Barisan Nasional hanya mampu kekalkan tiga negeri iaitu Melaka, Pahang dan Johor sementara UMNO perlu bersatu untuk kekalkan Terengganu dan Sabah -
TUN DAIM ZAINUDDIN
TUN DAIM ZAINUDDIN
Ramalan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin bahawa BN hanya akan memperoleh tiga negeri pada pilihan raya umum akan datang perlu diberi perhatian serius kerana bukannya ramalan kosong.
Pakar undang-undang, Dr Abdul Aziz Bari ketika berceramah di Temerloh menegaskan, jika ramalan tersebut menjadi kenyataan seperti ramalan beliau pada PRU 2008, sudah tentu Pakatan Rakyat (PR) akan mara ke Putrajaya.
“Daim kata BN hanya selamat di tiga negeri saja iaitu Johor, Melaka dan Pahang apa yang dikatakannya bukan ramalan kosong tetapi fakta dan ada kredibiliti kerana beliau rapat dengan saudagar, agen risikan dan badan politik.
“Dulu sebelum 2008 Daim juga ramal lima negeri akan jatuh kepada pembangkang dan setelah keputusan PRU ternyata tepat.
“Malah badan penyelidik Merdeka Centre yang mendapati kajian imej (Datuk Seri ) Najib (Tun Razak) naik itu mengeluarkan kenyataan jika 45 peratus undi Melayu menyebelahi Putrajaya akan dikuasai PR,” ujarnya.
Abdul Aziz yang berceramah di perkarangan pejabat PKR di Temerloh kelmarin mengulas kenyataan Daim juga bekas Bendahari Umno dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini meramalkan BN hanya akan memperoleh kemenangan di tiga negeri sahaja pada PRU-13 nanti.
Serentak dengan itu beliau menggesa jentera PR Pahang digerakkan segera kerana komposisi kaum di Pahang sama seperti Selangor dan jika pengundi diberi akses maklumat tidak mustahil boleh berubah.
Abdul Aziz berkata, orang-orang Melayu yang kurang maklumat terpengaruh dengan propaganda kalau PR menang Cina akan memerintah atau Malaysia akan jadi republik sedangkan itu tidak betul.
“Sebab itu Umno menang dan memerintah atas kebodohan rakyat. Ini terbukti tempat yang dimenangi mereka tempat-tempat yang kurang akses maklumat dan di situlah juga berlaku pelbagai masalah.
“Peranan jentera penerangan ialah memberitahu rakyat kali inilah kita kena ubah jika tidak entah bila lagi. Jika tidak Umno akan lebih ganas lagi, rasuah akan lebih berleluasa lagi.
“Umno takut untuk berdebat soal-soal dasar dan polisi tetapi mereka lebih mudah mengganggu ceramah PR dengan mengupah samseng-samseng. Beritahu rakyat cara politik seperti inilah yang kita kena hentikan,” tambahnya lagi.
Abdul Aziz mengingatkan, dalam PRU yang lalu kira-kira 1.8 juta orang Umno mengundi parti-parti Pakatan justeru beliau meminta jangan disisihkan penyokong-penyokong Umno bawahan.
“Kemenangan PR bermakna kemerdekaan rakyat kali kedua dan PR perlukan 112 kerusi untuk membentuk kerajaan di mana peluang itu ada.
“Tetapi orang Pahang tentulah tidak mahu sekadar menonton saja kemenangan negeri,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid yang berceramah sebelum itu mendedahkan kehidupan rakyat pada masa ini begitu terhimpit dengan melambungnya kos hidup yang sudah sedia tinggi.
“Harga barang naik 80 peratus sejak di bawah pemerintahan Najib dan apa jadi jika BN menang PRU kerana Najib sendiri menyebut lepas PRU cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sekitar empat peratus akan dilaksanakan.
“Itu kehidupan rakyat yang makin susah. Pada masa sama hutang negara sudah cecah hampir RM500 bilion yang boleh menyebabkan negara bankrap,” katanya.
Tambahnya dalam masa yang sama pemimpin negara berbelanja dengan boros antaranya kediaman Perdana Menteri sendiri yang menggunakan air sehingga RM40,000, elektrik RM189,000 sebulan dan baiki bilik air sehingga RM9.3 juta.
Serentak dengan itu beliau menyeru rakyat membina tekad untuk membuat perubahan dalam PRU akan datang demi survival rakyat sendiri pada masa depan.
Di Rantau Panjang, Umno dan BN perlu menerima hakikat parti itu semakin hilang pengaruh biar pun media tajaan mereka memberi gambaran sebaliknya.
Ini dapat dibuktikan apabila Umno terpaksa menggunakan pentas mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) serta pengagihan bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi mengerah orang ramai hadir.
Di Kota Bharu ceramah Ketua Bahagian, Datuk Fatmi Che Salleh terpaksa diadakan jamuan bagi menarik orang ramai datang. Malah pada poster ceramah turut dipaparkan gambar Pengerusi Perhubungan Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Terbaru di Kampung Paya Senang malam Isnin lalu disediakan jamuan nasi. Bagaimanapun kehadiran penduduk boleh dibilang dengan jari.
Timbalan Exco kerajaan negeri, Mohamad Awang (gambar) berkata, pemimpin Umno perlu mengakui hakikat yang berlaku sekarang kerana masa kehebatan mereka semakin berlalu.
“Malah kenyataan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang membayangkan Umno dan BN hanya mampu mempertahankan Pahang, Johor dan Melaka sahaja pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 amat mencabar sekali.
“Kenyataan bekas bendahari Umno itu sangat jelas dan boleh diterima oleh sesiapa sahaja. Keterbatasan keupayaan Umno kelihatan makin jelas sekarang. Ini membuat mereka semakin kecut perut.
“Kejatuhan empat negeri ke tangan Pakatan Rakyat (PR) dan mengekalkan Kelantan pada PRU-12 merupakan permulaan episod yang menakutkan kerajaan BN,” katanya yang juga Adun Gual Periuk di Rantau Panjang.
Menurutnya, bayangan dibuat Tun Daim tidak mampu ditolak begitu sahaja kerana beliau mengetahui selok-belok yang berlaku dalam Umno dan BN sejak dahulu sehingga sekarang.
Baru-baru ini ketika interview dengan sebuah akhbar berbahasa Cina Daim dilaporkan memberitahu usaha Umno-BN mempertahankan Perak menjadi satu cabaran.
Begitu juga mahu mengekalkan Terengganu dan Sabah, Umno perlu bersatu.
Harakahdaily (28 Mac 2010)
No comments:
Post a Comment