Tidak habis-habis pertikai keputusan mahkamah pada Jumaat, 22 Mei lalu. Sebabnya kerana tidak berpihak kepada Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin selaku MB yang sah.
Walaupun lapan peguam mewakili Mohd Nizar dan hujah ditolak, mereka tidak dapat menerimanya dengan hati terbuka.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan sebagai sesuatu yang mengecewakan dan memperlihatkan badan kehakiman negara hancur dan perlu diperbetulkan.
Malah Anwar menyifatkan penghakiman kemelut di Perak dibuat mengikut selera politik dan arahan. Mengikut selera politik dan ada arahan?
Tidakkah kata-kata ini merendahkan peribadi dan taraf profesional hakim-hakim dan mahkamah Rayuan itu sendiri?
Apakah ketiga-ketiga hakim yang membuat keputusan secara konsensus itu boleh ‘ditarik telinga’?
Perdana Menteru menjelaskan semalam, keputusan Mahkamah Rayuan yang menetapkan Datuk Dr. Zamry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak diterima sebagai berada di landasan yang betul oleh pihak Queen's Counsel dari United Kingdom.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, salah seorang ahli Queen's Counsel, Lord Lester yang diminta pandangan perundangan berhubung krisis di negeri itu berpendapat bahawa sistem kehakiman Malaysia berada di landasan yang betul.
"Pendapat oleh Mahkamah Rayuan itu dikongsi oleh pakar undang-undang peringkat antarabangsa seperti seorang Queen's Counsel bernama Lord Lester yang kita telah terima pendapat perundangannya.
"Kalau Queen's Counsel seperti Lord Lester boleh keluarkan pendapat kita berada di atas landasan yang betul seperti mana keputusan Mahkamah Rayuan, janganlah disalah-ertikan atau diberi pandangan negatif terhadap badan kehakiman negara," katanya.
Jauh di sudut hati mereka yang mempertikaikan keputusan itu rasanya bukan kerana faktor mahkamah semata-mata. Mereka mahukan DUN Perak ddibubarkan dan diadakan pilihan raya baru.
Memberikan semula kuasa kepada rakyat untuk menentukan, kata mereka.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Sabtu lalu, menempelak UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti yang tidak bermoral dan bertamadun kerana menguasai Perak melalui cara tidak terhormat.
Beliau turut menyifatkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai 'Menteri Besar mahkamah' dan bukannya mewakili seluruh penduduk Perak.
“Kenapa pakatan pembangkang yang telah dipilih oleh rakyat secara sah melalui undi, tetapi dirampas oleh UMNO dan BN secara melarikan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri untuk menyokong mereka," katanya.
Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu pula berpendapat, keputusan Mahkamah Rayuan yang memberi kemenangan 3-0 kepada Dr Zamry adalah satu keputusan yang telah diskripkan.
Mohamad Sabu berkata, keputusan yang telah diskripkan itu menandakan matinya demokrasi di negara ini.
Beliau turut mendakwa keputusan ini sangat pelik kerana ia telah bocor dahulu, seluruh media BN telah menanti hanya untuk umumkan sahaja, satu lagi tanda sebelum keputusan dibuat ramai Adun dan pemimpin BN hadir, tidak seperti ketika keputusan di Mahkamah Tinggi,
Dalam keputusannya, panel tiga hakim yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian pada 21 Mei sebulat suara menerima rayuan Zambry.
Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN.
Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Dato' Md Raus Sharif, Dato' Zainun Ali dan Dato' Ahmad Maarop.
Nizar diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah, manakala peguam Cecil Abraham mewakili Zambry.
Bukan Datuk Seri Najib Razak sahaja yang kesal tetapi mereka yang menghormati mahkamah dan demokrasi pasti merasa kesal dengan sikap parti pembangkang yang menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) mengatur keputusan Mahkamah Rayuan dalam menentukan Menteri Besar Perak yang sah.
Adalah tidak adil untuk menuduh badan kehakiman negara mengikut telunjuk kerajaan hanya kerana penghakiman yang dibuat itu memihak kepada kerajaan.
Sedangkan apabila sesuatu keputusan itu memihak kepada pihak berkenaan, maka mereka katakan sistem kehakiman kita bebas, sikap seperti ini tidak boleh diamalkan.
Aneh sungguh kerana pembangkang menetapkan label kebebasan terhadap mahkamah di negara ini mengikut faedah yang diperoleh mereka.
Seperti dikatakan oleh Najib, jika krisis di Perak dimuktamadkan segera, kerajaan dapat memulakan usaha yang lebih fokus untuk membantu membangunkan rakyat Perak.
Malah, beliau bersifat positif dengan berkata, pihak pembangkang masih berhak membawa kes mereka ke Mahkamah Persekutuan tetapi berharap ia dilakukan dengan pantas demi memastikan krisis di Perak diselesaikan segera.
"Kita harap ada penamat dari segi proses ini, saya difahamkan kemungkinan besar mereka (pembangkang) akan buat rayuan di Mahkamah Persekutuan, mereka ada hak buat rayuan.
"Kita terimalah apa keputusan mahkamah yang tertinggi sekali, dari segi kerajaan kita berharap ada penyudahnya atau 'finality' dalam proses ini agar kerajaan dapat berkhidmat untuk rakyat," jelasnya.
No comments:
Post a Comment