Saturday, October 31, 2009

ISU PAS SELANGOR ATAU DR HASSAN ALI?

Lembaga Disiplin PAS akan bersidang buat pertama kalinya esok mulai jam 10.30 pagi selepas mendapat arahan menyelesaikan segera beberapa isu dalaman PAS, kata ketuanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Namun, dimaklumkan bahawa, tidak akan ada sebarang sidang media atau kenyataan media berkaitan dengan hal ini sehinggalah keputusan diserahkan kepada Jawatankuasa Pusat, katanya.

"Kami akan bermesyuarat esok dan akan melihat dokumen-dokumen yang ada sebelum membuat apa-apa tindakan lanjut," kata Tuan Ibrahim kepada Harakahdaily.

Lembaga ini, katanya, mempunyai lima anggota termasuk beliau. Mereka terdiri dari peguam, tokoh agama dan anggota veteran PAS.

"Namun saya tidak bercadang untuk mendedahkan nama mereka," kata Tuan Ibrahim.

Lembaga Disiplin PAS telah diarahkan bersidang segera bagi menyiasat beberapa dakwaan kepada PAS Selangor.

Arahan ini dibuat oleh mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini. Ia dimaklumkan kepada media oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya kira-kira jam 1.00 pagi 29 Oktober semalam.

Selain Lembaga Disiplin diminta bersidang segera, PAS juga akan mengadakan satu seminar khas yang bakal disertai lebih 1,000 pemimpin parti di semua peringkat 7 November nanti.

Ia akan diadakan di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar. Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub diamanahkan untuk menguruskan seminar ini.

Turut diputuskan dalam mesyuarat khas itu adalah, isu kerajaan perpaduan telah ditutup dan tidak akan dibicarakan lagi.

Menurut Tuan Ibrahim, beliau telah menerima beberapa dokumen yang disampaikan kepada beliau.

"Ada yang sampai melalui Setiausaha Agung. Dan ada yang disampaikan kepada saya melalui presiden sendiri," katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, lembaga ini akan meneliti segala dokumen itu apakah ia bertentangan dengan didiplin parti atau ia hanya ijtihad peribadi individu berkenaan sahaja.

Dari situ, katanya, lembaga ini akan membuat cadangan kepada Jawatankuasa PAS Pusat apakah bentuk tindakan yang akan diambil.

Sementara itu menurut Malaysiakini tindakan menyeret PAS Selangor ke depan jawatankuasa disiplin belum dapat meredakan konflik dalaman apabila komen-komen negatif berhubung perjalanan mesyuarat khas parti itu kelmarin mula tersebar.

Beberapa blog yang mengamat perkembangan PAS menggambarkan seolah-olah terdapat sesuatu yang tidak kena dalam mesyuarat panjang sehingga jam 1 pagi di kalangan anggota-anggota jawatankuasa pusat dan barisan pesuruhjaya negerinya.

Penulis politik Mohd Sayuti Omar berkata mesyuarat khas PAS itu memberikan fokus kepada exco kerajaan Selangor, yang juga pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Hassan Ali.

Katanya, ada cadangan meminta Dr Hasan dipecat daripada mengetuai PAS negeri dan juga exco hal-ehwal Islam kerajaan negeri.

"Alasannya, kerana terlibat untuk mengadakan pakatan dengan Umno.

"Bagaimanapun (presiden PAS Datuk Seri) Abdul Hadi (Awang) dikatakan telah mempertahankan Dr Hassan dengan meminta agar tuduhan itu disiasat," tulisnya di blog peribadi Merah Tinta sejurus selepas tamat mesyuarat itu.

"Alasan Abdul Hadi, kalau ada tuduhan, penyiasatan perlu dilakukan.

"Sehubungan itu jawatankuasa disiplin PAS yang diketuai (Datuk) Tuan Ibrahim Tuan Man akan menjalankan siasatan ke atas Dr Hassan bersama ahli jawatankuasanya."

Sumber-sumber dalaman PAS, yang hadir dalam pertemuan itu, memberitahu Malaysiakini, mesyuarat tersebut sebenarnya memutuskan hanya Dr Hassan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin, bukannya seluruh barisan kepemimpinan PAS Selangor.

"(Keputusannya) ada lain sikit (daripada kenyataan Abdul Hadi). Dr Hassan yang dihadapkan ke jawatankuasa dispilin, bukan PAS Selangor," kata satu sumber.

Sementara satu lagi sumber berkata, walaupun presiden menyebut PAS Selangor akan disiasat, ia ditujukan kepada Dr Hassan, seperti diputuskan dalam mesyuarat.

"Bila (beliau) kata PAS Selangor, maksudnya Dr Hassanlah, sebab dia pesuruhjayanya," jelas sumber.

Sumber sama juga mengesahkan terdapat cadangan supaya Dr Hassan dipecat daripada mengetuai PAS Selangor, tetapi menafikan Abdul Hadi mempertahankannya.

Tiga lagi pemimpin PAS ketika dihubungi enggan mendedahkan butiran mesyuarat panjang tersebut.

Sementara blog Malaysian Waves pula mendakwa sebanyak 75 peratus ahli mesyuarat pada malam itu mahukan Dr Hassan digugurkan daripada jawatan pesuruhjaya PAS Selangor.

"Namun, permintaan majoriti ahli jawatankuasa pusat PAS ditolak begitu sahaja dan dibuat pengumuman bahawa keseluruhan PAS Selangor akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin," tulis Tulang Besi, penulis blog yang sering mendedahkan konflik dalaman parti.

"Keputusan yang diumumkan oleh Tuan Guru Presiden malam tadi bukan keputusan yang dipersetujui oleh para ahli jawatankuasa pusat PAS.

"75 peratus daripada keseluruhan ahli jawatankuasa yang hadir bercakap dan hanya Cikgu Pa (Setiausaha agung, Datuk Mustafa Ali) serta Datuk Abu Bakar Chik sahaja yang menyokong Dr Hassan.

"Yang lebih menyedihkan apabila Tok Guru (Mursyidul am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) yang membentangkan tulisan beliau dalam blog beliau jelas tidak mahu berganjak daripada apa yang dituliskan oleh beliau.

"Yakni, jelas beliau mahu ketiga-tiga yang dinamakan dalam blog beliau dibuang."

Selain Dr Hassan dan Mustafa, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa juga disebut di Blog Tok Guru yang dianggap antara "beberapa kerat pemimpin bermasalah."

Kesemua sumber enggan mendedahkan jumlah sokongan terhadap pemecatan Dr Hassan sebagai pesuruhjaya Selangor.

Berhubung dakwaan Nik Aziz berkeras mahu PAS menggugurkan tiga pemimpin kontroversinya itu, Malaysiakini difahamkan perkara itu "tidak benar".

"Kita bincang banyak pasal EGM (muktamar khas). Nama Dr Hassan itu muncul sebab berkait keputusan pilihan raya kecil Bagan Pinang yang ditulis (pensyarah Universiti Islam Antarabangsa) Dr Aziz Bari.

"Tetapi perkara ini agenda nombor tiga, nombor empat," kata sumber.

Kesemua lima pemimpin PAS - daripada kedua-dua pihak, sama ada dianggap pro-kerajaan perpaduan dan juga "kumpulan Erdogan" - yang dihubungi enggan nama mereka didedahkan.

Sementara itu, sumber-sumber lain memberitahu, terdapat ahli jawatankuasa mesyuarat tersebut membawa surat yang mempertikaikan tindak-tanduk Dr Hassan di Selangor – yang didakwa diserahkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Turut diserahkan kepada mesyuarat itu, rakaman audio perbualan dalam pertemuan sekumpulan penulis blog – sebahagiannya didakwa dekat dengan Umno – bersama Dr Hassan dan Nasharuddin, tambah sumber.

Bagaimanapun, seorang pemimpin PAS yang hadir dalam mesyuarat itu menafikannya kewujudan surat dan rakaman suara itu.

"Kita dalam PAS tidak sampai buat tindakan macam itu sekali," jelasnya.

No comments: