Thursday, May 14, 2009

AHMAD MASLAN - JANGAN TAKBUR, BUKTIKAN DULU

MalaysiaHariIni (Friday, 01 May 2009)

AKUAN Ketua Penerangan UMNO baru, Ahmad Maslan bagaikan bergegar bumi. Paling memetirkan ialah mahu bekerja siang dan malam untuk memastikan UMNO kukuh dan dapat membantu BN mengembalikan dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang.

Selain meneruskan seminar, ceramah, kursus, Ahmad juga akan mengadakan program bermalam di rumah peneroka, mahu memperkenalkan Indeks Prestasi Utama (KPI) di semua peringkat serta berhasrat besar menjadikan kawasan gelap kepada samar dan samar menjadi terang.

Beliau juga bersedia untuk mendekati empat aspek media merangkumi media bersemuka, media elektronik, bercetak dan maya. Begitulah besar hasrat Ahmad yang berkobar-kobar di peringkat awal ini. Sedap benar bunyinya.

Tapi persoalan lain juga timbul apakah Ahmad juga seorang Ahli Parlimen Pontian yang memerlukan kehadirannya. Bagaimana dengan kerja hakikinya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri?

Sepatah kata pujangga tak ternama, angan-angan dan cakap-cakap itu adalah percuma. Selalunya rakyat tidak mudah terperangkap dengan hanya cakap tanpa tindakan yang belum tentu mudah diterima oleh semua orang di semua peringkat.

Mungkin tidak ramai yang suka dengan ikatan Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk jawatan Ketua Penerangan di perngkat Negeri, Bahagian dan Cawangan yang bukan kerja hakiki yang dibayar gaji, elaun atau sebarang bentuk habuan dari UMNO.

Ada yang gelakkan saja bila Ahmad kata mahu bekerja siang dan malam dan mengadakan program tidur di rumah peneroka kerana cakap-cakap itu tidak mudah dilakukan. Di peringkat awal atau sesekali bolehlah lakukan. Tetapi tidak boleh selalu.

Macamlah Ahmad tidak tahu perangai orang UMNO. Mereka bukan boleh dikerah atau dipersoalkan dengan sistem KPI yang sesuai untuk wakil rakyat yang bergaji dan mempunyai peruntukan dari kerajaan untuk melayan karenah rakyat.

Berbunyi juga di sana-sini, angan-angan Ahmad itu bagaikan satu dendangan yang sebelum ini sudah ramai pemimpin sebelum beliau sudah katakan dan ia tetap berakhir dengan ungkapan ‘cakap tak serupa bikin’.

Yang penting ialah tugas Ahmad itu tidaklah nanti dilihat hanya mendapatkan publisiti sahaja tetapi tidak memenuhi kehendak rakyat yang menuntut lain dari apa yang disogokkan iaitu lebih berbentuk masalah setempat seperti kekurangan yang melibatkan banyak pihak lain.

Umpamanya, rakyat mahu saliran di sekitar mereka tidak lagi tersumbat, tidak mahu jalan raya keliling mereka berlubang-lubang tidak bertampal, kemudahan pengangkutan awam yang lemah seperti bas tidak hadir sekerap yang dikehendaki, disiplin kontraktor yang membangunkan persekitaran tidak menghiraukan alam sekitar, kemudahan belia tempatan berekreasi diabaikan, sistem pungut sampah tidak memuaskan, tahap keselamatan kian kurang menjaminkan, lampu jalan yang tidak berfungsi, tempat-tempat ibadat dan banyak lagi karenahnya.

Rakyat hari ini semuanya sudah tidak lagi macam zaman sebelum ini di mana rakyat mahu mendengar cerita indah semata-mata. Mereka mahu tindakan. Pihak pembangkang juga akan mengunjungi mereka dalam banyak cara terus mengkritik kerajaan yang secara langsung membidas UMNO dan BN.

Rencana ini bukanlah untuk melemahkan semangat Ahmad yang sedang berkobar-kobar, tetapi terimalah untuk dibuat renungan sedalam-dalamnya betapa orang Melayu hari ini menerima cabaran dan menimbangkan pilihan mereka siapa yang lebih lojik dalam menjalankan tugasnya tidak hanya kepada cakap pemimpin.

No comments: