Oleh: ROSLI ISMAIL (Agendadaily)
Cakap memang senang begitu juga kalau setakat untuk retorik saja dan cara yang paling mudah untuk menutup kegagalan tuding jari salahkan orang lain.
Ini merujuk kepada pengakuan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa PAS belum mampu untuk melaksanakan undang-undang Islam di negeri yang diperintah pakatan pembangkang.
Apa yang dinyatakan oleh Presiden PAS itu dalam ucapan dasar merasmikan Muktamar PAS ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di Kota Bharu Jumaat bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Ini kerana di Kelantan sendiri yang ditabir oleh PAS dibawah Musyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat selama lebih 20 tahun sistem pemerintahan yang dihajatkan oleh PAS belum dapat dilaksanakan.
Malah ada yang bertanya contohnya, apakah cara Menteri Besar itu melantik menantunya sendiri sebagai CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan tabir urusnya dipertikaikan sesuatu yang selaras dengan prinsip parti itu.
Haji Hadi tentu tahu kerana beliau mengetuai rombongan pimpinan PAS ke Kota Bharu untuk memujuk Nik Aziz supaya meminta Ariffahmi Abdul Rahman melepaskan jawatan itu.
Bagaimana pula dengan kenyataan taiko DAP, Karpal Singh langkah mayatnya jika PAS nak laksanakan pemerintahan Islam di negara ini yang belum ditarik balik sampai ke hari ini.
Kata Haji Hadi parti itu terpaksa mencuba sedaya upaya melaksanakan Islam mengikut bidang kuasa kerajaan negeri.
"PAS yang berjaya memerintah Kelantan, pernah di Terengganu dan Perak, dan terkini memimpin kerajaan di Kedah di samping menyertai kerajaan campuran di Selangor dan Pulau Pinang telah mencuba sedaya upaya melaksanakan Islam mengikut bidang kuasa kerajaan negeri," katanya.
Menariknya beliau menyalahkan kelemahan itu berpunca daripada tekanan daripada kerajaan pusat secara terbuka dan halus.
Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan bagaimana bentuk halangan dan tekanan yang dilakukan kerajaan pusat.
Ucapan dasar Abdul Hadi pada muktamar itu, yang bertemakan "Islam Adil untuk Semua", dilihat lebih banyak retorik dengan banyak menuduh UMNO dan Barisan Nasional melakukan kesilapan dalam pentadbiran negara.
"PAS wajib berjuang mengembalikan martabat umat Islam ke atas landasan yang sebenar dalam segala lapangan, dan seterusnya memulihkan imej Islam walaupun terpaksa berdepan dengan rintangan," katanya.
Tolak sebelah Kelantan,ramai juga yang bertanya apalah sangat undang-undang Islam yang dilaksanakan di Kedah setelah dua tahun PAS perintah.
Bukan rahsia bahawa PAS juga gagal semasa perintah Terengganu selama satu penggal selepas pilihanraya umum ke 11 sebelum jatuh balik kepada BN dalam pilihanraya umum ke 12.
Di Perak pula sepanjang setahun Datuk Seri Nizar Jamaluddin mentabir dalam kerajaan negeri yang dikuasai oleh DAP itu ia lebih banyak diselubungi oleh kontroversi.
Ada pemerhati yang menilai halangan PAS untuk melaksakan apa yang dihajatinya ialah rakan dalam rakatan pembangkang sendiri yakni PKR dan DAP.
Yang pasti PKR dan DAP tidak mungkin mahu kehilangan pengaruhnya terpaksa tunduk kepada kehendak PAS.
Di Pulau Pinang jangan mimpilah.Cuba jenguk ke Selangor.Adakah sesuatu yang istimewa yang dibawa oleh PAS ke negeri itu?
Ada yang mungkin kata ini kerana pakatan pembangkang belum ada kuasa politik nasional kerana Putrajaya masih ditangan BN.
Soalnya mimpi PKR tetapi berbeza dengan mimpi PAS dan begitu juga DAP.
PKR dan DAP tahu mereka cari nahas jika setuju misalnya dengan undang-undang hudud yang nak dibawa oleh PAS.
Jika Haji Hadi tidak retorik dan lebih realistik beliau pasti sedar realiti politik.
Ia tidak perlu ditunggu sehingga dapat melangkah ke Putrajaya.
Kalau empat buah negeri masih belum apa-apa bagaimana pula bila dah ada 13 negeri.
Dalam keadaan semuanya berhajat untuk mencapai satu impian memang semuanya nampak indah belaka.Dalam politik siapa boleh tolak lain jadinya nanti.Maka ini belum mengambil kira lagi ' tanduk ' yang mungkin keluar dari kepala DAP dan PKR jika sudah berkuasa satu Malaysia.
Jangan nanti Presiden PAS itu terpaksa ulangi kenyataan yang dibuatnya pada muktamar PAS itu bersandarkan pada alasan baru pula.
No comments:
Post a Comment