Sunday, March 14, 2010

MELAYU - SAMSENG KAMPUNG & KETURUNAN LANUN

Oleh Hambali Ab Latiff (www.hambali1.blogspot.com)

Nama Melayu dan tokoh ilmuan Melayu seperti Profesor Diraja Ungku Aziz dan lain-lain tidak sesuai digunakan untuk bangunan, jalan atau institusi.

Kenapa? Ini kerana Melayu adalah berasal dari lanun (menurut Alex Josey Pegawai Khas kepada Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew) dan tidak layak nama digunakan.

Siapa kata? Tan Melaka dalam Sinar Harian semalam, 11 Mac 2010.

Selepas membaca rencana oleh Tan Melaka bertajuk “Nasionalisme Mahathir sudah berakhir, kini era globalisasi” dalam Sinar Harian, banyak persoalan boleh difikirkan bersama.

Untuk apa Sinar Harian menyiarkan rencana berkenaan? Mahu menimbulkan kemarahan orang Melayu? Untuk memupuk rasa benci membenci atau membuka polimik mengenai Melayu?
Kementerian Dalam Negeri (KDN) harus meneliti rencana ini dan bagaimana ia boleh terlepas begitu sahaja.

Keturunan Melayu dikatakan sedemikian dengan memetik daripada seseorang yang menjadi ‘hamba’kepada pemimpin tertentu dan memang kenyataan sedemikian adalah suatu kerja yang terkutuk.

Lantas timbul beberapa persoalan berikut:
1. Penulis terangan-tarangan mengatakan nama Melayu atau tokoh-tokoh ilmuwan kita seperti Profesor Diraja Ungku Aziz dan lain-lain tidak sesuai digunakan kerana Melayu adalah berasal dari lanun (menurut Alex Josey Pegawai Khas kepada Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew). Kenapa kenyataan sebegini dibuat? Untuk menaikkan kemarahan orang Melayu?

2. “Sewajarnyalah kita membuka fikiran kita untuk menerima hakikat bahawa ketamadunan Melayu seperti yang telah ditegaskan Pendeta Melayu Za'aba dalam sebuah tulisannya adalah dibawa oleh orang-orang Inggeris,” Benarkah ini? Apakah orang Melayu tidak mencipta tamadunnya sendiri sebelum dan selepas penjajahan Inggeris? Kenapa Tan Melaka begitu British centric?

3. Benarkah Tun Dr Mahathir Mohamad memperalatkan Anwar Ibrahim, Ketua Pemuda UMNO pada 1984 untuk membawa usul ke dalam mesyuarat Agung UMNO tahun itu bagi meluluskan suatu usul mengambil alih tanah di Carcosa dan menggantikan dengan tanah lain di Jalan Ampang untuk Pesuruhjaya Tinggi British? Siapa sebenarnya mendapat untng daripada isu Carcosa? Anwar atau Dr Mahathir? Bagi saya Anwar yang mendapat untung kerana sebelum isu ini diketengahkan, Anwar tidak ada isu besar yang beliau perkatakan.

Polimik mengenai Carcosa mendapat tempat di akhbar pada 1984 dan ‘nasionalisme yang ditunjukkan Anwar’ memperteguhkan kedudukannya sebagai Ketua Pemuda UMNO ketika itu.

Pada umumnya Tan Melaka membuat andaian mengenai orng Melayu hanya dengan merujuk kepada kenyataan Alex Josey.

Kenapa tidak merujuk kepada buku-buku yang lebih bersifat akademik seperti Thomas Stamford Raffles: Schemer or Reformer? (1972) Intellectuals in Developing Societies (1977) dan The Myth of The Lazy Native oleh Prof Syed Hussein Al Atas?

Yang lain-lain tu penjenguk bacalah sendiri rencana berikut:

Nasionalisme Mahathir sudah berakhir, kini era globalisasi Oleh - Tan Melaka (Sinar Harian, 11 Mac 2010)

University Raffles Iskandar Malaysia akan dibangunkan di Iskandar Johor dengan usaha sama antara Raffles Education Corporation dan Education Iskandar Sdn Berhad.

Namanya memang bersejarah dan agung kerana terselit nama tuan bekas penjajah. Sejak berita ini tersiar tidak ada sebarang reaksi dari badan-badan pendidikan, ahli sejarah atau nasionalis tanah air.

Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sekarang benar-benar berfikiran global. Memang pun wajar kita mengambil sikap ini.

Kita tidak boleh lagi berfikiran sempit. Nama Universiti itu adalah sangat sesuai untuk mengingatkan keakraban kita dengan British, iaitu bekas tuan tanah kita.

Tidaklah adil jika hanya Singapura sahaja yang mengenangkan jasa British dengan Raffles Hotel dan sebagainya.

Ini juga menunjukkan dalam perjalanan kemerdekaan kita yang semakin jauh, semakin kita mahu melupakan sejarah kita dengan tindakan pemimpin terdahulu cuba untuk memupuk keyakinan diri, supaya lebih menghormati pejuang sendiri dengan menghapuskan simbol-simbol yang boleh menimbulkan perasaan rendah diri.

Dalam tahun 1984, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammed mengambil balik Carcosa, kediaman Pesuruhjaya Tinggi British di atas bukit di Lake Garden yang dihadiahkan Perdana Menteri Tun Abdul Rahman kerana bagi Mahathir bekas wakil penjajah tidak wajar duduk di atas tempat yang paling tinggi di ibu negara.

Sekalipun tindakan itu menyinggung perasaan Tunku Abdul Rahman, tetapi Mahathir telah memperalatkan Anwar Ibrahim Ketua Pemuda UMNO ketika itu untuk membawa usul ke dalam mesyuarat Agung UMNO bagi meluluskan suatu usul mengambil alih tanah itu dan menggantikan dengan tanah lain di Jalan Ampang untuk Pesuruhjaya Tinggi British.

Biarlah hati Tunku terluka tetapi yang penting ketika itu ialah menunjukkan semangat anti penjajahan demi untuk membangunkan semangat nasionalisme bangsa dan negara. Sekarang ini kita berada dalam dunia globalisasi.

Tindakan seperti itu tidak tidak sesuai lagi. Kita mesti mengambil nama orang Inggeris yang berjasa untuk menjadi nama kepada institusi-institusi pelajaran kita yang agung.

Nama Melayu atau tokoh-tokoh ilmuwan kita seperti Profesor Diraja Ungku Aziz dan lain-lain tidak sesuai digunakan kerana Melayu adalah berasal dari lanun (menurut Alex Josey Pegawai Khas kepada Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew).

Lagi pun generasi sekarang bukan lagi ambil peduli tentang keagungan nama, sejarah, agama dan sebagainya. Kita mesti membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia adalah progresif, dinamik, bebas dan mindanya melampaui sempadan.

Sewajarnyalah kita membuka fikiran kita untuk menerima hakikat bahawa ketamadunan Melayu seperti yang telah ditegaskan Pendeta Melayu Za'aba dalam sebuah tulisannya adalah dibawa oleh orang-orang Inggeris.

Malah menurut Za'aba pahlawan Melayu zaman dahulu yang diagung-agungkan sebenarnya berasal dari samseng kampung yang bermaharajalela merampas harta-benda orang-orang yang lemah dan melakukan sekehendak hati mereka.

Lalu kita hari ini menjadikan mereka sebagai wira. Ini selari dengan pandangan Alex Josey. Maka itu apa yang dilakukan kerajaan Johor memberikan nama Raffles di samping Iskandar kepada Universiti di Johor adalah pertimbangan yang seimbang dan rasional, terutama sekali apabila mengenangkan sejarah istimewa antara Johor dengan British.

Tun Mahathir pun tidak boleh terlalu emosi jika Johor yang berjiran rapat dengan Singapura mahu mengembalikan zaman keagungan hubungan British dengan negara ini yang pernah suatu masa dicacatkan oleh tindakan By British Last.

Pembangunan Universiti Raffles Iskandar adalah untuk meyakinkan orang luar negara kepada institusi pelajaran negara ini dan juga untuk matlamat membangun ekonomi menerusi pelajaran bukannya memenuhi segala harapan yang pernah diilhamkan Jambatan Bengkok.

Ini adalah Jambatan Lurus ke arah memberikan imej Malaysia yang global. Masa nasionalisme Mahathir sudah berlalu. Sekarang adalah zaman globalisasi yang melampaui batas sempadan, bangsa dan agama.

1 comment:

Unknown said...

Tindakan yang diambil oleh Tun Mahathir adalah benar , kisah Britsh telah dicatat dalam buku sejarah. Perlukah lagi kita membangakan mereka? Sedarkah kita, jika mahathir tidak membuat dasar Buy British Last. kita masih tidak akan dapat hak kita daripada penanaman kelapa sawit, koko dan sebgainya,,