(Rakyat Malaysia – hambali1.blogspot.com)
Ahmad Said bukan mudah marah. Kalau dia marah mesti bersebab. Dan selalunya Ahmad Said lepas marah atau menegur, akan tenang dan baik kembali.
TV3 walaupun stesen yang sudah menjangkau lebih dua dekad, tidak semesti tidak berbuat salah. Apalagi jika wartawan di lokasi itu masih baru dan cuba mensensasikan sedikit berita, sesuai dengan jiwa TV3 itu sendiri yang beberapa ketika sebelum ini turut berslogankan sensasi.
Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, benar-benar marahkan TV3 semalam, malah sehari sebelum itu dia sudah ‘bengang’ kerana kesilapan fakta laporan stesen berkenaan terhadap apa yang dicakapkannya.
Ahmad Said naik angin kerana slot Buletin Utama stesen penyiaran swasta milik Media Prima itu mengatakan kononnya beliau membuat kenyataan bahawa tiga anak syarikat kerajaan Terengganu iaitu Golden Pharos Berhad, Permint Sutera Semai Sdn Bhd dan Syarikat Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn Bhd akan ditutup.
Berita ini jauh menyimpang daripada apa yang dicakapkan oleh Ahmad Said. Llaporan-laporan akhbar, malah Bernama sendiri yang menjadi rujukan wartawan berkenaan tidak melaporkan sedemikian.
Bayangkan, syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dikatakan akan ditutup – haru birulah jadinya di Kuala Lumpur.
Pekerja jadi resah, pembiaya panik tak terkata dan seluruh pihak – individu, syarikat atau kumpulan – jadi tidak menentu walaupun ‘tidak percaya’ syarikat-syarikat berkenaan akan ditutup.
Berikutan itu beliau membidas TV3 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu semalam kerana menyiarkan laporan tidak tepat.
Satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Terengganu itu menegaskan bahawa Ahmad cuma menyebut beberapa contoh anak syarikat yang mengalami kerugian dan menyatakan bahawa kemungkinan anak syarikat yang tidak menghasilkan keuntungan untuk jangka masa yang terlalu lama akan ditutup.
Beliau tidak pun merujuk kepada mana-mana syarikat, apa lagi Golden Pharos Berhad.
TV3 pun buat apa nak pertahankan laporan yang silap. Yang menulis berita itu silap mensensaikan yang sepatutnya ‘berita bisnes’ sedemikian, tulis secara biasa – hard news - sudahlah.
Mintalah maaf kepada Ahmad Said, ini tidak. Dalam Buletin malam semalam, Nampak sangat TV3 masih cuba mempertahankan laporan yang silap itu.
Manusia ada kelemahan dan kelemahan kepada wartawan TV3 ialah dia masih baru dasn sebelum ini pun hanya ‘stringer’ Harian Metro sahaja.
Jangan sampai kes ini berjela-jela. Hubungan baik TV3 dan Kerajaan Negeri perlu dikekalkan.
Ahmad Said tu Nampak keras tetapi percayalah hatinya lembut. Sama-samalah melakukan yang terbaik – yang berbuat khilaf mintalah maaf kepada yang sudah teranianya itu. Lainlah kalau TV3 ada agenda sendiri!
Saya tidak yakin TV3 ada agenda sendiri kerana TV3 ada peranannya sendiri untuk membantu kerajaan – Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.
Berikutan laporan itu, Menteri Besar itu turut mendakwa ada individu di negeri itu yang menggunakan stesen televisyen swasta itu untuk memburukkan nama beliau.
Katanya stesen televisyen swasta itu mempunyai niat jahat terhadap beliau termasuk semasa krisis pelantikannya sebagai Menteri Besar dahulu.
"...dan semalam TV3 menyiarkan berita yang menyatakan saya akan menutup Golden Pharos (anak syarikat kerajaan terengganu). Ini yang buat saya sedih. TV3 buat saya macam itu mungkin dia ada agenda," katanya ketika menjawab soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Burok) mengenai kedudukan anak syarikat kerajaan negeri.
Ahmad, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kijal, berkata bahawa semasa krisis pelantikannya sebagai Menteri Besar, TV3 menyiarkan berita bahawa beliau disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).
"Mula-mula dia siar berita Majlis Penasihat Pemangku Raja keluar kenyataan Ahmad Said dipilih sebagai Menteri Besar Terengganu. Kemudian, dalam berita akhir, TV3 keluar berita Adun Kijal disiasat BPR.
"Dua hari selepas Majlis Tertinggi Umno mengesahkan saya Menteri Besar Terengganu, TV3 keluar lagi berita-berita mengenai saya.
“ Saya beri amaran, jika keluar lagi berita memburukkan saya, saya akan saman TV3," katanya.
Jelas, Ahmad Said sudah tidak boleh sabar. Kata orang dah sampai ke hidung!
Selain itu Ahmad Said berkata beliau mendapat tahu ada individu di Terengganu yang menyalurkan maklumat kepada TV3 untuk disiarkan bagi memfitnahnya.
"Saya tidak mahu bertindak sekarang. Tetapi jika terpaksa, saya akan bongkarkan satu persatu, tidak kira siapa. Saya tegaskan di sini, sesiapa yang melakukan penyelewengan di bumi Terengganu, saya akan bertindak," katanya.
Saya sangat bersetuju dengan rakan saya Mohd Sayuti Omar (MSO) apabila beliau mengulas dalam postingnya “Belas Hati Dengan Nasib Dialami MB Terengganu” dengan mengatakan, bahawa hal begini sudah biasa sebenarnya. Makanya Ahamd Said tidak payah risau, sedih dan sebak dengan keadaan itu.
Apa yang penting lakukan untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat. Allah tahu apa yang baik dan ia tidak payah pun diheboh-hebohkan. Lagipun Ahmad Said adalah MB Terengganu bukannya MB Umno!
Bagi Sayuti, “apa yang mengagumkan saya tatkala mendengar ulasan Ahmad di DUN Terengganu seperti mana yang disedut oleh TV3 sekejap tadi (semalam) apabila beliau tekad, tidak rela dan tidak reda penyelewengan berlaku di Terengganu.”
Saya menghormati dan tabik kepada Ahmad Said apabila menegaskan tidak akan peduli kepada pennghinaan ke atasnya dan akan bertindak mendedahkan sesiapa juga melakukan penyelewengan.
Saya yakin dengan sikap Ahmad Said dan tidak perlu risau beliau tidak akan mengotakan kata-katanya. Lebih baik bertegas dan tidak popular dari kalangan media. Yang penting melakukan sesuatu yang memberikan keuntungan kepada rakyat dan rakyat Terengganu pasti akan senang dengan Ahmad Said.
Jika ini dilakukan, inilah kekuatan sebenar Ahmad Said!
No comments:
Post a Comment