Tuesday, March 11, 2014

Pencarian Pesawat MAS...Jangan Sampai Bertentangan Dengan Islam


Kerajaan amat mengalu-alukan usaha semua pihak untuk membantu mengesan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang, dalam apa jua cara selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, keterbukaan itu tidak menghalang mana-mana pihak menggunakan kaedah masing-masing namun dari segi perbomohan, ia tidak boleh dilakukan sehingga melanggar batas agama.

"Kita alu-alukan semua untuk bantu, sekarang tidak timbul soal mistik kerana yang penting pencarian kita dan kalau hendak mencari mestilah bertepatan dengan landasan agama.

 "Saya minta mana-mana pihak jangan buat perlakuan yang bertentangan dengan syariat...dalam kaedah perbomohan, saya minta ia dilakukan tidak bercanggah dengan agama," katanya malam semalaam.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perasmian Program Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-35 di Shah Alam yang disempurnakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Petang semalam, muncul di KLIA seseorang  yang mendakwa dirinya Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP, Ibrahim Mat Zin. Difahamkan dijemput seorang pegawai tertinggi negara, lapor Bernama.

Dia dilaporkan berpengalaman lebih 50 tahun. Dengan upacara yang dilakukan selama 30 minit, beliau mendapat alamat bahawa kesemua penumpang pesawat terbabit dipercayai masih berada dalam keadaan selamat di satu lokasi tertentu terletak antara Laut China Selatan, Filipina dan sebuah negara asing yang tidak dapat dipastikan.

"Saya nampak pesawat itu masih tergantung di ruang udara, di tengah -tengah ketiga-tiga lokasi terbabit.

"Saya tak dapat jelaskan secara terperinci soal keselamatan mereka tetapi percaya pesawat itu mungkin berada dalam dua keadaan sama ada diculik oleh pihak tertentu atau disembunyikan di alam ghaib", kata dipetik pemberita.

Upacara ritual dengan menggunakan peralatan khas iaitu teropong buluh serta bubu mata pancing sebagai simbolik untuk memperoleh alamat terkini berhubung keadaan pesawat terbabit. Bubu mata pancing terbabit sebagai simbolik penjara di mana pesawat itu dipercayai berada dalam cengkaman pihak tertentu atau ditawan di alam bunian, kata Ibrahim.

"Kita gunakan teropong sebagai simbolik meminta anasir-anasir terbabit untuk membebaskan pesawat terbabit secepat mungkin.

"Upacara yang kita buat turut menggunakan ayat-ayat suci al-Quran iaitu surah Nabi Yunus dan surah Yassin,"katanya.


Melalui upacara tersebut juga, Ibrahim turut mempelawa beberapa individu daripada pelbagai bangsa termasuk seorang wakil media untuk membuat ritual pembebasan dengan meletakkan bubu mata pancing di atas kepala mereka.

Bomoh yang mendakwa pernah menampar buaya tembaga sehingga mati itu, selain upacara terbabit, seramai 100,000 ahli Persatuan Silat Gayung Ghaib dan Selendang Merah turut melakukan solat hajat serta berdoa semoga pesawat yang hilang ditemui dalam minggu ini.

Pihaknya sudah melakukan perkara yang sepatutnya dilakukan dan selebihnya terserah kepada Allah SWT, kata lagi.

Sebelum ini Ibrahim mendakwa pernah terlibat dalam membuat ramalan untuk kes antaranya berkaitan kes tragedi Highland Tower serta membatalkan ilmu hitam Mona Fendy agar hakim dapat menjalankan tugas di Mahkamah Temerloh, Pahang.

Sehubungan pendedahan seorang bomoh bahawa pesawat MH370 yang hilang kini tergantung di alam ghaib, mantan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin semalam membidas golongan tersebut.

Melalui posting Facebooknya semalam, bomoh yang mengamalkan amalan khurafat ini boleh mengelirukan golongan bukan Islam mengenai agama itu.

“Tak cukup dengan kehilangan MH370, muncul pula macam-macam bomoh khurafat dengan pelbagai aksi yang memperbodohkan diri sendiri, bahkan juga boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terutama non-muslim terhadap Islam,”

Beliau turut menegaskan penggunaan ayat suci al-Quran oleh golongan ini tidak bermakna mereka melakukan perkara yang betul.

“Mereka mempergunakan ayat-ayat al-Quran secara salah dan selekeh. Ingatlah bahawa segala yang bodoh dan tahyul itu bukan ajaran Islam,” tambahnya lagi.

Ibrahim dilaporkan melakukan ritual tarian mencari pesawat di ruang legar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam dengan menggunakan bubu buluh dan dua teropong buluh.

Jamil Khir berkata, biarpun tidak semua rakyat dapat menghulurkan bantuan secara fizikal, namun doa yang berterusan supaya pesawat tersebut dijumpai adalah amat diperlukan.

Tambahnya, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang komen negatif ataupun kutukan berhubung insiden itu sehingga mampu mengguris hati keluarga penumpang pesawat malang tersebut.

Pesawat itu membawa penumpang terdiri daripada warga 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia. Sehingga kini, pesawat itu masih belum dikesan.

No comments: