Saturday, February 15, 2014

Larang Belia Islam Sambut Valentine's Day - Malaysiakini Persenda Khutbah, Masjid


Sebagai wartawan, kita diajar supaya menyiarkan sesuatu berita khususnya yang diucap atau disediakan teksnya selepas berlangsungnya sesuatu majlis atau peristiwa.

Kita diajar agar menjamin berita disiarkan ( mungkin ditulis lebih awal) tidak mendahului peristiwa atau majlis dan selalunya dinasihatkan supaya ‘Check On Delivery).

Apa maknanya ‘Check On Delivery’?

Mendengar patah-patah perkataan yang disebut dan tidak boleh memasukkan bahan atau perkara yang tidak disebut.

Dengan kata lain sebagai pemberita dan wartawan, kita tidak boleh menyiarkan petikan atau laporan termasuk kenyataan sebelum waktunya.

Persoalannya, apakah ada wartawan Malaysiakini yang datang ke Masjid Wilayah Persekutuan untuk mendengar khutbah yang dibacakan khatib semalam (14 Februari 2014)?

Dan jika adapun, ia tidak relevan lagi kerana sebahagian khutbah itu disiarkan lebih awal oleh Malaysiakini. 

Perbuatan ini tidak beretika dan sangat salah dari segi praktik seseorang wartawan dan media yang menyiarkannya!

Waktu Zohor semalam (14 Rabiul Awa, 1435 atau 14 Februari 2014) ialah pada jam 1.30 tengah hari, namun Malaysiakini menyiarkan petikan Khutbah Jumaat yang dibaca di Masjid Wilayah Persekutuan tengah hari semalam terlalu awal iaitu pada jam 7.53 pagi (7.53am 14th Februari 2014). Baca juga di sini.


Melalui tajuk beritanya 'Kita dengar khutbah, mereka rai Valentine', Malaysiakini mendahului bacaan oleh Khatib.

Menurut laporan Malaysiakini : “Khutbah Jumaat Wilayah Persekutuan hari ini menyelar sikap segelintir muda mudi Islam yang meraikan Hari Kekasih yang disifatkan sebagai permulaan ke arah peningkatan masalah sosial. Menurut khutbah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu, budaya Barat itu mendorong ke arah penipuan, kecelaruan mental disebabkan alkohol, pengguguran kandungan dan kes buang bayi.” “…kita umat Islam sedang berada di masjid untuk mendengar ucapan khatib dan mengagungkan kebesaran Allah, sedangkan di luar sana berkemungkinan ada segelintir muda mudi Islam yang terlibat dengan majlis sosial seumpama Valentine’s Day, yang dirayakan oleh pasangan kekasih,” menurut mimbar Jumaat. Khutbah juga mengaitkan gejala itu dengan penjajahan pemikiran yang menyebabkan umat Islam terjebak dengan “budaya kebebasan melampau” hingga tergelincir dari sempadan ajaran agama. “Bayangkanlah, apakah yang bakal terjadi bagi masa depan umat Islam terutamanya kepada generasi muda hari ini jika budaya kesesatan ini terus dijadikan amalan?” soal khutbah lagi. “Sudah pastilah musibah yang lebih besar akan berlaku dalam negara ini seperti porak peranda dan kemusnahan akhlak akan berleluasa berlaku dalam masyarakat kerana generasi muda inilah cerminan masa hadapan sesebuah negara dan bangsa.” Khutbah juga menegaskan supaya umat Islam, khususnya remaja, tidak meniru budaya kaum musyrik serta meninggalkan perayaan yang tiada dalam syariat Islam. Hari Kekasih diraikan di banyak negara di seluruh dunia pada 14 Februari (hari ini) setiap tahun.”

Apakah yang cuba dilakukan Malaysiakini dengan mengajak supaya membaca sebahagian teks khutbah berkenaaan?

Tidakkah sengaja ia dilakukan sebagai mempersenda khutbah berkenaan dan ‘menentang’ usaha masjid untuk mengingatkan remaja Islam supaya tidak menyambut HARI KEKASIH berkenaan.

Sedangkan khutbah berkenaan memperkatakan subjek yang sangat relevan iaitu “IMAN YANG MANTAP, UMMAH CEMERLANG”.

Menurut Khtbah berkenaan: “…Bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat kesan dari melakukan amalan-amalan yang bertentangan dengan akidah dan syariah, mimbar menyeru kepada semua pihak agar menjauhkan diri dari semua perkara-perkara yang membawa kerosakan dan kelalaian. Jangan kita terlibat dengan budaya songsang yang boleh melemahkan ummah dan menyesatkan. Hadirkanlah rasa benci dan jijik kepada aktiviti-aktiviti yang menyalahi akidah, syarak dan tamadun manusia.
Hindarilah dari perbuatan-perbuatan yang ditegah seperti upacara percampuran bebas lelaki dan perempuan, minum minuman yang memabukkan, mengadakan acara sosial yang melampau yang mana semuanya akan menjauhkan umat Islam dari ajaran Islam yang sebenarnya. Keadaan ini memperlihatkan umat Islam semakin lemah dan tiada jati diri Islam. Bayangkanlah, apakah yang bakal terjadi bagi masa depan umat Islam terutamanya kepada generasi muda hari ini jika budaya kesesatan ini terus dijadikan amalan? Sudah pastilah musibah yang lebih besar akan berlaku dalam negara ini seperti porak peranda dan kemusnahan akhlak akan berleluasa berlaku dalam masyarakat kerana generasi muda inilah cerminan masa hadapan sesebuah negara dan bangsa

 Justeru, wahai ibu bapa dan muda mudi sekalian, marilah sama-sama kita bermuhasabah diri untuk meningkatkan tahap keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan amalan membudayakan budi pekerti yang luhur dan suci agar kelak keharmonian dan kedamaian yang dicari akan sama-sama kita kecapi...mimbar menyeru semua pihak marilah sama-sama kita memantapkan iman kita, keluarga dan masyarakat kita demi masa depan agama, ummah dan negara dengan langkah-langkah seperti berikut:

Pertama: Sebagai ibu bapa kita bertanggungjawab memastikan anak-anak dididik dan dibimbing dengan ajaran Islam yang sebenar;

kedua: umat Islam khususnya remaja dilarang meniru amalan atau budaya kaum musyrik,

ketiga: menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan rasul-Nya.

Keempat: menjauhi aktiviti bergaul bebas dengan pasangan yang bukan mahram dalam menyambut majlis tertentu; dan

kelima: meninggalkan sambutan atau perayaan yang tiada dalam syariat Islam serta mendedahkan kepada kerosakan.

Marilah sama-sama kita mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar dengan menutup segala pintu maksiat dan kemungkaran, senantiasa memerhati gerak geri anak-anak muda mudi kita sama ada dari segi tingkah lakunya dan pergaulan hariannya, dengan siapa mereka berkawan, ke mana mereka pergi dan sebagainya. Jadikanlah kehidupan kita sebagai satu ibadah yang sentiasa dirahmati Allah SWT.

Amat nyata:


Malaysikini sengaja mempersoalkan KESUCIAN AGAMA ISLAM dengan mempersoalkan pendirian khutbah mengenai SAMBUTAN HARI KEKASIH.

Malaysiakini mempersendakan Masjid Wilayah Persekutuan apabila menyiarkan isi khutbah berkenaan mendahului waktu seolah-olah ada YANG TIDAK KENA dengan khutbah berkenaan.

Juga MALAYSIAKINI dengan sengaja menyiarkan komen-komen yang bukan sahaja mempersoalkan kesucian agama Islam tetapi juga mempertikaikan kedudukan Raja Melayu yang ternyata sekali lagi mempersenda institusi di-Raja yang dianggap mulia dan dihormati.

Apakah penyiaran petikan khutbah SECARA TIDAK BERETIKA selain merendahkan martabat ISLAM dan RAJA-RAJA MELAYU ini dibiarkan begitu sahaja?

No comments: