Wednesday, November 16, 2011

Pak Lah - Tanya Suami Shahrizat Bagaimana Dia Belanja Duit Fidlot

Jawapan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sama iaitu Datuk Seri Shahrizat Jalil tidak terlibat secara langsung dalam Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), projek kontroversial yang diuruskan oleh anggota keluarganya.

Ramai yang tahu NFC mula beroperasi pada 2008 semasa pentadbiran Abdullah dan Muhyiddin ketika itu memegang jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Kedua-duanya mengatakan Menteri itu tidak perlu meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet.

Mereka mengulas demikian ekoran kenyataan pelbagai termasuk desakan wakil rakyat Umno-BN dari Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin semalam di Dewan Rakyat agar mereka yang bertanggungjawab dalam skandal NFC wajar meletakkan jawatan.

Abdullah semalam menegaskan tidak wajar meminta Shahrizat meletakkan jawatan berhubung isu NFC yang dilaporkan gagal, memandangkan anggota Kabinet itu tidak terlibat dalam projek tersebut.

Sebaliknya, bekas perdana menteri ini berkata individu yang perlu menjawab segala persoalan berkaitan adalah suami Shahrizat yang juga Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail.

Abdullah menambah Shahrizat tidak perlu melayan desakan supaya meletakkan jawatan.

“Tanya individu yang berkenaan, apa kena-mengena dengan Shahrizat, itu suami dia... Shahrizat tidak terlibat, jadi jangan tanya dia.

“Kalau Shahrizat jadi CEO bolehlah (tanya) tapi sekarang dia tidak terlibat dan sangat tidak adil melabelkan Shahrizat terlibat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Sains dan Nilai: Isu-isu Kontemporari dan Jalan Penyelesaian di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) di Kuala Lumpur.

Muhyiddin mengatakan Bung Moktar tidak mengatakan Shahrizat secara langsung terlibat sebab ini adalah soal bisnes yang dikendalikan oleh keluarganya, tetapi beliau tidak terlibat.

Bagaimanapun katanya, gesaan timbalan pengerusi BBC-BN itu agar Shahrizat meletakkan jawatan adalah sesuatu yang tidak perlu di kalangan "orang sendiri."

“Ini sudah dijawab di Parlimen oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (Datuk Seri Noh Omar) dan telah dibincang dan diperjelaskan dengan mendalam lebih sejam dan seharusnya disambut dengan baik. Sama ada betul (untuk meminta agar letak jawatan)Datuk Bung Moktar dengan sendirinya boleh fikir,” kata Muhyiddin.

Pada ketika Abdullah mengatakan suami Shahrizat perlu bertanggungjawab, Muhyiddin pula berkata syarikat yang terlibat seharusnya datang dengan penjelasan mereka sendiri dalam isu ini.

Kata beliau, ia akan membolehkan syarikat terbabit menjelaskan apa yang berlaku sebagaimana ditekankan oleh Ketua Audit Negara dalam laporannya.

“Terserah kepada mereka,” tegas Muhyiddin.

Kelakar juga apabila ditanya mengenai NFC, Abdullah enggan memberi sebarang komen dengan alasan ia perkara lama.

Isu projek NFC didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan 24 Oktober lalu.

Susulan pendedahan laporan itu, pada Khamis lalu, PKR mendakwa NFC telah membayar RM10 juta bagi membeli kondominium milik National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC).

Ekoran skandal itu, banyak pihak terutamanya dari PKR menggesa supaya Shahrizat selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Ketua Wanita Umno meletakkan jawatan yang disandang dan bertanggungjawab atas perkara itu.

Menurut Abdullah, Salleh adalah individu yang paling tepat untuk menjawab segala persoalan yang dibangkitkan.

“Saya cadangkan supaya Ahli Parlimen kita jemput Dr Salleh beri taklimat dan terangkan mengapa isu ini timbul.

“Berapa banyak duit, ke mana duit itu dibelanjakan... tanya mereka yang tahu, jangan terlalu cepat keluarkan pandangan dan selepas itu nak buat kesimpulan. Apa yang penting tanya orang yang berkenaan,” katanya.

Sumber : The Malaysian Insider

1 comment:

KL BOYZ said...

Salam sejahtera, mohon dilink blog KLBOYZ disini. Blog OhSedapnya telah dilink di blog KLBOYZ.
Terima Kasih.
http://klboyzwangsa.blogspot.com/