkan kepada Azizan kerana berani tanpa gentar menyanggah Buku Jingga yang dicanang-canangkan sekutunya sendiri.

Mana mungkin seseorang hanya bercerita mahu membeli itu dan ini, bukit dan gunung malahan hingga bulan dan bintang. Sedangkan sumber kewangannya sendiri tidak diperjelaskan untuk menyokong cita-citanya itu.

Tuesday, January 31, 2012

Rosmah Tak 'Belanja Sakan' - Raja Rezza Shah

Siapa kata Datin Seri Rosmah Mansor belanja sakan?

Pengerusi Festival Fesyen Islam (IIF) Raja Rezza Shah yang turut bersama dalam rombongan lawatan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak ketika membeli-belah di butik pereka Australia berkata kata tidak berbelanja sakan seperti yang didakwa.

Menjawap soalan yang dikemukakan oleh Malaysiakini, Raja Rezza (kanan) berkata 61 helai pakaian yang dibeli di pusat membeli-belah Carl Kapp di Paddington, Sydney, Australia, baru-baru ini sebenarnya adalah stok atau bekalan untuk sebuah kedainya di London.

Ditanya jika pakaian berkenaan termasuk pembelian daripada Rosmah, Raja Rezza berkata: "Ya, ini adalah stok bagi kedai saya di London yang akan menjadi platform kepada pereka daripada pelbagai latar bangsa dan agama dari seluruh dunia."

Raja Rezza, yang ketika ini berada di luar negara untuk mempromosikan Festival Fesyen Islam berkata bahawa beliau sedih kerana “aktiviti positif seumpama itu telah dimanipulasi secara negatif".

Kapp dalam satu kenyataan medianya, minggu lalu berkata, isteri Perdana Menteri dan rombonganyan, termasuk Raja Rezza, telah melawat kedainya dan membuat pelbagai pembelian.

Pereka fesyen kelahiran Afrika Selatan itu mengulas isu berkenaan berikutan laporan akhbar yang mendakwa Rosmah selaku penaung Festival Fesyen Islam telah berbelanja sakan dan menghabiskan sehingga A$100,000 membeli pakaian di kedainya.

Pembelian itu buat kali pertama didedahkan dalam akhbar terkemuka Australia Sydney Morning Herald, oleh wartawan Andrew Hornery (kiri) dalam kolumnya yang melaporkan bahawa Kapp berkata beliau diterbangkan ke Malaysia dengan ‘pakaian contoh’ untuk Rosmah sebelum menyiapkan 61 pesanan yang lain.

Hornery juga melaporkan bahawa Rosmah dan Najib menginap di penthouse Hotel Darling, yang menelan belanja kira-kira A$20,000 semalam semasa percutian peribadi mereka di negara itu.

Kapp juga dilaporkan mengunjungi penthouse hotel berkenaan pada malam sebelum Tahun Baru untuk menunjukkan contoh kain kepada Rosmah.

Rosmah mendakwa laporan itu "tidak benar" dan seganja "dibesar-besarkan".

Bagaimanapun Hornery dan wartawan fesyen Patty Huntington, yang menulis di blog Frockwriter tetap mempertahankan laporan mereka.

Malaysiakini