Monday, February 13, 2017

Hadi Jangan Melalut, Nyatakan Mahu Saman Husam Atau Tidak?


Bijak dan matangkah ulasan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Datuk Husam Musa sengaja tidak mahu bertanding dalam PRU14 apabila Husam  mendakwa PAS menerima dana sebanyak RM90 juta?

Kenapa Hadi perlu berbelit-belit cakap sedangkan perkataan mudah untuk menyanggah kenyataan Husam ialah ‘mahu saman’ atau ‘tidak'?

Hadi tidak payah meramalkan Husam akan kalah di mahkamah dan tidak layak untuk bertanding pilihan raya.

Tergelak jika baca kenyataan apabila Hadi seolah-olah merasakan mahkamah akan berpihak kepadanya.

Kenapa ‘Tok Guru’ semakin melalut dan begitu bimbang dengan Husam?

Juga, jika ke  mahkamah, apa yang menyebabkan Hadi begitu yakin akan menang?

Akan mendapat bantuan guaman daripada UMNOkah dalam kes ini?

Apakah Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri} sudah dapat yakinkan Hadi bahawa pihaknya akan memberikan pertolongan daripada beliau agar Hadi menang kes ini?

(Untuk rekod, Najib dikaitkan dengan dana RM90 juta kepada PAS).

Hadi semalam membuat ulasan yang memang kelakar dan tidak masuk akal.

Seseorang  berpengalaman seperti Hadi, presiden parti yang mendakwa mereka perjuangkan Islam tidak wajar berpusing-pusing dan bermain perasaan sendiri dalam ulasannya terhadap Husam.

Husam ketika berucap di Selising, Pasir Puteh.
Apakah Hadi bimbang atau ‘tidak rasional’ lagi untuk memberikan jawapan terhadap kenyataan Husam?

Hadi berkata sekiranya isu RM90 juta dibawa ke mahkamah dan Husam dijatuhkan hukuman, kelayakannya untuk bertanding akan hilang.

“Saya merasakan beliau (Husam) tidak mahu bertanding PRU akan datang. Jadi, beliau buat begitulah (bangkitkan isu RM90 juta). Kalau bawa ke mahkamah benda bohong, apabila kalah sudah tidak boleh bertanding dalam PRU.

“Kalau tidak mahu bertanding, beritahulah supaya senang,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Kebajikan PAS di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), semalam.

Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor menyifatkan kenyataan Presiden PAS sebagai melucukan.

Berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang ahli Parlimen boleh dilucutkan kelayakan jika dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih daripada RM2,000 oleh mahkamah, demikian menurut Hadi.

Husam berkata semalam, beliau belum pernah mendengar mana-mana pihak yang kalah dalam saman sivil tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU).

“Kenyataan Hadi sangat melucukan. Saya tak pernah dengar orang yang kalah dalam sivil kes di mahkamah tidak dapat bertanding pilihan raya,” katanya kepada Malaysiakini.

Malah, kata Husam lagi, Hadi seolah-olah membuat kesimpulan beliau telah kalah dalam kes tersebut.

“Oleh kerana kes ini tidak dibawa ke mahkamah atau belum dibawa ke mahkamah, kita tidak tahu siapa yang akan menang atau kalah, jadi macam mana dia boleh boleh buat kesimpulan saya yang akan kalah kes,” katanya.

Sebaliknya, Hadi seolah-olah dapat meramalkan apa akan jadi kepada Husam jika didakwa dan dibawa ke muka pengadilan.

Malah Hadi membuat tuduhan bahawa “sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah dan mendapati Husam kalah, akibat berbohong boleh menyebabkan beliau tidak layak untuk bertanding dalam PRU14.

Husam berbohong? Itu kata Hadi.


Hadi memang berkeyakinan penuh apabila mengatakan “Kalau bawa mahkamah (jadi) benda bohong, (bila) kalah tak boleh tanding dalam PRU. (Kalau) tak nak tanding beritahu senanglah.”

Bagaimanapun ada pihak mengatakan undang-undang menyebut bahawa seseorang hanya hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya jika disabitkan dengan kes jenayah dan dihukum denda lebih daripada RM2,000 atau penjara dua tahun.

Ia tidak termasuk saman fitnah yang diperkatakan Hadi, melainkan jika anggota parlimen Marang itu mengandaikan Husam diisytihar muflis jika kalah saman itu.

Undang-undang juga menyatakan bahawa individu yang diisytiharkan muflis tidak boleh bertanding pilihan raya.

Membidas kenyataan Hadi, Husam mengatakan seharusnya Presiden PAS itu hanya menggunakan satu perkataan sahaja dalam isu ini kerana kenyataannya sebelum ini sukar difahami.

Husam turut meminta Hadi menyatakan pendiriannya untuk meneruskan saman tersebut atau tidak.

“Pemimpin besar macam Ustaz Hadi sebagai Presiden PAS sepatutnya guna satu perkataan sahaja atau dalam bahasa Arab, kalam wahid bukan dua perkataan yang tidak dapat dibaca maksud sebenar.

“Oleh kerana itu dia perlu tegaskan nak teruskan saman ataupun langsung tidak menyaman saya,” katanya.

Sebelum ini, Husam dalam ceramahnya di pentas Parti Amanah Negara (AMANAH) di Selising, Pasir Puteh, mendakwa mempunyai butiran berkaitan dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan PAS.

Kata Husam, dana berkenaan disalurkan ke akaun di Affin Bank.

Husam yang dipecat daripada PAS pada Mei 2016 atas dakwaan melanggar disiplin,  membayangkan akan menjelaskan mengenai butiran dana itu menjelang PRU akan datang.

Jumaat lalu, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS menganggap kenyataan Husam mengenai dana itu adalah rantaian daripada fitnah dibuat Sarawak Report sebelum ini.


PAS menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Husam itu.

No comments: