Friday, December 12, 2008

GAGASAN 75%....

Oleh IkangDukang (tranungkite.net)

12 Disember 2008

Hakikat politik demokrasi menentukan majoriti menguasai minoriti. Dalam sesebuah negara, sekiranya sesebuah parti itu menguasai DUN atau Parlimen dengan 51% kerusi bermakna parti tersebut akan menerajui pemerintahan dan pentadbiran negeri atau negara. Mereka juga boleh melaksanakan dasar-dasar, anutan dan kefahaman serta idealisma-idealisma perjuangan mereka.

Parti Gerakan pernah mengadakan kempen untuk menggalakkan bangsa Cina melahirkan anak yang lebih ramai setelah mereka menyedari pertumbuhan penduduk berbangsa Cina semakin menguncup.

Senario semasa menunjukkan bangsa Cina lebih suka mempunyai bilangan anak yang sedikit iaitu antara 2 hingga 3 orang. Mereka lebih mementingkan kualiti daripada kuantiti. Impak dari sikap ini telah menyebabkan peratusan bangsa Cina di Malaysia semakin menurun dari setahun ke setahun.

Di kalangan orang Melayu pula, kita lebih suka kepada bilangan anak yang ramai dengan purata 6 orang sekeluarga. Sayangnya kita menderitai kuantiti yang tidak berkualiti. Mengikut bancian pada tahun 2000, umat Islam di Malaysia ialah sebanyak 60.4% dari 24 juta penduduk.

Faktor bilangan anak ini sangat besar ertinya dari sudut politik demokrasi. Sebab itulah Almarhum Tunku Abdul Rahman pada awalnya berat untuk menerima kemasukan Singapura ke dalam Malaysia kerana dengan kemasukan itu bilangan penduduk Cina akan melebihi bilangan bangsa Melayu. Dengan bilangan bangsa yang ramai, bangsa Cina dapat menguasai Singapura.

Dengan faktor yang sama Pulau Pinang dikuasai oleh Gerakan dan MCA walaupun satu ketika bilangan kerusi UMNO dominan di Pulau Mutiara itu. Cuba kita perhatikan besarnya kesan komposisi bangsa/anak yang ramai.

Antara perancangan yang hendak digagaskan di sini ialah menolak amalan merancang keluarga yang melibatkan kelahiran anak. Setiap ibu bapa muslim mestilah berazam atas dua perkara demi mendaulatkan Islam.

Berazam melahirkan seramai mungkin anak. Elakkan daripada mengamalkan perancang kelurga dan sentiasa berfikir positif dengan bilangan anak yang ramai.

1. Mengkualitikan anak dengan didikan agama yang kukuh, berilmu dan berjatidiri. Insafi gejala-gejala negatif dalam anak-anak bangsa kita.

2. Selain itu kita hendaklah menggalakkan pemuda-pemudi Islam berkahwin pada lingkungan usia yang ideal iaitu antara 24 hingga 27 bagi pemuda dan 21 hingga 24 bagi pemudi. Pemuda-pemudi Islam tidak sewajarnya melewat-lewatkan hasrat berumahtangga kecuali atas sesuatu masalah yang tidak dapat dielakkan. Perkahwinan yang cepat dapat merealisasikan gagasan-gagasan di atas.

Satu lain jalan kita ialah menyebarkan agama Allah dengan lebih berani. Kita memuji langkah yang diambil oleh Tun Dato’ Mustafa (USNO) Sabah dahulu yang menyebarkan Islam kepada kaum peribumi Sabah dengan bersungguh-sungguh. Sepatutnya wujud sebuah NGO muslim yang berperanan khusus untuk berdakwah di kalangan masyarakat majmuk Malaysia.

Namun individu muslim juga patut bersuara dan bercakap sepatah dua tentang Islam kepada rakan-rakan sekerja. Kita kagum dengan para pemain bolasepak yang berjaya membawa pemain bukan muslim dan pemain import menganuti agama Islam. Orang bola mampu buat, kenapa orang lain berdiam?

Kita mahu dalam masa mungkin 20 atau 30 tahun lagi umat Islam menguasai sekurang-kurangnya 75% daripada bilangan pengundi di negara kita. Gagasan ini hendaklah disebarluaskan kerana ia tidak mungkin diperkatakan secara langsung oleh pemimpin kerana mungkin ia membawa implikasi politik atau prejudis antara kaum.

Kalau kita mahu mengembalikan ketuanan Islam dan mendaulatkan Islam di bumi tercinta ini, maka ini mesti dihayati oleh setiap muslimin dan muslimat sebab kita telah memilih demokrasi. Sikap acuh tak acuh kita terhadap gagasan ini memungkinkan kita terus berputih mata suatu hari nanti. Kita tidak mahu ‘sejarah Singapura’ berulang kembali pada zaman anak cucu kita. Jangan kita pusakakan ‘sejarah Singapura kedua” untuk mereka.

No comments: